“Mayiru …” Itulah satu-satunya perkataan yang terkeluar dari mulut Kavin setelah botol susunya dibuang ke dinding rumah. Bengis muka Kavin. Bengis daripada ibu yang baru memerahkan pipinya yang lembut itu. Begitu marah Kavin dengan perbuatan ibunya tadi. Salahkah dia mengambil telefon pintar ibu dan membuka Youtube?
Dia seronok menghiburkan matanya dengan filem tamil berjudul Vada Chennai, tetiba ibunya ke ruang tamu dan memulakan aksinya. Lantas ibu membangunkan Kavin daripada duduk, tanpa menyoal apa-apa, dia menghadiahkan satu tamparan ke pipi. Mata dan pipi Kavin merah-kemerahan. Tanpa menyedari dia memulakan aksinya sendiri. Lekas dia membuang botol susunya yang sedang diminum dan terkeluar perkataan “Mayiru” daripada bibir yang kecil merah jambu itu.
Ibu Kavin terkejut dengan perkataan yang terkeluar dari mulut anak yang berumur lima tahun itu. Ibu berang dengan perbuatan Kavin dan mula memukulnya.
“Dari mana awak belajar semua ini? Siapa yang ajar? Kadavule …”
Tiada sebarang jawapan daripada Kavin. Hanya matanya mencurahkan air mata. Segera ibu Kavin menuju ke dapur dan mengambil satu batang besi dan memanaskannya. Setelah batang besinya mencapai warna kemerahan yang dihendaki segera dibawa ke tempat Kavin berada. Tanpa memikir panjang, batang yang panas itu diletakkan di betis Kavin. “Ammaaa” jerit Kavin menahan kesakitan.
Perkara yang berlaku pada petang tadi dilaporkan kepada bapa Kavin. Bapanya turut marah dengan perbuatan Kavin. Tetapi dia tidak memberi sebarang hukuman seperti ibunya. Baginya hukuman itu sudah cukup besar. Dan ini bukanlah masa untuk memarahi Kavin yang sedang tidur lena itu.
Lenakah dia tidur pada malam itu? Cedera atau luka yang dihadiahi oleh ibunya membuatkan dia sakit sepanjang malam.
Seperti biasa, keesokan hari Kavin dihantar ke Tadika Sinar Cahaya. Dia tidak bersarapan walaupun sudah dipaksa oleh ibunya. Sepatah kata pun tidak keluar dari bibir Kavin. Dia sedih dan pada masa yang sama dia marah. Dia marah pada ibunya. Walaupun kemarahan dipendamkan dalam hati, luka yang ada di hatinya berasa pedih apabila mengingatkan perbuatan ibunya yang kejam itu. Tidak boleh dilupakan perkara yang telah berlaku pada dirinya semalam.
Manakala ibunya pula berasa bersalah dan simpati terhadap Kavin. Pada malam itu juga, ibunya menyapu ubat pada luka Kavin setelah melihat dia sudah melelapkan matanya.
Hari demi hari, luka Kavin semakin sembuh. Pada suatu hari, semasa dia sedang menonton program kartun di kaca televisyen, pintu rumahnya diketuk beberapa kali. Ibu Kavin menuju ke pintu dan mencapai tombol pintu. Jiran rumah Kavin sedang menunggu di sebelah pintu. Selepas membuka pintu rumah, kelihatan jiran sebelah rumahnya, iaitu seorang mak cik bersama-sama suaminya sedang berdiri di hadapan pintu rumah Kavin.
“Mana suami engkau? Sembunyi di bilik tidur, ya?” telah pak cik itu. Suaranya kedengaran marah.
Ibu yang sedar akan kemarahan pak cik itu dan percaya ada sesuatu yang telah berlaku sebelum bapa Kavin pulang dari kedai tadi. Tanpa menjawab soalan jirannya, ibu memanggil bapa Kavin. Bapa Kavin berjalan laju menuju ke pintu rumah, tempat berdirinya sepasang suami isteri. Bapa Kavin terkejut apabila melihat jirannya berdiri di hadapan pintu rumah.
‘Kenapa dia di sini? Hendak menyambung pertengkaran yang terjadi di kedai mamak tadi?’ Pelbagai soalan ditanya-tanya dalam minda si bapa Kavin.
Jiran itu memulakan semula perang mulut yang telah dihentikan di kedai makan tadi. “Mayiru, kenapa engkau buang teh panas di atas meja makan dan terus lari balik ke rumah? Kenapa? Engkau takut ke? Kenapa tidak minta maaf?” marah pak cik itu.
Si bapa Kavin pula menjawab dengan marah dan makian. “Hei, engkau yang pengecut! Engkau lupa agaknya dengan rasa penumbuk aku tadi? Engkau jangan nak mulakan semula perang ini. Sial kau!”
Ibu tidak memahami situasi dan keliru dengan apa-apa yang telah dan sedang berlaku. Dia juga tidak tahu apa penyebab yang membuatkan suaminya membuang teh panas di atas meja? Dan, balik ke rumah selepas bertengkar dari tempat kejadian. Yang ibu pasti, ada sesuatu yang berlaku sebelum suaminya bertindak sebegitu.
Belum habis membayangkan situasi di kedai makan, si ibu Kavin pula dimarahi oleh mak cik itu. Ibu tidak mengalah. Malahan, ibu juga melontarkan pelbagai perkataan baharu, yang tidak pernah didengar oleh Kavin sebelum ini. Ya, pelbagai perkataan yang mungkin tidak akan dapat menemui maknanya dalam mana-mana kamus Bahasa Tamil atau mungkin mempunyai makna tertentu mengikut situasi penggunaan dan bukan dimaksudkan dengan apa-apa yang dimaksudkan oleh fahaman masyarakat umum. Kebanyakan perkataan kasar mungkin membawa erti nama tubuh badan manusia dengan kata lainnya. Malah, ada dalam kalangan masyarakat menggunakan perkataan-perkataan tersebut dengan maksud yang buruk.
Aksi di depan pintu dengan pelbagai kata-kata kasar sedang dilihat dan didengar oleh mata dan cuping telinga Kavin. Pada masa itu juga, Kavin seolah-olah hendak membangunkan dirinya dan ke dapur untuk memanaskan batang besi bagi menghukum kedua-dua ibu dan bapanya.
Glosari
Mayiru – Maksudnya rambut tetapi dalam bahasa pasar, perkataan ini membawa maksud tidak baik kepada seseorang apabila digunakan sebagai kata-kata makian
Kadavule – oh Tuhan