Kegemilangan kerajaan negeri Johor telah diwarisi daripada kegemilangan kerajaan Melaka setelah kejatuhan Portugis. Sultan Mahmud Shah yang melarikan diri ke Johor dan kemudian ke Pahang dan ke Bintan telah meletakkan Johor sebagai sebuah negeri yang disegani. Setelah kemangkatan baginda (1528), kegemilangan pemerintahan Johor dilegasikan kepada anakanda baginda, Raja Alaudin yang menggunakan gelaran Sultan Alaudin Riayat Shah II. Sultan Alaudin Riayat Shah II berjaya membina empayar pemerintahan dan perdagangan di Johor Lama yang kini dikenali sebagai Kota Tinggi (1529).
Konflik yang berlaku antara Johor dengan Aceh dan gangguan serangan daripada pihak musuh terutamanya Portugis, tidak mematahkan semangat juang pemerintah Johor untuk mempertahankan kedaulatan, kegemilangan dan kemasyhuran negeri Johor. Beberapa buah kubu pertahanan dibina demi menjadikan Ujung Tanah sebagai sebuah kerajaan yang maju dan makmur. Pemikiran sultan yang memerintah negeri Johor bukan calang-calang. Pada zaman Sultan Ali Jalla Shah II, Johor terus terkenal di Nusantara dan antarabangsa sebagai sebuah pelabuhan yang sangat penting dalam hubungan perdagangan dan diplomatik dunia setaraf dengan pelabuhan Melaka, sehingga Portugis berasa iri hati dan melakukan beberapa serangan membalas dendam (1576-1578). Namun serangan-serangan tersebut menemui kegagalan.
Pemikir Bahasa dan Sastera
Sungguhpun kerajaan Johor berjuang dengan jerih payah memajukan dan memasyhurkan Johor sebagai kuasa ekonomi teragung pada era tersebut, kerajaan negeri Johor tidak mengabaikan ketamadunan bangsanya dengan pembinaan jati diri bangsa Johor melalui pengkaryaan agung daripada pemikir intelektual yang sohor.
Bangsa Johor seawal abad ke-17 telah melahirkan pemikir hebat, iaitu Tun Sri Lanang, anak jati Batu Sawar, Kota Tinggi, Johor daripada keturunan Tun Muhammad. Beliau merupakan keturunan cerdik pandai bangsa Johor yang melahirkan naskhah agung Sulatus Salatin yang diiktiraf dunia sebagai karya yang lengkap tentang sejarah kegemilangan bangsa Melayu. The Malay Annals ini mendapat perhatian pemerintah dan pemikir Barat seperti Raffles, Wiiliam Shellabear dan Richard Olaf Winstedt sehingga diangkat sebagai tokoh agung bangsa Melayu.
Tamadun sesuatu bangsa diukur melalui kedaulatan kerajaannya, kegemilangan pemerintahannya dan keagungan pengkaryaannya. Tiada bangsa dalam dunia ini yang kemajuannya mengetepikan tiga faktor utama ini. Yang paling penting diangkat ialah hasil karya yang bermutu tinggi sehingga diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya. Negeri Johor telah membuktikannya semenjak zaman Tun Sri Lanang lagi. Keagungan pengkaryaan ini seiring dengan pembinaan tamadun bangsa dengan penggunaan bahasa jati daripada penutur asal bangsanya. Dalam konteks ini sudah tentulah bahasa Melayu menjadi mauduk utama dalam penyebaran ilmu pada setiap zaman pemerintahan kesultanan Johor.
Johor terus maju dengan gerakan memperkembang bahasa Melayu Johor dan menyebarkan agama Islam. Kedua-duanya berjalan seiring di negeri Johor. Seawal abad ke-16 dan 17 lagi telah terbukti bahasa Melayu (Johor-Riau) terus-menerus diguna pakai dalam pelbagai bidang terutamanya dalam perhubungan diplomatik dan perdagangan antarabangsa. Johor mempertahankan bahasa Melayu dengan penambahbaikan penyerapan bahasa Portugis dalam kosa kata bahasa Melayu. Hal ini bukan menidakkan tentang kehebatan bahasa Melayu, tetapi sebagai usaha pemerintah dan pemikir Johor untuk mengangkat bahasa Melayu setanding dengan kehebatan bahasa penjajah sehingga munculnya bahasa ‘pijin’. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin, dalam makalahnya bertajuk “Penyelidikan Multidisiplin: Mensejagatkan Bahasa Melayu di Pentas Dunia” (Jurnal Melayu, 2015) mendefinisikan bahasa pijin merupakan bahasa yang dihasilkan daripada konteks bahasa antarabangsa. Bahasa ini juga dikenali sebagai penggunaan dua bahasa atau lebih bagi memudahkan komunikasi antara individu yang berlainan bahasanya. Bahasa pijin bukan bahasa milik penutur asal kerana bahasa ini lahir secara alamiah.
Bahasa Melayu (Johor) ketika itu sangat penting terutamanya dalam usaha ulamak di Johor menyebarkan agama Islam ke kepulauan Nusantara. Penggunaan bahasa, pemikiran sasterawan dan penyebaran Islam berjalan serentak. Seawal tahun 1880-an, kerajaan Johor telah melihat kepentingan pendidikan sehingga tertubuhnya Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB atau Pa. Ba. Mim. Pa. Ba) yang diasaskan oleh Dato’ Seri Amar Diraja Abdul Rahman Andak dan Ibrahim Munsyi. Dua orang pemikir Johor ini sedaya upaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat di Johor dan Tanah Melayu walaupun pengaruh bahasa kolonial ketika itu masih kuat dalam kalangan pembesar istana dan pentadbir kerajaan Johor. Pakatan ini menjadi semakin kukuh apabila mendapat sokongan daripada Sultan Ibrahim ibn Sultan Abu Bakar sehingga baginda memberi gelaran ‘diraja’ kepada persatuan ini dengan beberapa kemudahan lain sehinggalah namanya ditukar kepada Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor. Antara intipati pakatan ini ialah pemilihan tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi bagi bahasa Melayu, penyeragaman ejaan Jawi, penyusunan semula sistem tatabahasa bahasa Melayu dan penambahbaikan kosa kata dan istilah bahasa Melayu. Walaupun Abdul Rahman Andak berpendidikan Inggeris, beliau tetap berjuang memperkukuh bahasa Melayu kerana beliau mempunyai kesedaran yang tinggi untuk sama-sama berjuang memajukan bahasa Melayu terutamanya di Johor. Tujuan utama penubuhan PBMPB ini ialah untuk mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu agar ia mudah disebarluaskan. Abdul Rahman Andak mahukan bahasa Melayu ini dikuasai pemerintah yang pada ketika itu Johor dikuasai sebahagiannya oleh pihak Inggeris. Bahasa Melayu mestilah mengatasai kekuasaan bahasa Inggeris agar jati diri bangsa Johor lebih berwibawa.
Abdul Rahman Andak tidak berseorangan apabila Onn Jaafar yang menjadi pengarang Warta Malaya ketika itu telah membangkitkan semangat juang memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Onn Jaafar mempertikaikan sikap pentadbir kerajaan Johor yang mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam hal pentadbiran negeri dengan alasan memudahkan urusan dengan pihak Inggeris. Semangat juang Abdul Rahman Andak ini diteruskan oleh Onn Jaafar dalam penyebaran bahasa Melayu di akhbar yang sememangnya sangat kuat mempertahankan kedaulatan bahasa ibundanya. Maka bermulalah era cetak ulang kitab-kitab lama, cetakan baharu buku yang bermutu tinggi dan menubuhkan pejabat bahasa yang besar yang menempatkan pegawai yang mampu memelihara kedaulatan bahasa Melayu. Perjuangan tokoh dan nasionalis Johor inilah yang membawa kepada penubuhan Balai Pustaka pada Jun 1956 sebelum ditukar namanya sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pengarah pertamanya ialah Prof. Diraja Ungku Aziz Ungku Abd. Hamid. Ungku Aziz merupakan legasi leluhur Johor yang banyak memberikan sumbang saran terhadap peranan dan fungsi DBP.
Dalam perkembangan dunia kesusasteraan dan persuratan Melayu, Johor tidak sepi daripada penghasilan mahakarya. Tiada sesiapa pun yang menyangkal akan kewibawaan sasterawan Usman Awang, anak kelahiran Kuala Sedili, Kota Tinggi yang diangkat sebagai pengkarya hebat lewat mahakaryanya dalam penghasilan prosa dan puisi. Karya Usman Awang yang terkenal ialah Tulang-tulang Berserakan (novel), Ke Makam Bonda (puisi), Bunga Popi (puisi), Kekasih (puisi), Untuk Malaya Merdeka (cerpen), Uda dan Dara (drama), Tamu di Bukit Kenny (drama), dan Matinya Seorang Pahlawan (drama). Karya-karyanya juga dijadikan bahan kajian oleh para intelektual. Beberapa karyanya diterjemah ke bahasa utama dunia telah memperlihatkan betapa pentingnya karyanya didokumentasikan untuk tatapan warga dunia dan penyebaran ilmu sehingga ke peringkat antarabangsa. Begitulah hebatnya pemikir anak bangsa Johor ini, yang dinobatkan sebagai penerima S.E.A Write Award (1982) oleh kerajaan Thailand dan penerima Anugerah Sastera Negara (1983) yang membawa gelaran Sasterawan Negara.
Keseimbangan Agama dan Sahsiah
Pada awal tahun 1860-an telah muncul beberapa buah madrasah (sekolah aliran agama Islam dan bahasa Arab) di negeri Johor terutamanya di Muar. Sekitar tahun 1872, telah wujud sekolah agama yang ditadbir urus oleh Jabatan Agama Johor. Sultan Johor ketika itu, Sultan Abu Bakar telah menitahkan penubuhan Sekolah Agama Kerajaan Johor dengan bahasa perantaraannya ialah bahasa Melayu dan pendidikan ini percuma kepada semua murid. Murid-murid di negeri Johor mendapat pendidikan sekular pada sebelah pagi di sekolah kebangsaan manakala pada sebelah petang mereka menghadiri sesi pembelajaran di sekolah agama. Kerajaan Johor mengambil acuan pendidikan Maktab Othmani di Turki dalam usahanya menubuhkan sekolah agama kerajaan negeri Johor. Bahan pengajaran seperti kitab yang digunakan juga merujuk pada kitab dari Turki seperti Matla’al Badrin yang diterjemah ke bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan Jawi. Pengasingan dua buah sekolah berlainan aliran ini telah menambahkan nilai pendidikan dan daya keintelektualan murid di negeri Johor.
Pensijilan sekolah agama ini mendapat pengiktirafan kerajaan negeri. Murid akan mula memasuki sekolah agama bermula daripada darjah satu sehingga darjah enam. Peratusan keputusan peperiksaan minimun sehingga 70% akan melayakkan pelajar melanjutkan pendidikan agama ke Darjah Khas. Pada ketika itu, kelulusan sijil Darjah Khas sekolah agama kerajaan Johor telah melayakkan seseorang diterima bekerja sebagai kadi negeri. Penubuhan sekolah agama inilah yang menjadikan negeri Johor sebagai sebuah negeri yang unik. Keunikannya terletak pada keperhatinan sultannya yang menyintai ilmu yang mahukan penggalakan pendidikan seiring dengan kemajuan ekonomi negeri. Para pembesar dan nasionalis Johor pada ketika itu mahukan bangsa Johor menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dan pada masa yang sama mahukan bangsanya mengamalkan ajaran Islam.
Peranan istana inilah yang membuka ruang yang lebih luas terhadap kestabilan ekonomi, sosial, pendidikan dan politik bangsa Johor. Kestabilan politiknya telah menjana kekuatan ekonomi negeri Johor. Kemajuan pendidikannya – keseimbangan pendidikan aliran sekular dan agama melambangkan jati diri bangsanya.
Iskandar Puteri Mercu Tanda Johor
Pada tahun 1979 Sasterawan Negara, Usman Awang telah melakarkan sebuah puisi bertajuk “Melayu” yang merupakan pemikiran Usman Awang tentang masa depan negerinya. Pemikiran Usman Awang yang jauh ke hadapan telah mencipta suatu ranah yang maju kepada negeri Johor dari segi ekonomi dan sosial.
MELAYU
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu?
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang melanggar kemajuan
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.
(Usman Awang, 1979).
Jelaslah pemikiran sasterawan bangsa Johor ini sangat ke hadapan. Beliau telah menggambarkan kemajuan Johor khususnya pada abad ke-21. Penubuhan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada tahun 2006 telah menjadikan Johor sebagai tumpuan dunia apabila dengan giatnya telah mengundang para pelabur asing berdagang di Johor Bahru. Hal ini sekali gus telah menyumbang kepada kepesatan ekonomi Johor dalam tempoh lima tahun pertama. WPI ditukar namanya secara rasmi pada 2008 sebagai Iskandar Malaysia dengan harapan kepesatan ekonominya menyumbang kepada pembangunan insfrastukur Malaysia secara keseluruhannya. Iskandar Malaysia telah melonjakkan ekonomi Johor dan Malaysia keseluruhannya dengan penarikan pelabur asing terutamanya galakkan daripada pelabur China. Kejayaan ini merupakan kecenderungan daripada pemikir bangsa Johor yang terdahulu. Pada tahun 2022 negeri Johor mencatatkan penerimaan pelaburan langsung (FDI) tertinggi dalam Malaysia, iaitu sebanyak RM70.6 bilion (The Merdeka Times, 2023). Hal ini sekali gus berjaya menurunkan kadar pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan di negeri Johor.
Peranan Istana
Pihak istana yang acap kali turun padang dengan acara Kembara Mahkota Johor yang dilaksanakan pada setiap tahun membuktikan bahawa sultan Johor kekal berjiwa rakyat bagi memastikan kesejahteraan bangsa Johor. Kembara baginda mendapat perhatian rakyat dari serata pelosok daerah sehingga masyarakat Orang Asli juga tidak tersisih. Peranan istana semakin hari semakin bertaring apabila skuad bola sepak JDT mengaum di arena antarabangsa. Tahun 2022 memperlihatkan kegemilangan Johor dalam Sukan Malaysia ke-20 apabila mengungguli carta pungutan pingat dengan 77 pingat emas dan menjadi juara keseluruhan bagi kontinjen yang bertanding. Lewat alaf ini Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris ibn Sultan Ibrahim Ismail berjaya menerbangkan skuad bola sepak JDT ke peringkat global. Kelab bola sepak JDT menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara yang menjuari Piala AFC pada tahun 2015. Tahun 2022 pula menyaksikan skuad Harimau Selatan menjadi pasukan yang tidak dapat dikalahkan (invincibles) sepanjang musim dan menjadi pasukan quadruple apabila menggondol Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Pembangunan fasiliti sukan di negeri Johor dilihat sebagai yang terbaik di Malaysia sehinggakan skuad bola sepak kebangsaan Harimau Malaya mengambil keputusan untuk berkampung di JDT sebagai persediaan awal berhadapan dengan perlawanan pada peringkat antarabangsa. Pembangunan sukan cetusan pemikiran TMJ ini menjadi salah satu sebab pelabur asing berani menjadikan Johor sebagai pusat perdagangan dan komersial. Pembinaan Stadium Sultan Ibrahim yang bertaraf antarabangsa di Iskandar Puteri telah melonjakkan nama Johor dalam perkembangan sukan bola sepak. Jika pasukan bola sepak berjaya dilonjakkan ke persada antarabangsa, mengapa tidak tamadun Johor keseluruhannya?
Kedudukan geografi negeri Johor yang bersempadan dengan dua negara, iaitu Singapura dan Indonesia memungkinkan suatu hari nanti Johor mampu menjadi pusat tamadun Melayu Nusantara dan antarabangsa yang mendokumentasikan sejarah kegemilangan bangsa dengan menghimpunkan khazanah persuratan Melayu yang bersifat setempat dan global. Namun impian ini tidak akan terlaksana tanpa perancangan rapi dan usaha yang bersungguh-sungguh daripada kerajaan pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan selain sokongan daripada persatuan penulis dan budaya serta NGO negeri. Pemikir Johor akan terus bercambah dan tidak akan sirna sinarnya jika bangsa Johor sentiasa menjaga kedaulatan tanah yang dipijaknya dan menjunjung langit yang menaunginya.