Skip to content
Angkara Angka
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Angkara Angka
Angkara Angka
Cerpen

Angkara Angka

  • Pen Hitam
  • 20 Julai 2025
  • DBP Wilayah Tengah
  • 122
  • 4.7

PEDIH! Amat pedih ! Hatinya bagaikan dihiris belati yang tajam.

Ini bukan kali pertama terjadi. Entah keberapa kali sepanjang lima tahun dia bekerja di situ. Daripada seorang pembantu juruaudit hinggalah kini berjawatan di tahap yang lebih tinggi. Ya, jawatannya bukan calang-calang; Ketua Juruaudit Pengurusan Kewangan!

‘Hish, kalau bukan sebab kerja, dah lama aku sembur habis-habisan orang tua ni!’ Jebat mengomel sendirian. Memang rasa panas hatinya tak mampu ditahan lagi. Matanya dipejam seperti membayangkan sesuatu. Raut wajahnya berkerut. Mulutnya tak berhenti-henti mengomel, umpama sang dukun yang sedang membaca jampi serapah.

Bukan nasib malang diri yang difikirkan sekarang. Tapi wajah pelanggan audit yang membuat onar itu yang menghantuinya. Kalau bukan kerana keperluan supaya bersikap profesional, pasti sudah terbang melayang kerusi dan meja di pejabat pelanggannya itu.

Staf yang ada di pejabat berusaha menyembunyikan wajah masing-masing. Berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Semuanya diam menikus. Begitu senyap, ibaratnya jika ada jarum yang jatuh pun masih boleh didengar. Begitu sekali senyapnya ruang pejabat firma audit terkenal itu. Mereka faham, jika Juruaudit Kewangan mereka sedang bermasalah, jangan ada yang berani menegur. Silap hari, mereka juga akan terbang melayang!

“Macam singa lapar dah aku tengok Jebat ni.” Salah seorang pembantu Jebat sempat bergosip dengan rakan meja di sebelahnya.

“Ingat! Jangan ada sesiapa yang sibuk nak tegur bos. Beri dia bertenang dahulu.” Begitu amaran yang diberikan kepada staf-staf lain.

“Risaulah aku. Nak tanya tentang kerja pun takut.” Semua staf saling berbalas mesej di aplikasi sembang atas talian. Patutlah senyap. Rupa-rupanya perbualan mereka hanya menggunakan aplikasi Whatsapp.

Ketika itu, di dalam bilik pejabat berkaca, Jebat mulai tenang. Cepat-cepat dia beristighfar.    

‘Hah, baik aku layan berita dulu.” Jebat segera mencapai telefon bimbit yang diletakkan di sisi komputer ribanya. Dia terus membuka aplikasi media sosial berlogo biru di telefonnya.

“Hish, tak habis-habis cerita tentang kisah rumah tangga orang. Bosan!” Jebat membebel sendirian sambil melihat status media sosial rakannya.

Isu hangat suami pempengaruh media sosial berkahwin kali kedua di sempadan negara menjadi isu hangat terkini. Biasanya jika timbul sesuatu isu tentang seseorang yang terkenal, pasti ramai yang menonjolkan kepakaran masing-masing. Ada yang berlagak bagai pakar motivasi, pakar agama malah ada juga yang menjadi peguam tak bertauliah. Termasuklah beberapa orang rakan Jebat di media sosial.

Tidak sampai lima minit menatal status dan video di media sosial, Jebat terima satu panggilan di telefon bimbitnya. Panggilan daripada bos nombor dua yang berada di ibu pejabat di Kuala Lumpur. Serabut lagi!

‘Aduh, ini mesti sibuk nak tanya tentang hal tadi.” Jebat hanya memandang dan membiarkan sahaja telefonnya berdering beberapa kali. Bukannya mahu bersikap biadap terhadap bos, tetapi dia perlukan masa untuk bertenang dahulu sebelum bercakap dengan sesiapa. Api amarah di hatinya masih belum padam.

Bimbang jika ada staf yang terganggu dengan bunyi deringan, Jebat segera menukar tetapan telefonnya kepada mod getaran. Selang beberapa minit, telefonnya bergetar lagi. Nama yang sama juga terpapar di skrin telefon bimbit jenama mewah itu.

Akhirnya, Jebat mengalah juga. Malas pula melihat telefonnya memaparkan nama yang sama berulang kali. Ditekannya butang menjawab panggilan dengan perasaan bercampur baur. “Ya bos?”

“Jebat, apa yang kau buat ni?” Kuat betul suara Encik Lim bagaikan halilintar menyambar gegendang telinganya.

Segera dijauhkan telefon bimbitnya. Bimbang pula jika bunyi yang kuat itu medatangkan kesan buruk pada pendengarannya.

Encik Lim memang terkenal dengan perwatakannya yang agak baran. Jika ada aduan daripada pelanggan, staf yang akan jadi mangsa. Barannya memang tak boleh bawa bincang. Tak kiralah staf itu pangkat tinggi atau bawahan. 

Mereka perlu bersedia untuk tadah telinga dan mendengar bebelannya yang bagaikan air hujan tak berhenti mencurah. Bukan setakat itu sahaja. Ditambah lagi dengan halilintar dan puting beliung yang pastinya mampu menggegarkan sebuah bangunan. Begitulah dahsyatnya!  

Pernah beberapa bulan lepas, seorang juruaudit berjawatan senior meletakkan jawatan dalam tempoh dua 24 jam. Semuanya gara-gara baran Encik Lim. Penuh kertas kerja audit di dalam tong sampah.

Sungguhpun begitu, dia tetap mudah untuk didekati kerana suka bergurau. Namun, manusia mana yang mampu bertahan buat selama-lamanya jika berhadapan dengan situasi begitu setiap masa?

Jebat sebenarnya malas mahu melayan bosnya saat ini. Dia tahu jika api bertemu dengan api, pasti makin membara hatinya terbakar nanti.

Bukannya baru sekejap Jebat bekerja di bawah seliaan Encik Lim. Lima tahun bekerja dengan bos yang sama, Jebat sudah sedia maklum dengan perangai bosnya. Kalau ada isu, dia akan biarkan bosnya bertenang dahulu. Apabila tiba masa yang sesuai baru Jebat akan terangkan puncanya.

Tapi hari ini, kesabaran Jebat dah mencapai hadnya. Hati yang selama ini hanya dibakar dengan api kecil kini mula marak membakar. “Ahh, biarlah! Aku akan lepaskan apa yang terbuku selama ini!” dengus Jebat.

“Kenapa Encik Lim suka dengar cerita sebelah pihak? Lepas tu serang macamlah saya ni musuh. Belum tentu apa yang mereka cerita itu benar. Cuba Encik Lim tanya elok-elok. Dengar dulu penjelasan saya.” Jebat membalas dengan nada agak tinggi. Tanpa sedar dia terus berdiri, seolah-olah Encik Lim memang berada di depan matanya. Mukanya merah padam menahan marah sambil mengelilingi meja di bilik mesyuarat tempat mereka melaksanakan kerja-kerja audit itu.

“Habislah kita hari ini,” bisik pembantu-pembantu Jebat sesama mereka. “Aku tak pernah lagi nampak Jebat marah sampai macam ni.”

“Okey… okey… janganlah marah-marah macam ni.” Suara Encik Lim terus berubah. Barannya terus hilang sebaik mendengar kata-kata Jebat. Dia terdiam seketika.

Biarpun jauh di Kuala Lumpur, Jebat dapat membayangkan Encik Lim sedang mencapai kotak rokok berperisa vanila di dalam poket bajunya. Rokok berperisa vanila itu memang kegemarannya. Setiap kali stres, inilah benda pertama yang akan dicari. Letaklah gambar bayi pramatang, kanser paru-paru atau penyakit mulut yang kronik, sedikit pun tak berkesan.

Malah, doktor pun telah mengesahkan dia menghidap penyakit jantung yang kronik akibat tabiat merokok. Tapi masih juga dia merokok. Paling kurang sekotak sehari walaupun sudah berumur hampir 50 tahun. Seperti tidak ada sedikit pun kekesalan. Hatinya telah keras barangkali, dirasuk jin asap rokok.

Jebat masih menunggu di talian. Memikirkan juga apalah nasibnya hari ini. Tapi dia perlu pertahankan kebenaran. ‘Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’.

“Begini, mereka kata dah cuba berbincang tapi kau tak mahu bertolak ansur. Betulkah kau tidak setuju dengan kaedah perekodan akaun syarikat pelanggan kita?” Encik Lim menyambung pertanyaannya. Kali ini suara Encik Lim sangat tenang dan tersusun.

‘Eh, lembutnya bahasa bos aku ni. Dah jelas-jelas bukan jin asap yang rasuk!’ Jebat pula yang terkejut kali ini. Bukan kebiasaaan bosnya bersikap begitu. Rasa marah Jebat yang marak menyala tadi terus terpadam mendengar suara bosnya itu.  

“Maafkan saya, bos. Saya bukan suka-suka nak cari gaduh dengan pelanggan. Tapi apa yang mereka buat ini salah bos. Mana boleh dia sesuka hati buat akaun cara dia sendiri. Dia mesti ikut piawaian akaun yang betul.” balas Jebat dengan suara yang kembali tenang. Diteguknya air mineral di atas meja sambil duduk kembali di kerusi. Harap-harap air itu boleh membantu menyejukkan lagi hatinya.

“Habis tu, takkan juruaudit sebelum ini tak buat kerja betul-betul?” Encik Lim masih bertanya untuk mendapatkan kepastian.

“Jika kita lihat dari apa yang berlaku, begitulah, bos. Pelanggan asyik beritahu saya, ini cara mereka buat akaun. Dah berbelas tahun guna cara yang sama. Mana boleh macam ini bos. Apa guna pakar-pakar akauntan kita buat piawaian jika syarikat tidak mahu ikut? Sia-sia sahaja kita audit kalau akhirnya kena ikut syarat pelanggan.” Puas hati Jebat dapat meluahkan apa yang tersimpan di hatinya selama ini.  

Jebat faham, Encik Lim juga tersepit seperti dirinya. Malah, lebih kuat lagi tekanannya. Syarikat yang diaudit ini ialah syarikat baharu milik kenalan lamanya. Sudah lebih 10 tahun Encik Lim terlibat mengaudit beberapa syarikat milik kenalannya itu. Atas dasar itu, kenalannya telah melantik Encik Lim untuk mengaudit syarikat miliknya yang baharu ini.

Syarikat ini baru sahaja dipindah milik kepada kenalan Encik Lim dengan pegangan saham sebanyak 78 peratus. Dengan pegangan saham majoriti sebesar ini, kuasa melantik juruaudit adalah di tangan pemegang saham terbesar.

Selepas pertengkaran Jebat dengan pengurus kewangan syarikat itu, pada hari yang sama kenalannya terus menghubungi Encik Lim supaya memujuk Jebat untuk bekerjasama. Ternyata, masalah ini menyebabkan Encik Lim mendapat tekanan untuk mengekalkan kaedah perekodan perakaunan sedia ada.

Kaedah yang digunakan sekarang menunjukkan keuntungan yang sangat besar, iaitu sebanyak RM1.3 juta. Jika ditukar kepada kaedah yang mengikut piawaian sebenar, untung yang akan direkodkan akan berkurang dan hanya berjumlah RM350 ribu sahaja. Sudah pasti kenalannya inginkan keuntungan supaya mampu memberikan dividen yang lebih banyak. Makin tinggi dividen, makin banyak wang yang akan dikreditkan ke akaun pemegang-pemegang saham termasuklah kenalan Encik Lim.

Pada masa yang sama, syarikat ini juga sedang melobi projek pembinaan kuarters pegawai kerajaan di negeri selatan tanah air. Untung yang tinggi sangat penting bagi menunjukkan kemampuan syarikat mengendalikan operasi. Projek yang bernilai RM1 bilion ini sudah pasti tidak mahu dilepaskan oleh syarikat.

“Kau pun faham kan kita berdua tersepit sekarang ni. Ni syarikat kawan aku tau. Kalau kita berkeras sangat dalam audit syarikat ini, silap hari bulan semua 30 syarikat dia kita hilang. Kau nak buat kerja apa nanti? Siapa yang nak bayar gaji kau?” Encik Lim cuba memujuk. Memang Encik Lim selesa menggunakan kata ganti nama diri “aku” dan “kau” jika bercakap dengan Jebat biarpun Jebat tetap menyebut “saya” dan gelaran kepada bosnya itu. Mesra katanya! ‘Hmm… rupa-rupanya ada udang sebalik batu!’

“Saya cuma jalankan apa yang patut di pihak saya. Bos pun tahu, apa pun hasil audit semuanya adalah tanggungjawab dan liabiliti kepada bos. Kalau bos rasa bos okey untuk teruskan apa yang pelanggan buat ini, saya menurut perintah saja bos,” Jebat mengalah. Jebat sedar yang akhirnya sebagai ketua, Encik Lim yang akan bertanggungjawab ke atas akaun syarikat yang diaudit.

Ini pun bukanlah kali pertama terjadi kepada Encik Lim. Dengan pengalaman sebagai juruaudit selama hampir 30 tahun dalam bidang audit kewangan, sudah pasti pelbagai ragam pelanggan telah dihadapi oleh Encik Lim. Ada yang mahu kurangkan amaun untung, ada yang mahu besarkan amaun untung dan ada yang mahu menghapus kira aset dengan kadar yang tidak masuk akal.

Apa pun permintaan daripada pelanggan audit, sudah pasti untuk kepentingan syarikat masing-masing. Tapi Encik Lim beruntung kerana hingga kini, dia masih selamat daripada apa-apa tindakan undang-undang. Mungkin kerana kapasiti syarikat yang diauditnya tidaklah terlalu besar. Hanya syarikat bertaraf domestik, bukanlah syarikat multinasional yang mempunyai cawangan di serata pelosok dunia.

“Okey Jebat, sekarang ni kau terima sahaja kaedah perakaunan yang pelanggan mahu. Nanti kau balik Kuala Lumpur kita bincang. Aku akan kaji dulu kesannya kepada keseluruhan akaun. Kalau tidak ada kesan yang besar terhadap akaun-akaun lain, kita ikut kaedah pelanggan. Nanti kita bincang dengan lebih mendalam. Okey?” Encik Lim cuba mencapai kata putus.

Encik Lim sebenarnya serba salah dengan Jebat. Jebat merupakan orang kuatnya. Manakan tidak, Jebat bekerja di bawah kendaliannya sejak hari pertama diterima masuk ke syarikatnya. Encik Lim sendiri melihat perubahan dan peningkatan kerjaya Jebat daripada berpangkat junior sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai ketua juruaudit untuk bahagian terpenting dalam syarikatnya.

Encik Lim sangat selesa bekerja dengan Jebat. Jebat merupakan seorang pekerja yang sangat patuh kepada arahan dan pandai bekerja tanpa pemantauan yang kerap.

Sedar-sedar, kebanyakan isu dengan pelanggan akan diselesaikan oleh Jebat tanpa perlu serabutkan kepala Encik Lim. Mungkin kali ini Jebat agak berkeras kerana tidak dapat lagi menahan kemarahan.

“Baiklah. Terserah pada bos. Nanti saya bincang semula dengan pelanggan.” Penutup kata Jebat sebelum meletakkan panggilan. Jebat sedikit kecewa. Tapi apa kan daya, dia sedar keputusan akhir tetap di tangan Encik Lim.

“Hish, sia-sia sahaja kita audit betul-betul. Akhirnya, ini balasan yang kita terima.” Jebat membebel kepada pembantunya. Geram terhadap bos perlu dilepaskan juga. Kalau tidak, makin sakit kepala Jebat memendam api kemarahan. Pembantu-pembantu Jebat diam membisu sambil mengangguk perlahan. Mereka tidak mahu menjadi batu api antara kedua-dua bos mereka ini.

Jebat perlahan-lahan bangun dari tempat duduknya. Setelah membuka jaket, Jebat terus keluar daripada bilik mesyuarat dan menuju ke arah pejabat pengurus kewangan pelanggannya. Langkahnya agak laju. Ditambah dengan wajah yang agak merah padam. Tidak dapat dibayangkan bagaimana marahnya dia dengan pelanggan itu sebelum ini dan sekarang perlu berbincang semula dengan orang yang sama.

‘Aduh, serabut kepala aku.’ Jebat bermonolog sambil membetulkan rambutnya.

“Okey Encik Bad. Masalah selesai. Saya sudah bincang dengan bos, dan katanya kaedah yang diguna pakai sebelum ini boleh dipertimbangkan. Kecualilah tiba-tiba bos tukar fikiran, saya akan maklumkan dengan Encik Bad.” Kata Jebat acuh tak acuh sambil bersandar di pintu pejabat pengurus kewangan syarikat, Encik Badrul.

“Kan senang kalau dari tadi kau ikut sahaja cadangan aku,” balas Badrul bersahaja.

Tanpa kata, Jebat segera keluar dari bilik Encik Badrul dan kembali semula ke bilik mesyuarat. Perasaan Jebat bercampur baur. Malu, marah, geram dan kecewa. Rasa seperti maruahnya sebagai juruaudit sedang diinjak-injak. Hanya kerana satu sebab, duit! Memang benar pelanggan yang membayar mereka untuk melakukan audit kewangan ini. Tanpa pelanggan, firmanya juga tidak boleh kekal bersaing dengan firma-firma lain di bandar metropolitan ini.

Kini, setahun telah berlalu, Jebat tidak lagi ditugaskan untuk mengaudit syarikat yang sama. Sejak peristiwa dulu, berkali-kali Jebat merayu kepada Encik Lim untuk uruskan pelanggan yang lain.

“Tolonglah Encik Lim, malas dah saya nak berurusan dengan Badrul tu. Sudahlah bebal, sombong pulak tu,” rugut Jebat sebaik selesai mengaudit kewangan pelanggannya beberapa bulan lepas.  

Pada awalnya, Encik Lim tidak mahu menukarkan Jebat kerana dia sahaja yang mempunyai kepakaran khusus mengaudit syarikat perhotelan seperti itu. Namun, selepas dirayu beberapa kali, Encik Lim akhirnya memberikan kebenaran kepada Jebat untuk menarik diri.

Hari ini ialah hari ulang tahun kelahiran Jebat. Seperti yang digariskan dalam polisi firma, Jebat layak mendapat cuti khas pada hari kelahiran. Alang-alang, Jebat terus mengambil cuti rehat selama seminggu untuk pulang ke kampung halaman. Bolehlah Jebat menenangkan fikiran di kebun milik ayahnya.

‘Musim durian ni. Tak sabar nak balik kampung. Mesti banyak buah durian yang dah gugur!’ bisik Jebat di dalam hati sekali gus membayangkan isi durian yang berwarna kuning keemasan di kebun ayahnya.

Sedang asyik melayan angannya itu, telefon bimbit Jebat tiba-tiba berbunyi. “Aduh… apalagi Encik Lim ni? Aku kan cuti. Pagi-pagi dah kacau orang tengah berangan!” Jebat sempat merungut. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dibiarkan sehingga dia selamat tiba di kampung. Tapi, bimbang juga jika ada perkara yang sangat mustahak. Kalau tidak, takkan bos menelefon pagi-pagi begini walaupun tahu hari ini dia mula bercuti.

“Selamat pagi, Encik Lim. Kenapa awal sangat call saya?” Tanya Jebat sambil menyiapkan barang-barang yang akan dibawa pulang ke kampung halamannya.

“Jebat…aku dapat e-mel dari Institut Akauntan Negara. Syarikat kita dipilih untuk diaudit oleh mereka.” Suara Encik Lim terdengar agak cemas dan bergetar seakan-akan suara orang yang sedang menangis.

“Eh, baguslah bos. Mesti nama syarikat kita akan lebih dikenali selepas ini. Bos tak payahlah risau sangat.” Jebat pantas menjawab sambil terus memasukkan barang-barang ke dalam beg sandangnya.

Baginya itu perkara biasa jika sesebuah firma diaudit. Mungkin kerana firma mereka sudah beberapa tahun tidak diaudit, Encik Lim pasti rasa terbeban terpaksa kerja lebih masa. Tambahan, dia pula akan bercuti seminggu.   

“Bukan itu yang aku fikirkan, Jebat. Kau tahu tak, mereka nak audit syarikat kita yang di Kuantan tu. Habislah aku!” Kali ini suara Encik Lim bukan lagi seakan-akan menangis, tetapi meraung kuat bagaikan baru menerima berita kematian orang tersayang.

Terhenti Jebat seketika. Dia terdiam. Apa yang dijangka akan berlaku, akhirnya terjadi juga. Benarlah apa nasihatnya selama ini. Tetapi Encik Lim sedikit pun tidak mengambil endah setiap tegurannya. Dia sendiri tidak mampu membantu. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.

Angkara pelanggan, juruaudit yang terima padahnya!

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (3) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (14) #karyasastera (16) #komsas (2) #penulis (5) #penulisbaharu (17) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (5) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (15) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) anak (2) bengkel (2) budaya (2) cerpen (10) dbpcawangansabah (6) dbpcawangansarawak (18) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (9) puisi (25) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) rindu (3) roslanjomel (2) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Di BANDING Tali, Tasik, Pepohon dan Langit
Cerpen

Di BANDING Tali, Tasik, Pepohon dan Langit

  • 26 November 2023
  • 5
جاوي ککل کهادڤن
Puisi Moden

جاوي ککل کهادڤن

  • 20 Januari 2024
Pejamlah Mata
Cerpen

Pejamlah Mata

  • 5 April 2024
  • 85
  • 4.3
ݢوريندم برکيمڤين
Puisi Tradisional

ݢوريندم برکيمڤين

  • 9 Ogos 2023
  • 30
  • 4.4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP