SIAPA bilang masa tidak boleh mundur ke belakang? Masa boleh sahaja berhenti ketika waktu menjadi kaku atau detik bertukar statik.
Di desa suamiku, telah aku alami betapa masa benar-benar berputar kembali dan diriku terlontar ke belakang zaman. Matahari, bumi dan bulan tetap beredar. Kalendar tahunan silih bertukar tetapi aku merasakan masa seperti tidak berganjak. Nadi detik telah terhenti dan mati di dalam hatiku pada hari pertama aku memijakkan kaki di situ sepuluh tahun yang lampau.
Ketika jarum saat, minit atau jam tetap berdetik, hari kelmarin berkisar pergi, hari ini menginjak tiba dan esok bakal menjengah. Ketika kitaran pagi beralih ke petang dan siang surut menjadi malam, yang kemudian memunculkan hari baharu, minggu, bulan, tahun dan seterusnya. Namun terasa diriku telah ditolak puluhan tahun ke zaman silam. Bagai zaman nenekku ketika berusia remaja.
Yang berbeza hanya cara aku berpakaian. Di desa itu, akulah satu-satunya wanita yang berseluar jean ketika gadis-gadis lain masih berkain batik. Tidak keterlaluan jikalau kukatakan sisi prasarana dan fasilitet di sini jauh ketinggalan zaman, seolah-olah era Malaya sebelum merdeka.
Rumah mentuaku sebahagiannya beratapkan daun lalang kering yang dipadatkan, berdinding buluh serta bergelegar dan berlantaikan nibung. Keistimewaan desa ini cuma satu, iaitu mendulang emas. Pekerjaan ini menjadi tradisi utama majoriti penduduk. Tetapi anehnya, pemerintah melarang keras penggunaan jentera untuk kerja melombong. Walau mendulang itu tidak efisien dan tidak produktif, namun bak kata orang biarlah lambat, asalkan berterusan. Jika jentera dibenarkan, mungkin lebih 50% daripada penghuni daerah itu akan kehilangan pekerjaan, selain risiko kerosakan ekosistem. Selebihnya memunculkan haloba dan perlumbaan sesama sendiri yang bakal mengundang permusuhan.
Sementara tradisi bertani, bersawah dan menternak menjadi tunjang kegiatan yang sudah mendarah daging, walaupun hasilnya lambat dan kurang lumayan. Seharian membanting tulang di sawah, hasilnya dituai berbulan-bulan kemudiannya. Berbeza pula dengan mendulang. Hanya seminggu atau dua minggu berusaha, serbuk kuning itu sudah mampu menjelmakan kepingan rupiah.
Namun suamiku, Doni, ialah seorang lelaki yang berbeza. Dia enggan menjadi pendulang emas yang pendapatannya antara RM12 hingga RM15 seminggu. Suamiku lelaki berani yang sanggup menyeberang provinsi, merentas sempadan negara dan lautan untuk mempertaruhkan nasib di rantau orang. Sehingga akhirnya kami berdua dipertemukan Tuhan. Berkenalan dalam tempoh sebulan, terus kami berdua jatuh cinta.
***
“Bernikah?” suaraku gementar apabila menerima cadangan Doni.
“Mengapa sayang?” ujar Doni.
“Sudah tentu ibu bapaku tidak merestui. Aku muda amat. Keputusan SPMku belum lagi keluar,” suaraku sedikit resah.
“Sayang, usah khuatir. Aku rencanakan kamu hijrah sahaja ke desaku. Di sana kita bernikah, dan kamu secara rasmi menjadi permaisuriku yang sah sekali gus menjadi ratu keluargaku. Kamu akan dilayan bagaikan puteri raja dari keraton,” Doni menambah.
Siapa pun pasti teruja mendengar pujukan mulus begitu daripada lisan lelaki yang dicintai. Akhirnya tanpa memberitahu sesiapa, aku nekad mengikut lelaki itu ke Johor. Kami menaiki bot di Stulang Laut menuju ke Batam sebelum menaiki kapal ke pulau tanah leluhur Doni. Pelayaran kami kurang lebih empat hari. Hari ketiga selepas aku tiba di desa itu, terus kami disatukan dalam majlis perkahwinan mengikut lunas agama dan budaya setempat yang pekat.
Memang benar, aku dirai bagaikan puteri kayangan. Bukan dari segi material, tetapi kemesraan dan penghormatannya luar biasa. Suamiku disanjung para pria di sana kerana pada ukuran mereka, kehebatan dan harga diri seorang lelaki melonjak tinggi apabila sang jejaka berupaya membawa pulang wanita asing sebagai isteri, apa lagi jika gadis itu dari Malaysia.
“Permaisuriku, kamu harus kental. Sebagaimana aku juga pernah tegar menjinakkan dialek percakapan daerahmu, pemakanan dan segala macam, sehingga akhirnya aku terbiasa sendiri,” ujar Doni.
“Aku tidak cukup betah Doni,” kata-kataku itu disusuli air mata.
“Aku faham perasaanmu sayang. Aku percaya ini cuma sementara. Justeru aku sentiasa sabar menantikan hatimu bertukar lunak,” Doni memujuk.
Tiga bulan pertama aku bergelar isteri Doni merupakan waktu yang agak mencabar. Lidahku tidak mampu menerima rasa makanan di sini dan bahasa harian yang sangat asing. Syukurlah, ibu bapa mentuaku orangnya baik. Mereka tidak mengambil hati ketika aku berbicara menggunakan isyarat badan.
Memasuki bulan keempat, aku mulai belajar sedikit demi sedikit bahasa harian mereka. Ternyata hubungan kami semakin akrab dan meriah. Sehingga suatu hari yang tidak terduga, susuk ayahku tiba-tiba muncul di halaman rumah. Ayah ditemani seorang kawannya dan dua orang rakyat tempatan yang dibayar upah untuk mengesan lokasi aku berada sekali gus menjadi perantara dan pengiring.
Aku masih ingat ketika itu hari sudah separuh petang. Tidak kusangka seorang ayah sanggup menempah bahaya untuk bertemu dengan anaknya ini. Hanya tangis dan esakan dapat kuluahkan ketika itu. Ayahku datang sekadar untuk melepaskan rindu sahaja. Kata ayah, dia bukan datang untuk mengambil aku kembali ke kampung halaman kami. Itu juga yang diberitahu berkali-kali oleh dua lelaki tempatan itu sebaik menemui suami dan mentuaku.
Malam itu ayah bermalam di situ dan esoknya akan bertolak pulang ke Malaysia. Mujur dua lelaki tempatan itu, Anto dan Endi, setia menemani ayah demi menjawab pertanyaan bertalu-talu daripada sanak saudara dan tetangga suami yang datang mengerumuni rumah mentuaku malam itu. Mereka khuatir kalau-kalau ayahku datang dengan hasrat mahu merampas diriku dan membawaku kembali ke Malaysia. Bagi mereka, hal seperti ini bertentangan dengan adat masyarakat Sasak di pulau ini dan sudah tentu mengaibkan keluarga lelaki.
Selama aku di sana, pernah aku menyaksikan upacara merariq yang sudah diamalkan sejak 15 generasi itu di depan mataku. Adat ini dimulakan apabila bapa mentuaku selaku ketua adat didatangi oleh lelaki bernama Samudera bersama tujuh lagi pemuda yang lengkap berpakaian tradisi. Mereka mempersembahkan khabar sebenar tentang seorang pria pulau ini menculik seorang gadis luar untuk dijadikan isteri. Peristiwa ini seolah-olah sama seperti menimpa diriku.
Malam itu aku merayu Doni agar melepaskan aku pulang bersama ayah. Namun permintaanku ditolak. Doni hanya mengatakan ‘tidak bisa,’ tetapi tidak menyatakan alasannya. Malam itu aku tidak dapat melelapkan mata walau sepicing.
Tiba saat berangkat paginya, ketika di halaman, ayahku memeluk Doni dan mengingatkan agar menjaga aku dengan baik. Banyakkan bersabar dengan setiap kerenahku. Pesan ayah lagi, ajari aku kerana aku masih mentah.
“Ayah dan ibu di Malaysia mengalu-alukan kamu sebagai menantu. Ayah mempelawa kamu dan Rina untuk berziarah ibunya kerana ibu di sana amat merindui anak perempuannya ini. Tetapi dengan syarat, kamu harus berangkat secara sah dan legal. Ayah beri kamu wang agar dapat diusahakan pasport dan seumpamanya. Jika kamu enggan, bererti kamu menafikan diriku sebagai bapa mentuamu,” ujar ayah.
Mendengar kata-kata ayah itu seakan-akan tegas tetapi cukup santun. Kulihat Doni seperti serba salah.
Kesempatan itu aku memeluk Doni dan kemudian melutut agar dia membenarkan aku pulang bersama ayah. Kelak aku di Malaysia akan sentiasa menunggu ketibaannya.
Ketika itu ayah merapati kami dan berbisik sambil memegang bahu Doni.
“Jika kamu berhati mulia, kasihanilah isterimu. Izinkan dia pulang bersamaku. Ayah beri kamu empat ribu ringgit buat urus biaya pemergian kamu ke Malaysia. Jika kamu menolak, tak mengapalah. Ayah tidak boleh berbuat apa-apa. Anakku ini sudah jadi milikmu. Maka, selamat tinggal,” ayah memutuskan kata-kata.
Aku meraung. Merayu dan terus merayu. Akhirnya Doni setuju melepaskan aku pulang bersama ayah. Aku berasa bagaikan terbebas dari belenggu derita. Aku segera naik ke rumah, terus ke kamar dan mengambil sebahagian barangan peribadi yang perlu. Aku turun semula ke halaman lantas memeluk dan mencium ibu mentua dan bersalam dengan bapa mentuaku dengan tangisan.
Lama juga aku berpelukan dengan Doni. Sebelum dia lepaskan pelukan, setelah berkali-kali Anto mengarahkan kami menaiki jip untuk segera beredar. Sebagai menepati janji, ayah memberi Doni sebanyak lima ribu ringgit. Kata ayah, empat ribu buat kamu dan seribu ringgit lagi hadiah buat bapa. Ayah juga berulang kali mengingatkan Doni agar segera menyusul.
“Jangan sampai isterimu kurus kering kerana merindui kamu,” gurau ayah.
Syukurlah, suamiku tidak pernah khuatir akan kesetiaanku. Dia tahu aku amat tulus. Tidak pernah aku bohonginya walau sekecil perkara. Aku tinggalkan Doni dengan linangan air mata, sementara dia terpacak di halaman sambil merenungku. Perpisahan buat sementara itu berlangsung dengan penuh syahdu dan kasih sayang.
***
Lebih sebulan aku kembali ke kampung halaman, suami tercinta tidak juga tiba. Kami beberapa kali berhubungan melalui telefon ketika Doni bertandang ke bandar. Doni bilang, dia akan ke Malaysia namun tarikhnya belum dapat ditetapkan.
Beberapa minggu berselang, Doni tidak lagi menghubungiku. Sehingga suatu hari, aku menerima panggilan daripada sahabat Doni yang menyatakan suamiku mendapat kemalangan. Dia sertakan foto Doni dalam wad di rumah sakit. Bukan itu sahaja, hari itu aku dikejutkan dengan ujian air kencing yang menunjukkan diriku telah hamil. Rinduku kepada Doni sudah tidak mampu ditanggung lagi.
Aku memohon kepada ayah untuk kembali menemui Doni. Aku yakinkan ayah dan ibu bahawa aku sanggup untuk jalani hidup yang sukar asalkan dapat bersama Doni. Ayah seperti yang aku jangka, tidak melarang tetapi katanya dia tidak akan menjejaki lagi aku buat kali kedua. Sementara ibu pula menangis. Aku tahu tangisan itu bererti melarang. Sehingga aku beritahu bahawa diriku sudah berbadan dua, tangisan ibu semakin ketara. Ibu membawa dirinya dan hanya berkurung di dalam bilik.
Saat itu aku menjadi serba salah. Antara kasih keluarga dan cinta kepada suami. Antara kehidupan sederhana dan selesa di kampung halaman, dengan daerah sengsara di desa suami. Akhirnya aku tetap memilih untuk bersama Doni. Alasanku, demi anak dalam kandungan ini. Walau sukar untuk mendapat restu ayah dan ibu seratus persen, aku harapkan ada doa terselit di hatinya nanti.
Aku berangkat ke desa kelahiran suami. Ketika itu kesihatannya masih belum pulih. Aku dapati sebahagian rumah mentuaku sudah bertukar wajah.
Aku mengesyaki biaya penambahbaikan rumah itu datangnya daripada wang yang ayahku berikan kepada Doni sebagai tukaran diriku dahulu. Namun aku enggan peduli.
Aku pantas menyesuaikan diri hidup di situ. Doni sebaik sahaja beransur pulih, menggagahkan dirinya menjadi pendulang. Aku turut membantunya menambah pendapatan dengan menternak lembu, selain turut turun ke bendang. Tidak terbayangkan bahawa diriku sanggup melakukan kerja-kerja sawah dek kerana desakan hidup. Aku reda dalam terpaksa.
Barangkali sudah tertulis di garis takdir laluan hidupku. Rindu kepada keluarga di kampung halaman, kusembunyikan dalam peti besi yang terkunci rapat. Malah anak kuncinya, aku serahkan kepada Doni. Demikianlah kelangsungan hidupku beberapa tahun. Aku bahagia hidup bersama Doni, bersama satu-satunya puteri kami yang kini berusia delapan tahun.
Namun, ujian hidup tidak pernah terduga. Tuhan telah mengambil Doni dariku setahun yang lalu. Semenjak ketiadaan Doni, detik dan masa benar-benar terhenti, bukan lagi tanggap-tanggapan atau sekadar metafora. Setiap saat aku mahukan detik berputar semula agar Doni dapat kembali ke pangkuanku.
Hidupku terasa amat kosong tanpa Doni. Tiada lagi manusia yang sudi memanjakan diriku dengan panggilan permaisuri. Hari demi hari diriku semakin tidak terurus. Kerja sawah dan lembu ternak terabai, di luar kendali. Bapa mentua mencadangkan aku menerima lamaran seorang duda buat menggantikan Doni, tetapi aku menolak dengan keras. Kukatakan dalam hatiku hanya ada Doni.
Kadang-kadang seharian aku terlupa untuk makan. Setiap hari aku berulang-alik ke pusara Doni. Hal ini merisaukan kedua-dua mentuaku, sehingga mereka mengusulkan kepada aku dan puteriku supaya pulang seketika ke Malaysia untuk istirahat. Dicadangkan biaya perjalanan kami supaya menggunakan hasil daripada jualan sebahagian lembu peliharaanku.
“Kamu tidak bisa terus begini. Bapak sendiri bingung apa akan terjadi nanti. Anakku, bapak yakin pasti ibu bapamu di Malaysia menanti kepulangan kamu. Kemaafan mereka berdua akan bisa mengembalikan semangat buat kamu,” ujar bapa mentuaku. Aku tidak menyangka begitu pula saranan mentuaku.
Akhirnya aku diusahakan pulang ketika suasana negara ini teruk diserang COVID-19. Pelbagai prosedur perlu aku depani. Sesampai di tanah air seminggu yang lalu, sehingga saat ini aku masih belum berkesempatan menemui ibu dan ayah.
Aku segera dihantar ke pusat kuarantin oleh pihak berwajib dan usai tempoh ini nanti, ayah telah berjanji akan datang menjemputku. Ketika aku dibawa ke pusat kuarantin, sepanjang jalan kulihat di kiri dan kanan penuh dengan kibaran Jalur Gemilang. Baharulah aku teringat bulan ini negaraku menyambut bulan kemerdekaan. Lantas aku berjanji, usai melewati tempoh kuarantin nanti, diriku juga harus turut berasa merdeka.
Semoga menjelang minggu hadapan, detik yang terhenti sekian lama dalam diriku dapat meluncur kembali di atas landasan waktu. Sudah masanya aku kembali menjadi diriku yang asal, demi puteriku yang satu-satunya ini.
“Puteri, ayuh kita hadiahkan al-Fatihah buat papamu,” aku bernada sebak.
“Baik bu,” Puteri menadah tangan.