MEGA berarak. Langit yang tadinya cerah tiba-tiba bertukar kelam. Semesta yang tadinya kebiruan kini menyatu bersama-sama kekelaman memenuhi ruangan mata.
Mataku meredup menyaksikan panorama alam. Indah, desisku perlahan. Setitik demi setitik tangisan alam singgah di pipiku. Kusendengkan tubuhku yang kecil, meminggir dari kekuyupan itu. Bersandar ke tiang sebesar pemeluk yang nampak usang dimakan usia. Ah, lenguh badanku. Baru terasa segala urat, otot dan temulang yang letih menyokong tubuhku ini.
Bukan aku seorang yang selalu sakit badan begini. Jalan kampung yang sekian lama compang-camping dirabak kereta bermotor yang lalu-lalang. Kesian jalan kampung kami. Syukur ada pemimpin yang mengambil berat, menjadikan impian kami satu kenyataan. Niat baik pulih dan memperbesar jalan kampung dapat jadi nyata. Tapi saat prosesnya sedang berlangsung, kami perlu berkorban sedikit. Jalan kaki separuh jalan bukit. Sebuah jentera, punya gigi tajam dan besar sedang rancak menggigit tanah bukit jalan ke kampung kami. Kini kami terpaksa melalui jalan yang kotor, becak dan licin terutama saat hujan seperti ini.
Ah, seharian badanku lenguh. Kupusing kepala. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Jalan kampung bertar kelihatan compang-camping dikorek jentera yang seringkali menyeringai di depanku ini. Tajam benar gigitannya. Bukit yang selama ini gah berdiri bisa tumbang bahana kerakusannya itu. Jalan bertar cukup sebuah kereta. Konon khabarnya siap akhir tahun nanti.
Ayah yang ulang-alik bekerja terpaksa menyimpan motornya di pertengahan jalan. Pernah dicubanya membawaku naik motor melalui tanah merah itu. Bagai direnjat elektrik sepanjang jalan, aku tersengguk-sengguk sampai rumah. Kadang-kadang kerana terlalu takut, bercampur adrenalin yang menggasak, aku melolong. Biasa juga merasa zarah endapan lumpur dibuatnya. Itu membuatkan ayah serik.
“Keselamatanmu lebih penting, Manis,” katanya sambil memarkir motornya di tepi jalan.
Akhirnya kami berjalan kaki. Kuhirup udara desa yang menyambutku akrab. Sambil berjalan, kepalaku diterjah agenda bertubi-tubi. Kugagahi dengan semangat yang bukan sembarang. Terbayang nasi panas, tempoyak goreng dan pucuk ubi tumbuk goreng belacan. Tiba-tiba aku sudah tercegat di depan ibu. Hidung cuba mencari sesuatu. Kuandaikan ibu punya telepati, bisa membaca mindaku yang satu ini. Senyum sampai ke telinga lagi. Sempat mataku melirik ke celah papan yang melopong. Usang benar rumah orang tuaku ini, desisku dalam hati.
Mata kusepetkan, sesekali kujegilkan mencari kelibat sahabat yang juga kadang-kadang musuhku. Menilik bawah perdu bunga kesayangan ibuku, iaitu Cik Bedah. Ada-ada saja ibu. Bunga diberinya nama manusia. Kuperhati bawah buluh betong tiada juga kelibatnya. Dia sudah semakin mahir sembunyi dariku. Kadang sebaliknya dia yang mengintaiku. Aku merasa dipermainkan. Argh, begitu aku geram, namun aku amat menyayanginya.
Kenangan musim durian tahun lepas menjentikku. Dia kutemui ketika bersama ayah mencari durian suatu pagi. Saat berjumpa dengannya, aku teringat melopong agak lama sambil meneroka saiznya yang kecil dan gebu. Aku memaut badannya yang kecil itu ke dadaku.
Ayah pantas meninjau sekitar, mencari jika ada saudaranya yang lain. Pelik, dia sendirian. Masih jelas di fikiranku betapa gagahnya aku menaiki bukit Ayak Ateng, tidak sabar menunjukkannya kepada ibu. Dengan megahnya, dia kupanggil Acip. Acip bukan seperti ayam kebiasaan. Kata ayah, dia baka ayam sutera; jinak, tenang dan mesra. Benar kata ayah, semakin hari Acip semakin jinak. Sifat manjanya bagai kucing mengasihi tuan. Acip juga setia. Saat aku memotong rumpun serai untuk ibu, Acip mengiringi langkahku. Saat aku terpaksa berbaris mengambil air batu di lereng Bukit Ateng, Acip sabar di sisiku. Teringat satu masa, aku merasa lucu. Acip seakan togel ditiup angin bersama hujan mengganas. Kesian Acip, bulunya yang selalunya mengembang gebu empuk dilenyek badai bersulam air.
Lamunanku terhenti oleh perutku yang berkeroncong. Hidungku masih mencari bau masakan yang lain daripada kebiasaan. Lain benar bau masakan ibu kali ini. Aku duduk di atas tikar mendongak wajah ibu. Kusambut mangkuk semawa sumbing bibir yang ibu unjukkan kepadaku dengan rasa tak sabar.
“Wah, menu apa ni, bu? Merah betul warnanya. Sedap baunya, bu. Rasa macam gawai je.”
“Ha, cubalah. Ibu baru cuba. Resepi ayam masak merah dalam radio semalam. Boleh komen lepas ni ya,” ibu tersenyum sambil bersimpuh di sisiku.
“Makanlah, Manis. Lama kita tak makan lauk sedap macam ni kan?” ujar ayah sambil bersila.
Syukur, desisku dalam hati.
“Sedap, bu. Boleh jadi menu gawai tahun ni nanti.” Tanganku pantas menyuap ayam masak merah ibu bersama nasi huma daripada beras baharu yang masih berasap.
Hening. Segalanya menjadi sepi. Hanya bunyi sudu yang sesekali berlaga pinggan lama ibu yang kedengaran. Kami melayan perasaan sendiri. Mensyukuri rezeki di depan mata saat itu. Kulirik kedut di wajah ibu yang makin menjadi. Terakam urat-urat di lengan ibu berselirat mempamer diri. Kesian ibu. Tak pernah lelah berbakti pada kami. Akan kuabadikan saat ini, desisku dalam hati. Terasa nyamannya sampai ke tulang. Malamnya aku tidur lebih lena daripada sebelumnya.
Cahaya pagi mula menghiasi lukisan alam saat aku cuba mengintai kelibat Acip. Segenap sudut tempat Acip bermain telah kuteroka, namun Acip tak kutemui. Tiba-tiba aku teringat semalam Acip terlebih tenang dan mesra. Matanya seolah meneropong jauh ke dalam hatiku. Sempat menggesel balung kecilnya ke kakiku, Acip kurasakan sedikit berbeza daripada kebiasaannya. Aku cuba merakam segala. Terbayang memori bersama Acip setahun ini. Acip yang sering makan bersuap. Bulu sutera putih bersih Acip yang sering kubelai. Kaki bercakar lima Acip yang sering mengais tanah mencari cacing terkadang terkais kakiku. Lalu pantas dipandangnya aku sebelah seolah menduga reaksiku. Kukejar selajunya. Acip lari bertempiaran bersama kokok nyaring dan lengannya yang terbuka seolah menari bersamaku. Kunamakan tarian panik kerana kami seakan bersatu dalam keriuhan itu. Oh, Acip. Dadaku terasa berat saat menyebut namanya. Tiba-tiba aku merasa sayu. Seolah tak mampu tanpa Acip, aku tersandar lemah pada akar pokok ketapang. Kuperhatikan dedaunan di sekitarku berguguran seolah memancarkan jiwaku yang terasa kosong. Dadaku semakin sendat.
Di manakah Acip? Adakah Acip sakit? Adakah Acip hilang? Adakah Acip dicuri orang? Adakah…? Tak mungkin.
Beberapa anak tangga kayu rumah kami telah kulangkah tanpa sengaja. Air mata sudah tidak mampu kubendung lagi.
“Ibu… ibu nampak Acip tak? Manis cari Acip tak jumpa? Ibu nampak tak? Mana agaknya Acip bu?” soalku, mengharapkan ibu ada jawapannya.
“Ayah nampak Acip tak?”
Ibu memandangku, kaget. Kukira ibu mempamerkan emosi jujurnya saat itu.
“Ibu, berkatalah yang sebenarnya,” hatiku mula digasak kesangsian.
“Manis cari Acip ke? Dah cari betul-betul? Dah lihat bawah beranda di depan tu?” soal ibu bertubi-tubi kepadaku pula.
“Masak merah semalam tu Acip ke, bu?” Kupandang wajah ibu, mengharapkan penjelasan. Aku tidak mampu menyelindung kesangsianku kepada ibu lagi.
“Allah, Manis. Masak merah semalam itu ayam yang ayahmu beli dari pasar semasa menjemput kau pulang dari sekolah.”
Aku cuba mewajarkan kebenaran kata-kata ibu. Kupandang wajah ayah semula, seolah-olah mengharapkan ayah mengeyakan jawapan ibu. Saat itu aku pasrah. Cuba memujuk jiwaku menerima kebenaran biarpun perit.
“Ya, Manis. Ayah beli ayam semalam. Tak mungkin ibu atau ayah sanggup sembelih Acip. Kami tahu kau sayang Acip,” kata ayah mempamerkan kerisauan di matanya. “Manis fikir menu semalam Acip masak merah ke?” ujar ayah lagi.
Selamanya ibu ayahku takkan mengkhianatiku. Itu sudah pasti. Aku mula menyesali kata-kataku. Merefleksi diri. Segala yang ibu ayah katakan terpantul di hadapanku bersekali dengan linangan air mata yang terus mengalir. Alangkah leganya. Jawapan kontan ayah menyengat semangatku semula. Syukur semalam ayam masak merah, bukan Acip masak merah. Oh, Acip. Fikiranku menerawang. Mencari kata-kata yang bisa menunjukkan jalan. Di manakah Acip? Saat itu aku mengharapkan wujudnya satu alat yang dapat menunjukkan aku jalan mencari Acip. Tapi segalanya hanya mimpi.
Aku dibawa sekali lagi ke saat bersama Acip. Acip tidur di pangkuanku. Menemaniku saat kukeseorangan. Membangunkan aku dari lena setiap pagi. Berkokok bersama tarian paniknya. Oh, Acip. Di manakan kucari ganti Acip? Kakiku melangkah lebih laju. Hatiku mula berharap kembali.
“Kurrr… kurrr… kurrr…”
“Acip… Acip… Acip…”
“Kurrr… kurrr… kurrr…”
Seolah-olah ada pantulan cahaya di balik tiang beranda. Putih gebu bersinar apabila disuluh kalimantang. Ayam sutera putih berdiri tegak di depanku. Entah dari mana datangnya. Kulihat sayapnya sedikit serabut. Ada sedikit kesan darah pada bulunya yang putih. Wajahnya seakan kebingungan, barangkali membahagi resahnya kepadaku. Aku terduduk di depan Acip. Air mata tumpah tanpa dapat ditahan lagi. Acip kupeluk erat.
“Syukur kau selamat,” kupandang Acip.
Oh, Acip. Kasih sayangku memuncak. Perpisahan bukan pilihan namun aku perlu reda mendepani hari mendatang. Aku seakan dijentik menghayati makna kehilangan. Esok belum pasti milik kita. Aku perlu hargai setiap saat yang dipinjamkan. Semangatku kembali membara bersama sedikit kerisauan setiap kali ingin menjamah kembali ayam masak merah.