Perginya Yusuf Hasan Umpama Hilangnya Suatu Perkataan
dalam Sebaris Ungkapan yang Indah
Terlebih dahulu saya sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah, buat Allahyarham Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusuf Hasan (1940-2023). Saya mewakili seluruh warga Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), mendoakan arwah ditempatkan bersama-sama hamba-Nya yang beriman.
Saya mengambil masa yang agak lama untuk menitipkan ucapan belasungkawa ini kepada keluarga Allahyarham Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusuf Hasan. Arwah telah meninggalkan dunia yang fana ini pada 1 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445 Hijrah pukul 12.50 pagi. Sudah pastinya negara merasai kehilangan yang sangat besar terutamanya dalam bidang pemikiran kritis dan kreatif Melayu.
Saya merupakan generasi baharu dalam persatuan ASASI. Ketika bersama-sama dalam majlis atau program yang dianjurkan oleh ASASI, nama-nama besar seperti Allahyarham Shahnon Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Jihaty Abadi dan lain-lain menjadi buah mulut yang manis-manis dalam kalangan ahli. Banyak jasa dan pengorbanan mereka untuk mengangkat ASASI sebagai sebuah persatuan sastera, bahasa dan budaya yang ulung dan unggul di negeri Kedah. Jasa dan kebaktian mereka tidak dapat dicari galang gantinya. Terima kasih yang tidak terhingga atas jasa dan pengorbanan mereka mengendalikan sebuah persatuan yang tidak berasaskan keuntungan, malah diuruskan secara sukarela.
Saya beberapa kali berpeluang bertentangan mata, juga duduk semeja dengan arwah terutama dalam program sastera dan penulisan di negeri Kedah. Kami juga beberapa kali berada di atas pentas yang sama memperkatakan dunia penulisan dan sastera seputar negeri Kedah. Seingat saya, arwah mempunyai ingatan yang sangat kuat dan baik serta mempunyai wawasan yang jauh ke hadapan. Dalam satu pertemuan di Sik, Kedah ketika kami bertemu untuk majlis pelancaran buku dan bicara karya yang ditulis oleh arwah tentang sahabat baiknya, Shahnon Ahmad berjudul Anak Nan Bertuah pada 13 November 2021, arwah banyak menceritakan hasrat beliau untuk meneruskan sambungan buku tersebut. Arwah mengatakan masih banyak detik-detik dan juga perkara yang menarik untuk dikongsikan kepada dunia tentang sahabat baiknya itu.
Selain itu, arwah juga ada mencadangkan ASASI terus memberikan tumpuan kepada penulisan tentang kehebatan dan keistimewaan yang ada di negeri Kedah. Katanya, penulis-penulis muda dan baharu perlu berani mengangkat kebenaran mengikut perkembangan politik, ekonomi dan sosial negara. Perkara utama dalam penulisan, kita perlu menunjukkan pemikiran yang jujur, telus dan berani.
Selain itu dalam mengenali arwah juga, saya amat mengagumi ketokohan beliau memimpin ASASI pada suatu ketika dahulu, iaitu sebagai Ketua Satu bermula pada tahun 1985-1989. Ketika kepimpinannya, arwah sedaya upaya membantu penulis untuk menjana pendapatan sendiri. Seperti yang kita sedia maklum kerja menulis di Malaysia bukan sesuatu yang boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan. Namun, tidak boleh dinafikan juga bahawa ada sesetengah penulis yang berjaya dengan kerjaya menulis jika kena pada cara. Jadi tidak hairanlah, arwah mewujudkan koperasi penulis dan juga usaha-usaha memasarkan buku untuk membantu penulis agar berjaya.
Sekali lagi pada 16 Mei 2023 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok saya berpeluang bersama-sama arwah dalam Majlis Pelancaran Buku Menongkah Gelombang Globalisasi Memoir Yusuf Hasan. Kami berkesempatan berkongsi pentas membicarakan proses kreatif karya tersebut. Arwah menceritakan segala kenangannya, terutama sebelum menjadi pendidik dan ketika menjadi pendidik di sekolah. Di suatu ketika saya berasa sebak dengan kesungguhan arwah untuk mencari ilmu dengan berulang-alik dari kampung halamannya di Hosba, Jitra ke Kuala Lumpur. Tambahan pula semua itu berlaku pada tahun 70-an. Sehinggalah arwah berjaya melanjutkan pelajar ke luar negara di Australia.
Kegigihannya itu memberikan inspirasi kepada saya sebagai penulis dan pendidik untuk mencari ilmu hingga ke akhir hayat. Kesusahan dan rintangan yang dihadapi merupakan cabaran untuk ditempuhi. Beliau menegaskan berjaya atau sebaliknya, semua itu memberi kita kekuatan untuk terus berjuang. Dalam mengenalinya, jika diteliti arwah sangat merendah diri terutama dalam menjaga tutur kata. Adakalanya arwah mahukan sesuatu untuk dilaksanakan oleh ASASI tetapi tidak menyatakan secara terang-terangan. Akhirnya, ASASI bersama-sama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan UUM Pres, terutama Pusat Pengajian Pendidikan (SOE) berjaya merealisasikan hasrat arwah untuk melancarkan buku memoirnya dan juga mengadakan majlis sambutan hari lahir dan hari pendidik secara serentak. Kegirangan sangat jelas pada wajah arwah sehingga arwah menitiskan air mata.
Dalam ucapannya kepada penonton yang kebanyakan terdiri daripada pelajar UUM, arwah menekankan tentang keperluan menuntut ilmu. Beliau bersungguh-sungguh menasihati jangan sesekali berhenti untuk belajar, sebaliknya carilah ruang dan peluang untuk menuntut ilmu seperti yang disarankan oleh Baginda Rasullah SAW. Ketika kami berbual, arwah bersemangat menceritakan beberapa buah buku dan projek penulisan yang arwah sedang usahakan sama ada secara sendirian dan juga bersama-sama DBP. Antaranya termasuklah buku tentang sahabat baiknya arwah Shanon Ahmad. Selain itu, ASASI sudah merancang dan memohon persetujuan daripada arwah untuk menyampaikan ucap utama dalam Seminar Sastera Kedah buat kali kedua pada tahun 2024 kelak. Seperti yang kita semua sedia maklum; manusia merancang, Allah juga merancang dan sudah pasti perancangan Allah adalah yang terbaik untuk semua.
Sehubungan dengan itu, dalam perkenalan singkat saya dengan arwah terutama ketika berbual sebelum memulakan sesuatu majlis yang melibatkan kami berdua, ada beberapa perkara yang dapat saya pelajari untuk dikongsi kepada semua; Pertama, sikap rendah diri dan peramah arwah sangat baik terutama dalam pertuturan. Arwah akan mendengar dengan teliti setiap percakapan atau pertanyaan seseorang sebelum menjawabnya. Kedua, arwah sangat mencinta ilmu. Pada saya arwah adalah ahli pemikir Melayu yang hebat terutama apabila bercakap tentang soal bangsa dan pemikiran orang Melayu. Ketiga, beliau sentiasa mahu membantu dan mempermudahkan urusan orang lain. Hal ini jelas melalui pengalaman Profesor Madya Dr. Ghazali Din, pensyarah di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI);
“Allahyarham Mohd Yusof Hasan sungguh berhemah dan lembut bicaranya. Sejak mengenalinya sekitar 1984 dan menyertai Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), ingatan, kagum, hormat dan kasih kepadanya tidak kunjung padam. Teori janaannya SPB4L mendasari pengajian sarjana di UPSI. Beliau ialah mentor dan ibarat ayahanda saya semasa pengajian di peringkat Doktor Falsafah. Pemergiannya, saya sangat terkesan kerana luhur budi bahasanya, indah pemikirannya. Saya kehilangan insan penguat semangat dalam dunia kesarjanaan ”.
Sudah tentu yang paling tidak boleh dilupakan, nasihat arwah tentang bidang pekerjaan dan penulisan kepada saya. Ketika arwah bertanya tentang kerjaya saya; saya maklumkan masih mencari pekerjaan tetap dan hanya bekerja sebagai penulis sepenuh masa. Lantas, arwah menitipkan pesanan; buatlah apa-apa yang kita suka dan jangan sampai menyusahkan orang lain. Kemudian arwah berkata lagi dengan nada yang sangat lembut dan mesra, tulislah banyak-banyak sesuatu yang bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara.Salam takziah. Moga roh arwah Prof. Emeritus Dato’ Dr. Yusuf Hasan tenang di sana. Amin.
-Dr. Husairi Hussin ialah Ketua Dua Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI)