KAKI melangkah di tengah-tengah kesibukan manusia di stesen pengangkutan, Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Ragam manusia itu bermacam-macam lagaknya di tengah-tengah hiruk-pikuk kaunter tiket dan gemuruh pengumuman platform seperti seorang tua yang tersesat masuk ke kiosk makanan, tangis kanak-kanak meminta ais krim dan seribu satu lagi perihal rawaknya. Entah apa sebabnya tiba-tiba kakiku terhenti di hadapan sebuah gerai kecil, papan neonnya berkelip genit: Durian Crepe & Ice Cream — Fresh Musang King.
Aku membeli sebekas ‘crepe durian’, dibalut kemas dalam kotak plastik lutsinar. Isinya sekata, licin bagai disaring seribu kali, tiada serat yang berjuntai, tiada biji yang mengganggu kesempurnaan bentuknya. Aku duduk di bangku besi menanti bas ke Kluang, membuka bungkusan itu perlahan, dan menyuapkan suapan pertama ke mulut.
Kunyahan itu terhenti separuh jalan.
Manis, ya. Sejuk, ya. Berkrim, memang. Namun, ada sesuatu yang rasa dalam diri ini seakan-akan telah dikhianati. Warna durian itu hadir, namun jiwa di sebaliknya telah lama pergi. Seperti mendengar seseorang menghafal loghat kampung tanpa pernah membesar di sana; sebutannya betul, tetapi denyut nadinya kosong.
“Ni bukan durian,” bisikku seorang diri, dan baki ‘crepe’ itu kubuang ke dalam tong sampah tanpa rasa bersalah. Kejamkah aku?
Bas belum tiba. Aku duduk semula, mata terpaku pada deretan platform yang tidak pernah jemu bergerak, tetapi fikiranku telah pun berpatah undur ke tiga bulan lalu, laluan yang sama ini pernah aku tempuh dengan hati yang ‘koyak’ dek tikaman tajam dihati kecilku ini.
***
Seminggu sebelum hari itu, Tuk Nah tenat di rumah pakcikku di Johor Bahru. Seorang demi seorang pakcik dan makcik pulang berkumpul, seperti burung-burung yang mencium ribut sebelum ia tiba, tanpa siapa pun berani menyebut nama ribut itu secara terus.
Aku, yang ketika itu baru sahaja menjejak semester pertama di sebuah kolej di pekan Kuala Kubu Bharu, mencari-cari ruang untuk pulang lebih awal, tetapi kepadatan jadual kelas mengunci setiap langkah.
Hari Jumaat itu, sebaik-baik sahaja selesai solat, aku nekad. ‘Sempat lagi ni,’ bisik hati sendiri, seolah-olah waktu masih sudi berbaik-baik denganku. Aku bergegas ke stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kuala Kubu Bharu, waktu menunggu kereta api seterusnya lebih kurang 12 minit lagi.
Telefon bergetar di dalam poket seluar. Aku menjawab panggilan telefon itu.
“Am, sabar. Dengar ni baik-baik. Tuk Nah dah tiada. Kau jangan terkejar-kejar. Beli tiket bas, datang sini nanti aku ambil kau kat stesen Larkin.”
Betapa hancurnya rasa ini.
Suara abangku cuba dikawal tenang, tetapi getarnya tetap tersisip di celah-celah kata, seperti retak halus pada pinggan yang cuba disembunyikan di bawah lauk. Aku tidak ingat apa-apa jawapanku, mungkin tiada. Kaki masih melangkah menuju platform, tetapi dunia di sekelilingku telah dipetik mati suisnya, hilang fungsi bunyinya. Kereta api tiba, pintu terbuka, orang keluar masuk seperti bayang-bayang dalam filem bisu. Air mata mengalir sebelum sempat aku sedar aku sedang menangis.
Di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) aku menukar haluan ke TBS, mencetak tiket ke Johor Bahru dengan jari yang entah bagaimana masih setia menatal skrin telefon pintarku. Sepanjang perjalanan itu aku tidak ingat apa-apa pengumuman yang dilaungkan, lagu apa-apa yang dimainkan, siapakah yang duduk di sisiku? Semuanya lompong. Hanya wajah Tuk Nah berlegar-legar di ruang gelap kepala, dan suara abangku berulang seperti azan yang tidak pernah selesai: “Tuk Nah dah tiada”.
Sampai di Larkin, abangku sudah setia menanti. Dia mendakapku erat, tanpa banyak kata. Kadang-kadang pelukan lebih jujur daripada seribu ayat takziah. Terus ke rumah pakcik. Di muka pagar, seluruh keluarga besar telah pun berhimpun, tetapi aku tidak menghulur salam kepada sesiapa. Kakiku meluru masuk sendiri, seperti ditarik oleh sesuatu yang lebih kuat daripada hormatnya aku pada mereka, mendapatkan jasad Tuk Nah yang telah ditutup rapi dengan kain batik, terlantar tenang di ruang tamu yang tiba-tiba terasa terlalu luas dan terlalu sunyi.
Deras air mata membasahi pipiku. Mak mendakapku dari belakang, menenangkan dengan suara yang cuba tidak turut retak.
“Tiada cepat tiada lambat, Am. Tuk Nah dah pergi dah. Am kena kuat ya, nak.”
Aku tidak berganjak daripada sisi jasad itu hingga fajar menyingsing. Selepas Subuh, ahli jawatankuasa masjid taman perumahan datang mengambil jenazah, membawanya ke masjid berdekatan. Dan, di sanalah dengan hati yang masih enggan percaya, aku diberi kesempatan berdiri di hadapan jenazah Tuk Nah. Mengimamkan solat jenazah untuk Tuk Nah sendiri, seakan-akan Tuhan menghadiahkan satu tugas terakhir sebagai cucu, sebelum aku melepaskannya sepenuhnya.
***
Tiga bulan berlalu sejak hari itu. Musim buah kembali menjelma di kampung, dan aku pulang bukan kerana dipanggil berita, tetapi kerana rindu yang tidak lagi sanggup ditahan. Pagi itu, sebaik-baik sahaja sampai, aku terus melangkah ke dusun seorang diri, membawa guni kosong dan sepasang sarung tangan lusuh yang kutemui tersangkut di dinding dapur. Masih ada lagi sarung tangan Tuk Nah, masih berbau tanah dan asap kayu.
Durian telah berguguran di celah lalang, baunya menusuk tajam, mengejutkan kenangan yang selama ini bersembunyi di lipatan hati.
Aku ingat.
Setiap kali musim buah tiba, sebaik-baik sahaja habis sesi di sekolah agama waktu petang, Tuk Nah akan berdiri di muka pintu dapur, tongkat kayunya diketuk perlahan ke lantai simen sebagai isyarat tanpa perlu bersuara: “Turun kebun, kutip buah yang gugur.”
Durian berbelas-belas batang pokoknya. Rambutan lima batang. Manggis lapan pokok, buahnya bergayutan seperti gugusan bintang ungu di celah dedaun. Kadang cempedak turut masak serentak, kadang giliran langsat pula yang memanggil.
Waktu kecil, hatiku sering serabut mendengar arahan itu. Kawan-kawan sekampung sudah pun berlari riang ke padang bola, sementara aku masih bergelut di celah lalang dusun, tersadung akar tua yang menonjol licik, tercalar duri yang tersembunyi di celah rumpun, atau tertusuk duri durian yang gugur diam-diam di balik semak.
Namun begitu, Tuk Nah tidak pernah berganjak daripada arahannya. Setiap kali aku merungut, dia hanya menjawab dengan nada yang tenang, tanpa perlu meninggikan suara, seolah-olah kebenaran tidak memerlukan kelantangan. “Janganlah pernah sekali dibazirkan rezeki Allah. Ada keberkatan yang kita tidak akan pernah faham selagi mana kita tidak belajar syukur pada tiap-tiap biji kurniaan-Nya.”
Aku diam sahaja waktu itu, seperti anak kecil yang mendengar bahasa asing. Bunyinya indah, tetapi maknanya masih terkunci. Kini, berdiri seorang diri di dusun yang sama, barulah kata-kata itu bergema dengan kedalaman yang tidak mampu difahami seorang kanak-kanak, hanya mampu ditanam, menunggu musim untuk berbunga.
Aku menyarungkan sarung tangan milik Tuk Nah dengan sedikit longgar di jari, tetapi terasa hangat seperti masih ada tangan lain di dalamnya. Kuambil sehelai kain buruk untuk mengalas telapak tangan sebelum membelah durian, seperti yang selalu diajarnya.
“Jangan sekali-kali buka durian dengan tangan kosong, Am. Duri tu tajam, dan darah yang keluar bukan sedikit kalau cuai,” pesan Tuk Nah sambil tersenyum.
Teringat pula arahan yang lain, yang dahulu kusangka sekadar petua orang tua-tua tanpa dasar untuk minum air daripada lekuk pangsa durian selepas makan. Yang kononnya menawar panas badan. Bertahun kemudian, dalam beberapa bacaan, barulah aku mengetahui bahawa bahagian pangsa putih itu memang mengandungi bahan propacin yang bertindak sebagai antiradang dan bukan sekadar mitos seperti yang selalu disangka oleh kami orang muda dan tergesa-gesa memandang rendah kearifan orang lama.
Selesai membelah beberapa biji durian, teringat pula arahan seterusnya untuk menghantar sebahagian hasil dusun kepada jiran-jiran.
“Bersihkan tanah pada buah tu dulu, Am. Cari plastik yang elok, jangan yang koyak-koyak. Orang yang terima pemberian kita, biarlah bagi yang paling baik. Dan yang paling ditekan sekali, diulang seperti wirid, Jangan sesekali menerima duit, walau dipaksa sekalipun.” Tuk Nah berkali-kali mengingatkan.
Aku teringat satu kali, semasa menghantar durian ke rumah seorang jiran, aku dipaksa menerima sekeping RM10.00 sebagai ‘upah hantar’. Aku menolak berkali-kali, tetapi jiran itu berdegil menyisipkan not merah itu ke dalam poket seluarku. Dalam perjalanan pulang menaiki basikal, kuselitkan duit itu ke dalam getah seluar, bukan poket kerana aku tahu benar pantang Tuk Nah menerima upah.
Malangnya, mata tua itu tetap tajam.
Petang itu, sebaik-baik sahaja aku melangkah masuk, dia menghulur tangan, “Mari sini.” Aku tunjukkan poket kosong dengan bangga yang palsu. Namun, matanya sudah pun singgah ke bahagian pinggang seluarku, pada lipatan getah itu sedikit membonjol yang mengkhianati diriku sendiri. Tanpa banyak kata, hujung tongkat dahan di tangannya menyentuh betis kakiku. Zass. Bukan pukulan yang kasar, cuma sentuhan tegas yang cukup membuat aku tersentak dan insaf serentak.
“Dah berani lawan cakap tuk, ya?” Dia membebel panjang tentang adab menerima pemberian, tentang bahaya mengambil kesempatan dengan duit yang datang daripada memaksa orang lain berbudi. Aku disuruh memulangkan duit itu esok pagi-pagi, dan malam itu telingaku penuh dengan teguran yang tidak putus-putus.
Namun keesokan harinya, selepas duit itu kupulangkan dengan muka tunduk malu, Tuk Nah memanggilku ke dapur, suaranya tiba-tiba lembut kembali seperti tiada apa-apa yang berlaku semalam.
“Mari, Tuk upah penat Am dengan serawa durian.”
***
Kini, berdiri di dapur yang sama, aku mengangkat periuk tanah lama dari atas rak, mencuci setiap lengkuknya dengan teliti seperti yang diajarnya dahulu.
“Periuk untuk serawa mesti betul-betul bersih, Am, kalau tidak, bau lama akan merosakkan bau baru.”
Api dinyalakan, air dibiarkan mendidih perlahan bersama-sama beberapa helai daun pandan yang diikat simpul.
“Jangan pegang periuk tu dengan tangan kosong apabila air dah panas. Ambil tuala dapur tu alas untuk elak tangan melecur.” Suara itu bergema dalam kepalaku, seolah-olah Tuk Nah masih berdiri di sisiku, memerhati setiap pergerakan tanganku yang masih janggal menuruti jejak tangannya.
Kukupas beberapa ulas durian, memisahkan isi daripada bijinya dengan perlahan, tidak tergesa-gesa seperti tangan Tuk Nah dahulu, seolah-olah setiap ulas membawa nilai yang tidak boleh dirosakkan oleh ketergesaan. Santan segar dituang perlahan ke dalam periuk, disusuli gula melaka yang telah dicairkan lebih awal. Bau harum mula bangkit, perlahan-lahan seperti kenangan yang enggan tergesa-gesa muncul.
“Api jangan kuat sangat, nanti santan pecah.” Suara itu berbisik lagi, walaupun kutahu suara itu hanya gema yang tersimpan lama dalam lipatan memoriku. Aku mengacau perlahan, memerhati kuah yang mula memekat, warnanya keemasan bagaikan senja yang cair, dan bau durian bercampur pandan serta gula melaka memenuhi setiap penjuru dapur. Bau yang jauh lebih jujur berbanding dengan ‘crepe’ manis di TBS tadi, jauh lebih hidup daripada apa-apa jua yang boleh dibungkus di dalam kotak plastik.
Dalam kenangan, Tuk Nah pernah berkata sambil mengacau periuk yang sama, “Serawa ni bukan sekadar pencuci mulut, Am. Ni cara tuk nak tunjuk, walaupun kau kena tegur, kena bebel, tuk tetap sayangkan kau. Marah pun sebab sayang.” Waktu itu aku hanya mengangguk, mulut penuh serawa panas yang dituang ke atas pulut kukus, tanpa faham sepenuhnya kedalaman yang tersembunyi di sebalik ayat sesederhana itu.
Kini, sambil kuah serawa berkilat pekat di hadapan mataku, barulah aku benar-benar faham akan setiap arahan yang dahulu kuanggap remeh, setiap bebelan yang dahulu kuanggap menyusahkan, sebenarnya adalah bahasa seorang tua menyampaikan kasih yang tidak pandai atau tidak sempat diucapkan secara terus.
***
Serawa telah siap. Api dimatikan, dan bau harum itu dibiarkan berlegar sepenuhnya, mengisi ruang dapur lama yang selama ini sunyi. Aku melangkah keluar ke anjung rumah, memandang timbunan buah-buahan yang masih tertinggal sejak hari sebelumnya. Ada beberapa biji durian, rambutan yang mula layu di lantai pohonnya, manggis yang kulitnya mengeras kerana terlalu lama tidak disentuh.
Sebahagiannya telah rosak.
Terbayang kembali betapa banyak buah busuk yang kulihat bertaburan di dusun tadi dek kerana aku tidak turun mengutipnya pada setiap hari, seperti yang selalu ditekankan Tuk Nah dahulu. Bukan kerana tamak ketika dia menyuruhku turun setiap petang, rupa-rupanya kalau tidak dikutip, buah itu busuk. Kalau buah busuk, maka tiada siapalah yang dapat merasa rezeki yang Allah kurniakan melainkan ulat jua, dibiarkan hancur sia-sia di celah lalang, tidak sempat singgah ke mulut sesiapa yang memerlukannya.
Kupandang jari-jariku sendiri, ada calar kecil bekas duri durian yang kubelah pagi tadi tanpa cukup berhati-hati walaupun sudah bersarung tangan dan berkain alas, masih juga tercalar di bahagian yang terdedah. Aku tersenyum kecil, sendirian. Bertahun diajar, masih juga aku belajar semula perkara yang paling asas.
Aku mula membalut buah-buahan yang masih elok. Ada durian yang belum retak, rambutan yang masih segar merah, manggis yang kulitnya masih lembut ditekan. Kubersihkan tanah yang melekat pada setiap buah, mencari beg plastik yang paling elok, tidak koyak, tidak keruh. Itulah rupa-rupanya adab dalam bersedekah, memberi dalam keadaan yang paling baik, bukan lebihan atau sisa yang kita sendiri enggan makan dan simpan.
Serawa durian yang baru dimasak, kumasukkan ke dalam beberapa bekas kecil, ditutup rapi. Aku keluarkan basikal buruk dari bangsal di tepi rumah, basikal yang sama, roda yang sama dan berkarat, yang dahulu kukayuh untuk menghantar durian ketika masih kanak-kanak. Buah-buahan dan bekas serawa itu kususun kemas di raga depan dan belakang, seperti bersedia melunaskan janji yang tertangguh lama.
Aku mengayuh, satu demi satu ke rumah jiran hingga tiga, empat buah rumah, sebahagiannya saudara jauh yang jarang-jarang kusapa sejak Tuk Nah tiada. Di setiap rumah, aku tidak sekadar menghantar lalu berlalu pergi seperti dahulu, ketika hati tergesa-gesa mahu kembali bermain. Aku duduk sebentar, bertanya khabar, seperti yang selalu ditekankan Tuk Nah, “Jangan hantar terus balik, Am. Tanya khabar dulu. Berbual-bual dengan jiran-jiran kita. Tanya kalau-kalau ada masalah di rumahnya yang Am boleh bantu”.
Di rumah Tuk Ngah, jiran yang juga saudara jauh sebelah datuk. Aku duduk lebih lama, bertanya tentang kesihatan kakinya yang dahulu pernah membengkak. Dia tersenyum, mengucapkan terima kasih atas serawa durian dan beberapa jenis buah-buahan, lalu membalas bertanya khabar keluargaku pula. Dalam perjalanan pulang, entah mengapa hati terasa jauh lebih lapang berbanding dengan sebelum ini, seperti sesuatu yang tersumbat sekian lama akhirnya menemukan jalan keluar.
Barulah aku tersedar sepenuhnya. Segala arahan Tuk Nah daripada suruhan turun ke dusun setiap petang, menggunakan kain alas semasa membelah durian, minum air pangsa yang menawar panas, tanah yang perlu dibersihkan sebelum buah dihantar, larangan menerima duit, sehinggalah suruhan bertanya khabar sebelum berlalu pergi. Bukanlah sekadar petua orang tua-tua yang ketinggalan zaman, seperti yang pernah kusangka dalam kejahilan kanak-kanak.
Inilah cara Tuk Nah memanusiakan aku. Cara dia mengajarkan erti beradab. Lebih-lebih lagi beradab dengan makanan, beradab dengan rezeki, dan beradab dengan sesama manusia, satu demi satu, tanpa jemu, sepanjang usianya yang kian senja.
Dan, barangkali, itulah resipi yang paling berharga sebenarnya. Bukan sukatan gula atau kepekatan santan, tetapi cara sesuatu kasih itu diwarisi, sedikit demi sedikit, melalui arahan yang dahulunya aku anggap remeh. Sehinggalah tiba suatu hari, aku sendiri yang mewarisi tugas untuk meneruskannya.
Di pusara itu, dalam setiap kunjung dan ziarahku. Dialogku dengan Tuk Nah kini hanya menjadi monologku sendirian. “Andailah masih ada arahannya, akan kuturuti tanpa sesal walau sekali. Ya Allah, rezekikan Tuk Nah dengan Firdaus-Mu.”
