LIN HUI mengheret bagasi setelah sampai di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. Di bahunya tersandang beg galas berisi buah tangan yang akan diberikan kepada Kakak Lina Lian nanti.
Waktu sudah menunjukkan pukul empat petang. Matahari memancar terik di sebalik bangunan yang berderetan di situ. Suasana agak lengang dan santai. Tidak kelihatan seorang pun pemandu teksi yang merayau-rayau mencari pelanggan. Hanya yang ada ialah kereta milik persendirian yang singgah seketika untuk mengambil penumpang lantas berlalu dengan cepat. Lin Hui yang sederhana tinggi, berwajah manis dan berkulit putih kuning hanya memerhati keadaan di situ sambil matanya meliar mencari kios untuk membeli air bagi menghilangkan haus.
Sebelum menaiki pesawat dari Kuala Lumpur, Lin Hui sudah berpesan kepada Lina Lian, kenalan yang pernah ditemuinya dalam satu acara sastera di sebuah daerah pelancongan tidak lama dahulu, supaya Lina Lian tidak perlu susahkan diri untuk datang menjemputnya. Dia akan menggunakan perkhidmatan Grab untuk ke kediaman Lina Lian. Dia tidak mahu menyusahkan Lina Lian. Perkenalan yang singkat dalam pertemuan penulis itu tidak memungkinkan Lin Hui menyelami hati budi Lina Lian dengan begitu mendalam.
Mereka baru sahaja berkenalan namun begitu cepat mesra. Lin Hui memberitahu bahawa dia akan datang lagi ke negeri Cik Siti Wan Kembang untuk urusan tesis PhD-nya pada masa akan datang. Ternyata Lin Hui benar-benar menepati janjinya. Lina Lian pula tidak ada sebarang masalah untuk menerima kehadiran Lin Hui kerana dia bersedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya. Mungkin sifat orang Malaysia yang peramah dan mengalu-alukan kedatangan tetamu menyebabkannya tidak kekok untuk berkawan dengan sesiapa saja. Bagi Lin Hui, Lina Lian ialah seorang kakak yang sangat peramah. Lin Hui sudah beberapa tahun berada di Ibu Kota Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajarannya. Sebelum ini dia merupakan pensyarah Pengajian Bahasa Melayu di sebuah universiti di negaranya.
Walaupun mereka berdua bukan berbangsa Melayu, mereka mempunyai minat yang sama. Mereka memilih bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan mereka. Mereka agak selesa bertutur dalam bahasa Melayu tanpa pedulikan reaksi orang di sekeliling.
Ramai yang tertanya-tanya mengapa dua sahabat yang berbangsa Cina ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghubung? Aneh dan sangat pelik apabila dipandang oleh orang-orang sekeliling. Mereka yang memerhati juga berasa amat keliru.
Lin Hui yang berasal dari Pulau Hainan, China begitu tertarik dengan bahasa lingua franca yang digunakan di Nusantara dan memilih untuk mempelajari bahasa tersebut kerana bahasa itu mempunyai nilai estetika yang tinggi serta cukup indah. Manakala Lina Lian pula sejak tahun satu lagi sudah dihantar belajar di sekolah kebangsaan. Di situ, dia mengenali rakan-rakannya yang berbangsa Melayu dan mula mencintai bahasa tersebut. Dia cukup fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Orang yang mendengarnya bertutur langsung tidak menyangka bahawa dia bukannya berbangsa Melayu, sebaliknya merupakan kaum Cina Peranakan Kelantan atau dikenali juga sebagai Cina yang hidup di kampung.
Lina Lian menerima baik kehadiran Lin Hui ke bumi Cik Siti Wan Kembang. Dia akan membantu sedaya mungkin dan tidak keberatan untuk menjemput Lin Hui menginap di rumahnya sehingga Lin Hui selesai menyiapkan tesis PhD. Kebetulan bilik di rumahnya kosong kerana keempat-empat orang anaknya sedang bekerja di luar negeri. Anak bongsu Lina Lian sedang belajar di salah sebuah kolej di negara China dan mendapat tajaan negara tersebut.
“Kakak, saya sudah selamat sampai di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa. Saya lihat tidak ada sebuah pun teksi atau Grab. Sudah setengah jam saya tunggu di sini. Saya harap kakak boleh datang jemput saya, ya,” Lin Hui akhirnya menghubungi Lina Lian sekali lagi akibat kesukaran mendapatkan teksi atau Grab pada masa itu.
“Itulah, kan kakak sudah cakap. Susah untuk dapatkan teksi atau Grab sekarang. Tambah-tambah pula cuti Hari Raya Aidilfitri. Semua orang mahu beraya bersama keluarga masing-masing. Baiklah, kakak akan pergi ke sana bersama kakak sepupu untuk menjemput Lin Hui. Tunggu di situ dan jangan ke mana-mana, ya. Mungkin dalam masa empat puluh lima minit kami akan sampai.” Lina Lian sebenarnya pada masa itu sedang berada di kebun pisang kakak sepupunya yang berdekatan dengan rumahnya.
Kebetulan kakak sepupu tidak keberatan untuk membantu Lina Lian. Selepas selesai membersihkan tangan dan kaki serta menukar pakaian, Lina Lian dan kakak sepupunya pun bertolak ke lapangan terbang.
“Saya harus mencari perkampungan yang diduduki oleh orang-orang Cam. Saya perlu menyoal selidik seramai lebih kurang 100 orang Cam,” Lin Hui berkata.
Peluh menitis di dahi dan dagunya yang putih bersih. Segera dilap peluhnya dengan tisu berulang kali. Mukanya menjadi kemerah-merahan.
“Orang Cam? Kakak tak pernah dengar pun tentang orang ini. Di mana kita nak cari? Pasti Lin Hui akan hadapi kesulitan dalam usaha mengesan mereka,” kata Lina Lian sambil mengerutkan dahinya.
Baginya, bangsa tersebut begitu asing dan tidak dikenali. Itulah pertama kali dia mendengar perkataan tersebut walaupun lahir dan membesar di bumi Cik Siti Wan Kembang hampir 50 tahun. Kakak sepupu Lina Lian juga terpinga-pinga mendengarnya. Dia berbesar hati untuk menolong Lin Hui, namun dia sendiri tidak mengerti tentang apa-apa yang dibicarakan oleh mereka. Dia hanya seorang suri rumah yang tahu memasak dan menjemput serta menghantar cucu-cucunya pergi dan pulang dari sekolah. Selebihnya, masa terluang dihabiskan di kebun pisang sebagai aktiviti riadah di samping untuk menambahkan pendapatan.
“Tidak mengapa, kakak. Esok saya akan keluar ke bandar Kota Bharu untuk mencari maklumat tentang mereka. Saya sebenarnya sudah dapat serba sedikit maklumat tentang mereka daripada beberapa orang kenalan di tempat saya belajar. Saya pasti dapat tangani masalah ini dengan baik. Jangan risau ya, kakak berdua,” Lin Hui meyakini kedua-duanya dan dia yakin akan berjaya dalam misi pencariannya serta dapat menyiapkan tugasannya dengan baik.
Lina Lian membantu mengangkat barang-barang Lin Hui dan menunjukkan sebuah bilik kosong untuknya. Bilik yang sederhana luas dan lengkap dengan bilik mandi itu dihias dengan cantik dan teratur, lengkap dengan kipas gantung serta alat penyaman udara.
“Buatlah macam rumah sendiri ya, kakak nak ke dapur untuk siapkan makan malam kita bersama. Kakak tak pasti sama ada Lin Hui boleh makan masakan kakak atau tidak. Jika Lin Hui panas, bukalah penyaman udara itu. Jangan kekok-kekok atau malu-malu berada di rumah kakak,” tambah Lina Lian.
“Tunggu dulu, kakak,” Lin Hui mengambil sesuatu dari beg galasnya.
Lina Lian menunggu dengan penuh tanda tanya.
Lin Hui mengeluarkan seutas rantai jed berwarna hijau yang cantik lalu ditunjukkan kepada Lina Lian. Dia juga menghulurkan sehelai selendang berwarna merah sebagai tanda terima kasih kerana Lina Lian telah menumpangkannya di rumah tersebut.
“Ini hadiah saya untuk kakak. Terimalah, saya beli khusus untuk kakak yang budiman. Biar saya pakaikan rantai ini ya,” Lin Hui menyambung.
Lina Lian terpinga-pinga menerima hadiah pemberian Lin Hui. Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga. Dia berasa amat terharu dengan pemberian jed dan selendang cantik itu.
***
“Sedapnya masakan kakak. Ini baru pertama kali saya menikmati masakan seperti ini. Wah, berseleranya saya makan!” Lin Hui memuji kepakaran Lina Lian memasak.
“Makanlah kenyang-kenyang Lin Hui. Masakan Kelantan hampir sama dengan masakan Thailand. Aromanya ada masam, manis, pedas dan sedikit masin. Nanti beberapa hari lagi kakak akan ajak Lin Hui mencuba masakan Thailand di restoran berdekatan dengan rumah kakak pula, ya,” beria-iya Lina Lian memperkenalkan beberapa jenis lauk yang dimasaknya tadi. Suami Lina Lian mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum.
Esoknya pagi-pagi selepas sarapan, Lin Hui keluar untuk memulakan pencarian. Nasibnya baik kerana dia menemui beberapa orang yang boleh membawanya berjumpa dengan orang Cam. Mereka rata-rata bekerja sebagai peniaga di bandar. Mereka menjadi pemastautin di Negeri Cik Siti Wan Kembang setelah melarikan diri dari negara mereka yang bergolak akibat krisis politik.
Kebanyakan yang melarikan diri ke sini ialah golongan yang agak berada dan mempunyai kewangan yang kukuh serta ekonomi yang mantap. Di negara ini juga, mereka mampu melakukan aktiviti perniagaan atau pekerjaan lain tanpa sebarang sekatan. Mereka bebas berkumpul sesama mereka untuk melakukan pelbagai aktiviti. Lin Hui berjaya mengumpul maklumat dan informasi hasil soal selidik dengan kaum tersebut. Dalam masa beberapa hari sahaja, dia hampir menyiapkan tugasannya.
“Bagaimana dengan tugasan hari ini, berjalan lancar tak?” Lina Lian bertanya setelah melihat Lin Hui berwajah muram sebaik sahaja sampai di rumah. Peluh agak banyak mengalir di wajahnya kerana hari itu cuaca panas membahang.
“Hari ini keadaan kurang memuaskan, kakak. Beberapa orang yang ditemui enggan memberikan kerjasama. Mereka tidak mahu jawab soalan-soalan saya. Entahlah, tidak tahu apa yang mereka risau atau takutkan? Padahal ini hanya sekadar soal selidik, bukannya apa-apa. Tetapi percayalah kakak, saya akan menyiapkan tugasan ini secepat mungkin. Beberapa agensi atau badan kerajaan bersedia untuk memberikan maklumat kepada saya. Kakak ingat tak lagi Tuan Azam yang pernah kita temui sewaktu program sastera hari tu? Dialah yang banyak membantu saya dan memperkenalkan beberapa tokoh penting dalam hal ini,” sambung Lin Hui.
“Oh, Tuan Azam! Kakak masih ingat. Syukurlah dia banyak membantu Lin Hui. Baiklah, jom kita pergi jalan-jalan ke Pantai Sri Tujuh. Sejak Lin Hui berada di sini, kakak belum berpeluang mengajak Lin Hui melihat-lihat negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Nanti kita singgah pula di beberapa buah wat yang menjadi tarikan pelancong di sini, ya,” Lina Lian berbicara.
“Memang itulah hasrat saya, mahu bersiar-siar melihat pantai yang indah di sini. Seronoknya! Saya mahu membeli udang segar yang besar di pangkalan berdekatan Pantai Sri Tujuh nanti. Di Kuala Lumpur, saya hanya sempat membeli udang yang sudah disejuk beku sahaja. Mari kita pergi kakak, tak sabar rasanya,” Lin Hui menggesa Lina Lian.
Mereka bertiga kemudian singgah di sebuah gerai tempat bot nelayan mendarat. Ikan segar, sotong, kerang dan ketam kelihatan dilonggokkan secara berasingan. Lin Hui mengintai-intai lala untuk dibeli dan digoreng nanti. Lina Lian telah mengingatkan Lin Hui, seandainya dia mahu membeli lala, dia haruslah memasaknya sendiri. Hal ini kerana Lina Lian tidak membunuh makhluk-makhluk hidup untuk dijadikan makanan. Dia seorang penganut agama Buddha yang patuh dengan tuntutan agamanya. Lin Hui bersetuju. Selain lala, Lin Hui juga membeli sekilo udang segar besar.
Selesai membeli, mereka berjalan beriringan menuju ke kereta. Tiba-tiba mereka terpandang sebuah rumah kecil beratap rumbia yang agak unik.
Di hadapan rumah tersebut kelihatan wau-wau kecil yang cantik bergantungan, begitu juga dengan lukisan-lukisan yang menarik hati turut dipamerkan di serambi rumah tersebut.
Mereka bertiga terus menaiki tangga rumah kayu tersebut. Lin Hui berhajat mahu membeli sebuah wau kecil yang cantik untuk ditunjukkan kepada pelajarnya di China. Pelajarnya mengikuti kelas secara dalam talian pada setiap malam Khamis.
Namun, rumah beratap rumbia itu seakan-akan tiada penghuni. Puas sudah mereka mengetuk pintu berkali-kali namun tuannya tidak juga muncul-muncul. Mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Pantai Sri Tujuh dan akan singgah semula semasa perjalanan pulang nanti.
Di Pantai Sri Tujuh, mereka singgah di gerai yang menjual makanan. Semua jenis makanan nampak enak-enak belaka. Tergantung di dinding kedai gambar masakan yang menimbulkan rasa ingin cuba di hati mereka. Setelah beberapa minit, mereka kemudiannya memesan air batu campur dengan sehidangan masakan panas. Mereka bertiga makan dengan begitu selera sekali sambil berborak. Dalam perjalanan pulang, mereka masih memerhati rumah beratap rumbia yang telah mereka singgahi tengah hari tadi.
Nasib mereka agak baik kerana kali ini tuan kedai sudah tercegat di situ menyambut kehadiran mereka dengan ramah sekali. Tuan kedai rupa-rupanya pemuda berbangsa Melayu yang berasal dari Thailand. Orangnya amat berbakat dalam bidang lukisan. Lin Hui membeli sebuah wau manakala Lina Lian pula membeli sehelai kain batik yang dilukis oleh pemuda tersebut. Rumah tersebut sangat istimewa kerana sentiasa menjadi tumpuan dan menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Dalam perjalanan menuju ke sebuah wat, kereta kakak sepupu Lina Lian seolah-olah ada masalah. Mereka bertiga turun untuk melihat tayar kereta. Rupa-rupanya, tayar hadapan kereta telah pancit. Kakak sepupu Lina Lian segera mencari nombor telefon seseorang untuk datang membantu mereka. Belum pun sempat berbuat sedemikian, seorang pemuda yang baik hati telah berhenti dan memberikan pertolongan. Kebetulan tayar ganti memang sentiasa ada di dalam bonet kereta kakak sepupu Lina Lian.
“Baiknya hati rakyat Malaysia ini. Saya terharu dengan semua orang yang saya temui. Semuanya peramah dan mereka menganggap saya seolah-olah seperti saudara mereka sendiri,” puji Lin Hui seikhlas hati.
“Beginilah kami orang Malaysia, Lin Hui. Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang sudi berkawan dengan kami. Nanti kalau Lin Hui pulang ke China, jangan lupakan kami di sini, ya. Lain kali datanglah melawat kami lagi. Bawa ibu bapa Lin Hui sekali,” Lina Lian mempelawa Lin Hui dengan hati yang terbuka.
Perjalanan diteruskan ke wat-wat terpilih yang kaya dengan ukiran seni bina Thailand. Sebelum itu, Lin Hui sempat dibawa melawat ke Masjid Beijing di pekan Rantau Panjang oleh Tuan Azam. Lin Hui begitu kagum dan merakam detik bersejarah mereka untuk dijadikan kenangan dan dibawa pulang ke negaranya. Selama tiga minggu berada di negeri Cik Siti Wan Kembang, Lin Hui telah memperoleh begitu banyak pengalaman yang indah dan membahagiakan hatinya. Lin Hui berazam untuk kembali semula ke negeri Cik Siti Wan Kembang suatu hari nanti.