Skip to content
Anai-anai dalam Kayu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Anai-anai dalam Kayu
Anai-anai dalam Kayu
Cerpen

Anai-anai dalam Kayu

  • S Aidil
  • 24 April 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 42
  • 4.5

DI sebuah rumah lama yang diwariskan dari tiga generasi, Hanin berdiri di tengah-tengah ruang tamu. Tangannya menyentuh dinding kayu yang kini tidak lagi seindah dahulu. Ada goresan kecil, retak yang halus dan serbuk-serbuk kayu di lantai. Dia tahu ini kerja anai-anai, makhluk kecil yang tidak pernah berteriak, tetapi gigih menakluki tanpa ampun.

“Kayu ini kukuh, tidak akan tumbang,” kata ibunya dahulu, penuh keyakinan.

Namun Hanin tahu, keyakinan itu hanya perhiasan untuk membutakan kenyataan.

Setiap pagi, Hanin akan menyapu serbuk-serbuk kayu yang berjatuh-jatuhan, seperti menyapu dosa-dosa kecil yang cuba disembunyikan. Di luar, rumah itu masih tampak gagah. Orang kampung memujinya, mengatakan rumah itu lambang keteguhan keluarga. Namun, mereka tidak tahu apakah yang sedang bersarang di dalamnya.

“Dari luar nampak cantik, tapi dalamnya penuh anai-anai,” kata Hanin sinis kepada dirinya sendiri sembari serbuk-serbuk kayu itu dibuang ke dalam plastik sampah.

Di balik kayu itu, ada cerita yang tidak pernah mati. Setiap dinding, setiap tiang, menyimpan kenangan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Di situ ibunya menggendongnya ketika kecil. Di situ juga ayahnya pernah memaku gambar perkahwinan mereka, sebelum gambar itu diturunkan selepas pergaduhan terakhir.

Namun, dinding ini juga menyimpan rasa pedih. Seperti dinding itu, Hanin juga pernah digeragoti perlahan-lahan oleh kepercayaan yang dikhianati.

“Jangan mudah percaya kata-kata orang,” pesan ibunya dahulu. Namun Hanin, seperti kayu rumah itu, telah belajar daripada gigitan-gigitan kecil yang mengubahnya dari dalam.

Hanin melihat dirinya dalam kayu itu. Seperti rumah ini, dia juga berperang dengan anai-anai. Namun, anai-anai dalam dirinya berbentuk manusia. Mereka datang dengan senyuman manis, kata-kata lembut, seolah-olah sahabat sejati, tetapi secara perlahan-lahan, mereka mula menggigit. Bukan dengan gigi, tetapi dengan kepercayaan yang dirobek sedikit demi sedikit.

Ada Lydia, isteri kepada arwah abangnya yang dahulu memuji Hanin setiap kali mereka bertemu. “Kau bijak, Hanin. Tanpa kau, siapa yang boleh uruskan tanah warisan ini?” kata Lydia, dengan mata yang seolah-olah melihat angka dalam tanah itu, bukan sahabatnya.

Hanin tidak membalas. Dia tahu pujian itu palsu, seperti permaidani cantik yang menutup lantai yang hampir runtuh. Lydia bukan peduli tentang kayu rumah ini, apatah lagi tentang Hanin. Dia hanya menunggu masa untuk merebut warisan, menunggu kayu itu bertukar menjadi kertas  yang bernilai, atau akhirnya rapuh hingga mudah dipatahkan.

Kemudian, ada Rafiq, sepupu yang datang bertandang ketika hari raya.

“Hanin, rumah ini perlu dijual. Duitnya kau boleh bahagi sama rata. Untuk kebaikan semua,” katanya dengan nada bijaksana, seolah-olah dia peduli.

Hanin tersenyum sinis setiap kali mendengar cadangan itu. Bagi Rafiq, rumah ini bukan simbol keluarga, bukan kenangan. Rumah ini hanya angka di atas sekeping cek yang dia harap dapat ditandatangani segera.

Anai-anai tidak pernah kenyang, fikir Hanin. Mereka tidak akan berhenti sehingga segala yang kukuh menjadi kosong, sehingga tiada lagi kayu untuk dijamah. Manusia juga begitu. Mereka datang, membawa senyuman, tetapi matanya menceritakan sesuatu yang lain. Lapar yang tidak pernah puas.

Pada suatu malam, Hanin berdiri di depan cermin. Wajahnya tampak penat, rambutnya kusut. Dia mula bertanya, adakah dia juga sebenarnya seekor anai-anai? Bukankah dia juga menggigit hati orang lain dalam diam, tanpa sedar? Bukankah dia juga pernah menghancurkan kepercayaan, walaupun hanya sedikit? Bukankah dia juga memiliki pegangan dan falsafahnya sendiri? Persis orang-orang terdekat yang turut sama menyuarakan saranan terbaik bagi kepentingan mereka? Bukankah ini perjuangan atas kepentingan juga?

Namun demikian, Hanin menolak fikiran itu. “Tidak, aku berjuang untuk kayu ini. Untuk rumah ini. Untuk warisan yang masih boleh diselamatkan,” bisiknya kepada diri sendiri, seolah-olah cuba meyakinkan sesuatu yang makin hilang.

Satu malam, Lydia datang lagi, membawa senyuman yang lembut bersarang muslihat. “Hanin, aku tak bermaksud mendesak, tapi kau perlu buat keputusan. Rumah ini terlalu besar untuk kau seorang. Kenapa tak jual saja?” katanya, nada suara penuh simpati palsu setelah beberapa kerat kata pembuka perbualan, pertanyaan khabar waima telah kerap bertemu dan ucapan berbayang peduli dilontarkan.

Hanin hanya memandang wajah Lydia dengan senyuman tawar. “Kau betul, Lydia. Rumah ini besar, terlalu besar untuk semua orang yang tidak tahu menghargai apa-apa yang miliki.”

Lydia terpinga, tidak dapat membaca maksud Hanin. Namun, Hanin tidak peduli. Dia sudah letih bermain permainan ini.

Rafiq pula datang ke rumah dengan alasan membantu. Dia berdiri di dapur, memandang tiang yang mula retak. “Ini bahaya, Hanin. Kalau roboh, boleh mencederakan orang. Kau kena fikir tentang keselamatan,” katanya, seperti seorang yang amat prihatin.

Hanin menahan senyum sinisnya lagi. Keselamatan? Bila masanya orang seperti Rafiq peduli tentang keselamatan? Apa-apa yang dia lihat hanyalah tiang-tiang kayu yang mungkin boleh dijual sebagai bahan binaan.

“Tiang ini sudah berdiri lebih lama daripada umur kau, Rafiq,” jawab Hanin, matanya merenung tepat ke arah sepupunya. “Jika tiang ini runtuh, biarkan ia runtuh kerana usianya, bukan kerana kita yang membiarkan anai-anai menghancurkannya.”

Rafiq mengeluh. “Kau terlalu sentimental. Harta ini tak akan kekal selamanya.”

“Betul, tapi bukan aku yang akan menjualnya pada harga murah, supaya orang lain tiba-tiba kaya kerananya.”

Terngiang perbualan mereka bertiga membuat Hanin tidak tidur malam itu. Dia duduk di ruang tamu dengan lampu kalimantang yang malap, seakan-akan menunggu masa untuk selamanya lelap. Dia memandang setiap inci dinding yang mulai menampakkan kehancurannya. Rumah ini telah banyak mengajar Hanin tentang kehidupan bahawa tidak semua yang kelihatan utuh sebenarnya kuat, bahawa musuh sering datang dengan diam-diam.

Dia mengingat kembali waktu ketika Rafiq dan Lydia mula datang lebih kerap. Pada mulanya, mereka membawa buah tangan, senyuman, dan cerita-cerita indah. setelah itu, semakin lama, setiap kata-kata mereka hanya berbau kepentingan dan terselindung hajat.

Hanin bangkit dan berjalan menuju bilik simpanan. Di sana, ada kotak-kotak lama penuh dokumen keluarga. Dia memegang kertas hak milik rumah itu. Sebuah peringatan tentang siapakah yang sebenar-benarnya memiliki semua ini?

Anai-anai tidak hanya berada di dalam kayu. Kadang-kadang, mereka tinggal dalam jiwa manusia. Dan, manusia-manusia itu lebih berbahaya, kerana mereka datang dengan alasan, bukan gigitan. Tampak ikhlas, namun meminta balas.

Pada suatu pagi, bunyi retakan kedengaran dari dapur. Hanin bergegas. Sebuah tiang kayu akhirnya menyerah kalah, rebah dengan bunyi yang tidak mampu diabaikan. Serbuk-serbuk kayu bertaburan di udara, seperti salji yang menyampaikan berita tentang kejatuhan.

Orang kampung datang membantu, memberi simpati yang tidak diminta. Lydia menawarkan pinjaman belanja untuk berpindah rumah. Rafiq datang dengan kontraktor, membawa anggaran harga untuk merobohkan semuanya.

“Tak perlu,” kata Hanin perlahan tetapi tegas.

Dia tahu rumah ini sudah tiada harapan. Anai-anai telah menang. Namun, dia tidak akan membiarkan mereka mengambil apa-apa yang tertinggal. Dengan tangannya sendiri, dia akan merobohkan kayu-kayu ini, satu per satu, dan membakarnya hingga menjadi abu.

Sambil melakukannya, Hanin tersenyum sinis. “Anai-anai hanya tahu menggigit kayu. Mereka lupa, abu tidak boleh dimakan.”

Dan di bawah matahari yang terik, Hanin berdiri di antara serpihan-serpihan kayu yang pernah menjadi rumahnya, memandang ke langit dengan tekad yang baru. Jika dia harus membina semula, dia akan membina dengan batu, bukan lagi kayu. Anai-anai tidak lagi punya tempat di sini.

Hanin menyimpan impian untuk membangunkan rumah pusaka itu menjadi lebih kukuh. Rumah kayu ini, walau penuh kenangan, tidak lagi sesuai menahan beban masa. Dia mahu menggantikan dinding-dinding retak dengan batu, membina tiang-tiang konkrit yang tahan lama tetapi tidak seorang pun yang menyokongnya.

“Bina semula?” Lydia mengangkat kening, hampir tertawa. “Hanin, kau tahu berapa kosnya? Kau nak gadaikan semua simpanan kau untuk sesuatu yang tidak dihargai oleh sesiapa?”

“Aku tak buat ini untuk sesiapa, Lydia,” balas Hanin tegas. “Aku buat ini untuk menjaga amanah yang ditinggalkan.”

Lydia menggeleng perlahan, senyuman simpati yang palsu masih terukir di wajahnya. “Kau terlalu idealis, Hanin. Kadang-kadang, melepaskan lebih mudah daripada mempertahankan.”

Rafiq juga tidak ketinggalan memberi komentar sinis. “Rumah batu? Kau fikir kau mampu? Rumah kayu pun kau hampir tak dapat menyelenggarakannya. Lagipun, siapa yang nak tinggal di kampung ini? Semua orang sudah pindah ke bandar.”

Kata-kata mereka menusuk hati Hanin. Namun, dia tetap dengan keputusannya. Setiap hujung minggu, dia melawat kedai bahan binaan, bertanya harga batu bata, simen, dan kayu yang lebih kukuh. Dia bekerja lebih masa, menjahit tempahan pakaian malam-malam, menulis dan menghantar cerpen dan novelnya kepada rumah penerbitan, hanya untuk menyimpan sedikit demi sedikit.

Namun begitu, cabaran terbesar bukanlah wang. Ia adalah keyakinan dirinya yang sering digoncang oleh orang terdekat. Ibunya sendiri, walau sakit, sering mengingatkan Hanin bahawa tiada gunanya berusaha terlalu keras. “Hanin, kita bukan orang senang. Rumah ini cukup sampai aku tiada. Jangan seksa dirimu untuk sesuatu yang tidak bertahan lama.”

Namun bagi Hanin, itu bukan sekadar rumah. Itu adalah simbol perjuangan keluarganya. Setiap kali dia berdiri di halaman, memandang struktur kayu tua itu, dia tahu ia berhak diberi nafas baru.

“Batu atau kayu, ia tetap rumah kita,” katanya pada dirinya sendiri pada suatu malam. Namun dia tahu dalam hatinya, untuk melindungi warisan ini, kayu yang rapuh itu perlu diganti.

Hari ini, bagai sukar rasa percaya ditunaskan dalam dirinya perihal betapa impian dan wawasannya untuk membangunkan semula rumah kayu tua ini telah pun menjadi kenyataan. Bagaikan manuskrip yang telah terbit menjadi novel, sebuah puisi yang menjadi lagu. Itulah perasaannya.

“Hanin, kita bukan orang senang. Rumah ini cukup sampai aku tiada. Jangan seksa dirimu untuk sesuatu yang tidak bertahan lama.”

Suara itu pekat melayang dalam kepalanya, lantas bibir mengukir senyum. “Ibu, ini hadiah untuk ibu. Walaupun ibu sudah tiada, Hanin tetap dengan pendirian Hanin untuk jaga rumah pusaka kita. Batu atau kayu, ia tetap rumah kita, kan?” ucapnya, sembari mengelus lembut nisan batu yang terpahat kekal nama arwah ibunya.

Puas dia meniti semula deretan layar lapuk yang sedikit pun tidak pernah dia pedulikan. Dia kini belajar, semangat anai-anai tentang kekonsistenan dan mapan yang tumbuh dalam dirinya bukanlah hal yang salah, tetapi perihal perangai si anai-anai yang menghancurkan dari dalam, itu yang tidak diperlukan.

“Terima kasih, anai-anai di dalam kayu,” ucapnya sinis.

 

# #AnaianaiDalamKayu# #cerpendbp# #cerpenkehidupan# #dbpselatan# dbp
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (2) #dbpselatan (12) #karyasastera (13) #penulis (4) #penulisbaharu (12) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (4) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (13) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (2) #wadahdbp (4) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) budaya (2) cerpen (8) dbpcawangansabah (4) dbpcawangansarawak (16) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (4) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (8) puisi (22) Puisi Islam (6) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Rasulullah (2) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Madani
Puisi

Madani

  • 16 Januari 2024
  • 250
  • 4
Satu Abad Usia Tambak Johor Perkukuh Hubungan Dua Negara
Sejarah dan Budaya

Satu Abad Usia Tambak Johor Perkukuh Hubungan Dua Negara

  • 1 Disember 2024
  • 57
  • 5
Telur
Cerpen

Telur

  • 20 Januari 2025
  • 242
  • 4.5
صلة الرحيم
Puisi Moden

صلة الرحيم

  • 5 Mac 2025
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP