Skip to content
Menghayati Karya Melalui Kaedah Berfokus
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Menghayati Karya Melalui Kaedah Berfokus
Menghayati Karya Melalui Kaedah Berfokus
Bicara Sastera

Menghayati Karya Melalui Kaedah Berfokus

  • Rahman Shaari
  • 4 Disember 2023
  • DBP Wilayah Selatan
  • 92
  • 5

Antara beberapa banyak peranan puisi, peranan yang paling memberikan faedah kepada manusia ialah pemaparan tumpuan penyair. Maksud istilah ‘tumpuan’ dalam konteks bicara ini ialah perkara yang benar-benar difikirkan oleh penyair pada sesuatu ketika. Perkara tersebut akhirnya menjadi tema, iaitu rumusan pada persoalan-persoalan.

Pada tahun 1982, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pendidikan Malaysia, telah mengemukakan satu kaedah pengupasan karya yang dinamakan Kaedah Berfokus. Melalui kaedah ini, segi-segi yang tertonjol dalam karya akan dikupas terdahulu daripada segi-segi yang kelihatan kurang penting.  Segi-segi yang kurang penting dinamakan sampingan. Penulis akan menyentuh aplikasi kaedah ini sekadarnya bagi membicarakan tiga buah sajak dari wilayah selatan yang terbit dalam wadahdbp, iaitu “Lalat Makkah”, “Bintang di Awan”, “Pengarang Itu Pejuang”, “Desah dari Daerah Kehidupan” dan “Sehelai Baju Kuasa”.

Apakah yang paling menonjol dalam sajak “Lalat Makkah” karya Johari Jonet? Sajak ini segera mengingatkan kita pada al-Quran, surah al-Hajj ayat 22. Ayat itu menyebutkan bahawa apa-apa yang disembah, selain Allah, tidak dapat mencipta walaupun seekor lalat. Tanpa menghuraikan ayat al-Quran tersebut, kita  dapat menanggapi bahawa sajak ini membawa tema keagamaan. Johari Jonet menyebutkan baris-baris yang mendorong pembaca berfikir, misalnya:

            Lalat yang hinggap
            pada helaian surah
            yang turun di Madinah dan Makkah
            bersatu dalam mazhab berlainan.

Sudah sah bahawa sajak Johari berbicara tentang agama.  Hal ini bertambah ketara apabila terdapat baris yang menyebutkan isi Hadis:

            dua sayap kiri dan kanan
            racun dan penawar

Sajak “Bintang di Awan”  ditulis dengan gaya romantik. Dengan melihat pada kata arkaik  ‘nan’ dan ‘nun’ saja, kita boleh membuat kesimpulan demikian. Raja Abdul Rahman Raja Basok menyatakan bahawa ‘bintang’ tersenyum kepadanya. Berkemungkinan ‘bintang’ dalam konteks tersebut ialah manusia, dan mungkin juga satu abstraksi yang membawa makna kasih sayang. Hubungan perkasihan yang diiringi rasa duka,  dipaparkan oleh penyair  romantik ini pada bahagian akhirnya:

                        hilangkan gundahmu
                        malam tidak berseri
                        kau meranap diriku
                        kita sentiasa berjumpa
                        meski mustahil melamarmu.

Frasa ‘mustahil melamarmu’ membawa makna kekecewaan, dan frasa itu tidak dibantu oleh mana-mana bahagian yang optimis.  Oleh itu, sajak ini  tergolong dalam kategori romantik-melankolik.

Suara optimis ada pada sajak Ramlee Wahab berjudul “Pengarang Itu Pejuang”. Fokusnya ialah semangat. Pada bahagian awal jelas sekali kesan rasa kecewa,  kerana orang kuat dalam bidang kesusasteraan tidak adil dalam melayani penggiat sastera.  Katanya, ‘mereka berhak pilih sasterawan ternama’.  Itu ialah realiti di mana-mana –  dalam sebarang bidang –   dan itulah alasan untuk terciptanya teori Kekenalan yang giat dibicarakan kini. Namun, ketebalan semangat protagonis dikemukakan pada rangkap ketiga, terutama pada dua baris terakhir:

                        aku jujur akur menjulang piagam bahasa ibunda
                        setia menyepuh karya sastera suara bangsa.

Apabila kita membaca sajak “Desah dari Daerah Kehidupan”  karya Mohd Rosli Bakir, dari awal hingga ke akhir, kita temukan perkataan ‘kota’ yang literal, dan akhirnya ‘kota peradaban’ yang metaforikal. Dapatlah disimpulkan bahawa setiap kali ‘kota’ disebut, maknanya ialah peradaban. Sajak ini memuatkan hasrat membina bangsa dan negara dengan menanamkan sifat-sifat yang positif dan menolak yang negatif. Kata-kata penyair yang membawa makna itu ialah ‘mengutip kearifan diri/menyingkir kelodak keangkuhan’. Kejayaan akan dicapai jika segala usaha untuk  maju dilaksanakan secara bersungguh-sungguh.  Penyair menyimpulkan:

                        Desah resah menderu
                        kitalah siaga memancang ingatan
                        untuk bertahan di kota peradaban.

Sajak yang terakhir dalam bicara ini ialah “Sehelai Baju Kuasa” karya Ku Sunira Ku Johari. Hal ini ialah pelukisan tentang hancurnya golongan gila kuasa. Daripada tajuknya, pembaca dapat mengagak, bahasa fokusnya ialah kuasa. Namun begitu, perkataan ‘baju’ ialah lambang sesuatu yang luaran. Oleh sebab itu, kuasa itu tidaklah sampai ke dalam. Pembacaan yang beriringan dengan tafsiran akan tiba pada kesimpulan, bahawa kuasa yang tidak seberapa, iaitu yang luaran saja, tidak akan  bertahan. Perlakuan sombong seseorang yang ada kuasa politik yang luaran itu, akan mengakibatkan kejatuhan dirinya. Dengan gaya yang kukuh,  Ku Sunira menyebutkan:

                        Sehelai baju kuasa
                        tiba-tiba renyuk di ampaian
                        ada koyak-koyak kecil menampakkan rupa sebenar.

Moral atau mesej sajak “Sehelai Baju Kuasa” muncul secara yang berkesan.  Keberkesanannya itu adalah hasil penggunaan kata yang diletakkan dalam susunan yang rapi.

Demikianlah keseluruhan  karya  dapat dihayati apabila kita berjaya mencari fokus karya. Bicara ini hanya tertumpu pada pencarian makna. Perlu disebutkan bahawa Kaedah Berfokus boleh juga diaplikasikan dengan penumpuan pada aspek-aspek teknikal. Perkara ini akan dihuraikan dalam kesempatan yang lain.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (13) #penulis (4) #penulisbaharu (12) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (8) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (4) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (22) Puisi Islam (6) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Rasulullah (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Tenunan Songket Asli
Kearifan Tempatan

Tenunan Songket Asli

  • 20 Ogos 2023
  • 1183
  • 5
Rendang Kasihmu, Ibu
Puisi

Rendang Kasihmu, Ibu

  • 20 Julai 2024
  • 49
  • 4.8
Aku Seorang Perindu
Puisi

Aku Seorang Perindu

  • 20 Disember 2024
  • 57
  • 4.8
Pergi ke Detik Henti
Cerpen

Pergi ke Detik Henti

  • 1 September 2024
  • 181
  • 4.5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP