ANDAI kata kehidupan ini satu perlumbaan, ayah telah mengakhiri pertandingan yang baik, telah mencapai garis akhir dan di sepanjang trek, telah memelihara ketaatannya kepada ajaran agama, adat istiadat dan undang-undang negara.
Kata-kata terakhir ayah ialah “sudah sedia” dan selepas itu tercatatlah dalam surat matinya – lelaki, umur lapan puluh sembilan tahun. Sebab kematian ayah bukan secara semula jadi tetapi oleh penyakit yang dihidapinya sejak beberapa tahun. Ayah berjaya sembuh daripada penyakit lain sebelum ini, termasuk barah. Untuk penyakit terakhir ini, doktor mencadangkan pembedahan sebagai pilihan untuk sembuh tetapi beliau juga menyatakan bahawa pembedahan itu berisiko tinggi kerana umur ayah telah melebihi lapan puluh. Maka ayah pun bersetuju untuk makan ubat, masuk ke mesin pengimbas dan ambil darah setiap kali mendapatkan pemeriksaan ulangan.
Namun semua orang kata, doa ayah agar tidak menyusahkan anak-anak sebelum meninggal dunia telah dimakbulkan oleh Yang Maha Kuasa. Ayah memaklumkan doanya itu kepada rakan-rakan yang menziarahinya selepas pemergian ibu. Ayah melihat anak, menantu dan cucu menjaga ibu yang koma selama enam minggu di rumah sebelum pergi buat selamanya.
Mungkin doa itulah yang mendorong ayah untuk patuh kepada arahan cucu yang bertindak sebagai jururawat sepenuh masa, dua puluh empat jam sehari, tujuh hari seminggu, tiga ratus lima puluh enam hari setahun. Ayah taat mengikut jadual diet, jadual makan ubat dan jadual makan makanan tambahan serta jadual berjumpa dengan doktor pakar. Ketaatan itu menyebabkan orang lain melihat ayah sihat, ceria dan cergas sepanjang hari tuanya. Sehingga hari-hari terakhir pun, ayah masih berjalan tanpa bantuan dan hanya menggunakan tongkat jika keluar dari rumah. Ayah selalu berkata bahawa Tuhan telah menganugerahkannya umur bonus yang begitu banyak untuk dinikmati.
Justeru, katanya, “Jika ayah meninggal, ayah mahu anak cucu memakai baju merah dan iringi mendiang ayah ke kubur dengan pukulan gong.”
Kami lakukan seperti yang dipinta. Kami terangkan kepada penduduk kampung pada hari pengebumian ayah agar tidak disalah erti.
Enam bulan lepas, ayah kata mahu sambut ulang tahun kelahirannya secara besar-besaran.
“Sembelih lembu, ayah akan bayar,” katanya.
Tetapi kami jawab, kita beli di pasar sahaja sebab cuti terhad untuk mengurus tukang sembelih, tukang masak dan pada masa yang sama mengurus majlis. “Eloklah kita tumpukan kepada aktiviti kegembiraan saja,” jawab kami.
Ayah setuju. “Ayah mahu cucu dan cicit belajar memukul gong semasa majlis itu,” katanya.
Aku jawab, disebabkan hari jadi ayah jatuh serentak dengan perayaan Tahun Baharu Cina, kita jemput juga tarian singa buat persembahan.
Ayah bertanya hari kejadian itu hari jadinya yang ke berapa. Kami jawab yang kelapan puluh sembilan.
“Jadikan ia hari jadi ayah yang kesembilan puluh,” jawabnya.
Kami tertawa beramai-ramai dengan suara dan wajah ayah yang ceria dan penuh semangat. Pada hari kejadian, ayah berkeras mahu membayar sup tulang lembu yang sudah siap dimasak. Hari itu, ayah begitu cergas mengajar anak, cucu, cicit dan menantu memukul gong. Dua bulan selepas itu, ayah pergi selamanya. Ayah disemadikan di sebelah kubur ibu. Ibu pergi mendahului ayah hampir dua tahun lepas. Daripada empat orang beradik, ayah adalah yang bongsu dan yang terakhir meninggal dunia selepas kakaknya pergi tahun lepas.
Tahun-tahun terakhir hayatnya, ayah dan ibu tinggal di rumah keluarga kecil adik, anak keempatnya, untuk memudahkan penjagaan dan komunikasi dengan keluarga besar. Sebahagian besar masa bekerja adik dibuat di rumahnya. Pejabatnya di rumah. Isteri dan anak-anak juga bekerja di daerah yang sama dan balik ke rumah setiap hari. Lokasinya terbaik kerana ayah dan ibu mahu hampir dengan rumahnya, kebun dan saudara terdekat yang masih hidup. Adik juga mempunyai keluarga yang lengkap – ayah, ibu, anak-anak dan menantu serta cucu. Berada dalam lingkungan keluarga lengkap menyenangkan hati ayah dan ibu. Menggendong dan bermain dengan cicit kecil ialah terapi ayah.
Selepas ibu meninggal, pernah aku mendengar ayah berkata sambil memandang si kecil yang sedang lena selepas menyusu, “Kita serupa. Kerja kita makan dan tidur saja.” Kepada cicit berumur kurang setahun yang menumpang tidur di pangkin ayah.
Kakak, bukan anak sulung, lahir tiga tahun selepas perkahwinan ayah dan ibu. Kakak telah bersara wajib umur enam puluh tahun, empat tahun lepas. Beginilah cara ibu mengira umur perkahwinannya dengan ayah. Anak sulung mereka ialah lelaki, meninggal ketika bayi. Aku lahir selepas kakak.
Sejak kecil aku rapat dengan ayah. Aku suka mengikut ayah membuat kerja-kerja lelaki – membaiki tali air, menyediakan sawah, menangkap ikan, memanjat kelapa atau menguburkan anak kerbau kesayangannya yang mati. Ibu kata mereka mengharapkan anak lelaki tetapi lahirnya aku. Ayah selalu bercerita tentang mimpinya semasa ibu mengandungkan aku.
“Dalam mimpi itu, seseorang telah meletakkan sebiji botol kecil yang berisi tujuh jenis biji padi ke dalam genggaman tangan ayah. Kata orang itu, salah satu biji padi ini akan tumbuh di puncak Nabalu. Jaga biji-biji padi ini baik-baik, pesan orang itu,” ceritanya.
Ayah sangat hormat kepada padi. Ayah percaya padi mempunyai semangat yang perlu ditatang agar entiti itu tidak lari dari rumah. Semangat padi boleh mendengar. Katanya, pantang padi jika tumbuhnya subur dan berseri-seri tetapi dikatakan tidak subur atau tidak berapa menjadi. Atau jika tuaian padi lima depa dikata empat depa. Ayah memberi contoh si polan tidak pernah lagi mendapat tuaian yang bagus kerana berbuat begitu.
“Mungkin dia mahu elak orang minta benih atau padi daripadanya yang mendorongnya berbuat begitu,” ulasnya.
Jika makan dan tidak dapat menghabiskan nasi, dan terpaksa pula memberikan sisa nasi itu kepada binatang atau membuangnya ke tanah, kami diajar agar berkata, “Balik tahun depan, ya,” kepada nasi tersebut.
Ayah dan ibu bersawah hanya sekali setahun. Nama ayah pun jenama varieti padi – Radin India, Radin China IV sebagai contoh. Katanya varieti radin adalah varieti tradisional yang jarang berpenyakit. Seperti namanya, padi ayah bertahan sehingga empat tahun. Belum habis padi tiga tahun lepas, menuai lagi tahun semasa. Aku turut menyukat padi lama yang dipanggil lo’un dengan menggunakan tin untuk dibuat tapai. Kata ayah, lo’un tidak enak dimakan. Biasanya orang akan membayar ayah dengan kerja di kebun atau sawah. Aku tidak pernah melihat ayah atau ibu menerima wang hasil menjual padi atau beras. Ayah mendapat wang tunai daripada jualan binatang ternakan.
Ayah tegas. Ayah pantang dijawab “o’oi” sebagai balasan kepada arahannya semasa kami masih kanak-kanak. Rasanya semua kami adik-beradik pernah merasa rotan ayah kerana menjawab “tidak mahu”. Kalau bukan rotan, hukuman ingkar perintah adalah pasik menggunakan dua jarinya. Ibu akan menyapu ubat pada bekas rotan di betis atau lebam di lengan selepas kami berhenti menangis apabila dipujuk ibu. Ya, tentulah pujukan itu berserta justifikasi mengapa rotan atau pasik digunakan, dan agar kami patuh kepada arahan ayah.
Biasanya ibu akan memujuk kami menggunakan makanan yang jarang dimakan seperti biskut atau gula-gula atau kopi panas. Dan selepas bekas rotan diubati dan minum kopi panas manis dengan makanan mewah itu, kami akan terpaksa juga laksanakan arahan yang tertangguh akibat jawapan “o’oi”. Barangkali, pelaziman itu menyebabkan kami merujuk kepada ibu dan ayah apabila menghadapi masalah kala dewasa dan bersedia dengan rotan nasihat yang dibisikkan secara lemah lembut tetapi mampu menyedarkan bahawa masalah itu berpunca daripada diri sendiri sebelum ayah memberi cadangan kaedah penyelesaiannya.
Kata ayah, syarat berkahwin pada zamannya adalah pandai buat rumah. Selepas atuk, iaitu ayah kepada ibu kami meninggal, ayah bina rumah sendiri. Adat pada zaman itu, anak menantu lelaki perlu tinggal dengan mentua. Sebagai balasan kesanggupan tersebut, nilai berian dipotong sehingga lima puluh peratus atau lebih. Biasanya berian dalam bentuk aset seperti gong dari besi tuang atau tembaga, atau kerbau. Anak menantu lelaki seperti ayah yang setuju dengan ketetapan adat tersebut perlu tinggal di rumah mentua selagi ibu bapa mentuanya hidup untuk mengelakkan tulah. Lima puluh peratus atau lebih lagi berian dibayar dengan kerelaan menjadi anak lelaki di rumah mentua. Kata ibu, tulah boleh berbentuk susah dapat tuaian yang elok atau mungkin anak-anak yang dilahirkan cacat atau tidak menjadi seperti yang diidamkan oleh orang tuanya.
Ayah pandai membuat perabot kayu. Semua katil, meja dan kerusi yang kami guna semasa kanak-kanak ialah hasil buatan ayah. Ayah juga ialah orang pertama yang membina rumah berbumbung zink di kampung menurut ibu. Masa itu, jalan raya terdekat ialah dua jam berjalan kaki mengikut denai. Maka zink itu diangkut dari penghujung jalan raya secara bergotong-royong. Seingatku, rumah ayah bersaiz besar didiami dua buah keluarga adik-beradik ayah dan keluarga adik tiri ibu dan anak-anak mereka yang sudah berumah tangga. Semasa perayaan Pesta Kaamatan dan perkahwinan, rumah ayah berfungsi sebagai dewan orang ramai. Ayah menggunakan lampu nelayan untuk menerangi seluruh rumah. Semua orang yang tinggal di rumah besar berbumbung zink itu akan patuh kepada arahan ayah. Setiap keluarga mempunyai dapur sendiri serta sawah dan kebun sendiri.
Seingatku lagi, ayah ialah ketua agama di kampung sehingga adik keempat dewasa dan mengambil alih peranan itu. Manakala ibu pula ialah ketua mak andam kepada pengantin perempuan dan gadis pengiring dalam majlis perkahwinan. Pernah aku terkilan tidak melihat majlis persandingan sepupu kerana terlena ketika memerhati ibu mengandam gadis itu. Rumah ayah sama ada di kebun atau di kampung, selalu bersaiz besar. Baginya rumah ialah keluarga. Rumah kampung ayah yang terakhir mempunyai lapan buah bilik tidur dan dua buah dapur. Ayah gelar rumah itu kapal Nabi Nuh. Hasil tangan ayah – ayah jurutera, ayah arkitek, ayah tukang.
Ayah tidak pernah bersekolah formal. Namun ayah pandai membaca, menulis dan mengira dalam bahasa Dusun. Ayah dan ibu mendapat latihan agama daripada mubaligh Australia selepas Perang Dunia Kedua. Mubaligh itulah yang mengajar mereka mengenal huruf dan nombor. Sebab itu ayah diangkat sebagai ketua agama di kampung sejak kami kanak-kanak lagi. Ayah juga dilantik sebagai ketua kampung semasa aku di sekolah menengah sehinggalah mencapai umur maksimum menjawat jawatan itu.
Tugas ketua kampung, seawal enam pagi, orang akan tiba di rumah meminta bantuan ayah menyelesaikan isu perlanggaran adat atau tanah. Dan aku akan pastikan ayah sarapan terlebih dahulu sebelum pergi menyelesaikan masalah itu. Ayah hafal peraturan adat. Ayah menjatuhkan hukum sogit dan memastikan hukuman itu dipatuhi. Dalam menyelesaikan sesuatu isu, ayah tenang dan menjadi pendengar yang baik.
Ayah ialah pembimbing dan mentor yang baik. Jika ayah berpendidikan tinggi, ayah pasti menjadi pensyarah tajuk bimbingan dan tunjuk ajar yang akan berceramah berdasarkan cerita sebenar dan bukan sekadar teori. Apabila aku kerja, ayah menasihatiku agar mendengar dan melaksanakan arahan ketua kerana obligasi terhadap tanggungjawab.
“Hormati ketua kerana kedudukannya. Namun jika pangkat orang itu kamu tidak dapat hormat kerana kelakuan atau tindakannya barangkali, hormati dia sebagai orang yang lebih dewasa. Jika itu pun kamu tak mampu hormati dia, eloklah kamu menjauhkan diri daripadanya.”
Ini adalah prinsip ayah dalam menghormati seorang pemimpin yang dilantik.
Selama ayah dan ibu tinggal bersama-sama adik, aku dan suami berusaha melawat mereka setiap minggu dengan membawa makanan dan keperluan lain.
“Bila lagi kamu akan datang ke sini?” Ini soalan lazim ayah setiap kali kami berangkat balik ke bandar. Mata ayah akan sayu. “Jaga diri.” Nasihatnya selalu semasa aku memeluknya.
Jika kami adik-beradik menghulurkan wang saku bulanan, ayah akan kata, “Terima kasih. Ada juga hasil jualan durian.” Sambil ketawa kecil.
Semasa ibu masih ada, ibu akan sambung nasihat ayah, “Jangan terlalu garang semasa bekerja.”
Selepas berhenti bersawah, ayah dan ibu menanam durian. Semua durian ayah dan ibu baik mutunya. Ayah dan ibu tidak akan menjual durian melainkan pembeli sendiri datang ke rumah. Mereka akan menghubungi anak-anak dan saudara-mara yang bekerja makan gaji supaya datang makan durian di rumah. Anak saudara Sabli akan bantu mengutip buah gugur setiap pagi ketika musimnya. Jika anak-anak pulang, disuruhnya kami mengangkut buah ke bandar untuk kawan-kawan rasa. Ayah mengurus durian seperti mengurus padi dahulu. Awal pagi ke kebun, balik petang juga dari kebun – membaiki pagar, membaja, meracun dan mencantas. Ayah berhenti memandu kerana mata tua namun semangatnya kekal cergas. Ayah akan minta kami membawanya ke kebun dan melaksanakan arahannya.
Apakah kelemahan ayah? Aku pernah bertanya kepada ibu. Bagiku ayah ialah ayah yang sempurna. Ibu berfikiran tajam dan rajin. Tetapi ayah bijak, tangkas dan berkemahiran. Ayah suka berjenaka. Ibu suka bermanja. Pasangan yang saling melengkapi. Pasangan petani biasa yang berjaya memberikan pendidikan terbaik kepada semua tujuh orang anaknya. Setelah adik bongsu mula bekerja, ayah dan ibu memulakan mesyuarat keluarga tahunan agar dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang. Di situ, tanah-tanah milik mereka berdua diagihkan kepada anak-anak secara sama rata.
Ibu kata, ayah ialah jirannya semasa remaja. Lelaki tampan di kampung. Ayah mempunyai gigi yang cantik dan selalu wangi. Ayah ialah cucu kepada ketua kampung yang disegani semasa zaman penjajahan British. Tetapi yang memikat ibu ialah ayah pandai bermain muzik dan menulisnya surat cinta. Ayah juga mahir menangkap kerbau liar menggunakan tali. Aku pernah melihat ayah menangkap anak kerbau untuk menanda telinga. Badan ayah terbuang beberapa kali sehingga anak kerbau jatuh tertidur kerana kakinya terjerat. Ayah menampan kakinya pada batas sawah untuk menahan larian tangkas anak kerbau itu.
Semasa kami kecil, ayah mempunyai alat latihan gimnastik buatan sendiri. Ototnya pejal dan menonjol. Ibu kata, dengan fizikalnya begitu, pasti ramai gadis berharap menjadi isterinya. Semua kemahiran lelaki kampung ayah kuasai termasuk membuat parang dan peralatan bertani dari besi. Ayah juga pandai memasak. Pernah sekali semasa mengalami alahan kerana mengandung, aku pujuk paksa suami memandu sejam selepas balik dari kerja hanya untuk merasa masakan itik ayah.
Agak sukar untuk aku masuk ke pemikiran ibu atau gadis-gadis yang dinyatakan oleh ibu sehinggalah pada suatu hari ibu berkata, “Jika ibu mati terlebih dahulu, kamu mesti kahwinkan ayah. Ayah perlu kawan baik yang boleh mengejutkannya ketika bermimpi buruk. Asalkan jangan si polan.”
“Wah, ada syarat pula,” seloroh kami tetapi ibu tidak senyum.
Si polan itu rupanya saingan ibu semasa masih gadis dan sesudah berkeluarga. Selepas ibu meninggal, ada juga si polan datang ke rumah adik untuk satu urusan tetapi hanya di pintu pagar sahaja walaupun diajak masuk. Aku melihat matanya memandang ayah yang duduk di pangkin tetapi ayah tidak membalas pandangannya.
Dua puluh empat jam sebelum ayah pergi, ayah menelefon untuk bertanya bila aku akan balik ke kampung. Aku jawab, hari esok. Aku berada di luar stesen dan perlu membeli tiket baharu untuk dua destinasi penerbangan bersambung kerana percutian bulanan belum tiba.
“Kenapa, ayah?” tanyaku.
Ayah menjawab, “Tiada apa-apa. Hanya nak tahu. Jaga diri di sana.” Dan tertawa kecil tetapi kedengaran ceria.
Serta-merta aku bertanya kepada adik perkembangan ayah sekarang kerana semalam adik menyampaikan mesej menggesa semua anak supaya pulang segera. “Ayah semakin kerap kesakitan. Sudah dibawa ke klinik. Sakitnya sekejap datang, sekejap baik. Kelakuan ayah agak ganjil,” tulisnya.
Mengikut adik, ayah bertanya di mana aku lima jam sebelum longlai dalam pelukannya. “Saya jawab, kakak baru mendarat dan akan sampai siang nanti,” cerita adik, sayu. Semasa bersiap untuk memulakan perjalanan darat, awal pagi yang sedih itu, adik memaklumkan bahawa ayah telah pergi buat selamanya.
Dalam keluarga besar, selain nama rasminya, ayah dikenali dengan dua ganti nama utama – yapa oleh anak-anak dan menantu, dan baki oleh cucu dan cicit. Selepas hampir setahun pemergian ayah, namanya masih disebut-sebut. Keputusannya dalam menyelesaikan masalah keluarga, adat dan budaya dijadikan rujukan. Kakak mengambil alih mempengerusikan mesyuarat keluarga besar.
Dalam meniti hari tua diri sendiri, aku lebih memahami mengapa ayah menelefonku setiap hari hanya untuk bertanya khabar. Selalu aku jawab, “Kita buat selepas aku bersara.” Kepada soalan ayah bagi sesuatu tugas di kebun yang belum selesai. Aku silap memikirkan bahawa ayah akan masih ada setelah aku bersara untuk memberi nasihat dan mengingatkan supaya sentiasa membantu orang lain. Atau sekadar berkata “jaga diri”.