(Johan Sayembara Menulis Cerpen Bertemakan Kearifan Tempatan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kedah)
ESOK abah nak sambut menantu. Kalut. Semua orang sibuk. Masing-masing tak menang tangan. Kemeriahan bermula dari dalam rumah sampailah ke halaman rumah jiran-jiran. Bak bau harum buah bacang, tersebar jauh. Kebanyakan kerja-kerja persiapan kenduri semuanya dilakukan oleh tetangga. Keluarga pengantin menyerahkan bulat-bulat kepada pengelola yang dilantik. Tuan rumah selalunya lebih banyak berlegar-legar untuk melihat-lihat, jika diperlukan barang-barang tambahan. Abah sudah mula merangka-rangka menu kenduri untuk menjamu penduduk kampung.
“Kita mesyuarat malam ini untuk lantik ketua tukang masak dan ketua mentara lelaki dan perempuan. Lepas itu, terserahlah kepada ketua-ketua untuk uruskan majlis nanti. Buatlah pelantikan tambahan untuk memudahkan kerja kahwin nanti.” Abah bersuara.
Kata-kata abah itu sebagai tanda serah tugas kepada orang yang bakal dipilih kelak. Nanti, ketika kenduri abah tidak perlu lagi memikirkan tentang semua urusan. Abah dan keluarga hanya menjadi penyambut tetamu sahaja. Ya, hanya tuan rumah! Juga menunggu untuk meraikan orang baharu dalam keluarga. Saat yang diidamkan dan ditunggu-tunggu oleh ahli keluarga, iaitu menerima ahli baharu. Ketika ini jugalah, abah hendak berbaju Melayu lengkap bersamping. Barulah abah berpeluang melawa. Selalunya abah hanya berbaju putih lusuh cap pagoda. Kadang-kadang tidak berbaju, hanya kain tuala disebaikan atas bahu.
“Besar kenduri kita kali ini. Dua ekor lembu akan tumbang. Rasanya, tak ada sesiapa lagi yang lebih sesuai jadi ketua … kita serah dekat Tok Mat sebagai ketua tukang masak. Pak su Brahim baru sahaja pada minggu lepas jadi ketua. Pakat bergilir-gilirlah. Hah, ketua mentara kali ini giliran siapa? Wahab atau Derus?” Imam Abu memerhati ke arah semua tetamu yang memenuhi ruang keluarga di dalam rumah Abah.
Imam Abu bertindak sebagai pengerusi mesyuarat. Memang begitu kebiasaannya pada setiap kali selepas diadakan majlis tahlil dan doa selamat, Tok Imam akan terus bertindak sebagai pengerusi mesyuarat. Lagipun suara Imam Abu nyaring. Boleh didengari sampai keluar rumah. Tidak perlu menggunakan pembesar suara.
Di luar rumah juga masih ramai tetamu. Memang begitulah keadaannya jika ada kenduri-kendara di Kampung Padang Belon ini. Kebanyakan orang muda duduk di luar kerana sudah tidak celus di dalam rumah. Bahagian ruang tamu diberikan keutamaan kepada orang tua-tua. Manakala kaum ibu dan orang perempuan akan memenuhi ruang dapur. Bagi pemuda-pemuda kampung pula, duduk di luar rumah lebih mudah untuk mereka bergurau senda tanpa perlu mengawal tingkah dan kata.
“Beri saja kepada Wahab kali ini, Imam …,” Belum sempat Derus menghabiskan kata-katanya.
“Ah, jangan nak mengelak. Ikut giliran. Kali ini turn Derus.” Kalut-kalut Wahab mencelah.
Wahab bukan hendak menolak kerja kebajikan, tetapi jika jadi ketua mentara seolah-olah semua urusan kenduri perlu dilakukan olehnya. Malah kerja-kerja menyediakan bahan-bahan masakan juga akan diserahkan kepada orang muda untuk membeli atau mencarinya di hutan nanti. Ah, Tok Mat pula bapanya! Sudah tentu semua kerja akan terpikul di pundaknya. Takkanlah dia hendak biarkan bapanya yang sudah berusia 60-an itu masuk ke hutan mencari pokok pisang hutan untuk mendapatkan riasnya? Paksu Brahim pun dia tak sanggup suruh. His, tak patut! Lagipun dia lebih selesa bekerjasama dengan Pak Su Brahim. Boleh dikatakan mereka sudah serasi.
“Hah, moleklah bapa dengan anak berurusan kenduri kali ini. Senang nak kira bicara … .” Ada suara lain yang memberikan pandangan.
“His, kena ikut giliranlah … buat apa ada sistem kalau tak mau ikut?” Wahab bertegas. Makin tinggi nada suaranya.
Riuh suara ketawa. Suasana malam itu gamat seketika. Selepas solat Isyak berjemaah di masjid, semua orang terus ke rumah abah. Sudah dimaklumkan oleh Tok Imam ketika sembahyang Jumaat minggu lepas, bahawa pada malam ini akan ada mesyuarat untuk kenduri kahwin serta diadakan tahlil, doa selamat dan kenduri kesyukuran. Semua penduduk kampung diundang.
“Baiklah … eh, untuk ketua kaum ibu pula sudah tetap dan berpencen kan, Mek Andaklah akan uruskan nanti?” Tok Imam mahukan kepastian. Selalunya bagi kaum ibu memang tiada orang lain lagi. Mek Andak juga tidak pernah menolak.
“Kali ni, kaum ibu bersetuju untuk lantik Siah. Bagi Siah belajar dan saya akan bantu.” Mek Andak bersuara sambil menjengul wajahnya dari arah pintu dapur.
“Hah, orang muda betul kali ini kaum hawa kita. Baiklah kalau semua sudah setuju begitu.” Iman Abu memutuskan.
Selesai pelantikan itu, jamuan pun dihidangkan. Bihun goreng dan sambal ikan bilis diagihkan kepada semua tetamu. Kemudian ada juga menu sampingan kopi O dan biskut “mayat”. Biskut berbentuk empat segi sama itu memang rasi jika dicecah dengan kopi O. Maka berbincang dan bersembanglah mereka sampai ke tengah malam.
Selesai menikmati jamuan, ada yang mula beransur-ansur pulang. Tok Mat yang dilantik sebagai ketua tukang masak masih duduk menyandar menghirup kopi panas. Imam Abu juga masih tidak berganjak sila. Beberapa orang lain mula menghampiri mereka bagi membincangkan perkara-perkara lain untuk kenduri yang akan diadakan kelak. Derus sudah masuk ke dalam rumah untuk turut serta. Selalunya mereka akan menyelesaikan semua perkara pada malam itu juga. Segala menu, pembinaan khemah jamuan, jumlah kerusi meja, peralatan memasak dan sebagainya akan dibincangkan serta diputuskan. Tidak lupa juga dengan kos kenduri. Soal belanja kenduri ini, abah tak berapa risau sangat. Padi yang disimpan masih ada dalam gepok di bawah rumah. Lembu peliharaan abah juga masih ada lima ekor. Tembun-tembun belaka. Semua itu memang telah disediakan sejak awal. Abah cuma perlu membeli minyak masak, rempah ratus dan bahan-bahan untuk menumis. Itu pun kelak, pasti ada jiran dan rakan yang akan menghulur dengan niat untuk bersedekah.
Abah sudah merangka-rangka hidangan istimewa untuk kenduri kahwin kali ini. Selalunya abah mahu yang terbaik dihidangkan kepada orang kampung. Juga yang teristimewa untuk anak-anaknya. Biar jadi kenangan dan juga ingatan sampai anak cucu kelak. Lagipun ketika kenduri-kendera beginilah juga suatu kesempatan untuk orang kampung menikmati hidangan istimewa yang jarang-jarang ada pada waktu lain. Boleh dikatakan seperti keramaian dan ganjaran untuk mereka penduduk kampung yang berada di kaki Gunung Inas itu.
“Kita cari umbut bayas kot untuk jamuan kenduri kali ini? Kita buat kerabu. Lama dah tak makan kerabu umbut bayas ini.” Abah bersuara.
“Molek juga itu … kita campur dengan perut lembu.” Cepat-cepat Imam Abu bersuara. Pasal makan, imam memang berselera. Lihat sahaja badannya pun semua orang sudah memahami. Berisi.
“Gulai rias pisang macam biasalah na … hat itu jangan dok buat lupa. Mengamuk orang kampung nanti kalau tak ada. Masa kenduri inilah orang kampung nak merasa pun.” Tok Mat bersuara sambil mencatatkan semua permintaan abah.
Kenduri di daerah Baling dan Sik memang terkenal dengan gulai rias pisang. Jika tiada menu itu sudah pasti tidak sah. Tidak sempurna. Tidak lengkap kenduri. Boleh dikatakan masakan tersebut seperti suatu kearifan tempatan. Pendek kata suatu maha karya yang hanya ada di daerah Baling dan Sik di negeri Kedah ini.
“Mana Wahab tadi … marilah masuk dalam rumah ini. Kita nak bincang pasal lauk-pauk ini. Mu kena tolong Derus nanti!” Imam Abu melaung.
Begitulah kebiasaannya. Tukang masak hanya menyiapkan menu dan semua urusan akan dilakukan oleh ketua mentara bersama-sama tuan rumah. Mereka akan kerosek sampai jadi segala permintaan. Jika terdapat kesukaran selalunya mereka akan menukar dengan menu lain yang hampir sama. Perkara ini perlu disediakan agar tidak menghampakan tetamu. Semua hidangan yang dibincangkan akan mula dihebahkan kepada orang kampung. Jadi sudah tentu apabila diketahui oleh penduduk kampung, maka tukang masak dan jawatan kuasa yang dilantik mesti menyediakan seperti yang dijanjikan.
Abah mengangguk tanda bersetuju dengan semua perbincangan itu.
***
“Mu ni Derus, saja cari fasal … dah tahu umbut bayas payah nak dapat sekarang ini. Dok gelut nak buat kerabu umbut bayas juga.” Wahab berjalan paling hadapan. Derus berada jarak sekaki di belakangnya. Wahab mengepalai misi mencari pokok bayas di dalam hutan Banjaran Gunung Inas itu.
Manap hanya tersenyum mendengar rungutan Wahab sambil membawa beberapa buah guni yang dilipat kemas, lalu dikepit di bawah ketiaknya. Syukri paling belakang memikul kapak.
“Nak buat gena, dah tuan rumah nak masak menu lagu itu? Bila Tok Imam setuju, kita kena ikut sajalah. Nanti mu nak menikah dengan janda Siah itu, siapa nak akad nikah? Buat Imam Abu bebal tak moh menikahkan mu, sebab tak boleh makan kerabu umbut bayas. Hah, baru padan mukamu!”
Serentak dengan itu riuh Manap dan Syukri ketawa berdekah-dekah. Mereka ketawa sungguh-sungguh. Cerita Wahab dok gila janda itu sudah mula heboh dalam kalangan pemuda. Cuma Wahab sahaja yang sering menafikannya. Juga ada cakap-cakap yang Wahab sering bertemu dengan janda muda itu di bandar. Maka, riuhlah rimba itu seketika dengan kehadiran mereka berempat.
“Mu lah yang dok buat cerita semua inikan? Semua orang dah tahu. Semua orang dok mengata fasal aku dengan Siah.” Wahab tersipu-sipu.
“Eh, benda molek … nak bina masjid. Biarlah orang tahu pun.” Derus cuba meyakinkan Wahab. Mereka berdua sangat erat bersahabat. Juga mereka berdua masih belum bertemu jodoh. Pendek kata kedua-duanya bujang tua yang terlajak.
“Masalahnya, semua cerita itu belum pasti. Aku sendiri pun tak pasti … yang mu dok gi heboh-heboh buat apa?” Kali ini nada suaranya agak tegas.
“Bila masa pula aku dok heboh-heboh? Aku pun dengar dema sembang di Kedai Makan Toherah. Jadi aku aminkan sahajalah cakap-cakap orang. Semua itu doa kot … lagipun mu bukan muda lagi.” Derus ketawa besar kali ini.
“Betul itu … mu dah 40-an, Wahab. Moleklah menikah lekas-lekas,” Manap pula menambah.
“His, budak ini! Pandailah menyampuk orang dewasa berbincang. Abahmu lah ini nak kenduri makan umbut bayas. Jenuh kita ragas rimba hari ini!” Keras suara Wahab menengking.
Sekali lagi mereka ketawa. Segala burung dan unggas serta mergastua di dalam hutan itu bercempera terbang tinggi. Terkejut dengan kehadiran mereka berempat. Wahab terus bergegas mendahului mereka. Bengang dia dengan lawak dan sindiran rakan-rakannya. Menonong Wahab berjalan untuk segera mendapatkan umbut bayas seperti yang dihajati oleh tuan rumah kenduri dan Tok Imam.
Wahab tidak pasti perasaan Siah terhadapnya. Ah, dia hanya terjumpa Siah ketika di Pekan Kulim tempoh hari. Lalu mempelawa Siah minum-minum. Itu sahaja. Entah, siapalah yang terpandang mereka berdua-duaan. Lagipun Siah baharu sahaja bercerai dengan suaminya. Bekas suaminya penagih dadah. Sudah dua tahun berada dalam tahanan. His, Siah juga masih muda! Baru berusia 27 tahun. Adakah Siah mahukan dirinya yang sudah melewati usia 40-an itu?
Serabut fikirannya memikirkan cakap-cakap orang itu. Rakan-rakan pula sering menjadikan isu itu sebagai bahan gurauan untuk menyindirnya. Nasib baik juga tiada yang ambil gambar untuk disebarkan dalam kalangan rakan-rakan di kampung. Wahab juga berharap perkara itu tidak sampai ke pengetahuan bapanya. Jenuh dia hendak menjawab dengan Tok Mat nanti. Sudah lama bapanya merungut tentang jodohnya.
“Hoi, laju sangat itu! Sesat nanti, susah kami nak menjawab dengan Janda Siah. Kekasihnya hilang dalam hutan ketika mencari umbut bayas. Jenuh …. Tunggulah sat, Derus dengan Syukri jauh kat belakang sana itu.” Manap melaung kepada Wahab.
“Ish, mu pun pandai dah mengata aku!” Wahab senyum sambil bersandar pada sebatang pokok terap yang melayut tinggi menujah ke awan. Suara cengkerik dan burung murai batu kembali bersiulan. Hatinya berasa tenang mendengar melodi alam itu.
“Jadi ke kawan-kawanmu dari Kolej Komuniti Baling nak buat video tentang masakan gulai rias pisang masa kenduri nanti?” Wahab sudah dimaklumkan oleh Manap tentang perkara itu.
“Mestilah jadi … dema mari sehari sebelum kenduri. Pensyarah aku juga ikut serta … kalau boleh kami nak patternkan cara masakan itu nanti. Lepas itu boleh dikongsikan kepada semua orang resipi turun-temurun orang kampung kita.” Bersungguh-sungguh dia bercerita. Manap yang masih belajar juga mahu menjadikan makanan dan cara masakan kampung yang unik dan popular itu untuk memenuhi tugasan pelajaran kolejnya.
Wahab hanya mengangguk. Patutlah sejak mula melangkah masuk ke dalam hutan rimba tadi, Manap kerap merakam video dan mengambil gambar-gambar. Dia berharap usaha Manap akan menjadikan makanan ini lebih dikenali seantero dunia. Popular dan dihargai.
Jika suatu waktu dahulu mereka tidak perlu merayau jauh ke dalam hutan sehingga ke rimba banat sebegini untuk mencari segala macam jenis ulam-ulaman. Kini, semuanya sudah berubah. Pelbagai projek dilakukan di dalam hutan sehingga ke atas Gunung Inas sana. Ada penanaman getahlah, kelapa sawitlah dan juga durian. Bukankah hutan tersebut sudah digazet sebagai hutan simpanan kekal negara? Persoalan itu berlegar-legar dalam fikirannya.
“Dok buat apalah Derus dengan Syukri ini? Lambat sungguh … .” Wahab menguman.
Terdengar suara Syukri dari kejauhan. “Huis, besarnya lipan itu!” Dia juga mengelak agar tidak mengejutkan lipan yang sedang merayap di atas daun-daun kering.
“Hah, kalau ada lipan bara, kira kawasan payalah ini. Dekat sudah dengan pokok bayas. Pokok itu memang ada berhampiran tanah yang berair.” Derus memerhati sekeliling untuk melihat-lihat.
Kemudian Derus mengeluarkan golok yang terselit di pinggangnya. Dia memijak lembut lipan tersebut. Lalu memotong sengat lipan itu. Syukri gerun. Meremang bulu tengkuknya apabila Derus dengan selamba membiarkan lipan yang bersaiz dua jari itu merayap di atas tapak tangannya. Kemudian membelit di pergelangan tangan Derus. Sesekali kelihatan merelit seperti gelang emas.
“Hah, sebelah sana! Itu nampak daun-daun pokok bayas. Panggil Wahab dengan Manap lekas, suruh ikut arah sini.” Derus menyuruh Syukri sambil terus leka bermain dengan lipan bara itu.
Rimbunan daun-daun pokok jenis palma itu kelihatan melambai-lambai ditiup angin hutan. Segala penat lelah mereka berjalan meredah hutan seolah-olah berlalu bersama tiupan lembut angin hutan.
***
Kemeriahan kenduri sangat terasa. Rata-rata penduduk Kampung Padang Belon hadir meraikan majlis sambut menantu di rumah abah. Boleh dikatakan semua rumah gantung periuk pada hari itu. Aroma gulai rias pisang hutan sudah semerbak menerpa para tetamu. Ditambah pula dengan kerabu umbut bayas. Memang rasilah hidangan kenduri pada hari itu. Boleh bertambah-tambah makan nasi.
“Sudah-sudahlah tengok video itu … gi tolong kutip jag-jag kosong di atas meja sana. Isi semula dengan air sirap selasih dan air masak.” Wahab menepuk bahu Manap.
Manap sangat berpuas hati. Malah pensyarah dan kawan-kawannya yang hadir juga memuji rakaman tersebut. Rakaman yang bermula daripada usaha mereka mendapatkan rias pisang dan umbut bayas di hutan. Kemudian memaparkan pula cara tukang masak, iaitu Tok Mat meramu bahan-bahan seperti sebuk kari, kerisik, santan dan juga daging serta perut lembu sangat jelas diterangkan satu persatu. Suara penerangan Tok Mat yang serak-serak basar menjadikan video itu lebih bermakna. Manap sangat gembira. Dan mengharapkan makanan tersebut akan terus menjadi menu istimewa setiap kali kenduri-kendara di kampung dan juga daerahnya.
“Aik, kata tuan rumah tak payah buat kerjakan hari ini?’ Manap kernyih menyoal kepada Wahab.
“Aku tabuh juga budak ini. Tuan rumah abahmu sahaja … anak tak termasuk dalam kategori untuk duduk sahaja.” Wahab mencerlung.
Abah tak putus-putus bersalam kaut dengan tetamu. Ada juga yang datang dengan hadiah. Abah senyum puas melihat semua tetamu gembira dengan hidangan yang disediakan. Para mentara juga tidak putus-putus berbaris menghantar hidangan ke khemah-khemah tetamu. Lima buah khemah dipasang. Semuanya penuh dengan tetamu. Kaum perempuan yang lebih ramai dijemput untuk masuk ke dalam rumah agar tidak terlalu lama menunggu.
Sangat sibuk Derus dan Siah sebagai ketua mentara untuk mengatur hidangan. Seboleh-bolehnya mereka tidak mahu tetamu menunggu lama. Datang terus makan. Golongan muda-mudi juga ramai yang ringan tulang turut membantu. Tradisi menghidangkan makanan dalam talam masih diamalkan oleh mereka. Sikap tolong-menolong dan kerjasama sangat jelas. Semua ini perlu diteruskan agar tidak hilang ditelan dek masa. Tepat jam satu tengah hari tiba-tiba Tok Mat mencapai mikrofon lalu membuat pengumuman. Lagu selamat pengantin baharu yang sedang meriah terhenti seketika.
“Assalamualaikum, maaf mengganggu tuan puan yang sedang menjamu selera. Saya ada satu pengumuman. Sebelum itu, saya harap masakan yang disediakan oleh kami sedap dan menyelerakan. Bukan senang anak-anak muda kita hendak pergi mencari umbut bayas dan rias pisang hutan itu. Barang kali sedikit masa lagi kita tak dapat nak merasa semua itu. Kalau tuan puan perasan Banjaran Gunung Inas di hadapan kita juga semakin gondol. Susah nanti anak-anak muda kita nak pergi mencarinya. Eh, sebenarnya bukan itu yang saya nak katakan. Melalut jauh sangat ini ….” Tok Mat menggaru-garu pangkal lehernya. Kopiah yang setia menutup kepalanya bergerak-gerak.
Dia memerhati sekeliling. Matanya meliar-liar seperti mencari seseorang. Abah yang berada di haluan masuk ke halaman rumah menunjukkan ibu jari tanda bangus. Tok Imam yang sedang pulun menjamu selera mengangguk-angguk sambil mengunyah kerabu umbut bayas. Tetamu juga mula bertepuk tangan. Mereka semua gembira dan teruja untuk menanti kata-kata seterusnya daripada tokoh tukang masak Kampung Padang Belon itu.
“Kami generasi tua ini semakin berkurang … seorang demi seorang meninggalkan kita. Kita sedekahkan al-Fatihah untuk semua kaum kerabat kita. Selepas ini tradisi sebegini … hidangan gulai rias pisang dan kerabu umbut bayas harap dapat diteruskan oleh orang muda. Derus itu tak muda dah, cuma belum ada jodoh sahaja. Deruslah akan ambil alih … .” Tok Mat ketawa kecil.
“Wahab itu tok, dok rasa muda sahaja … .” Derus melaung.
“Ya , Wahab … .” Tok Mat senyum lebar sambil mencari-cari kelibat anak tunggalnya itu.
Tok Mat menyambung kata. “Sebenarnya, saya dengan ini hendak mengundang semua yang hadir dan juga anak-beranak serta adik-beradik seluruh kampung kita, untuk sila ke rumah saya pada hari Sabtu minggu hadapan. Alhamdulillah, Wahab dan bertemu Jodoh. Siah pun dah setuju. Insya-Allah kita adakan kenduri lagi.”
Wahab yang sedang mencuci pinggang mangkuk terpinga-pinga. Cawan yang sedang dicucinya terlepas. Para tetamu mula riuh sambil bertepuk tangan. Ada yang sudah mula melaungkan kata tahniah sambil mencari kelibat Wahab.
“Nah, aku beri hadiah rantai ini awal-awal untuk hari persandinganmu nanti. Tahniah!” Derus meletakkan sesuatu di atas leher Wahab.
“Eeeee, lipan!” Wahab menjerit.