Skip to content
Aweng
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Aweng
Aweng
Cerpen

Aweng

  • Rosnani Md Zain
  • 5 Mei 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 433
  • 4.9

DI sebuah kampung dalam jajahan Pasir Puteh Kelantan, tinggal sebuah keluarga berketurunan Siam. Aweng merupakan pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Puteh. Dia bergaul mesra dengan penduduk berketurunan Melayu dan hubungan mereka sangat akrab. Keluarga Aweng diterima baik oleh penduduk di kampung tersebut.

Aweng sekelas dengan Amir, iaitu anak ketua kampung. Mereka akan berjalan kaki bersama-sama untuk pergi ke sekolah. Rumah mereka di belakang pagar sekolah sahaja. Tidak sampai lima minit berjalan, mereka telah sampai di sekolah. Walaupun jarak dari rumah ke sekolah dekat, Aweng tetap akan menunggu Amir untuk pergi ke sekolah. Mereka tidak pernah berpisah. Boleh dikatakan semua benda mereka buat bersama-sama kecuali soal sembahyang. Mereka diibaratkan seperti sepasang kembar. Saiz badan pun sama. Amir beragama Islam, manakala Aweng penganut agama Buddha. Perbezaan agama sahaja yang memisahkan mereka.

Kira-kira sepuluh minit Amir menunggu Aweng untuk bersiap. Nasib baik Amir sampai awal di rumah Aweng. Dia terlewat bangun. Tergopoh-gapah Aweng memakai stoking dan kasut. Jika mereka lewat sampai ke sekolah, mereka akan didenda. Tidak sampai lima minit berjalan, mereka sudah berada di kawasan sekolah.

“Nasib baik kita sempat masuk tadi,” kata Amir sambil mengurut dada. Nafasnya tercungap-cungap.

“Itulah engkau bangun lewat lagi,” sambung Amir tetapi Aweng diam membisu. Dia tidak menjawab sepatah pun. Amir hairan melihat kelakuan Aweng pada pagi itu.

Aweng melajukan langkah dan meninggalkan Amir di belakang. Dia masuk ke kelas. Terkebil-kebil Amir melihat kelakuan Aweng. Namun Amir pendamkan sahaja dan tidak mahu memarahi Aweng.

‘Balik sekolah nanti aku akan tanya masalah Aweng ni,’ Amir berkata dalam hatinya.

Mereka belajar seperti biasa. Tetapi hari ini, tingkah laku Aweng sedikit pelik. Dia banyak termenung. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Selalunya dia seorang yang banyak cakap. Cikgu Ramzul juga perasan akan perubahan sikap Aweng pada hari itu.

Cikgu Ramzul memandang Amir. Dia mengangkat bahu. Dia sendiri tidak tahu masalah yang dihadapi oleh sahabatnya. Cikgu Ramzul meminta Aweng berjumpa dengannya sebelum balik. Aweng hanya mengangguk.

Cikgu Ramzul merupakan cikgu Bahasa Melayu. Beliau sangat prihatin terhadap anak-anak muridnya. Tambahan pula, Aweng merupakan salah seorang pelajar yang cemerlang dalam subjek Bahasa Melayu. Kebetulan juga hubungan mereka agak rapat. Ibarat pepatah Melayu, sekilas ikan di laut, sudah tahu jantan betina. Inikan pula perubahan sikap Aweng yang sangat ketara pada hari itu.

Sementara menunggu Aweng berjumpa dengan Cikgu Ramzul, Amir menyiapkan kerja-kerja sekolahnya. Dia duduk di sebuah kerusi batu berhampiran dengan bilik guru.

‘Lama benar Aweng berjumpa dengan cikgu. Apa yang mereka bincangkan?’ Amir berteka-teki di dalam hatinya.

Sambil-sambil itu jarinya ligat menekan pen. Menyiapkan sebuah karangan. Dia tidak sedar, Aweng telah berada di sisinya.

“Eh, engkau. Terkejut aku!” hampir-hampir nak terjatuh pen yang dipegangnya.

Aweng hanya tersenyum sumbing.

“Dah lama kau kat sini?” tanya Amir selepas jantungnya kembali stabil.

“Dua minit tadi aku keluar,” Aweng membalas dengan bersahaja.

“Oh, dah selesai perbincangan dengan Cikgu Ramzul?” tanya Amir untuk mendapatkan kepastian.

Aweng hanya mengangguk dan mengajak Amir pulang ke rumah. Dalam perjalanan itu, mereka diam membisu. Sesampainya di rumah, Aweng terus naik dan tidak menoleh ke arah Amir. Tanpa ucapan selamat tinggal seperti biasa yang mereka lakukan sebelum sampai ke rumah masing-masing.

Terpinga-pinga Amir melihat kelakuan Aweng. Dalam perjalanan balik tadi dia tidak sempat bertanya. Jarak rumah mereka agak dekat dengan sekolah. Sekali langkah sahaja dah sampai rumah.

Di rumah, Amir menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya.

“Mir tidak tahu apa salah Mir. Mungkin Aweng ada kecil hati dengan Mir. Kami langsung tidak bercakap hari ini, bu. Selepas itu, Mir tunggu dia berjumpa dengan Cikgu Ramzul. Kemudian kami balik bersama. Itu sahaja, bu,” Amir meluahkan perasaannya.

Rodiah juga terkejut dengan perubahan sikap Aweng. Setahunya, Aweng dan Amir tidak pernah bergaduh. Mereka bersahabat baik sejak kecil. Keluarga mereka berdua memang akrab. Sejak keluarga Aweng berpindah ke kampung mereka, ibu bapa Amirlah orang pertama yang menegur dan berbuat baik dengan keluarga Aweng. Tambahan pula, ayah Amir merupakan ketua kampung. Disebabkan itu, dia perlu mengambil berat tentang anak mukimnya. Masyarakat Melayu di kampung itu juga menerima kehadiran keluarga Siam di kampung mereka. Kehidupan mereka sangat harmoni. Bersatu dalam satu ikatan yang kukuh.

“Sayang, sabarlah. Mungkin Aweng belum bersedia untuk bercerita kepada kita tentang masalah dia,” pujuk Rodiah sambil tangannya menggosok belakang anaknya dengan penuh kasih sayang.

Amir menyeka air mata yang mulai menitis di pipinya. Rodiah membawa Amir ke dalam pelukannya. Tangisan anaknya yang satu itu meruntun hati seorang ibu. Tetapi dia tidak mahu berprasangka buruk terhadap Aweng. Dia tahu Aweng pemuda yang baik. Mungkin Aweng mempunyai masalah yang tidak dapat diceritakan kepada Amir.

Di rumah pula, Aweng mengurung diri di dalam bilik. Berkali-kali ibunya memanggil, tetapi Aweng tidak membuka pintu. Ibunya bertambah risau kerana sejak balik dari sekolah tadi Aweng tidak mahu makan.

“Weng, marilah kita makan. Sikit pun jadilah. Jangan biarkan perut kosong. Nanti masuk angin,” ibunya memujuk sambil tangannya tidak henti-henti mengetuk pintu bilik Aweng.

Ibunya semakin gelisah. Lalu, dia pergi ke rumah Amir untuk meminta bantuan supaya memujuk Aweng. Pasti Aweng akan mendengar cakap Amir. Mereka bersahabat baik. Malangnya, Amir tiada di rumah kerana mengikut bapanya bermain wayang kulit di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan. Aweng membuka pintu setelah dipujuk oleh ayahnya.

Malam itu, bapa Amir akan mengadakan persembahan wayang kulit. Kebiasaannya, Aweng juga akan mengikuti mereka. Kata Amir, Aweng tidak sihat. Oleh itu, mereka pergi berdua sahaja pada malam tersebut.

Fikiran Amir melayang-layang ketika itu. Persembahan wayang kulit langsung tidak menarik perhatiannya. Pandangannya kosong. Suara tok dalang tidak menyentuh hati dan perasaannya ketika ini. Apa yang ada di dalam kepalanya ialah Aweng. Perubahan sikap Aweng pada hari ini sangat memberi kesan kepadanya. Dia tidak sanggup putus kawan dengan Aweng. Dia sangat sayangkan Aweng.

Setelah pulang dari Gelanggang Seni, Amir cepat-cepat masuk ke bilik tanpa bertegur sapa dengan ibunya. Mukanya muram. Rodiah memandang suaminya. Dia menceritakan masalah Amir dan Aweng kepada suaminya. Barulah suaminya tahu sebab anaknya tidak ceria pada malam ini.

Rodiah juga menyatakan kebimbangan melihat anaknya yang tidak ceria seperti selalu. Suaminya berjanji akan bertanya hal tersebut kepada bapa Aweng. Mungkin Aweng ada masalah keluarga.

Keesokan harinya, Amir dan Aweng tidak berjalan ke sekolah seperti biasa. Aweng tidak menunggu Amir. Dalam kelas pula, Aweng minta ditukarkan tempat duduk dengan Hisham. Amir mendiamkan diri dan tidak mahu bertanya mengapa Aweng bertindak sedemikian.

Hari demi hari, bulan demi bulan. Hubungan kedua-duanya menjadi semakin renggang. Mereka tidak bertegur sapa. Berselisih bahu di kantin sekolah pun mereka tidak bertegur. Amir juga sudah tidak mahu ambil tahu tentang hal Aweng. Mereka seolah-olah seperti orang asing, sedangkan sejak kecil mereka berkawan rapat.

Hubungan yang renggang ini semakin buruk apabila ada batu api yang cuba menyemarakkan baranya. Hisham menuduh Amir mencuri wang Aweng. Tuduhan itu menyebabkan Amir marah dan mereka bertumbuk. Amir cedera di hidung. Mereka dibawa ke bilik guru disiplin.

Amir melutut dan merayu kepada Cikgu Rasul supaya tidak memberitahu ayahnya tentang kejadian ini. Dia tidak mahu ayahnya marah. Sebagai ketua kampung, ayahnya selalu berpesan supaya menjaga nama baiknya. Cikgu Rasul memahami perasaan Amir. Ini kesalahan kali pertama Amir. Dia budak yang baik. Mungkin hari ini dia tidak dapat mengawal emosi.

Sementara itu di pasar tani, Rodiah terserempak dengan Weenie ketika memilih sayur di gerai Pak Abu. Mereka bertegur sapa. Rodiah mengajak Weenie pulang bersamanya. Sudah lama mereka tidak berbual panjang. Walaupun mereka berjiran, tetapi mereka tidak selalu berjumpa.

Weenie menceritakan bahawa suaminya mengajak keluarga mereka berpindah ke Kuala Lumpur. Di kampung, bengkel motosikal yang diusahakan oleh suaminya itu tidak menguntungkan. Mereka perlu mencari kehidupan yang lebih baik demi masa depan Aweng. Di Kuala Lumpur, peluang lebih besar.

Rodiah terkejut mendengar berita itu. Dia sedih akan kehilangan sahabat sebaik Weenie. Kata Weenie, hujung minggu ini keluarga mereka akan berpindah. Suaminya sedang menguruskan pertukaran sekolah Aweng. Fikir Rodiah, mungkin disebabkan hal ini Aweng berubah sikap dan tidak mahu berkawan lagi dengan anaknya. Mungkin Aweng tidak mahu Amir bersedih jika dia berpindah.

Rodiah terkejut melihat muka Amir lebam-lebam. Amir menceritakan kejadian dia bertumbuk dengan Aweng di sekolah. Dia sudah tidak mahu lagi berkawan dengan Aweng. Dia sudah menganggap Aweng sebagai musuhnya. Marahnya membuak-buak.

Belum sempat Rodiah menceritakan perpindahan keluarga Aweng pada hujung minggu ini, anaknya telah menutup pintu bilik. Amir berkurung sehinggalah ke waktu maghrib, ayahnya memanggil. Dia membuka pintu dengan mata yang bengkak.

“Usah dituruti amarah, anakku. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Ayah tidak mahu anak ayah hidup dalam penyesalan. Maafkan Aweng. Kalian bersahabatlah seperti dulu,” pujuk ayahnya sambil membelai wajah Amir. Bengkak di muka Amir dituam dengan ais batu dan diletakkan sedikit ubat.

Ayahnya menceritakan yang keluarga Aweng akan berpindah ke Kuala Lumpur. Aweng juga sudah memohon surat pertukaran sekolah. Berita yang baru diterima ini menambahkan lagi luka di hati Amir. Sampai hati Aweng tidak memberitahunya tentang perpindahan ini. Mungkin Cikgu Ramzul juga tahu akan hal ini tetapi merahsiakannya kerana menghormati keputusan Aweng.

Air mata Amir yang baru hendak menitis diseka ayahnya. Amir tidak menyangka dia akan kehilangan sahabat baiknya. Dia tahu sejak akhir-akhir ini hubungan mereka tidak baik. Tetapi jauh di sudut hatinya dia tetap menyayangi Aweng. Walaupun Aweng pernah menumbuk mukanya dan dia sangat marahkan Aweng, tetapi itu tidak bermakna dia ingin memutuskan ukhuwah yang telah terbina sejak dari kecil.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

صلة الرحيم
Puisi Moden

صلة الرحيم

  • 5 Mac 2025
  • 5
Hantu Sungai
Cerpen

Hantu Sungai

  • 19 Februari 2024
  • 66
  • 4
Cerpen

TAMAR DAN KOPI

  • 15 Februari 2026
SEPEKET MAKANAN BASAH JENAMA PREMIUM
Cerpen

SEPEKET MAKANAN BASAH JENAMA PREMIUM

  • 20 September 2024
  • 295
  • 4.9

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP