HIBA dan sebak bertaut di tangkai hati saat aku melihat di kaca televisyen tentang hakikat kemusnahan sebuah kehidupan. Hanyutnya syurga kediaman. Tragedi Disember kembali menghantui. Langit menumpahkan segala isinya dan bagaikan mimpi ngeri, air naik mendadak memenuhi ruang kediaman. Jika sebelum ini aku sendiri yang menghadapi banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh, namun kali ini aku menyaksikan pula musibah tersebut berlaku di kampung sebelahku.
Aku pernah menulis sebuah cerpen berjudul “Gerimis Disember” dalam buku Antologi Puisi dan Cerpen Bah Kuning. Peristiwa tersebut berlaku di negeri kelahiranku, Kelantan. Aku bukanlah sesiapa dan hanya pencatat biasa. Hanya doa yang mampu kukirim buat saudaraku yang ditimpa musibah banjir pada tahun ini. Doaku supaya mereka reda menerima segala takdir ketentuan-Nya.
***
Pagi itu hujan agak lebat. Bumi bagaikan malam kelam, gelap-gelita tanpa cahaya. Hujan masih lagi tidak berhenti dan air sungai kian melimpah. Kebiasaannya, hujan yang lebat akan menyebabkan sesetengah kawasan rendah dinaiki air, begitu juga dengan kawasan perumahan. Sekiranya hujan berterusan tanpa henti, air akan mula masuk ke dalam rumah penduduk.
Tiada tanda-tanda hujan akan berhenti. Turut kedengaran bunyi petir di dada langit. Aku dan adikku, Zash Airel, selalu ke sawah padi untuk melihat air banjir di situ. Pada hari pertama, air banjir masih tidak memenuhi sawah padi. Kami sekeluarga merasakan bahawa pada tahun ini tidak akan berlaku banjir besar. Namun keesokan harinya, hujan turun mencurah-curah tanpa henti. Kawasan luar pagar rumah aku dipenuhi air. Aku gelisah memikirkan nasib haiwan peliharaanku sekiranya air masuk ke dalam rumahku. Kerja memindahkan kesemua kucingku bukanlah mudah jika melibatkan puluhan ekor.
Pada petang itu, aku dan adik keluar sekali lagi untuk melihat keadaan air di sawah padi. Kami sudah biasa ke sawah padi jika ada masa terluang. Kami gemar memancing ikan sambil menikmati suasana kampung di sekitar sawah padi. Tambahan pula aku seorang pencinta alam. Pemandangan di sawah padi bagiku mendamaikan jiwa. Banyak ikan yang berjaya kami tangkap dan selalu dibawa pulang ialah ikan puyu, ikan haruan, ikan sepat dan ikan sebarau. Memancing sekadar hobi kami dan ikan yang terkena umpan pula tidak dijadikan lauk kami sekeluarga kerana aku bukanlah orang yang suka makan ikan darat. Aku sekadar memelihara ikan-ikan tersebut.
Air yang memenuhi sawah padi tidak memungkinkan kami ke sana, apatah lagi ketika hujan lebat pada waktu malam. Padi yang ditenggelami air banjir akan rosak. Begitulah lumrah hidup sang petani, jika musibah datang, mereka harus berlapang dada dan terima takdir dengan hati yang terbuka.
Hujan yang tiada henti merisaukan hati kami sekeluarga. Kebimbangan itu rupanya menjadi kenyataan apabila aku dan keluarga mendengar berita mengenai banjir yang melanda di sesetengah tempat.
Inilah lumrah kehidupan kami di pantai Timur. Aku risau sekiranya tragedi Disember 2014 berulang kembali. Hanya doa mampu kupohon supaya dijauhkan daripada bencana alam yang dahsyat.
Ketakutan yang menyelubungi jiwaku semakin jelas kerana ketiga-tiga negeri di pantai Timur telah dilanda banjir. Hujan yang tidak berhenti memaksa penduduk supaya berpindah kerana air semakin naik dan masuk ke dalam rumah-masing-masing. Banjir pada tahun ini lebih buruk dari tahun 2014.
Banyak berita yang tidak sahih ditularkan ketika musim banjir. Ada yang mengatakan bahawa bukit telah pecah dan menyebabkan air melimpah di sekitar kawasan tempat tinggalku. Kekhuatiran itu semakin mencengkam jiwaku kerana aku pernah mengalami pengalaman banjir yang begitu memeritkan pada tahun 2014. Aku melihat air banjir yang dikenali sebagai ‘bah kuning’ memasuki kawasan persekitaran rumah dengan derasnya, bagaikan tsunami yang mengganas. Pengalaman dan sejarah itu membuatkan jiwaku bertambah pilu. Aku menyerahkan semuanya pada Allah SWT.
Lebih memeritkan hatiku adalah apabila aku mendengar khabar bahawa rumah bapa saudara dan sepupuku di Patani, Thailand turut mengalami banjir. Ramai mangsa banjir telah meninggal dunia disebabkan oleh bantuan yang lambat tiba dan ada juga yang tidak sempat berpindah. Aliran air banjir begitu deras menyebabkan perahu penduduk terbalik. Mereka terkapai-kapai meminta pertolongan. Ada antara mereka berjaya diselamatkan dan ada juga yang terkorban dalam sekelip mata. Segala harta benda musnah dan tidak dapat diselamatkan. Hanya tinggal lumpur yang bersalut duka. Sungguh benar gelora banjir tidak mengenal belas.
Aku menghubungi keluarga angkatku yang tinggal di Sungai Pergau, Jeli. Mereka memberitahu bahawa air naik begitu mendadak di sana. Aku bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat. Hal ini kerana rumah mereka diperbuat dari pokok kayu besar yang ditebang di belakang rumah. Hasil pokok yang ditebang itulah terbinanya rumah dua tingkat yang kukuh dan mampu menyelamatkan diri daripada banjir besar. Aku perasan pemilik rumah di kawasan Rantau Panjang, Kelantan banyak mendirikan rumah yang bertingkat-tingkat, tiangnya semua tinggi. Jika berlaku banjir, mereka akan berpindah ke tingkat atas untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda. Bantuan seperti makanan dan pakaian banyak diberikan kepada mangsa banjir untuk meringankan beban mereka.
Musibah banjir ini juga sebenarnya dapat menguji iman dan ketakwaan manusia di sisi Allah supaya sentiasa menginsafi diri. Setiap yang berlaku di dunia ini adalah dengan keizinan Allah SWT dan pastinya ada hikmah yang diperoleh daripada ujian ini. Semoga pada tahun akan datang, sinar kebahagiaan akan hadir buat mereka yang ditimpa ujian.