Di celah senyap waktu yang berlalu,
aku menebar angan di batas buku.
Bukan untuk mengukir sejarah,
tetapi untuk jiwa yang masih merah.
Kucanai ilmu dari debu berserak,
kutadah ilham dari langit yang retak.
Dalam bisik malam yang berat,
aku menulis bukan dengan dakwat,
tetapi dengan luka yang pekat.
Namaku tak perlu disebut,
tiada gema dalam pidato mahsyur.
Aku hanyalah suara kecil,
yang membisik arah,
kepada anak-anak tanpa peta.
Di papan tulis usang
dan kapur yang patah,
kuajarkan harapan,
dari huruf-huruf sederhana.
Kadangkala, aku tersenyum sendiri
hidup bukan soal dikenang,
tetapi soal memberi, seikhlas hati.
Wahai tanah yang kucinta,
dalam basah peluh dan waktu yang menua,
kupikul merdeka,
bukan sekadar dari penjajah,
tetapi dari gelita,
yang menyamar cahaya.
Biar mahkotaku ini memutih
seperti awan di langit mesra,
biar temulangku diremuk masa,
selagi nafasku bersisa,
aku akan perjuangkan cita,
mendidik anak bangsa,
kerana itu caraku mencinta.