Pagi itu Mat Husin bangun terlalu awal. Selesai solat subuh dia masuk ke dapur. Nasi yang tidak habis malam tadi diperangat semula. Ikan haruan bakar, sambal cili api dan pucuk putat muda menjadi juadah pagi itu.
Selesai makan Mat Husin turun dari rumah. Dia tercegat di bawah rimbun perdu buluh. Ada sesuatu yang sedang membelit perasaannya. Ada sesuatu yang silih berganti datang dan pergi dalam kotak fikirannya. Sesuatu itulah yang membuat tidurnya malam tadi dan malam-malam sebelumnya tidak begitu lena.
“Kami semua mahu balik ke kampung untuk seminggu dua. Abang Husin bagaimana?” Pak Da Jemi memulakan perbualan.
Mat Husin hanya angguk. Dia merenung wajah Pak Da Jemi dalam-dalam.
“Semua akan balik ke?” Mat Husin bersuara.
“Ya abang, semua akan balik. Bekalan makanan kita pun sudah habis,” sambung Pak Da Jemi.
“Aku tidak balik Jemi. Kirim salam pada Kak Nik Jenab kamu. Banyak lagi kerja-kerja yang perlu aku siapkan.”
“Aku juga mintak tolong kamu jualkan kerbau jantan aku. Pitisnya kau berikan kepada Kak Nik Jenab. Kau belilah untuk aku beras, garam, ikan kering dan minyak masak.”
“Jangan lupa kau belikan paku dua inci, lima kilo.”
Perbualan Mat Husin dan adik iparnya itu memberi kata putus bahawa Mat Husin tidak akan balik ke kampung mereka di Becah Kerdas. Dia akan terus berada di Bukit Kuala Gris. Dia akan bersendirian di sini. Menghuni dangau kecil yang dibina dari batang nibung, berdindingkan buluh dan beratap sagu.
Selama tiga bulan Mat Husin bersendirian. Terpisah dari keluarga. Menghamba diri pada bumi serba kekurangan. Tidur di gelegar nibung berbantalkan lengan dan berselimutkan kain sarung. Meninggalkan kampung halaman. Hidup di tanah baru serba kekurangan. Daerah yang gelap-gelemat. Daerah yang amat sunyi pada waktu tengah malam. Daerah yang penuh ketakutan. Tempikan suara gajah telah menjadi kebiasaan. Bertembung dengan harimau sudah acap kali. Terserempak dengan ular tedung bagaikan lumrah. Itulah kisah suka dan duka di hutan yang baru diteroka.
Mat Husin sebenarnya terlalu ingin untuk balik ke kampung. Telah lebih tiga bulan dia meninggalkan kampung. Tiga bulan berjauhan daripada anak isteri. Dia sepatutnya balik bertemu keluarga. Dia sepatutnya telah berada di kampung.
Tiga bulan dahulu Mat Hussin telah nekad. Hatinya tidak akan berganjak lagi. Sebaik sampai ke sini dia tidak akan kembali lagi ke kampung Becah Kerdas. Dia berharap niat Pak Da Jemi, Awang Darus, Wan Senik, Nik Bakar, Mail Jinun dan Pak Omar juga tidak berubah. Mereka tujuh orang sahabat sekampung akan berhijrah. Berhijrah jauh untuk membina hidup baru. Mencari rezeki demi anak isteri.
Mat Hussin tahu, keputusan yang bakal mereka ambil nanti memang banyak risiko. Jika berjaya, masa depan akan terjamin tetapi jika gagal, mereka akan menanggung kerugian yang besar. Masyarakat kampung Becah Kerdas akan bertepuk tangan. Orang kampung akan tersenyum sinis kepada mereka.
Mat Hussin yakin bahawa tawaran daripada Haji Kudin tidak akan disia-siakannya. Haji Kudin bukannya manusia penipu. Haji Kudin dahulu pun tidak punya harta. Tidak punya tanah walaupun sejengkal. Kini Haji Kudin kaya raya. Dia telah memiliki dusun dan kebuh getah berpuluh-puluh ekar di Bukit Keteri. Banyak juga tanah yang dia teroka dijual kepada sahabat-sahabat.
Lima tahun dulu Haji Kudin bersama-sama penduduk Kampung Kuala Kwong meneroka Bukit Keteri. Hasil pengorbanan Haji Kudin menebang dan menebas dahulu telah membuahkan hasil. Dia kini memiliki lebih lima ekar kebun getah. Kebun getah yang menunggu masa untuk ditoreh. Batang getah Haji Kudin sudah sebesar paha. Haji Kudin juga telah memiliki lima ekar dusun durian dan rambutan. Pendek kata Haji Kudin sudah berjaya.
“Aku hanya ingin memberi tawaran kepada kamu semua. Itu pun jika kamu mahu mengubah kehidupan. Untuk ubah kehidupan, kita mesti berhijrah.”
“Berhampiran dengan kebun aku, ada lagi sebuah bukit yang belum diteroka. Tanahnya subur. Cuma bukit tu tinggi sikit. Rebutlah peluang ini. Bolehlah kita menjadi jiran.”
“Kita tidak perlu modal. Kita hanya perlukan tenaga, tulang empat kerat dan keyakinan yang tinggi. Insya-allah kita berjaya.”
Hasil daripada dorongan Haji Kudin, Mat Hussin dan rakan sekampung datang ke sini. Datang ke Bukit Kuala Gris. Masing-masing berbekal sebilah gergaji, parang, kapak dan beliung sebagai senjata menghadapi belantara. Mereka turut membawa bekalan beras usang, ikan kering, garam, gula, kopi dan minyak sebagai pengalas perut sementara berada di dunia baru yang terasing.
Mereka akhirnya menjadi peneroka Bukit Kuala Gris. Di bukit inilah mereka menebang pokok-pokok hutan, menebas semak samun, tanpa mengira siang malam. Akhirnya hutan rimba telah bertukar menjadi tanah lapang. Langkah pertama yang mereka ambil adalah mula bercucuk tanam. Mereka menanam padi huma. Mereka menanam jagung, terung, lengkuas, kunyit, halia dan pisang. Beberapa bulan lagi hasilnya akan dijual ke Kuala Krai atau Gua Musang.
Semangat mereka berkobar-kobar setelah sehari suntuk berada di tanah milik Haji Kudin di Bukit Keteri. Melihat kebun dan dusun Haji Kudin yang subur, semangat mereka tambah membara. Bukan di Bukit Keteri saja, bukit-bukit lain bersebelahan juga telah menghijau dengan dusun buah-buahan dan pokok-pokok getah.
Segalanya memberi semangat baru kepada Mat Husin dan rakan-rakan. Tanpa menunggu masa yang lama, mereka tujuh sahabat mula membangunkan penempatan baru.
Setelah menyiapkan sebuah bangsal kecil dari pokok nibung dan buluh, kerja gotong-royong untuk menebas dan menebang bermula. Setelah sebulan, perbukitan yang dahulu dipenuhi semak samun dan hutan rimba sudah mula terang. Yang tinggal tidak ditebang hanyalah pokok tualang dan pokok merbau merah.
Mat Husin masih ingat, masuk bulan kedua, kerja-kerja membahagi kawasan mula dibuat. Atas persetujuan bersama, masing-masing mendapat tanah dengan anggaran keluasan lima ekar seorang. Kesemua tanah yang diperoleh ada kawasan berbukit dan kawasan lembah. Ada yang mendapat kawasan berpaya dan ada yang mendapat kawasan sampai ke tebing sungai. Mat Husin tidak memilih. Tanah mana pun yang dia dapat, dia akan terima. Dia akan membangunkan tanah tersebut tanpa banyak soal.
Semua itu Mat Husin lakukan untuk mengubah nasib hidup di kampung. Mereka ingin lari dari terus dihimpit kemiskinan. Peluang untuk mencari rezeki yang lebih demi anak-anak amat terbatas. Sekadar menternak lembu dua tiga ekor dan menoreh kebun getah milik orang lain tidak menjamin masa depan. Justeru bila ada halangan untuk datang ke sini, Mat Husin ketepikan semuanya.
“Belum tentu jika abang ke sana, nasib kita akan berubah,” rungut Jenab.
Mat Husin tidak berkata apa-apa. Dia terus tekun mengasah parang dan kapak.
“Tanah yang abang teroka itu tanah kerajaan. Bukan milik kita.”
“Berapa tahun abang bercucuk tanam baru dapat hasil?”
“Kita anak-anak di rumah nak makan apa Abang Husin?” sambung Jenab.
“Aku pergi ambil tanah hutan ni demi anak-anak Jenab. Demi Pidah. Demi Ripin. Demi Esah.”
Mat Husin bangun sambil membungkus kapak dan parang yang siap diasah.
“Lembu kita tiga ekor itu menjadi modal untuk penghijrahan ini.”
Jenab diam. Dia terkapa-kapa mendengar kata putus suaminya itu.
Dua hari selepas itu mereka bertujuh meninggalkan kampung. Menaiki kereta api pagi dari Stesen Wakaf Bharu menuju Slow Temiang. Menjelang asar mereka sampai. Dari stesen mereka berjalan kaki menuju Bukit Kuala Gris. Mereka menempuh lereng bukit dan anak sungai. Mereka menempuh banyak onak dan ranjau.
Ketika di kawasan hutan ini mereka tidak banyak membuang masa. Masuk bulan ketiga, kerja-kerja memagar bermula. Sebaik kerja memagar selesai, mereka akan mula bertanam getah dan durian.
“Kami balik ni juga nak beli benih sayur-sayuran. Benih getah, rambutan dan durian kita beli dengan Haji Kudin.”
Mat Husin masih ingat perbualan dengan adik iparnya petang semalam.
“Belilah juga bahagian aku,” sahut Mat Hussin.
Mat Husin kamudian masuk semula ke dalam rumah. Dia menukar pakaian. Biasanya pada hari Jumaat dia tidak ke mana-mana. Dia tidak akan ke bukit menjerat napuh atau ke sungai memukat ikan. Selain membaca Yasin, dia memperderas bacaan al-Quran.
Pagi ini dia melanggar lumrah biasa. Selesai melilit semutar di kepala, dia mengambil kapak, gergaji dan beliung. Dia mula menuju ke kaki bukit. Tempat tujuan utama ialah kawasan pokok nibung. Pokok penuh berduri itu mula ditebang. Sepohon demi sepohon. Duri-duri nibung di batang yang telah tumbang kemudian dikisik. Selepas dikerat, batang nibung dibelah empat.
Keesokan harinya, semua batang nibung yang telah dibelah dan dikisik terus dipunggah. Dengan penuh semangat Mat Husin memikul dan menghimpunkannya di hadapan rumah. Tidak selesai dengan memunggah batang nibung, Mat Husin mencari perdu buluh duri. Buluh duri pun banyak tumbuh di tebing sungai. Mat Husin mengambil masa tiga hari untuk menebang, mengerat dan membawa balik ke rumah.
Pokok terakhir yang perlu Mat Husin tebang ialah pokok sagu. Dia tidak memerlukan batang sagu. Apa yang Mat Husin perlu ialah pelepah sagu. Dari sebatang pokok yang Mat Husin tebang, dia boleh dapat hampir dua puluh pelepah daun sagu. Mat Husin kemudian kerat dengan menggunakan tali dan pelepah sagu ditarik ke halaman rumah.
Dalam tempoh seminggu, semua keperluan itu dapat Mat Husin kumpul. Memang kerja-kerja itu agak memenatkan. Tetapi itulah kehendak hatinya. Itulah juga permintaan fikiran sejak seminggu lalu.
Ketika rakan-rakan sekampungnya balik ke kampung berjumpa anak isteri, Mat Husin tidak dapat berbuat demikian. Alasannya dia perlu mengumpul semua bahan-bahan ini. Setelah mereka sampai kembali ke Bukit Kuala Gris, persoalan tentang kenapa Mat Husin tidak balik ke kampung akan terjawab. Saat itulah Kak Nik Jenab akan tahu jawapannya. Jawapan bahawa suaminya telah menyiapkan segala-galanya.
Kalau mengikut kiraan Mat Husin, sudah dua minggu Pak Da Jemi, Awang Darus, Wan Senik, Nik Bakar, Mail Jinun dan Pak Omar balik ke kampung. Jika mengikut janji Pak Da Jemi, Jumaat ini mereka berenam akan kembali ke Bukit Kuala Gris. Kembali dengan membawa bekalan baru untuk tempoh tiga bulan lagi.
Mereka akan membawa benih-benih sayuran. Mereka akan membawa segala pesanan dan berita dari kampung. Paling penting Pak Da Jemi akan membawa pesanan dari isterinya, Kak Nik Jenab. Adakah lembu jantan sudah terjual? Adakah Kak Nik Jenab dan anak-anak dalam keadaan sihat wal afiat?
Dari atas bukit Mat Husin memang sudah nampak mereka berenam sedang mengusung bekalan menyeberang anak sungai Olak Jeram. Tidak lama lagi mereka semua akan sampai di halaman rumah Mat Husin. Itu sajalah satu-satunya jalan mereka sebelum sampai ke rumah masing-masing.
Mat Husin sudah bersedia dari awal. Dia sudah bertanak nasi lebih dari biasa. Malam ini selepas isyak, mereka semua akan menjamu selera di rumah Mat Husin. Nasi beras usang berlaukkan sayur pedas pucuk cekak manis, kulat pusu dan ubi stelo amat menyelerakan.
Ketika Pak Da Jemi, Awang Darus, Wan Senik, Nik Bakar, Mail Jinun dan Pak Omar sampai di hadapan dangau Mat Husin, mereka terkejut. Semua bebanan yang dipikul dan dibimbit mereka berenam seperti mahu terlepas dari bahu dan tangan masing-masing. Pandangan mereka tertumpu pada timbunan batang nibung, buluh duri dan pelepah sagu.
Belum sempat Mat Husin bertanya khabar Kak Nik Jenab, tiba-tiba Awang Darus bersuara.
“Untuk apa semua ini Abang Husin?”
“Abang seorang yang buat semua ini?” soal Pak Da Jemi dalam keadaan terpinga-pinga.
“Terlalu banyak abang,” celah Mail Jinun dengan seribu persoalan berbelit di fikiran.
Mat Husin tidak terkejut dengan semua persoalan itu. Ketika bebanan di bahu dan tangan mereka berenam sudah diletak ke tanah, Mat Husin mendekati mereka semua. Mat Husin bersalam seorang demi seorang. Digenggamnya tangan mereka kemas-kemas. Mat Husin merenung tajam wajah-wajah sahabat sekampung itu.
“Di hadapan kamu semua ini adalah perkakas dan bahan-bahan untuk kita membina balaisah.”
“Sudah tiga bulan kita di sini. Tiga bulan jugalah kita tertinggal sembahyang berjemaah.”
“Tiga bulan jugalah kita tidak membuat tahlil untuk orang-orang tua yang terlebih dahulu meninggalkan kita.”
“Bukankah kita akan menetap di sini selama-lamanya?”
“Siang malam kita semua sedang mengejar dan mencari harta dunia, sehingga kita lupa bekalan akhirat.”
“Sudah lima tahun Haji Kudin dan beratus-ratus penghuni Bukit Keteri dan Bukit Gergaji bermastautin. Tetapi sebuah balaisah pun tidak terbina. Sedangkan dusun dan kebun semakin subur.”
“Kita semua mesti bangunkan balaisah di bukit ini. Ini adalah tanggung jawab kita bersama.”
Suara Mat Husin terhenti. Dia tunduk ke tanah. Matanya merah dan berair. Tiba-tiba keenam-enam sahabat menerpa ke arah Mat Husin. Mereka berpelukan. Esakan semakin kuat. Matahari mulai condong ke barat.
Selesai solat hajat pagi Sabtu, empat batang tiang nibung balaisah berdiri tegap di puncak Bukit Kuala Gris. Sudah terpacak niat Mat Husin.
Matahari cerah memancar.