‘KETAHUILAH, di dalam hatiku, ada senyuman manismu. Nan indah umpama laut madu berpantai gula. Ayu wajahmu melekat dalam ingatanku. Nyawa ini terbang apabila bersamamu. Jasadku terasa bersatu denganmu. Titisan air yang melekukkan batu tanda peralihan waktu, dan rumput-rumput yang bergoyang mengiringi kasih cinta kita, lantas angin pun turut menghembuskan kedamaian dalam jiwa.’
Halus suara dalam benak menyuruhku berfikir, adakah keputusanku mahu melamarnya itu betul? Berkali-kali persoalan ini muncul dalam fikiranku. Namun, dia tetap tidak percaya akan kata-kataku. Diriku kian diterpa rasa bersalah. Antara persahabatan dan percintaan. Hal inilah yang menjadi dinding halangan. Katanya, hal ini adalah tentang masa depan yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya. Berkahwin bukannya suatu permainan yang diibaratkan suka dipakai benci dibuang.
Berulang kali aku bertanya pada dia soal keinginan hati. Adakalanya dia berasa tertekan dengan situasi itu. Adakah dia juga tertanya-tanya, apakah sebab aku ingin melamar dia? Ataupun kemungkinan besar dia sudah ada seseorang yang bertakhta di hatinya? Itu suatu persoalan yang agak sukar dirungkaikan dengan kata-kata. Aku menjadi tak keruan, gadis itu bakal mengubah hidupku. Hatiku masih waswas, apakah benar aku ingin melamarnya? Aku benar-benar buntu. Aku tiada jawapan yang tepat untuk persoalan itu.
“Farhana, kenapa kau tidak mahu terima aku? Adakah aku ini tidak cukup sempurna buatmu? Atau, kau sudah ada seseorang yang kamu sayangi?” Aku meluahkan isi hatiku sedalam-dalamnya. Dan aku akui sudah tidak mampu lagi menanggung rasa ingin memiliki Farhana. Aku sudah tidak mampu menipu diriku sendiri. Entah kuasa apa yang menyihir diriku. Aku sendiri berasa khuatir.
“Bukan begitu, Saiful. Bukan aku tak mahu menerima kamu. Tapi, sebenarnya, err… sebenarnya… .” Dan Farhana terus melarikan diri, menggantung pertanyaan aku tadi.
Aku terkedu. Salahkah aku berterus terang tentang hasrat sanubariku sendiri? Atau waktu terlalu awal untuk dia mengetahuinya.
‘Tidak! Inilah masa yang sesuai.’ Hatiku bersuara. Namun, aku tidak dapat mentafsir apakah maksud kata-kata Farhana tadi.
“Sebenarnya apa Farhana? Sebenarnya apa? Daripada aku terus tertanya-tanya dalam hati, dan terasa bak duri dalam daging, beritahulah apa maksudmu. Aku sedia mendengarnya.” Aku terus mendesak Farhana untuk memberikan jawapan.
Namun, usaha itu sia-sia. Farhana terus membisu dan membisu.
“Betulkah kau benar-benar mencintaiku?” soal Farhana.
“Benar Farhana, aku betul-betul mencintaimu. Aku sangat sayang padamu. Percayalah!” Itulah jawapan ikhlas yang keluar dari mulutku ketika itu. Dengan rendah hatinya aku berkata, “Sesungguhnya aku mencintaimu Farhana, hanya engkau sahaja yang bertakhta di hatiku.”
Setelah mendengar luahan kata daripadaku, bertambah sedih dan sayu hati Farhana. Kini, dia diterpa rasa bersalah yang teramat sangat.
Farhana berlari meninggalkan aku dan terus hilang daripada pandangan. Hari demi hari Farhana terus menjauhkan diri daripadaku. Aku cuba menghubunginya beberapa kali, tetapi tidak berjawab. Mesej dalam WhatsApp juga tidak berbalas. Selang beberapa hari kemudian, barulah aku mengetahui bahawa Farhana sudah berpindah. Jauh dari kampung halamanku.
Berbulan-bulan aku cuba menjejaki Farhana. Namun, aku menemui jalan buntu. Kekesalan kian membelenggu diriku, malah semakin menyesakkan atmaku mengenangkan apa yang terjadi. Terasa benar suatu kehilangan yang tiada galang ganti.
Oh, Betapa pilunya hatiku! Aku menjadi manusia yang paling rugi dalam dunia ketika ini.
Hingga kini aku masih tertanya-tanya, mengapakah Farhana tidak menerima aku sebagai pasangan hidupnya? Persoalan itulah yang sering kali berlegar-legar dalam benak fikiranku.
Sesudah pemergiannya, aku juga berpindah dari kampung halaman. Tidak sanggup rasanya aku tinggal di sini dengan cerita mengguris hati. Ada penyesalan yang tidak bertepi.
Entah sekian banyak cubaan yang telah aku alami, aku cuba untuk bertahan menghadapi semuanya. Tapi, diriku seakan tidak mampu untuk bangun daripada tidurku. Detik demi detik, hari demi hari, dan siang pun berganti menjadi malam. Namun, hatiku seakan masih dirasuki oleh rasa gundah dan gelisah sehingga aku tenggelam dalam ketakutan dan kekhuatiran. Terdiam kaku dan membisu. Meratapi penyesalan yang tidak bertepi, dan harapan yang tak pasti.
Tiga tahun berlalu …
Dalam kesibukan waktu bekerja, aku mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam jurusan Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Malaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Ingatanku pada Farhana tidak pernah padam. Tetap subur bersemi di lubuk kalbu yang paling dalam walaupun tiga tahun telah berlalu. Biarkan, biarkan aku sibukkan diri dengan cara begini daripada terus melayani perasaan yang sudah tidak membawa apa-apa erti. Dalam hati, aku tahu yang aku tidak akan bertemu dengannya lagi.
Hari pertama pendaftaran, takdir Allah Yang Maha Kuasa menemukan sesuatu yang tidak pernah aku sangka akan kembali dalam hidup yang kian nanar. Aku tersua kembali wajah yang amat kurindui selama ini. Ya, wajah Farhana. Seri wajah yang sering kurindui.
“Saiful..? Tak sangka kita berjumpa di sini.” Ujar Farhana yang terkejut sambil menyembunyikan riak wajahnya.
Dia masih seperti dulu. Laut madu berpantai gula orangnya.
“Farhana, kenapa dulu kau melarikan diri dariku? Bukan berhari-hari, malah bertahun-tahun aku cuba menjejakimu. Tapi, tidak juga ketemui dirimu. Hingga kini, aku masih tertanya-tanya, apakah sebab kau tidak mahu menerima aku sebagai pasangan hidupmu?”
Namun begitu, Farhana hanya memilih untuk membisu dan hanya menayangkan senyumannya yang kelam. Mungkin terkejut dengan pertanyaanku tadi. Arh! ‘Aku sepatutnya tidak perlu bertanyakan soalan seperti itu tadi.
Aku tidak mampu lagi meneruskan bilah-bilah kata yang seterusnya. Apakah aku terlalu tergesa-gesa untuk bertanya setelah bertahun-tahun Farhana menghilangkan dirinya?
“Maafkan saya, mungkin di lain waktu kita boleh berborak panjang, saya mohon undur diri dulu, Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Halkumku rasa tersekat untuk meluahkan hasrat. Rawan hatiku tika itu kerana tidak dapat meluahkan isi hati yang lama terbuku erat. Ya, aku ingin sangat melamarnya untuk menjadi pelengkap rusukku.
‘Bait puitis manakah yang boleh menembusi emosiku? Jiwaku meronta ingin lolos daripada kesesakan dalam dadaku. Dadaku berombak dek jantung yang berdegup kencang dan fikiranku menggali-gali mencari di mana dirimu’.
Perasaanku terhadap Farhana hanya Allah sahaja yang tahu. Perasaanku dipendamkan terlebih dahulu disebabkan perasaan maluku masih lagi menebal. Entah mengapa fikiranku pada gadis tersebut tidak dapat hilang daripada ingatan. Hanya doa dan keimananku sahaja yang dapat membendung perasaan ini daripada berfikir lebih jauh tentang gadis tersebut.
Memasuki bilik, aku terus melabuhkan tubuh di tilam yang empuk. Sungguh selesa rasanya. Aku mengambil telefon bimbitku. Untuk mengubati rindu yang kian menerpa, aku melihat gambar Farhana. Hatiku diusik rawan dan resah gelisah. Adakah aku mampu melawan rasa takutku untuk melamarnya kelak. Ya, aku harus berani!
*****
“Abang, apa yang dimenungkan lagi tu? Marilah makan. Makanan sudah terhidang ni, nanti sejuk, tak sedap pula. Abang juga yang kata, tak nak makan makanan yang dah sejuk.”
“Yelah … sabarlah sikit sayang, abang tengah bersiap-siaplah ni. Abang nak selesaikan kerja abang ni.”
“Lambatnya! Bukan main lama dari tadi abang menghadap komputer, entah apa yang dikarangnya,” dengan nada kurang senang.
“Alahai … janganlah marah-marah tak baik marah-marah depan rezeki tu, nanti hilang seri wajahmu. Bukan apa, abang tengah siapkan manuskrip novel abang ni. Kejap lagi abang datang ya?” dalihku.
Aku tahu dia tidak akan bertanya lanjut. Sekadar itu, dia sabar dan tabah bersama-sama melayari perjalanan hidup daripada perkampungan duniawi menunggu kota ukhrawi yang kekal abadi.
“Hm… iyalah… abang ni, tak habis-habis dengan novelnya.”
Syukur Alhamdulilah, Allah telah mengurniakan seorang insan persis bidadari syurga untuk menemani hidupku. Akhirnya, doaku diperkenankan jua setelah bertahun-tahun aku menunggunya.
Ya, itulah Sri Farhana, andani yang aku cari selama ini.