1.1 Pengenalan.
S.M. Zakir atau nama sebenarnya Syed Mohd Zakir Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu Kelantan. Beliau merupakan anak kepada Sasterawan Negara Malaysia iaitu Syed Othman Bin Syed Omar atau lebih dikenali S Othman. Mendapat pendidikn awal di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra Kota Bharu dan Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor Pulau Pinang. Pendidikan menengah beliau mendapat pendidikan di Sekolah Penang Free School, Pulau Pinang, Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi dan menamatkan zaman persekolahan di Sekolah Menengah Tinggi Kajang. Beliau juga berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Teknologi Mara dan Institute Of Commercial Management, Bournemouth, England. Beliau mula berkecimpung dalam dunia penulisan pada tahun 1990 sehingga sekarang masih aktif dalam menulis dan karya beliau merangkumi pelbagai genre seperti cerpen, sajak, esei dan novel serta disiarkan di Majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Berita Harian, Utusan Melayu, Mingguan Malaysia dan pelbagai akhbar serta majalah. Antara anugerah-anugerah yang diterimanya ialah Sasterawan Muda MASTERA 2010 Jakarta, Indonesia, S.E.A Write Award 2011, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera DBP-Public Bank, Hadiah Sastera Utusan-Exxon Mobil, Hadiah Formula Sastera, Anugerah Sastera Negeri Kelantan, Hadiah Sastera 100 Tahun Kuala Lumpur DBP-DBKL dan Anugerah Kritikan Filem Oleh GAPIM. Beliau juga sering menghasilkan karya-karya yang berkualiti dan menyentuh seluruh aspek seperti novel Ahli Politik, Rumah Kupu-Kupu, Rumah Yang Tumbuh Dari Bukit, cerpen 20 Cerita Tentang Tuhan, puisi Perjalanan Sang Zaman dan banyak lagi hasil karya beliau yang menarik.
Novel Rumah Kupu-Kupu karya S.M Zakir terbitan Nusa Center pada tahun 2020 telah dipilih sebagai kajian. S.M. Zakir sering menggunakan gaya bahasa yang tinggi dan unik dalam menghasilkan sesuatu karya sehinggakan berjaya menarik minat masyarakat. Beliau turut menzahirkan pemikiran beliau berkaitan dengan isu-isu masyarakat untuk dijadikan perkara pokok dalam penulisan beliau. Novel Rumah Kupu-Kupu mempunyai sebanyak 176 halaman dan dibahagikan kepada 10 bab. Novel Rumah Kupu-Kupu akan dianalisis dengan mengunakan teori stilistik. Kritikan sastera merupakan kajian, penilaian dan tafsiran terhadap sesuatu karya sastera untuk memastikan penulis menulis dengan cara yang betul agar sesuatu karya lebih berkualiti. Kritikan sastera bukan hanya menilai karya-karya sastera yang sedia ada sahaja tetapi turut menggunakan pandangan beberapa tokoh-tokoh yang kemudian melahirkan teori-teori tertentu dalam memberi sesuatu kritikan terhadap karya sastera. Kritikan sastera juga telah melalui beberapa tahap perkembangan seperti tahap sebelum perang dunia II, tahap sebelum kemerdekaan, zaman kemerdekaan, modenesmi dan pascamodenesmi.
Sejarah stilistik dikatakan bermula pada zaman Plato (427-317 SM) manakala Aristoteles (384-322 SM) dan melibatkan tentang kajian linguistik yang melibatkan proses proaktif dalam kesusasteraan. Kajian stilistik untuk mengkaji parameter linguistik berkaitan karya sastera. Stilistik berasal dari bahasa Inggeris iaitu ‘style’ yang bermaksud gaya dan bahasa serapan ‘linguistic’ yang bermaksud tatabahasa. Dalam Kamus Istilah Sastera (1990:145) maksud stilistik iaitu ilmu kebahasaan yang mempelajari tentang gaya bahasa. Stilistik juga merupakan karya yang berfokuskan penggunaan bahasa yang bertujuan untuk menunjukan keberhasilan seseorang pengarang mengolah bahasa yang simbolik dan mempunyai unsur-unsur estetika. Sebelum adanya stilistik untuk menganalisis karya sastera dan bahasa kajian gaya telah digunakan dan stilistik merupakan ilmu yang masih baru serta kedudukannya yang kurang stabil menyebabkan kesedaran mengenainya masih kurang. Antara faktor yang menyebabkan perkembangannya lambat ialah perhatian terhadap gaya muncul pada orang hidup di dunia sastera dan menyedari pemakaian bahasa karya-karya tidak sama daripada bahasa harian yang diguna oleh masyarakat. Seterusnya keinginan menyimpulkan gaya terhadap bahasa yang indah dengan mengaitkan gaya dengan ‘Keindahan’. Kemunculan stilistik dapat dilihat setelah adanya perubahan besar di dalam perkembangan linguistik mahupun kajian karya sastera.
Stilistik juga adalah kajian bagi karya yang menekankan aspek bagaimana untuk menghasilkan karya dengan lebih baik dan cara mengeksploitasi bahasa dengan sebaik-baiknya. Terdapat juga tokoh-tokoh yang memberikan pandangan mereka tentang stilistik seperti Antilan Purba (2009:145), menurutnya stilistik atau stylistics adalah dua kata iaitu style iaitu pengarang yang baik dari gaya bahasa atau ahli mode manakala ice lebih ke arah ilmu dan telaah. Kemudian berdasarkan pandangan Keris Mas (1988:8), memberikan pengertian tentang stilistik iaitu mengkaji kemungkinan gaya kesusasteraan untuk menilai serta memperoleh kefahaman tentang teks kesusasteraan. Hasil sastera yang diperhatikan atau diberi kajian khusus disebabkan timbulnya kelainan gaya bahasa, baik gaya individu mahupun implikasi lain. Umar Junus (1989:145), pula mengatakan stilistik adalah penggunaanya dalam karya sastera, tetapi kemunculannya dapat dilihat dalam linguistik. Tambahnya lagi stilistik adalah gabungan ilmu linguistik dan ilmu sastera.
Stilistik bertujuan melihat pengarang mengolah bahasa untuk penerapan karya kreatif seperti imaginatif, figuratif, simbolik dan mempunyai unsur estetika. Crystal (1985: 107), stilistik bermaksud gaya bahasa yang menunjukkan jenis kaedah kajian linguistik tertentu ketika bahasa digunakan dalam ucapan masyarakat contohnya bahasa sains, undang-undang, debat, sastera, agama dan bahasa yang digunakan bagi kelas sosial yang berbeza. Kajian stilistik juga ialah kajian mengenai kelainan bahasa yang mempunyai bentuk gaya bahasa seperti pengulangan, perbandingan, pertentangan, perpautan dan penyirnaan begitu juga dengan peribahasa, sindiran dan gaya retorik. Pemakaian bahasa yang termasuk dalam bidang linguistik seperti fonologi, morfologi, semantik dan sintaksis. Pengertian stilstik merupakan bahagian daripada linguistik yang menumpukan perhatian terhadap variasi penggunaan bahasa khususnya dalam bidang kesusasteraan.
2.0 Sinopsis Novel
Pada permulaan cerita watak utama iaitu ‘dia’ telah memberikan gambar latar tempat bagi keseluruhan jalan cerita iaitu sebuah apartment dan penulis menjadikan kupu-kupu menggambarkan kehidupan masyarakat. Watak ‘dia’ turut mengetengahkan isu-isu masyarakat iaitu masyarakat yang sering berada dalam keadaan sibuk dalam mengurus ‘dunia’ mereka sendiri jadi keadaan tersebut diibaratkan seperti kupu-kupu yang tinggal di tempat yang kecil dan sempit dalam kepompong dan bila tiba masa akan terbang bebas. Simbolik tersebut sesuai digunakan bagi menggambarkan penduduk kota yang hanya duduk di unit rumah masing-masing, tidak bertegur sapa dan tidak saling kenal walaupun kerap berselisih.
Seterusnya, dalam novel Rumah Kupu-Kupu menceritakan tentang Mustafa Ilham yang merupakan seorang penulis karya sastera sepenuh masa bergantung kepada huruf-huruf untuk menyara keluarganya. Walaupun begitu, dilema sebagai seorang penulis mereka terpaksa akur dengan masyarkat yang lebih gemarkan program realiti hiburan, lawak dan buku cerita yang tidak memerlukan masyarakat memerah otak untuk berfikir. Watak Mustafa merupakan seorang yang sensitif kerana terasa hati dengan kata-kata isterinya sehinggakan mengurungkan diri dalam sebuah bilik dirumahnya dan menulis tanpa berhenti. Penulis juga turut menegur tentang sikap individualistik yang terdapat dalam diri seseorang contohnya dalam novel tersebut terdapat seorang pemuda yang sering menghadap laptop riba tanpa mempedulikan keadaan sekeliling dan watak ‘dia’ yang tidak mempedulikan pemuda yang tidak berubah posisi sehingga berhari-hari walaupun pemuda dan ‘dia’ adalah jiran tetapi hubungan mereka tidak akrab.
Terdapat juga unsur dongeng dan fantasi iaitu watak ‘dia’ yang berjumpa dengan duyung di kolam mandi pangsapuri dan ‘dia’ banyak tertarik dengan cerita-cerita tentang duyung. Kemudian watak ‘dia’ yang menaiki lif lalu lif tersebut bergerak ke atas dengan laju sehingga angka di lift itu menunjukkan 999 dan setelah keluar dari lif tersebut watak utama ‘dia’ seolah berada di atas awan. Watak utama ‘dia’ mengaitkan kejadian itu dengan kisah dongeng iaitu Jack yang menanam sebutir kacang lalu menumbuhkan pokok gergasi. Kemudian sewaktu watak utama ‘dia’ menekan butang G lif kemudian turun dengan bahkan melepasi aras G. watak utama ‘dia’ seperti berada dalam gua.
Akhir sekali, watak utama ‘dia’ yang terpandang sebuah surau walaupun tidak besar tetapi cukup untuk 50 jemaah merasa bersalah kerana tidak pernah sembahyang di surau tersebut. Sesetengah kelompok masyarakat di pangsapuri juga jarang mengunakan surau tersebut dan hanya menggunakan ketika bulan puasa untuk solat terawih. Watak utama ‘dia’ mengambil keputusan untuk ke surau tersebut dan menunaikan solat zohor bahkan watak utama ‘dia’ merasakan nyaman dan menemukan kembali dengan Tuhan-Nya.
3.0 Analisis Novel Rumah Kupu-Kupu Berdasarkan Teori Stilistik
3.1 Analisis Tentang Fonologi
Terdapat tiga sistem yang utama iaitu fonologi, tatabahasa dan semantik. Fonologi adalah satu cabang kajian bahasa yang menumpukan kepada aspek bunyi bahasa secara umum serta fungsi bahasa dalam sesuatu bahasa tertentu. Fonologi juga merupakan perbezaan makna yang disebabkan suara. Fonologi mempunyai dua cabang iaitu fonetik dan fenomik dan ahli bahasa yang pakar dalam fonologi dipanggil ahli patologi. Komponen utama yang terdapat dalam tatabahasa ialah morfologi iaitu bidang mengkaji morfem dan kata kemudian sintaksis bidang yang mengkaji frasa, klausa dan ayat. Prinsip fonologi ataupun penggunaan bunyi ialah untuk menunjukkan taburan penggunaan bunyi untuk meneliti aspek asonansi, aliterasi, rima dan sebagainya. Kesan estetika dapat dilihat berdasarkan kerapan penggunaan bunyi yang dinyatakan dan kelainan atau variasi dalam penggunaanya dapat dilihat dalam stilisitk. Penggunaan prinsip fonologi dalam novel Rumah Kupu-Kupu yang dikaji dapat dilihat berdasarkan petikan berikut:
Kosong daripada perasaan untuk mengejar.
Kosong daripada keinginan untuk memiliki.
Kosong daripada perasaan untuk mencapai apa-apa.
(Hlm: 160)
Melalui petikan tersebut, prinsip fonologi telah dapat dikenal pasti disebabkan penggunaan rima awal oleh penulis novel. Rima awal bermaksud penggolongan bunyi yang terdapat dalam suku kata ataupun perkataan permulaan setiap baris iaitu baris pertama, kedua dan seterusnya dalam karya-karya puisi. Berdasarkan maksud yang telah dinyatakan, dapat dikenal pasti bahawa contoh petikan diatas mengandungi unsur rima pertama dengan pengulangan perkataan kosong pada perkataan pertama pada setiap baris. Perulangan rima awal ini dapat menjadikan sebuah novel yang dihasilkan menarik untuk dibaca kerana ia menunjukkan adanya unsur penegasan maksud yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembaca. Berdasarkan petikan tersebut juga dapat difahamkan bahawa pengulangan rima awal pada perkataan kosong seolah-olah merupakan cara penulis untuk memberitahu pembaca pada bulan puasa umat Islam hendaklah mengosongkan diri daripada mengejar, memiliki atau mencapai dunia sahaja dan memberi tumpuan untuk beribadah.
Sejak hari itu dia tidak pernah menemui gadis itu lagi.
(Hlm. 25)
“Mesej yang dihantar juga tidak berjawab”.
(Hlm. 49)
Selain itu, aspek bunyi ini dapat dilihat dalam novel Rumah Kupu-Kupu turut banyak menekankan aspek bunyi asonansi yang merupakan sejenis perulangan. Asonansi bermaksud perulangan bunyi vokal dan hanya diwakili oleh lima huruf sahaja iaitu lambang ‘a’ ‘e’ ‘i’ ‘o’ ‘u’. Asonansi juga dapat menyebabkan kemerduan atau kelembutan pada bunyi Contohnya berdasarkan petikan di atas halaman 25 dalam novel Rumah Kupu-Kupu adanya pengulangan vokal i. Pengulangan vokal i dalam novel tersebut bersesuaian dengan mesej yang ingin disampaikan berkaitan seorang pemuda yang telah jatuh hati kepada seorang gadis dan pemuda tersebut memberanikan diri untuk mengenali dengan lebih dekat ketika berjumpa setelah beberapa minggu mereka hanya memberikan senyuman dan ucapan selamat pagi sahaja tetapi malangnya gagal. Pemuda tersebut juga sudah tidak melihat gadis itu lagi. Penggunaan banyak i memberikan impak kesedihan dan kekecewaan yang ditanggung oleh seorang pemuda dalam novel tersebut dan keindahan yang disebabkan perulangan i.
Contoh seterusnya dapat dilihat ialah pengulangan vokal a. Pengulangan vokal a sesuai dengan gambaran situasi yang menunjukan seorang isteri yang meminta bantuan rakan suaminya kerana risaukan keadaan suaminya yang masih duduk di bilik tidak keluar-keluar dan mesej yang dihantar oleh isterinya tidak dibalas setelah . Melalui petikan pada halaman 49 yang diambil dari novel Rumah Kupu-Kupu penggunaan vokal a jelas menunjukkan kerisauan dan kegundahan yang dilalui oleh seorang isteri terhadap suaminya yang masih dibilik setelah isterinya pulang dari kampung berdasarkan kelembutan yang terjalin melalui perulangan a.
3.2 Analisis Prinsip Pemilihan Diksi
Pemilihan diksi merupakan pemilihan dan penggunaan perkataan tepat tetapi juga berkesan untuk memberitahu idea secara bertulis atau lisan. Hasil pemilihan diksi yang tepat dapat menentukan keberkesanan atau kualiti sesuatu karya yang dihasilkan oleh penulis kepada pembaca dan karya-karya yang dihasilkan dapat meninggalkan kesan kepada pembaca. Diksi atau turut dikenali sebagai ‘pemilihan kata’ boleh dimaksudkan sebagai pemilihan atau penyusunan yang mementingkan ketepatan, tekanan dan keistimewaan yang terdapat puisi. Penggunaan diksi atau pemilihan kata-kata atau leksikal yang bersesuaian oleh penulis untuk menimbulkan kesan terhadap karya novel yang dihasilkan. Secara keseluruhannya, novel Rumah Kupu-Kupu telah menggunakan perkataan-perkataan yang menarik dan sesuai dengan temanya.
Novel Rumah Kupu-Kupu telah mengandungi prinsip pemilihan diksi yang bertujuan untuk menyampaikan sesuatu dengan sesuatu maksud tertentu dengan lebih berkesan kepada pembaca novel tersebut. Contoh pemilihan diksi dalam tersebut dapat dilihat berdasarkan petikan berikut:
Tanpa mempedulikan apakah karyanya akan dibeli dan dibaca oleh masyarakat yang lumpuh minat terhadap daya fikiran mereka. Mustafa tetap menulis dan mengeluarkan novel-novel sastera yang indah dan tinggi pemikiranya.
(Hlm. 31)
Berdasarkan petikan novel tersebut, jelas menunjukkan bahawa penulis ingin menunjukan cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui oleh seorang penulis sepenuh masa bagi menghasilkan karya-karya yang baik. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 965), lumpuh bermaksud tidak kuat atau tidak bertenaga (kaki atau bahagian-bahagian lain tubuh) dan lumpuh juga dikaitkan tidak bergerak. lumpuh dalam novel ini membawa makna bahawa sesetengah masyarakat sudah tidak berminat atau suka terhadap sesuatu karya yang memerlukan masyarakat untuk berfikir. Walau bagaimanapun, penulis yang bernama Mustafa tetap menulis dan menghasilkan novel-novel sastera yang tinggi pemikirannya tanpa memikirkan karya yang dihasilkan olehnya akan disukai ataupun tidak oleh masyarakat
Sejak itu dia kembali sibuk kerja-kerjanya, dan Mustafa mungkin tenggelam menuliskan cerita baharunya. Perlahan-lahan nama Mustafa mengecil hilang daripada fikiranya. Kehidupan di kotak batu gergasi ini berjalan seperti biasa, berputar seperti filem bisu yang hanya menayangkan imej dan gerakan tanpa suara.
(Hlm. 37)
Di samping itu, ditambah lagi petikan novel diatas pada halaman 38 terdapat penggunaan perkataan tenggelam. Perkataan tenggelam bermaksud masuk terbenam ke dalam air atau masuk air dan karam termasuk juga lemas. Pemilihan perkataan tenggelam dalam novel tersebut jelas menggambarkan tentang watak Mustafa yang bekerja sebagai penulis yang asyik atau leka menyiapkan cerita baharu. Penulis juga ingin memberikan gambaran tentang kerjaya sebagai penulis yang sentiasa sibuk dengan kerja-kerjanya dan sentiasa menulis bagi menghasilkan karya-karya baharu.
Dia mahu berehat dan menghirup udara malam yang nyaman malam mini. Melapangkan otaknya yang sekian lama terperap masuk di dalam komputer. Juga melegakan urat dan saraf tubuhnya yang sekian lama pegun beku di kerusi kerjanya.
(Hlm. 99)
Contoh lain yang terdapat dalam novel Rumah Kupu-Kupu berdasarkan halaman 99 penggunaan perkataan yang diambil ialah melapangkan. Perkataan melapangkan bermaksud menjadikan lapang, melebarkan, meluaskan biasanya digunakan untuk kawasan, jalan atau melapangkan juga boleh dikaitkan dengan masa. Namun dalam contoh petikan novel tersebut melapangkan ialah mengosongkan fikiran setelah lama tekun bekerja menggunakan komputer dan berehat. Perkataan melapangkan amat sesuai digunakan kerana penulis ingin menunjukkan kegigihan watak utama iaitu ‘dia’ yang komited terhadap kerjanya sehingga berkerja sehingga lewat malam.
Penulis novel juga dilihat lebih cenderung menggunakan perkataan-perkataan bahasa asing seperti perkataan dalam bahasa Inggeris sepanjang perkembangan plot novel Rumah Kupu-Kupu. Antara perkataan bahasa Inggeris yang terdapat dalam novel ini ialah Apple Macintosh (Hlm. 5), Apple (Hlm 6), Matrix (Hlm. 10), internet (Hlm. 11), Pizza (28), mock-up (Hlm 33), editor (Hlm 34), meter (Hlm 68), The Pirate Of Caribbean (Hlm 100), Hollywood (Hlm. 101), dumbbell (Hlm. 146) . Penggunaan perkataan Inggeris yang dipilih ini sangat sesuai dan dianggap wajar kerana berdasarkan latar masa novel ini menunjukkan kehidupan yang moden dan adanya pengaruh serta sistem yang kuat dari penjajah yang dapat dilihat dalam sistem pentadbiran, perkembangan sosiobudaya dan pendidikan yang masih dibawa sampai ke hari ini. Pemilihan diksi perkataan-perkataan Inggeris juga sesuai dengan jalan cerita yang ditulis oleh penulis bagi menarikkan lagi jalan cerita.
3.3 Analisis Prinsip Penilaian Pembentukan Ayat Atau Struktur Analisis.
Prinsip ini digunakan untuk melihat susunan ayat dari sudut panjang dan pendek sesuatu ayat. Oleh itu, pembinaan panjang dan pendek ayat perlulah sesuai dengan suasana mengikut peristiwa yang berlaku. Penekanan prinsip lebih menekankan aspek deviasi yang digunakan untuk menimbulkan gaya yang berkesan. Penggunaan prinsip pembentukan ayat atau struktur sintaksis yang digunakan oleh penulis dalam novel untuk menimbulkan kesan stilistik terhadap novelnya. Prinsip penilaian pembentukan ayat atau struktur analisis dalam contoh pertama dapat dilihat melalui petikan tersebut:
Waktu ini tentunya mereka di pejabat, kerana hari ini hari bekerja.
(Hlm.43)
Pada petikan tersebut pada ayat yang terakhir memperlihatkan jenis keterangan musabab melalui kehadiran kata hubung kerana yang hadir di hadapan ayat. Ayat keterangan berfungsi untuk memberikan huraian lebih lanjut kepada kata kerja ayat induk jadi dapat difahami bahawa kata hubung biasanya akan hadir selepas penggunaan kata kerja. Berdasarkan contoh petikan tersebut kehadiran kata hubung hadir di ayat jelas menunjukkan tidak melanggar peraturan tatabahasa. Kehadiran kata hubung kerana jelas menunjukkan unsur pendeviasian yang bertujuan untuk menyampaikan maksud ayat dengan lebih berkesan. Tujuan pendeviasian merupakan sesuatu unsur penekanan maksud yang ingin disampaikan oleh penulis iaitu masyarakat yang sibuk bekerja.
“Di mana biliknya?”
“Di atas”
(Hlm. 49)
Merujuk contoh petikan kedua, prinsip ketiga dapat dilihat melalui petikan ayat daripada novel tersebut yang diciptakan kerana struktur ayat yang pendek. Tujuan prinsip penilaian pembentukan ayat atau struktur untuk memberi kesan atau dampak kepada khalayak menggunakan pendeviasian ayat dan berdasarkan kepanjangan atau kependekan ayat yang telah dihasilkan. Menerusi contoh ayat yang berbunyi, “Di atas” walaupun ayat tersebut merupakan sebuah pembentukan ayat yang pendek tetapi ia sudah menunjukan sebuah jawapan. Melalui petikan “Di atas” adalah salah satu unsur kesopanan dan ketepatan yang cuba disampaikan oleh penulis berdasarkan petikan tersebut. Perkara ini dapat menghasilkan sebuah karya yang lebih berkesan dan disukai oleh pembaca.
Dan kehidupan mula wujud satu persatu sehingga tumbuh pokok-pokok, mergastua dan haiwan-haiwan.
(Hlm. 59)
Petikan novel tersebut penggunaan perkataan dan di awal ayat dan di tengah ayat. Perkataan dan telah digunakan dua kali dalam satu baris menjadikan binaan ayat berirama serta memberikan impak yang lebih kepada maksud yang ingin disampaikan oleh penulis melalui novel ini. Penggunaan perkataan dan menjelaskan bahawa watak utama ‘dia’ kembali alam nyata yang berwarna warni serta tumbuha-tumbuhan dan haiwan setelah tersedar daripada imaginasinya menggambarkan alam berwarna hitam. Oleh itu, maksud petikan novel tersebut ialah watak utama ‘dia’ memikirkan gadis yang serba hitam sehingga membayangkan alam menjadi hitam putih dalam fikirannya.
Semua hanyalah kesunyian, kesepian, kelengangan.
(Hlm. 25)
Kesunyian bermaksud keadaan sunyi, keheningan, kelengangan, atau kesenyapan. Kesepian merujuk perihal keadaan sepi dan seorang diri. Manakala kelengangan sinonim bagi kesunyian dan kesepian yang membawa maksud lengang, sunyi dan sepi. Penulis menggunakan kata kesunyian, kesepian dan kelengangan untuk memberikan satu kesan perasaan sunyi, keseorangan dan kekosongan. Sesuai dengan emosi dibawa, petikan yang dibina adalah pendek, penggunaan perkataan yang minimal dan padat. Secara estetikanya, ia merupakan perlambangan terhadap sikap manusia yang mempunyai pelbagai emosi.
Rumahnya memang juga adalah sebuah studio dan di sinilah dia bekerja, membuat aturhuruf dan rekabentuk buku atau majalah atau apa sahaja yang berada dalam skop aturhuruf, grafik dan rekabentuk berkomputer.
(Hlm. 5)
Merujuk kepada petikan novel diatas pada halaman lima terdapat penggunaan struktur ayat yang panjang. Sebanyak tiga puluh patah perkataan dalam petikan novel diatas ayat. Petikan pada halaman menjelaskan tentang kehadiran struktur ayat-ayat yang panjang dalam karya novel yang dihasilkan oleh penulis. Penggunaan struktur ayat yang panjang seperti ini menunjukkan gaya penulisan S.M. Zakir yang berani dan bijak bermain dengan kata-kata dalam menghasilkan ayat dalam novel Rumah Kupu-Kupu yang berstruktur panjang.
3.4 Analisis Prinsip kajian Terhadap Makna Atau Semantik.
Kajian makna atau semantik bermaksud penggunaan bahasa dimulakan dengan taburan bunyi, pemilihan perkataan dan penyusunan ayat kerana bertujuan untuk mendapatkan makna yang jelas. Penggunaan bahasa haruslah selaras dan sesuai dengan teknik dan tema bagi sesuatu karya yang dikaji. Prinsip ini mempunyai penggunaan frasa yang menarik yang digunakan oleh penulis untuk menghasilkan sebuah novel yang menarik dan memberi kesan kepada pembaca kerana adanya aspek deviasi dalam makna. Prinsip kajian terhadap makna dan semantik dapat dilihat melalui petikan novel tersebut:
Akar-akar yang menjalar itu menyelinap menusuk ke tanah tanaman-tanaman itu.
(Hlm 51)
Prinsip kajian terhadap makna dan semantik berdasarkan petikan dalam novel tersebut dapat dilihat dalam penggunaan ayat akar-akar yang menjalar itu menyelinap menusuk ke tanah tanaman-tanaman itu. Jika dilihat makna akar ialah bahagian tumbuh-tumbuhan yang biasanya tumbuh ke dalam tanah ia juga boleh dikaitkan dengan jenis akar yang tumbuh di atas permukaan tanah. Namun dalam novel ini akar-akar bukan bermaksud tumbuhan semula jadi tetapi akar-akar dalam novel ini mengambarkan tentang keadaan watak iaitu Mustafa yang tidak terurus sehingga biliknya berdebu kerana sibuk menulis dalam bilik dan lama tidak keluar dari bilik.
3.5 Analisis Prinsip Penelitian Kepada Unsur-Unsur Bahasa Dramatik.
Dramatik bermaksud mempunyai gaya yang bersesuai bagi drama. Ciri dramatik ialah percakapan penuh atau sempurna yang dapat memberikan kesan kepada jiwa seperti suka, sedih, marah dan lain-lain. Eksploitasi bahasa melalui aspek pengaplikasian unsur dramatik turut memberikan kesan gaya serta keindahan dalam novel. Antara unsur-unsur tersebut ialah simile, personifikasi dan sebagainya. Stilistik melihat unsur yang banyak digunakan dan sesuai dengan karya kemudian bagaimana unsur tersebut dapat dimasukkan dalam karya. Kekuatan dan keindahan sebuah karya bergantung kepada eksploitasi bahasa termasuk penggunaan unsur-unsur dramatik. Penggunaan bahasa dramatik dapat dilihat berdasarkan petikan novel Rumah Kupu-Kupu dibawah:
Angin dingin yang lembut membelai dari kekisi beranda
(Hlm. 15)
Penerapan prinsip penelitian terhadap unsur dramatik terdapat pada petikan diatas telah dapat dikenal pasti melalui penggunaan unsur personifikasi yang ada dalam karya novel tersebut. Personifikasi ialah merujuk kepada unsur pengorang yang terdapat juga dalam gaya bahasa iaitu memberikan sesuatu keadaan, suasana dan benda kepada sifat manusia. Dalam petikan novel diatas penulis memperlihatkan unsur personafikasi yang ketara. Perbuatan melambai lazimnya merujuk kepada perbuatan manusia itu digandingkan angin dan angin bukan sifat manusia tetapi merujuk kepada suasana alam. Berdasarkan penerangan tersebut, jelas novel ini ada menerapkan unsur personifikasi kerana termasuk kepada penggunaan bahasa dramatik. Penerapan unsur dapat mejadikan karya novel yang dihasilkan menarik kerana meluaskan imaginasi pembaca untuk mengaitkan sifat manusia dengan unsur alam.
Semua bangunan yang berceracak tinggi baik kediaman ataupun pejabat seperti raksasa yang mengatur dan menguasai seluruh kehidupan manusia hari.
(Hlm.87)
Gaya bahasa yang dramatik juga dapat dilihat melalui petikan novel diatas ialah adanya unsur simile. Simile bermaksud sesuatu kiasan yang membandingkan dua benda berbeza tapi ada persamaan. Dalam simile penggunaan bak, umpama, seperti, bagai dan laksana turut digunakan. Penggunaan perkataan seperti memberi makna bahawa penulis ibaratkan bangunan-bangunan tinggi yang sedia ibarat raksasa yang mengatur kehidupan manusia. Penggunaan raksasa sebagai perbandingan kerana bangunan-bangunan yang dibina tinggi atau besar seperti raksasa yang menguasai kehidupan dan banyak berbanding manusia.
Mata itu berwarna biru laksana zamrud.
(Hlm. 117)
Berdasarkan petikan diatas penggunaan gaya bahasa perbandingan seperti laksana menyebabkan petikan diatas menjadi indah. Petikan tersebut membawa maksud tentang kecantikan seseorang yang digambarkan melalui keindahan mata sehingga menggambarkan keindahan mata tersebut dengan batu zamrud yang berwarna biru. Perbandingan tersebut sangat sesuai digunakan oleh penulis untuk mengambarkan sesuatu yang cantik kerana batu zamrud merupakan sejenis batu yang telah wujud pada zaman Mesir dan memiliki warna yang sangat cantik serta dianggap batu mulia dan dijual dengan harga yang mahal.
Dan sekarang dia berdepan dengan gelombang perasaan
(Hlm. 7)
Prinsip penelitian terhadap unsur dramatik turut dikesan berdasarkan unsur metafora yang terdapat dalam petikan diatas. Metafora didefinisikan penggunaan kata-kata yang menerbitkan makna yang lain daripada makna tersurat dan juga disebut bahasa kiasan. Metafora juga merupakan gabungan kata konkrit (nyata) dan abstrak (tidak nyata). Gaya bahasa ini biasanya ringkas, serta, atau terdiri daripada dua patah perkataan dan unsur metafora dalam petikan novel diatas adalah gelombang perasaan. Gelombang merupakan kata konkrit (nyata) kerana bermaksud potongan kecil atau serpihan. Perasaan abstrak (tidak nyata) kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya sifat semulajadi manusia.
Air mengguyur jatuh memberikan iramanya yang tersendiri.
(Hlm. 147)
Petikan di atas juga mempunyai unsur dramatik melalui penggunaan unsur hiperbola yang ada dalam karya novel tersebut. Hiperbola ialah sesuatu pernyataan dibuat secara berlebih-lebihan untuk menekankan sesuatu idea atau peristiwa. Petikan novel diatas penulis unsur hiperbola dapat dilihat dengan jelas. Perkataan iramanya atau asalnya irama dikaitkan dengan ukuran masa atau tempo seperti lagu tetapi perkataan iramanya petikan tersebut dikaitkan dengan bunyi hujan. Penulis menggunakan perkataan iramanya untuk menggambarkan hujan memiliki bunyi yang tersendiri dan merdu. Berdasarkan penerangan tersebut, novel ini mempunyai unsur hiperbola dan termasuk sebagai penggunaan bahasa dramatik. Unsur hiperbola akan membuat sesuatu peristiwa dalam karya menjadi menarik dan akan disukai oleh pembaca ada unsur dramatik yang menarik.
Berdasarkan novel Rumah Kupu-Kupu penulis turut menggunakan perkataan bahasa arab untuk memberikan kesan emosi dan pemaknaan yang lebih telus. Sistem pemaknaan dan rangka tatabahasa bahasa Arab sangat teliti dan sempurna. Setiap patah huruf dan perkataan Bahasa Arab memberikan makna yang jelas bagi sudut pandangan besar dan luas. Penulis menggunakan bahasa Arab supaya dapat menimbulkan kesan insaf dan perhambaan dalam hidup dalam syariat. Penulis memilih bahasa Arab untuk merujuk kepada mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca. Antaranya muslim (Hlm. 163), solat (Hlm. 166), surau (Hlm 164), ikhlas(171) Zohor (Hlm. 170), wuduk (Hlm. 170), tarawih (Hlm. 162) dan banyak lagi.
3.6 Prinsip Gaya Individualisme.
Prinsip gaya individualisme bermaksud gaya penulisan peribadi seseorang penulis. Setiap penulis sudah pasti mempunyai cara mereka tersendiri dalam menyampaikan karya dengan berkesan kepada pembaca. Menurut Umar Junus (1989:21), individualisme dikaitkan dengan gaya sebagai serangkaian ciri peribadi yang dilihat melalui pemakaian bahasa seseorang. Tambahan beliau lagi, gaya individualisme akan mudah dikenal pasti dengan menunjukkan hasil karya penulis itu dan mengatakan ini adalah gaya penulis itu sendiri kerana tidak dipunyai atau ditiru oleh penulis lain. Prinsip gaya individualisme dalam novel Rumah Kupu-Kupu karya S.M. Zakir dapat dilihat melalui contoh petikan berikut:
Langsir itu ternyata tidak tertutup habis. Sedikit terbuka, dan cahaya lampu yang sederhana melimpah keluar ke beranda.
(Hlm 94)
Prinsip gaya individualisme dalam contoh petikan novel diatas dapat dilihat pada penggunaan unsur hiperbola. Setelah diteliti novel Rumah Kupu-Kupu kekerapan penggunaan unsur hiperbola merupakan gaya individualisme penulis kerana penulis sering membandingkan sesuatu secara berlebih-lebihan. Unsur hiperbola dapat dilihat melalui perkataan melimpah jelas menunjukkan gaya individualisme S.M Zakir. Melimpah bermaksud tumpah keluar kerana terlalu banyak atau terlalu penuh seperti cecair atau tidak muat. Perkataan melimpah dalam petikan tersebut dikaitkan dengan cahaya dan penulis boleh menggantikan perkataan melimpah dengan perkataan lain contohnya sehingga tetapi penulis tetap menggunakkan perkataan melimpah untuk mengekalkan gaya individualisme tersendiri. Penggunaan unsur hiperbola dapat menekankan sesuatu peristiwa dan khalayak.
Dia berjalan perlahan-lahan mengelilingi tasik. Dia tidak pernah berhenti sewaktu beriadah. Dia hanya berjalan tanpa henti dari apartmentnya mengikuti laluan riadah dan hanya berhenti apabila sampai kembali ke apartmentnya.
(Hlm 61)
Prinsip gaya individualisme dalam contoh petikan novel diatas dapat dilihat pada pengulangan ayat. Setelah diteliti novel Rumah Kupu-Kupu perulangan ayat ini boleh dinyatakan sebagai gaya individualisme penulis kerana mungkin penulis ingin menerapkan unsur penekanan terhadap mesej atau pengajaran yang ingin disampaikan. Unsur perulangan perkataan dia bagi perulangan ayat dalam petikan merupakan salah satu gaya peribadi atau gaya individualisme penulis. Penggunaan unsur perulangan ini jelas menunjukkan gaya penulisannya selain daripada adanya penegasan. Penulis juga sering memberi peringatan kepada pembaca tentang nasihat atau isu-isu penting dalam kandungan novel yang ingin diketengahkan sebagai renungan dan hayatan kepada pembaca.
Ya, cita-cita untuk mempunyai rumah sendiri sebahagiannya adalah cebisan angan-angan dan sebagainya adalah cebisan harapan yang masih jauh.
(Hlm. 7)
Prinsip gaya individualisme dalam contoh petikan jelas menunjukkan unsur metafora. Unsur metafora merupakan gaya individualisme kerana penulis sering menggunakan unsur tersebut untuk menggerakkan imaginasinya dalam menghasilkan novel. Unsur metafora dilihat berdasarkan perkataan secebis harapan yang menggambarkan gaya individualisme penulis. Secebis merupakan kata yang konkrit (nyata) dan harapan abstrak (tidak nyata). Gaya individualisme ini dapat menarikkan lagi plot novel sekaligus pembaca semakin tertarik membaca.
Berdasarkan konsep ini setiap penulis pasti mempunyai gaya autentik yang tersendiri. Gaya ini dapat dilihat melalui pemilihan kata, gabungan aksara yang digunakan, atau susunan plot cerita yang dibentuk. Individualisme ini boleh dilakukan melalui beberapa karya dari penulis yang berbeza peribadi penulis tidak kira dari sudut perbezaan atau persamaan dapat dikenal pasti. Penulis S.M Zakir sering menggunakan bahasa yang mudah difahami. Penulis menggunakan unsur hiperbola, unsur metafora serta penulis melakukan pengulangan ayat dalam novel untuk menimbulkan kesan estetik dan memberi kefahaman kepada pembaca.
Kesimpulan
Kesimpulanya berdasarkan novel Rumah Kupu-Kupu yang dikaji dengan menggunakan prinsip stilistik J.J Webber melalui penggunaan bunyi atau fonologi, penggunaan perkataan, diksi atau leksikal, penilaian terhadap pembentukan ayat atau struktur sintaksis, kajian terhadap makna, unsur-unsur bahasa dramatik dan gaya individualisme sebenarnya keenam-enam prinsip ini terkandung dalam novel Rumah Kupu-Kupu karya S.M.Zakir. Kehadiran prinsip stilistik ini berjaya memberi kesan keindahan serta keberkesanan terhadap mesej yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembaca sesuai dengan takrif karya sastera selain indah tetapi bermanfaat kepada semua masyarakat. Selain itu, S.M. Zakir mempunyai kepekaan terhadap isu-isu semasa yang berlaku tidak dalam negara atau luar negara dan menjadikan perkara tersebut sebagai buah idea untuk menghasilkan sesuatu karya. Berdasarkan pemerhatian S.M.Zakir isu yang penting yang disentuh oleh beliau adalah sikap individualistik yang wujud dalam kalangan masyarakat sehingga kini harus dibuang. Tuntasnya, novel Rumah Kupu-Kupu karya S.M.Zakir merupakan sebuah karya sastera yang penuh dengan gaya bahasa dan estetik yang tersendiri telah dapat menimbulkan keindahan dan mampu menarik perhatian dan menyampaikan mesej yang jelas kepada pembaca. Justeru, novel Rumah Kupu-Kupu adalah sebuah karya sastera yang tinggi nilainya dengan gaya bahasa yang indah dan gaya penulis itu sendiri penggunan 6 prinsip stilistik J.J Weber.