Skip to content
Ahmad
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Ahmad
Ahmad
Cerpen

Ahmad

  • AUNIL FAQIHAH
  • 20 Mei 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 58
  • 3.8

CIKGU AUNIL meneliti jam di tangan kanannya. Waktu sudah menginjak ke pukul 11.10 pagi. Waktu ini dia harus segera ke kelas 4 Genius. Apabila mengingatkan Kelas 4 Genius, dia mulai terbayang akan wajah Ahmad. Wajah anak murid istimewa yang selalu membuatkan emosinya sedikit terganggu.

Murid lain tidak banyak kerenah, hanya Ahmad sahaja yang selalu mencari masalah dengannya. Ahmad tidak mahu mendengar arahannya. Ahmad yang selalu menaikkan darahnya. Dia tahu Ahmad anak istimewa yang menghadapi masalah autisme. Namun begitu, benteng kesabarannya selalu runtuh setiap kali berhadapan dengan kerenah Ahmad. Setiap kali masuk ke kelas 4 Genius, pasti Ahmad akan didenda. Ada sahaja masalah yang dibawanya.

Seusai membuat salinan kertas latihan untuk kelas 4 Genius, Cikgu Aunil bergegas menuruni tangga bilik guru menuju ke kelas tersebut. Melangkah masuk sahaja ke dalam kelas, kelihatan Ahmad sedang berdiri di hadapan Alia, murid Sindrom Down yang berwajah manis. Namun, ketika ini wajah Alia mencuka menahan marah.

“Ahmad, duduk di tempat awak sekarang!” arah Cikgu Aunil dengan suara yang sedikit keras. Dia mahu memulakan pembelajaran dengan segera.

Namun, Ahmad hanya memandang Cikgu Aunil dengan wajah tanpa rasa bersalah. Dia masih tidak berganjak dari tempat duduk Alia.

“Ahmad!” Cikgu Aunil bersuara lebih keras. Matanya membulat memandang Ahmad dengan reaksi marah.

Namun begitu, Ahmad masih kaku di situ. Ketika Cikgu Aunil berjalan menuju ke arahnya, barulah anak istimewa itu perlahan-lahan bergerak ke tempat duduknya.

 Adam bangun dan mula mengucapkan salam. Kemudian diikuti oleh semua murid 4 Genius. Kemudian Lokman bangun dan membacakan doa memulakan kelas. Selesai sahaja Lokman membaca doa, Ahmad bangun dan mula berdiri di hadapan Alia sekali lagi.

“Baiklah, cikgu mahu kita ulang kaji sama-sama ya. Minggu depan kita akan mula peperiksaan,” kata Cikgu Aunil memulakan kelas. Dia memberikan kertas soalan kepada Adam untuk diedarkan.

“Cikgu tengok Ahmad ni?” Alia bersuara dari tempat duduknya di belakang. “Pergilah!” marah Alia.

Ahmad masih membatu di hadapan Alia, tidak berganjak walaupun Cikgu Aunil menyuruh dia beredar.

“Alia, awak ada buat salah dengan Ahmad, ya?” tanya Cikgu Aunil lembut memohon penjelasan daripada Alia.

“Tak, cikgu. Dia nak patung beruang saya,” kata Alia lalu memasukkan patung itu ke dalam begnya.

“Beruang Ahmad punya. Bukan Alia punya. Ayah yang beli,” kata Ahmad.

Suaranya hampir menangis.

“Ahmad, awak nak jumpa Cikgu Armin, ke?” ugut Cikgu Aunil sambil mengetap bibir menahan amarah.

Ahmad memandang Cikgu Aunil dengan muka berkerut. Dia mulai berasa takut apabila nama Cikgu Armin disebut.  Ahmad seperti dapat melihat wajah garang cikgu disiplin Sekolah Pendidikan Khas Cempakasari di hadapan matanya. Wajah itu benar-benar menakutkannya.

Lalu dengan perlahan-lahan, Ahmad balik ke tempat duduknya dengan wajah yang muram dan sedih. Dia duduk dan kemudian mengesat air matanya yang perlahan mengalir. Ahmad cuba menahan esakannya.

“Okey, kita ulang kaji pelajaran semalam. Semua masih ingat?” soal Cikgu Aunil kepada 10 orang muridnya. Ada yang menjawab ingat dan ada yang langsung tidak bersuara.

  “Semua sudah lupa ya apa yang cikgu ajar semalam?” sambungnya lagi lalu berpusing menghadap anak muridnya. Kelihatan Ahmad kembali berada di hadapan meja Alia lagi.

“Alia, bagi saya patung beruang tu,” kata Cikgu Aunil lalu mengambilnya daripada Alia. Dia memasukkan patung beruang itu ke dalam beg tangannya.

Ahmad hanya memandang dengan wajah yang muram. Cikgu Aunil tidak mempedulikan Ahmad dan meneruskan kelasnya.

Setelah 15 minit memulakan kelas, kelihatan Ahmad berdiri di hadapan meja guru yang terdapat beg tangan Cikgu Aunil. Perbuatan Ahmad benar-benar membuatkan Cikgu Aunil hilang kesabaran.

Apabila Cikgu Aunil ugut mahu membawa dia kepada Cikgu Armin, Ahmad menggeleng tetapi masih tidak berganjak dari meja guru. Apabila melihat keadaan Ahmad demikian, Cikgu Aunil malas mahu melayan kerenah Ahmad. Dia meneruskan kelasnya tanpa mempedulikan Ahmad.

Seusai kelas dan mengucapkan selamat pulang, Ahmad mengekori Cikgu Aunil.

“Ahmad, patung beruang ni bukan milik Ahmad. Ini Alia yang punya. Mana boleh ambil mainan orang lain,” kata Cikgu Aunil cuba memujuk Ahmad dengan lembut.

“Beruang Ahmad punya. Ayah beli,” katanya perlahan. Beberapa titik air jernih jatuh dari kelopak matanya.

“Berdosa tahu  Ahmad tipu cikgu! Ahmad boleh balik sekarang. Nanti ayah Ahmad cari pula,” kata Cikgu Aunil lalu menaiki tangga ke bilik guru.

Ahmad mengekori Cikgu Aunil.

Setengah jam kemudian, Cikgu Aunil melihat Ahmad masih berada di hadapan pintu bilik guru. Wajahnya muram.

“Beruang Ahmad punya,” katanya apabila melihat Cikgu Aunil berdiri di hadapannya.

Tiba-tiba kelihatan bapa Ahmad berlari tercungap-cungap mendapatkan Ahmad.

“Oh, kat sini Ahmad rupa-rupanya. Puas ayah cari Ahmad di dalam kelas tapi tak ada,” kata bapanya sambil memeluk Ahmad dengan perasaan lega.

“Beruang Ahmad punya. Ayah beli,” katanya lagi. Suaranya tersangkut-sangkut menahan sebak.

“Encik Rahmat, patung beruang tu milik Alia. Ahmad mengaku katanya dia yang punya,” beritahu Cikgu Aunil mengharapkan bapa Ahmad memahami situasi yang sedang berlaku.

“Macam mana rupa patung beruang tu, cikgu? Boleh saya tengok,” kata Encik Rahmat lembut sambil tersenyum. Wajahnya tenang dan memahami maksud guru anaknya itu.

Cikgu Aunil kemudiannya masuk ke bilik guru dan mengambil patung itu lalu menunjukkannya kepada Encik Rahmat. 

 “Ooo, maafkan saya, cikgu. Kalau tak salah saya, ini memang Ahmad punya. Saya yang belikan untuk dia semalam,” kata Encik Rahmat sambil tersenyum lega melihat patung beruang berwarna putih itu. Dia tidak tersalah tengok. Itu memang milik Ahmad.

Cikgu Aunil terdiam. Juga terkejut sebenarnya. Dia malu sendiri kerana sudah tersilap membuat pertimbangan. Dengan gerakan perlahan, dia menghulurkan patung beruang itu kepada Ahmad.

Tanpa berkata apa-apa, Ahmad melompat gembira lalu menarik tangan ayahnya untuk segera pulang.

Cikgu Aunil hanya memandang tanpa sempat meminta maaf kepada Ahmad.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (14) #komsas (2) #penulis (4) #penulisbaharu (14) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (9) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (23) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) ramadhan (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Haji Mohd Khairy Penulis Satira Prolifik dari Wilayah Selatan
Tokoh

Haji Mohd Khairy Penulis Satira Prolifik dari Wilayah Selatan

  • 5 September 2023
  • 145
  • 5
سجاده غزة
Puisi Moden

سجاده غزة

  • 20 November 2023
  • 5
Kata-kata yang Menatap Cermin
Puisi

Kata-kata yang Menatap Cermin

  • 4 September 2023
  • 88
  • 4.1
Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara
Sejarah dan Budaya

Pementasan Teater “Manek Sulamkan Si Ayer Mata” Memartabatkan Seni dan Budaya Masyarakat Baba Nyonya sebagai Warisan Negara

  • 5 Januari 2025
  • 70

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP