Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), institusi agama yang pertama ditubuhkan di Semenanjung Tanah Melayu. MAIK berperanan meningkatkan syiar Islam serta mengawasi perkara yang berhubung dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu di samping memberi perkhidmatan kebajikan kepada seluruh masyarakat Kelantan. MAIK, institusi Islam yang mempunyai perlembagaan tersendiri.
Gagasan penubuhan MAIK dipelopori oleh tiga orang tokoh cendekiawan dan persuratan Kelantan, iaitu Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Haji Nik Mahmud bin Ismail, Dato’ Laksamana Haji Muhammad bin Khatib Haji Mohd Said, dan Haji Muhamad Yusof bin Ahmad (Tok Kenali). Cadangan penubuhan MAIK dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Negeri Kelantan (Kelantan State Council) pada 30 Muharam 1334 Hijrah (7 Disember 1915) dan mendapat perkenan Al-Sultan Kelantan. Pada 17 Safar 1334 Hijrah (24 Disember 1915), MAIK dimasyhurkan penubuhannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad IV ibni Al-Marhum Sultan Muhammad III. Seramai 12 orang dilantik oleh baginda menjadi anggota MAIK ketika itu. Mereka ialah Haji Muhamad Yusof bin Ahmad (Tok Kenali), Haji Wan Muhamad bin Haji Wan Abdul Samad, Khatib Haji Mohd Said bin Jamaludin, Haji Wan Abdullah bin Wan Abdul Samad, Muhammad Ghazali bin Ariffin (Dato’ Bentara Luar), Muhamad Daud @ Che Wok bin Salim, Nik Ja’far bin Haji Nik Abdul Kadir (Dato’ Bentara Dalam), Nik Wan Muhamad Amin bin Wan Musa, Tengku Abdul Rahman ibni Sultan Muhammad III, Tambi Umar bin Tambi Kecik, Nik Mahmud bin Haji Wan Ismail (Dato’ Bentara Setia), dan Haji Muhamad bin Khatib Haji Mohd Said (kemudiannya bergelar Dato’ Laksamana).
Selepas penubuhannya, MAIK berpejabat di tingkat atas bangunan lama Pejabat Tanah Kota Bharu, di hadapan Istana Balai Besar. Pada 31 Julai 1917, MAIK telah membeli sebuah bangunan rumah kayu di atas sebidang tanah seluas 23,827 kaki persegi milik mantan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Hassan bin Saleh. Pada 9 Ogos 1917, pejabat MAIK berpindah ke bangunan sendiri, di Jalan Sultan Kota Bharu. Bangunan ini kekal menjadi pejabat MAIK selama 73 tahun sehinggalah pada 16 Februari 1990, MAIK telah berpindah ke bangunan baharunya sekarang di Kompleks Islam Darul Naim, Jalan Sultan Yahya Petra, Lundang (Abdul Razak Mahmud, 2010. MAIK: Peranan dalam Bidang Keagamaan, Persekolahan dan Penerbitan di Kelantan sehingga 1990, DBP).
Tujuan Awal Penubuhan MAIK
Tujuan awal penubuhan MAIK tercatat pada sebuah dokumen bertajuk Tujuan Majlis Agama Islam Kelantan Tahun 1916 ditandatangani oleh Nik Mahmud bin Ismail. Antara yang tertulis dalam dokumen tersebut adalah mengadakan masjid dan sekolah-sekolah agama (Arab) dan Melayu, menterjemah kitab-kitab Arab (agama) ke dalam bahasa Melayu, memberi pertolongan kepada fakir miskin, membuat rumah sewa dan menjalankan perniagaan. Tercatat dalam dokumen itu, “seperti mana di atas, inilah tujuan MAIK menghimpunkan wang daripada harga padi zakat dan wang daripada harga fitrah dan baitumal.”
Berpandukan kepada garis tujuan inilah, MAIK mula menjalankan kegiatan awalnya pada dekad pertama penubuhannya seperti pungutan zakat dan fitrah, pelajaran dan persekolahan, percetakan dan penerbitan, dan membangunkan Masjid Muhammadi. Percetakan dan penerbitan MAIK dilihat sebagai asas dalam memperkasakan bidang persuratan di negeri Kelantan.
Pentadbiran MAIK sekarang adalah selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan dengan jelas bahawa Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan adalah Ketua Agama Islam bagi negeri ini. Sungguhpun begitu, badan yang sebenarnya menjalankan tugas khusus yang dinyatakan ini ialah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Perkara ini dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 6 (1) Bahagian Pertama Perlembagaan Negeri Kelantan: 6. (1) “Adapun Ketua bagi Agama Negeri ini ialah Yang Maha Mulia dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, di dalam bahasa Inggeris “Council of Religion and Malay Custom”, yang ditubuhkan di bawah undang-undang tubuh Negeri yang ada sekarang, hendaklah terus membantu dan menasihati Yang Maha Mulia itu di dalam mana-mana bahagian daripada Negeri”.
Anggota Majlis dan Peranannya
Kuasa tertinggi MAIK terletak pada sebuah lembaga bernama “Anggota Majlis” yang dilantik oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan. Semua perkara yang melibatkan dasar, tindakan dan pentadbiran MAIK mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan dan pengesahan daripada “Anggota Majlis.” Dalam perkembangan selanjutnya, lembaga ini dibantu pula oleh sebuah “Jemaah Ulama” yang dipengerusikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Kelantan bagi memastikan bahawa keputusan-keputusan yang dibuat dan dilaksanakan dalam bidang pentadbiran tidak bercanggah dengan hukum-hukum agama yang diamalkan di negeri ini (Abdul Razak Mahmud, 2010. MAIK: Peranan dalam Bidang Keagamaan, Persekolahan dan Penerbitan di Kelantan sehingga 1990, DBP).
Naungan Kuasa dan Yang Dipertua MAIK
MAIK beroperasi sepenuhnya berdasarkan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994. Dalam enakmen ini, MAIK diberi kuasa, menjalankan perkara-perkara berikut: Fatwa rasmi bagi negeri Kelantan; Menjadi penguasa wasiat dan pentadbir pesaka orang Islam; Urusan zakat, baitulmal, wakaf, nazar dan khairat; Menjadi pemegang amanah bagi semua masjid dan hartanya yang tak alih, juga pelantikan pegawai-pegawai masjid; Hal-hal yang berkaitan dengan pengislaman saudara baru; Tauliah mengajar agama; Ru’yah anak bulan bagi menentukan puasa dan hari raya; Agihan wang zakat kepada asnaf; Pendaftaran sekolah-sekolah agama dan institusi-institusi pengajian agama.
Pada dekad 1980-an, berikutan kajian yang dibuat oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Sumber Manusia (MAMPU), Kerajaan Negeri Kelantan telah mengiktiraf MAIK secara rasminya sebagai sebuah badan berkanun di bawah kerajaan negeri melalui surat daripada pejabat SUK (kn) 230/78/55 bertarikh 22 April 1980.
Sungguhpun MAIK diiktiraf sebagai sebuah badan berkanun, corak pentadbirannya yang asal sebagai sebuah institusi agama tidak berubah. MAIK tetap berada di bawah naungan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan sebagai Ketua Agama Negeri Kelantan. Anggota-anggota Jemaah Ulama juga dilantik oleh Baginda Tuanku bagi satu tempoh yang difikirkan sesuai oleh baginda. Anggota Majlis yang dilantik adalah bagi membantu baginda serta menjalankan titah perintah baginda dalam perkara-perkara berhubung dengan pentadbiran MAIK, sementara Jemaah Ulama pula bertanggungjawab menasihati baginda dalam perkara-perkara mengenai fatwa. MAIK kini menikmati kedudukannya sebagai sebuah badan berkanun yang beroperasi mengikut Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994 yang mempunyai kuasa untuk mewujudkan penjawatan dan organisasinya.
Sejak penubuhannya sehingga sekarang (2023), MAIK mempunyai seramai 18 orang Yang Dipertua bermula daripada Yang Mulia Tengku Muda Hassan bin Tengku Mahmood (1915 – 1919), Yang Teramat Mulia Tengku Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV (1919 – 1944), Yang Teramat Mulia Tengku Indra Petra ibni Sultan Ibrahim (12 Disember 1944 – 29 November 1947), Yang Teramat Mulia Tengku Yahya Petra ibni Sultan Ibrahim (1 Januari 1948 – 31 Disember 1953), sehinggalah Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz (Tengku Temenggong Kelantan) (19 Mac 2019 – sekarang). Selain itu, MAIK juga mempunyai 18 orang Naib Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua bermula daripada yang pertama, Yang Berbahagia Dato’ Bentara Setia Haji Nik Mahmud bin Nik Ismail (Kemudian Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja) (24 Disember 1915– 1919), Yang Berbahagia Dato’ Bentara Jaya Haji Muhammad bin Muhamad Khatib (Kemudian Dato’ Laksamana) (13 Ogos 1919 – 1 Disember 1933), sehinggalah yang terkini Yang Amat Berusaha Tuan Haji Zulkifle bin Ab Rahman (1 Julai 2019 – sekarang). (Petikan daripada buku program Syarahan Perdana A. Kadir Adabi, pada 14 September 2023 anjuran DBP Wilayah Timur dan MAIK, hlm. 10-12).
MAIK Memperkasa Bidang Persuratan: Pandangan S.M. Zakir, Sasterawan Kelantan 2023
Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir), penerima Sasterawan Kelantan 2023 sewaktu menerima Anugerah Sasterawan Kelantan (ASK) semasa Majlis Penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan pada 6 November 2023 lalu berkata, awal abad ke-20 Kelantan telah bangkit sebagai pusat intelektual di Pantai Timur, sekali gus terkenal sebagai pusat budaya dan sastera bukan sahaja menghimpunkan penulis besar tetapi juga karya-karya yang menjadi penanda sejarah sastera moden di Tanah Melayu. Majalah terawal yang terbit di Pantai Timur ialah majalah Pengasuh, diterbitkan oleh MAIK sejak tahun 1918 hingga kini, sekali gus menjadi antara majalah terawal yang terbit di Tanah Melayu dan paling konsisten. Pengarang pertama majalah Pengasuh ialah Datuk Haji Muhammad bin Muhd. Said, seorang ulama, intelektual, pentadbir dan dianggap “Bapa Wartawan Kelantan.” Beliau juga merupakan penulis novel Kecurian Lima Million Ringgit pada tahun 1922. Novel ini dikatakan menjadi novel Melayu terawal di Semenanjung Tanah Melayu. Majalah Pengasuh merupakan majalah intelektual Melayu yang turut menggamit penulis-penulis tersohor menyumbangkan tulisan, termasuklah Tok Kenali.
Percambahan fikiran ketika itu menumbuhkan kaum intelektual di Kelantan yang menyaksikan penubuhan Putera Club pada 1 April 1929 oleh para pengarang dan intelektual muda yang progresif, antaranya Abdul Kadir Adabi bin Ahmad, Asaad Syukri Haji Muda, Nik Yusuf Hilmi, Hasan Fikri, Yusuf al-Yubi, Muhammad Zain Hukmi dan ramai lagi. Putera Club turut menerbitkan majalah Putera dan mewujudkan Dewan Bahasa Melayu. Majalah Putera mengutarakan persoalan kemasyarakatan, ekonomi, politik dan penulisan kreatif. Pada dekad 1920-an dan 1930-an ini juga lahir penerbitan majalah dan akhbar seperti Al-Hidayah, Al-Kitab, Al-Kamaliah, Suara, Kencana, Al-Hikmah, Sinaran Kelantan, dan Al-Riwayat. Gerakan ini berlanjutan dengan penubuhan persatuan-persatuan penulis yang menyaksikan kegemilangan gerakan intelektual di Kelantan.
Ternyata Kelantan suatu ketika dahulu terkenal sebagai pusat gerakan intelektual di Pantai Timur dan menyaksikan kemunculan tokoh-tokoh intelektual Melayu dalam dunia pemikiran dan penulisan. Malah Kelantan menjadi tempat pertemuan golongan intelektual agama serta perdebatan tentang isu-isu besar yang menyangkuti ranah pemikiran dunia. Antaranya ialah polemik Kaum Muda dan Kaum Tua, yang menyaksikan turunnya tokoh-tokoh pemikir dari Singapura dan serata negeri ke Kelantan. Golongan penulis pada hari ini bercita-cita untuk melihat kembali suburnya negeri Kelantan yang bertuah ini dengan kegemilangan gerakan intelektual.
Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan misalnya, satu usaha murni yang dilakukan oleh DBP melalui DBP Wilayah Timur, dengan dukungan institusi Diraja Kelantan dan Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pihak yang terbabit dalam menyuburkan kembali kegemilangan intelektual di Kelantan melalui pengkaryaan, penulisan dan kegiatan bahasa dan sastera.
Usaha ini mengangkat karya-karya penulisan terbaik yang berisi citra intelektual sebagaimana pengalaman lalu yang menyaksikan dunia penulisan sebagai kenderaan untuk menyampaikan pemikiran, sekali gus membangunkan gerakan intelektualnya. Diharapkan usaha murni ini terus dilaksanakan dan disokong oleh institusi Diraja Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan dan MAIK. Program ini menampakkan usaha nostalgik pihak MAIK demi mengembalikan semula fungsi awal MAIK yang bukan sekadar menegakkan agama dan menjaga kebajikan tetapi membangunkan bidang persuratan untuk menyuburkan Kelantan sebagai pusat intelektual Pantai Timur seperti zaman awal dan pertengahan penubuhan MAIK.
Beliau berpandangan kerjasama DBP dan MAIK serta dukungan institusi istana ini mengulang balik kegemilangan kegiatan intelektual di Kelantan. Beliau menaruh harapan agar DBP, MAIK, dan Kerajaan Negeri Kelantan dengan dukungan institusi istana Kelantan bergabung tenaga untuk menganjurkan anugerah ini pada masa akan datang dalam usaha meletakkan program pengiktirafan ini pada tempat yang tinggi dan sewajarnya (Sumber: Temu ramah dengan tokoh sewaktu Majlis Penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 pada 6 November 2023 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu, Kelantan).