SUNGGUH, dia menyesali tindakannya mengabaikan saranan yang disuarakan oleh lelaki yang dikagumi oleh seluruh masyarakat di Malaysia itu. Ia menjadi satu buah pengajaran dan memukul keegoannya selama ini. Sehinggalah batang hidung sendiri yang terkena baru dia tengadah. Soalnya sekarang adakah lebih ramai yang sepertinya di luar sana yang sengaja mengabaikan saranan yang dibuat berkali-kali di kaca televisyen dan suara radio yang meminta rakyat agar terus kekal berada di rumah, sekiranya tiada keperluan untuk keluar.
Kali ini lebih berbeza. Orang kampung, teman bergurau, jiran tetangga dan kanak-kanak tidak lagi bermain atau melepak membincangkan segala isu semasa. Namun, itu tampak seiring dengan suasana pada hari ini yang diserang dengan musuh tidak kelihatan dan yang lebih dahsyat lagi, dia juga dipulaukan oleh ahli keluarganya yang lain hanya kerana dia bekas pesakit positif bagi virus yang cukup merengsa manusia di seluruh dunia. Hari ini bukan hanya virus itu yang menjadi musuh segenap umat manusia, dia juga kini menjadi musuh kepada segelintir masyarakat yang bimbang mereka akan dijangkiti virus itu.
“Abah, keputusan Azim dah negatif tapi kenapa adik dan along menganggap Azim seperti orang asing?” luah Azim di ruang yang cukup luas dan sepi itu.
“Azim berilah masa kepada mereka. Tentu mereka masih belum bersedia, masih terkejut dan ada perasaan bimbang.”
“Bila Azim balik, tak seorang pun yang datang menjemput Azim. Agaknya mereka dah tak sayang Azim.”
“Tak perlulah fikir macam tu, Azim. Mama dan abah tetap sayang Azim. Anggap sahaja ini sebagai satu pengajaran dan pengalaman yang menjadikan Azim lebih dewasa kelak. Musibah itu juga satu penghapus dosa dan pasti ada hikmahnya.”
Dia hanya mengangguk. Matanya layu. Jiran tetangga di hadapan rumah asyik keluar melihat ke rumah mereka sahaja. Sengaja berlegar dan mencuri pandang. Mana mungkin peristiwa hitam itu dapat dia lupakan dalam sekelip mata. Semuanya kerana sikap ego, sambil lewa dan rasa sombong terhadap situasi pandemik semasa maka inilah padahnya.
Dia masih ingat segala babak peristiwa dia mendapat gejala yang hampir meragut nyawanya itu. Hanya kerana tindakannya yang mengajak rakan-rakan sekampung untuk melepak dan bermain gitar di tepi padang. Keegoan dan nafsu ialah syaitan dan musuh sebenar manusia. Tanpa ego dan nafsu tentu tindakannya itu tidak mengakibatkan terciptanya kluster padang pada hari tersebut. Sejak hari itu mereka menjadi bualan masyarakat kampung. Sembilan orang termasuk dia sendiri menjadi titik tolak jangkitan itu meningkat di kampung tersebut sehingga diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua bulan. Tetapi itu merupakan bahagian silam yang sudah berlalu dan kawasan kampung itu juga diisytiharkan bebas daripada virus selepas dua bulan tujuh hari.
Kekhilafan itu menjadi satu perangsang untuknya agar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab. Solat, amalan kebersihan, disiplin kendiri dan langkah mengelakkan 3S seperti sesak, sempit dan sembang yang sudah dipraktikkan semasa berada di hospital diteruskan di rumah. Hanya kesihatan mental dan dalamannya kini yang semakin membelenggu diri sehingga dia kurang bersemangat untuk tinggal di rumah. Adakah kekhilafan itu diibaratkan sebagai satu dosa besar yang tidak boleh dimaafkan oleh manusia dan Tuhan?
“Abah, Azim hendak membersihkan kawasan rumah kita boleh? Azim lihat belakang rumah tu sudah ditumbuhi lalang dan tayar lama yang perlu dibuang, takut menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes. Lagipun pokok-pokok pisang dan buah-buahan kita seperti cempedak dan nangka madu begitu subur berbuah.”
“Abah izinkan, Azim. Tapi jangan lupa pakai pelitup muka, sarung tangan dan kelengkapan yang sepatutnya. Takut nyamuk aedes atau binatang berbahaya pula yang menyerang nanti.”
“Jangan lama sangat, sejam dua sudah memadai,” pesan mama pula yang mendengar perbualan itu.
“Baik, abah. Baik, mama.”
‘Syukur alhamdulillah, dapat juga aku berbakti kepada mereka yang aku sayangi dan kepada tanah yang mampu memberi rezeki.’
Niatnya itu sedikit sebanyak dapat melegakan gelodak perasaan dan kelut-melut mindanya. Namun, sebaik sahaja dia menjejakkan kakinya ke tanah dan di luar rumah, jiran tetangganya sudah mula bercakap-cakap meskipun tidak kedengaran dengan jelas butir bicaranya. Hanya gerak bibir yang terjuih sahaja yang kelihatan dari jauh. Hal itu sudah cukup menerbitkan sedikit rasa sedih di hatinya. Azim nampak mama hanya membalas pandangan orang-orang itu dengan gelengan kepala.
Azim berlegar di sekitar rumah yang luas itu untuk mencari peralatan yang sesuai. Cinta mama kepada pohon-pohon begitu mendalam, sehingga rumah mereka dijadikan tapak semaian sayur, buah-buahan dan bunga-bunga yang membawa hasil niaga kecil-kecilan. Azim menghela nafas. Segar sekali. Mulanya dia memang rasa rimas dengan beberapa pasang mata tajam yang melihat perlakuannya, sehinggakan rumah itu serta lamannya terasa begitu lama untuk dibersihkan.
*****
“Esok, Mak Su dan rakan niaganya nak datang membeli pisang tanduk kita untuk dibuat kerepek,” kata mama.
“Oh, Mak Su masih berjual kerepek pisang manis dan masin di kampung kita?” tanya Azim.
“Ya, Azim. Sekarang ni Mak Su kau tak lagi berjual di pekan. Dia hanya mengambil pesanan daripada orang kampung secara dalam talian. Lebih mudah dan lebih cepat. Tak perlu keluar rumah untuk membeli.”
Azim tiba-tiba mendapat idea. “Wah, inilah perniagaan norma baharu! Daripada kita menghabiskan terus bantuan kewangan daripada kerajaan, apa kata kita cuba mengambil tempahan jualan buah-buahan dari kebun kita? Azim boleh bantu kewangan kita. Azim juga mahir untuk berhubung dan berjual secara dalam talian. Mama pula boleh berjual buah-buahan sejuk beku yang sudah siap dipotong.” Pendapatnya itu diluahkan agar menjadi satu peluang baharu dalam menjana kewangan mereka.
“Along setuju!” balas alongnya.
“Adik pun setuju!” sahut adiknya.
Azim cukup gembira apabila along dan adiknya bersedia untuk menerimanya semula. Mereka terus pergi ke kebun bersama-sama untuk mengambil beberapa tandan pisang, cempedak dan nangka madu yang begitu subur berbuah kali ini. Senyuman mereka akhirnya saling berbalas dan segala duka di hati dan fikirannya sedikit terubat. Abah dan mama juga bersetuju. Ada kolam yang menakung di mata mama tanda gembira dan rahmat di sebalik musibah pandemik ini. Benar kata orang tua, pasti ada pelangi selepas hujan, pasti ada rahmat selepas ujian yang melanda.
*****
Perniagaan mereka bermula pada hari itu dan Mak Su ialah pelanggan pertama mereka. Mereka sudah menyediakan segala permintaan Mak Su dan rakan niaganya. Mereka menanam azam yang cukup tinggi agar perniagaan mereka berkembang dan boleh menjadi satu suntikan ataupun contoh kepada masyarakat kampung mereka pada hari ini.
“Assalamualaikum, hajah,”
“Waalaikumussalam, Su.” Mama menyambut mesra kehadiran mereka.
“Tempahan Su semalam dah ada?”
“Ada. Semuanya sudah tersedia. Azim, along, adik, tolong keluarkan tempahan Mak Su!”
“Baik, mama,” sahut tiga beradik itu serentak.
“Eh, Azim. Bila kau balik?” soal Mak Su kehairanan melihat kemunculan pertama Azim selepas peristiwa sensasi yang melanda kampung itu sebelum ini.
“Sudah tiga hari, Mak Su,” jawab Azim perlahan. Tangannya yang terketar-ketar disembunyikan di belakang badan.
“Mak Su dengar, baru keluar dari hospital, Azim dah keluar rumah dan mula mencari kawan-kawan selepas lama terperap di hospital?”
“Itu tak benar, Mak Su. Saya bawa motosikal sebab nak letak tandan pisang,”
“Tapi ini dalam media sosial semalam, kami nampak gambar kamu dengan baju yang kamu pakai sekarang sedang membonceng kawan-kawan kamu. Nak pergi melepak lagi ke?” Belati kata itu keluar dari mulut Mak Su. Lantas menimbulkan kerutan di dahi rakan niaga Mak Su yang berbaju kemeja berbelang hijau dan bertudung hitam yang turut ada di situ.
“Itu boleh dianggap sebagai berita palsu, Mak Su. Gambar yang Mak Su nampak itu ialah gambar empat bulan lalu dan diulang siar oleh jiran-jiran. Menjadi satu kesalahan sekiranya menyebarkan atau berkongsi tanpa usul periksa,” jawab Azim.
“Hajah, saya fikir saya tak jadilah membeli hari ini. Saya baru dapat pesanan daripada Pak Umar. Katanya dia dah hantar pisang ke rumah saya tadi. Lain kali sajalah, ya.” Mak Su memberitahu sambil memberikan isyarat kepada rakan niaganya itu untuk bergegas keluar dari kawasan itu.
Iram wajah along, adik dan mama jelas kelihatan. Azim yang sedar dengan suasana itu cuba menjernihkan keadaan.
“Tak apalah, along, adik, mama… kita masih boleh cari pelanggan lain. Sebentar lagi, Azim daftarkan perniagaan kita dalam mesej kumpulan Kongsi Rezeki.”
“Kongsi Rezeki tu apa, Azim?” soal adik.
“Itu ialah pautan yang menghimpunkan pelbagai jenis perniagaan. Dalam tu ada banyak jenis jualan. Kita boleh siarkan jualan kita. Tentu banyak keuntungan yang kita peroleh esok. Kita semua jangan risau dan terus bersabar. Rezeki tak akan hilang, meski hanya dengan satu kerugian.” Kata-kata itu menumbuh segar segala semangat mereka semula.
*****
“Abah, baru balik dari pekan?” Azim bertanya.
“Ya, Azim. Abah hantar pisang ke pekan,”
“Ada berita apa-apa di pekan?”
“Ada. Tadi orang kampung di Kedai Pak Khalid sedang bercakap-cakap tentang kamu.”
Mata Azim layu. “Tentu mereka berkata tentang peristiwa hitam itu lagi. Azim sedar, tentu jiran dan orang-orang kampung asyik menyalahkan Azim lagi kali ini.” Nada sedih itu diluahkan dan dia sedar segala peristiwa sejarah yang berlalu tidak akan bisa diundur kembali, begitu juga dengan kata-kata yang terbit dari mulut seseorang yang bagaikan belati serta mampu membunuh kehidupan seseorang.
“Kamu silap tentang itu, Azim. Pak Khalid dan orang-orang kampung telah melihat siaran jualan pisang dan buah-buahan sejuk beku yang kamu promosikan dalam laman Kongsi Rezeki. Hari ini sahaja kita telah mendapat tempahan 10 tandan pisang tanduk untuk sebuah syarikat kerepek pisang tradisional di kota. Bahkan jualan nangka madu kita telah mendapat tempahan sebanyak 100 set paket seperti yang kamu siarkan semalam untuk dijual di kedai Pak Khalid. Syabas, Azim! Abah cukup bangga dengan usaha murni kamu.”
Along berlari ke ruang tamu. Suaranya terketar-ketar. “Azim, kita mendapat tempahan daripada kampung sebelah sebanyak 50 biji cempedak dan 50 set paket Nangka Madu Istimewa,” kata along yang begitu terkejut dan gembira dengan permintaan perniagaan mereka.
‘Bling..Bling..Bling…’ Deringan telefon along juga terus berbunyi beberapa kali tanda mereka menerima pelbagai teks mesej pesanan ringkas.
“Azim akan siapkan segera, abah,”
“Adik ikut… jom!” Adik mengangkat tangan kanannya penuh semangat.
“Mama pun… jom!” Mama menghadiahkan senyumannya.
Air mata bagai permata gembira menitis disulami keterujaan. Mereka cukup bahagia di sebalik musibah yang pernah membadai kehidupan mereka. Sesungguhnya kerana pandemik, Azim menjadi seorang lelaki yang matang dan berjaya mengubati lara yang pernah menconteng arang di kampung mereka itu. Jika bukan kerana pandemik, Azim masih terlena dan masih dengan tabiatnya yang lebih gemar membuang masa di luar tanpa menghiraukan abah, mama, along dan adik. Jika bukan kerana pandemik itu, tentu usaha dan perniagaan mereka tidak akan membuahkan hasil seperti hari ini.
“Sesungguhnya ada hikmah yang berbuah di sebalik khilaf masa lalu. Syukur ya Tuhan…,” kotak hatinya berkata sejenak tanda permulaan hidup baharu mereka di sebalik serpihan pandemik itu.
Dia menyapu titis air matanya.