W.B. Rendra atau nama sebenarnya Wahyu Budiwa Rendra A. Wahid merupakan pengarang novel sejarah kelahiran Johor yang berpengalaman. Air tangannya yang terbaharu bertajuk Sirat Figura yang memenangi hadiah pertama dalam Sayembara Penulisan Novel Sejarah Johor telah berada dalam pasaran perbukuan negara semenjak November 2023.
Sirat Figura menampilkan permulaan bab yang muluk dengan peminangan Yang Dipertuan Muda Johor terhadap Raja Kuning. Yang Dipertuan Muda Johor merupakan pemerintah kerajaan Terengganu yang dilantik oleh ayahandanya, Sultan Abdul Jalil Syah III (1623 – 1677). Manakala Raja Kuning pula merupakan anakanda Raja Ungu yang memerintah Patani. Walaupun Yang Dipertuan Muda Johor mengetahui bahawa Raja Kuning telah bertunang dengan Apya Deca, iaitu pahlawan Siam yang berusaha menguasai Patani, namun baginda tetap menginginkan kehendaknya disatukan dalam perkahwinan yang sah dengan Raja Kuning. Perkahwinan tersebut diuji dengan kehadiran godaan Dang Sirat terhadap Yang Dipertuan Muda Johor sehingga baginda mengambil keputusan untuk mengahwini Dang Sirat. Dang Sirat bukan sekadar mengambil kesempatan untuk meraih cinta Yang Dipertuan Muda Johor, bahkan telah menyirat sesuatu yang lebih daripada yang sepatutnya dia terima sebagai biduan istana dan isteri kedua. Namun akhirnya perancangan jahatnya bersama-sama Dang Jela terbongkar apabila tangkal di sanggulnya terjatuh semasa hari pertabalannya sebagai permaisuri. Yang Dipertuan Muda Johor yang murka telah mengambil keputusan pantas untuk menjatuhi Dang Sirat hukuman bunuh.
Plot Cerminan Cerita
Pengarang sengaja “mengucar-ngacirkan” susunan plot untuk menzahirkan permainan teknik penceritaan yang menggunakan teknik imbas kembali untuk mencetuskan seni dramatik dalam setiap plot.
Pengarang telah meleraikan segala konflik dalam bab prolog dengan kemunculan awal Dang Sirat sebagai penggoda sehinggalah Dang Sirat mati dibunuh. Inti sari prolog yang bersifat terlalu terbuka mempunyai dua konotasi. Konotasi pertama adalah untuk memudahkan pemahaman pembaca yang baru berjinak-jinak dengan pembacaan novel sejarah. Konotasi kedua ialah mengurangkan unsur kejutan kepada pembaca tegar novel sejarah. Apa-apa pun alasannya, pengarang mempunyai sebab tersendiri untuk menghurai peleraian keseluruhan penceritaannya di mana-mana bab yang difikirkan bersesuaian dengan kehendak jalan cerita.
Sinopsis Sirat Figura
Sekilas menelusuri sinopsis naskhah ini penulis melihat novel sejarah ini mempunyai lapisan pemikiran dan falsafah yang tinggi daripada pengarangnya. W.B. Rendra seboleh mungkin menarik perhatian pembaca untuk berfikir tentang tiga watak utama dalam novel ini, iaitu Yang Dipertuan Muda Johor, Dang Sirat dan Raja Kuning. Unsur sejarah tetap kekal sebagai sejarah yang ditekuni dengan fakta seperti watak, latar tempat dan zaman. Pada lapisan kedua, pemikiran pengarang telah mencerminkan daya kebijaksanaan dan keintelektualan dalam menggarap persoalan pemerintahan negara yang diwakili oleh Yang Dipertuan Muda Johor, pengaruh bangsa asing yang diwakili oleh Dang Sirat dan kesengsaraan rakyat yang diwakili oleh Raja Kuning. Ketiga-tiga watak ini saling berkaitan dari awal bab sehingga ke penghujung cerita.
Yang Dipertuan Muda Johor yang tidak diberikan nama yang khusus dalam naskhah ini merupakan pemimpin yang disegani. Baginda berkuasa dalam urus tadbir negeri Terengganu yang menjadi negeri naungan kerajaan Johor pada era tersebut. Selain kecekapan urus tadbir, baginda juga mempunyai barisan angkatan tentera yang ampuh terutamanya dalam pasukan tentera bergajah dan lasykar maritim. Hal tersebut tidak pernah dipertikai semenjak Johor mengambil alih kecemerlangan tampuk pemerintahan selepas peristiwa kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Pemerintahan kerajaan Johor telah bertapak di Johor Lama seawal tahun 1529. Daerah ini telah diterokai oleh Sultan Alaudin Riayat Shah II (1528 – 1564).
Yang Dipertuan Muda Johor sebagai Pemerintah Negeri
Watak dan perwatakan Yang Dipertuan Muda Johor digambarkan sebagai maskulin yang tiada tolok bandingnya dari segi keupayaan memerintah sebuah negeri sehinggalah penaklukan hati seorang wanita, iaitu Raja Kuning. Pada ketika baginda menghantar lamaran untuk memperisterikan Raja Kuning, baginda telah sedia maklum akan jalinan pertunangan antara Raja Kuning dengan Apya Deca. Apya Deca adalah panglima Siam yang diutuskan untuk menguasai Patani melalui hubungan perkahwinan dan peperangan. Yang Dipertuan Muda Johor enggan menjadikan pertunangan pasangan tersebut sebagai halangan untuk baginda menawan hati Raja Ungu, bonda kepada Raja Kuning untuk menerimanya sebagai menantu dan meyakini Raja Ungu akan kesediaannya menjaga dan menyintai Raja Kuning sepenuh hati. Perkahwinan Yang Dipertuan Muda Johor dengan Raja Kuning adalah simbolik kekuatan pemerintahan Johor yang lebih mantap, kuat dan gemilang berbanding dengan Siam. Perkahwinan diraja tersebut adalah perlambangan terhadap kestabilan politik Johor berbanding dengan kerajaan Siam. Apatah lagi secara jelas diceritakan akan kegagalan Siam dalam siri serangan dan peperangan dengan Patani. Kejayaan Patani mempertahankan kedaulatan pemerintahannya banyak dibantu oleh angkatan tentera Johor. Johor pula menjalinkan hubungan diplomatik dan persaudaraan dengan Aceh yang sememangnya mempunyai kekuatan fizikal ketenteraan yang jitu. Keistimewaan tersebut digunakan sebaik-baiknya oleh kerajaan Johor untuk memohon bantuan ketenteraan Aceh semasa Siam menyerang Patani.
Strategi peperangan yang diaturkan oleh pemerintah Johor yang diketuai oleh Yang Dipertuan Muda Johor ialah lambang kebijaksanaan pemerintah Johor. Johor membangun dalam kekuatan tentera maritim dan keamanan negerinya sehingga Terengganu kekal dalam naungannya sekalipun selepas perkahwinan Yang Dipertuan Muda Johor. Persoalan subjek integriti mula wujud pada awal bab naskhah ini apabila Yang Dipertuan Muda Johor sebagai pemerintah menafikan hak Apya Deca sebagai tunang kepada Raja Kuning. Baginda berpendapat bahawa memenangi hati Raja Kuning merupakan perluasan kuasa Johor, bukan untuk menakluk Patani tetapi untuk menjatuhkan Siam yang dianggap sebagai ancaman terhadap kepimpinan Johor. Walau bagaimanapun, hal ini masih boleh dibincangkan dalam mauduk dan fokus yang lain.
Dang Sirat sebagai Warga Asing
Kemunculan watak Dang Sirat pada awal bab telah mencetuskan kegelisahan pembaca kerana watak antagonis ini merupakan simbolik pada kehadiran warganegara asing yang sering mengganggu-gugat kestabilan politik, ekonomi dan sosial sesebuah negara. Kemunculannya sebagai biduan istana yang bersuara lemak merdu telah membuka minat Yang Dipertuan Muda Johor untuk mendekatinya. Kemerduan suaranya itu telah menutup segala kekurangan dirinya yang tidaklah elok rupa parasnya, menggerutu pula kulitnya, tidak secantik potongan badannya jika dibandingkan dengan Raja Kuning. Hanya kerana tangkal dan ilmu guna-guna yang diamalkan, Dang Sirat berjaya menggoda Yang Dipertuan Muda Johor sehingga akhirnya menjadi isteri baginda.
Ironinya Dang Sirat ini merupakan warganegara asing yang telah diberi peluang yang banyak untuk menguasai ekonomi di negeri ini. Rizab zon antarabangsa yang memberi kelayakan kepada mereka untuk membeli hartanah seperti bangunan kediaman dan lot tanah pegangan bebas telah memungkinkan kerancakan ekonomi negeri. Selain warganegara asing, para pelabur juga diberi kelayakan untuk mengurus perdagangan dan pengkomersialan hartanah. Dari sudut ekonomi hal ini telah membantu peningkatan nilai ekonomi negeri. Kontradiksinya hal ini menyebabkan nilai hartanah meningkat tahun demi tahun apatah lagi apabila warganegara asing didapati menguasai beberapa zon eksklusif antarabangsa. Sedikit sebanyak hal ini menjejaskan peluang rakyat tempatan untuk memiliki kediaman sendiri. Antara sedar dengan tidak, pemilikan hartanah kepada warganegara asing telah menjadikan mereka menguasai sebahagian daripada ekonomi dan sosial negeri, hanya kerana percaturan politik yang terbuka. Pendatang atau pelabur luar mampu menawarkan sesuatu di luar kemampuan rakyat tempatan. Jika hal ini tidak dipandang serius, lebih banyak tanah dan hartanah yang akan tergadai ke tangan orang asing. Sebagai mana Dang Sirat berjaya menguasai hati dan tubuh badan Yang Dipertuan Muda Johor, begitu jugalah bangsa asing bakal menguasai aset fiskal negeri daksina. Unsur perulangan yang digunakan oleh pengarang bahawa Dang Sirat itu bianglala yang mewarnai alam secara tidak langsung memberi penekanan betapa watak tersebut bersembunyi di sebalik keindahan sebenar. Subjek ini telah dinyatakan oleh pengarang dalam bab 17 supaya pembaca jelas akan mesej yang hendak disampaikan.
Raja Kuning sebagai Rakyat Marhaen
Kekecewaan Raja Kuning terhadap suaminya yang melanggar janji sumpah setia yang dilafazkan kepada almarhum bonda Raja Kuning, Paduka Syah Alam telah menyebabkan Raja Kuning berkecil hati lalu membawa diri ke Rangga Raksi. Sungguhpun begitu, Raja Kuning tidak pernah menderhaka, melawan apatah lagi membantah segala kehendak Yang Dipertuan Muda Johor. Malahan dalam nada dan tingkah kecewanya Raja Kuning masih mampu menyantuni bonda mentuanya dan menyediakan kelengkapan kapal dan persalinan yang sewajarnya kepada Yang Dipertuan Muda Johor.
Bab ini telah disingkap oleh pengarang sebagai jasa dan bakti lapisan rakyat marhaen terhadap pemimpin yang memerintah negeri. Kesetiaan rakyat terhadap pemimpin diikat dengan peraturan dan undang-undang negeri yang wajar dipatuhi. Rakyat yang melanggar undang-undang akan didakwa dan dikenakan tindakan atau hukuman. Apabila Raja Kuning membawa diri ke Rangga Raksi, itulah alamat bahawa rakyat telah berjauh hati dengan tindak tanduk pemerintah yang melebih-lebihkan pendatang asing atau orang luar sehingga hak peribumi terabai dan terhakis sedikit demi sedikit. Raja Kuning tidak sesekali meluahkan kekecewaannya terhadap Yang Dipertuan Muda Johor secara langsung namun apabila baginda bertindak menempah caping emas yang berukuran sehasta, itu petanda awal untuk baginda tidak digauli oleh suaminya dalam tempoh tertentu. Caping pada zaman feudal adalah lambang maruah dan penghormatan kaum wanita.
Sebagai pemerintah Patani, Raja Kuning sudah tentu mempunyai kuasa namun dalam hal ini baginda tidak menunjukkan kuasanya atau menyalahgunakan kuasanya. Realitinya rakyat mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin dan pemerintah dalam konteks negara demokrasi. Namun begitu, rakyat juga memilih untuk tidak bertindak melulu dan menderhaka kepada pemerintah dan pemimpin seperti mana peristiwa waadat Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Rakyat akan menumpahkan taat setia kepada pemerintah selagi pemerintah tidak mengkhianati rakyat jelata.
Kesimpulan
Umum sedia maklum akan kedudukan geografi negeri Ujung Tanah dengan negara jiran tetangga di persempadanan. Keterbukaan kerajaan negeri memberi laluan kepada warga asing di zon antarabangsa sedikit sebanyak menyebabkan pemilikan hak warga tempatan terjejas kerana terpaksa bersaing dengan kuasa beli dari luar. Tidak dinafikan, galakan kemasukan pelabur syarikat gergasi dari luar telah merancakkan ekonomi negeri Johor. Pelaburan berjumlah RM80 bilion berjaya merancakkan ekonomi kerajaan negeri dan telah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negeri Johor sehingga wujud 6,898 pekerjaan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan (Berita Harian, 11 November 2023). Namun begitu, dari sudut sosialnya, hal ini menutup pintu syarikat gergasi lain milik anak tempatan dalam persaingan perebutan kuasa ekonomi negeri.
W.B. Rendra telah menebak aspek pembangunan ekonomi dan masalah sosial ini dari kaca mata kepengarangan naskhah Sirat Figura. Hal ini perlu diberikan perhatian serius agar jurang perbezaan ekonomi antara rakyat tempatan dengan warganegara asing tidak begitu ketara. Manakala hak sosial pula dipelihara dan diperkukuh agar tidak timbul penindasan hak dalam pemilikan hartanah di wilayah daksina. Sehingga makalah ini ditulis, kestabilan politik negeri Johor masih kukuh terpelihara. Pertukaran tampuk pemerintahan kerajaan negeri adalah seiring dengan demokrasi yang diamalkan. Kuasa eksekutif berada di dalam kapal yang sama dengan kesultanan negeri. Kedaulatan dan kebijaksanaan sultan yang memerintah mengukuhkan lagi jentera pentadbiran negeri.