Skip to content
Benang yang Tak Bertemu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Benang yang Tak Bertemu
Benang yang Tak Bertemu
Cerpen

Benang yang Tak Bertemu

  • MASLINA NGADIMAN
  • 20 Oktober 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 196
  • 4.7

1
ANGIN lewat petang Kampung Ulu Pechah berpuput lembut. Langit redup dan dedaunan getah berguguran, petanda susu getah tidak deras seperti biasanya. Orang kampung masih mencari semangat diri dalam menyara keluarga selepas setahun Jepun angkat kaki dari tanah bertuah ini.

Di bawah sinar yang merangkak senja, seorang perempuan duduk di rumah kecil yang bersisi dengan parit lebar berair tanah gambut. Dari tempat perempuan ini duduk, kelihatan riyak air berwarna teh pekat yang kalau terminum, pahit rasanya, yang kalau dicelup kain putih, akan ada bekas kecoklatan menempel pada kain itu.

Ini Salmah. Tangan kanannya memegang gigi penyikat, tangan kirinya menarik benang halus warna emas. Di hadapannya terbentang kain songket separuh siap, berkilat dalam suasana mentari senja.

Ini Salmah. Umurnya menjangkau tiga puluh lima tahun, namun wajahnya kekal seperti perempuan dengan usia dua puluh lima tahun. Wajah yang teduh, namun menyimpan gelora hati. Ada Orang kampung bermulut cabul berkata dia perempuan yang “ditolak jodoh enam kali.”

Ada juga yang lancang berkata dia disumpah. Ada pula yang percaya dia memilih sendiri jalan sunyi itu, hidup sendiri, menenun nasibnya sendiri tanpa memberi izin kepada sesiapa menenun hasibnya.

Ada saudara tua yang hampir tidak mahu mengaku saudara lantaran Salmah belum bertemu jodoh.

“Aku malu!” Begitu tutur salah seorang kerabat dekat sambil menyenyeh tembakau di bawah bibir sebelah kanan.

 

2

“Mungkin kali ini jodohmu, Mah,” bisik Mak Rogayah yang menjadi mak telangkai. Itu kejadian dua tahun lalu, ketika cincin merisik keenam disarungkan di jari manis Salmah. Perempuan ini masih berhati duka lantaran nenek yang dijaga selama ini belum tiga pekan dijemput Ilahi.

“Biar, kau ada peneman,” pujuk Mak Rogayah.

Salmah hanya diam menyentuh perlahan cincin halus yang sudah melingkar di jari manisnya.

“Biarpun si Raof itu umurnya sudah banyak, namun dia masih bujang. Biarpun cuma anak dagang tiada bertanah, namun dia rajin bekerja.”

Salmah terus diam, juga menunduk.

“Nak, sudah lama kau bertenun buat mencari rezeki kau dan nenekmu. Kini, dapatlah kau berehat sedikit. Biar suami yang menafkahi kamu.”

Ah! Salmah melepaskan sedikit keluh. Dinding sorong ruang tenun ini sudah dirapatkan dan dikunci, hanya ada tingkap kecil dibiarkan terbuka bagi memberi laluan cahaya bulan masuk. Salmah mengambil kotak rotan kecil, di dalamnya ada enam bentuk cincin. Setiap cincin risik tidak dapat membawa Salmah ke bangku persandingan.

Lelaki pertama, hilang entah ke mana.

Calon kedua, tiba-tiba merantau jauh.

Pemuda ketiga, berkahwin lari dengan gadis pekan.

Keempat duda, terlalu gemuruh pada hari akad. Lalu dibawa pulang keluarganya dan tidak muncul-muncul.

Dan, yang kelima datang memberi sehelai selendang, lalu pergi tanpa alasan. Wajahnya keruh dan tidak sanggup menatap Salmah yang sedang duduk di hadapan kek tenun.

Sementara yang keenam, bujang terlajak menghantar surat: “Saya terpaksa mungkir janji.”

Salmah melepaskan nafas panjang.

Malam itu, selepas jodoh kelima pergi, nenek dengan lemah berkata, “Tiada yang sial kerana engkau belum berjodoh. Jangan juga menyalahkan dirimu. Tuhan lebih tahu rahsia jodoh itu.”

“Asalkan nenek ada, tak mengapa kalau Mah tak berlaki.”

“Hish, jangan begitu!” marah nenek tetapi suaranya kecil sekali kerana terlalu uzur.

Perempuan yang ditolak jodohnya enam kali ini, menutup semula kotak rotan itu. Malam belum larut, dia mahu menyambung bertenun.

Che Jamila dari pekan akan datang mengambil pesanan ini sebelum akhir bulan. Salmah mesti menepati janji. Salmah sendiri yang sanggup menerima tempahan ini. Dia mesti mengotakan janjinya.

Dia tidak mahu seperti lelaki-lelaki yang menghantar cincin, namun kemudian hilang tidak berbayang.

 

3
Tuk… tuk… tuk…
Bunyi alat tenun di ruang tua itu seperti degupan jantung yang mahu berhenti. Bunyinya tidak lagi sekata, bahkan kadang-kala kedengaran terlalu lemah.

Penduduk kampung yang melintasi rumah Salmah, sering melihat rumah itu tertutup.

“Si Salmah itu, tidak bertenun lagikah?”

“Tapi kek tenunnya masih berbunyi, kalau tak bertenun, bagaimana belanjanya sehari-hari?”

“Katanya, Salmah suka bercakap seorang diri?”

“Siapa yang berkata begitu?”

“Tiadalah aku tahu, aku cuma mendengar cakap-cakap orang.”

Begitulah orang mengumpat tentang Salmah.

 

4

Setiap cincin risik tidak dapat membawa Salmah ke bangku pelaminan. Cuma Salmah yang mengetahui mengapakah ‘jodohnya’ itu menghilang tanpa berbayang?

Lelaki pertama, hilang entah ke mana.
Sepurnama sebelum lelaki itu menghilang, ada dia bertandang ke ruang tenun Salmah. Duduk di lantai dengan kaki berjuntai ke tanah. Berhentilah Salmah daripada bertenun bagi menyediakan minuman dan menemani dia berbual-bual.

“Dapatkah kau mengikut aku ke utara, selepas kita menikah?”

“Mah tak dapat meninggalkan nenek.”

“Cucunya, bukan kamu seorang.”

Salmah hanya diam. Namun, dia segera melihat-lihat ke serata ruang, semoga nenek tidak mendengar kata-kata itu.

Calon kedua, tiba-tiba merantau jauh.

“Dapatkau kau berhenti bertenun?”

“Mengapa? Salahkan pekerjaan Mah ini?”

“Aku memerlukan kamu menjaga ibuku.”

“Mah perlu berpindah ke rumahmu?”

“Ya, dapatkah kau meninggalkan tenun ini, juga nenekmu?”

Salmah cuma merenung lelaki di hadapannya dengan pilu, dan lelaki ini segera mengetahui akan jawapan Salmah.

Pemuda ketiga, berkahwin lari dengan gadis pekan.

Pemuda ini tidak pernah bertandang ke rumah selepas nenek Salmah menerima cincin risik.

“Amat namanya, anak si Pali kampung sebelah. Kerjanya di pekan. Tak mudah dia mahu bercuti. Di hari menikah nanti, barulah dia dapat pulang.” Begitu jelas penerangan Mak Rogayah.

Tidak sampai sepurnama dari tarikh menikah, si mak telangkai ini datang membawa khabar. “Si Amat itu rupa-rupanya tak setuju dengan pertunangan ini. Namun tak berani dia membantah emaknya.”

“Di mana dia sekarang?” tanya nenek dalam keadaan mengesot mahu mendekati mak telangkai.

“Err… kata emaknya, dia sudah menikah dengan gadis di pekan.”

“Ah, tidak patut emak dan bapak si Amat itu tidak menyampaikan sendiri kepada kami.” Nampak jelas rasa kesal pada wajah nenek.

“Mereka malu,” ujar mak telangkai malu-malu dan serba salah.

Keempat, duda, terlalu gemuruh pada hari akad. Lalu dibawa pulang keluarganya lalu tidak muncul-muncul.

Dan, yang kelima pula datang memberi sehelai selendang, lalu pergi tanpa alasan. Wajahnya keruh dan tidak sanggup menatap Salmah yang sedang duduk di hadapan kek tenun.

Beberapa hari kemudian, mak telangkai datang membawa khabar. Si pemberi selendang itu bertemu dengan bekas buah hatinya yang kini sudah menjanda. Dia memilih untuk membahagiakan kekasihnya itu.

Sementara yang keenam, bujang terlajak menghantar surat: “Saya terpaksa mungkir janji.”
Salmah lepaskan nafas panjang. Tidak mahu Salmah mengenang sebab-sebab lelaki itu memungkiri janji.

5

“Ada apakah ramai-ramai begini?” tanya Che Jamila, jantungnya serta-merta berdegup kencang. Sudah beberapa purnama dia tidak mendatangi Salmah buat menempah tenunan. Hari ini dia datang membawa tempahan daripada sepasang bakal pengantin. Iaitu, tenun pasang untuk dua bakal pengantin.

Tadi, dari jauh Che Jamila sudah nampak beberapa orang lelaki dan seorang perempuan berusia sedang berkerumun di pintu rumah Salmah. Segera Che Jamila mempercepatkan langkah.

Salah seorang daripada mereka yang memegang linggis, berpaling lalu menjawab, “Sudah beberapa hari ini, kami tidak melihat kepulan asap dari lubang angin di dapur Salmah.”

Seorang yang lain mencelah, “Ya, Che. Sebelum ini walaupun rumah ini bertutup, kami masih nampak asap keluar dari dapurnya.”

Che Jamila segera faham. Asap itu menandakan yang penghuni rumah ini masih memasak dan makan.

Tiba-tiba saudagar tenun ini berasa bersalah kerana sudah lama tidak menjenguk Salmah.

Lelaki yang memegang linggis tadi menyambung kerja mengumpil pintu rumah Salmah.

Tang! Kedengaran kayu penyendal pada pintu terjatuh.

“Elok Che Jamila dan Mak Gayah yang masuk dulu. Kalau-kalau ada aib yang terbuka, dapat ditutup terlebih dahulu,” katanya.

Che Jamila mengangguk mengerti. Dia kemudiannya naik dan diikuti oleh Mak Rogayah.

Semasa mak telangkai ini melintasi rumah Salmah tadi, hatinya bagai ditarik-tarik untuk menjenguk. Walaupun sebelum ini kedatangannya hanya untuk merisik Salmah. Dia juga yang perasan dapur Salmah sudah beberapa hari tidak berasap. Itulah dia memanggil beberapa orang lelaki bagi membuka pintu rumah Salmah.

Apabila mereka masuk, mereka perlu berjalan ke arah kanan sedikit, di tempat kek tenun berada.

Segera Che Jamila menerpa Salmah yang terbaring. Badannya sudah sejuk membeku. Wajahnya pucat. Bantal di kepalanya basah lencun. Pakaian Salmah terasa lembap.

Che Jamila teringat akan tanda-tanda kematian yang baik, iaitu keluar peluh yang deras. Moga-moga Salmah mendapat kemuliaan itu. Che saudagar ini menarik kain tenun dalam pelukan Salmah dengan sangat hati-hati.

Tenun itu diperhatikan dengan teliti, hati Che Jamila bagai diperah pilu. Ini tenun bira namanya. Kain tenun yang akan dipakai oleh pasangan pengantin untuk malam pertama mereka.

Kain itu dibentangkan dan belum dijahit cantum, jadi sedang elok dapat menutupi sekujur tubuh Salmah.

Mak Rogayah dari tadi terpaku, pucat. Air matanya sahaja yang mengalir.

Segera Che Jamila ke muka pintu. “Minta seorang ke balai polis membuat laporan.”

Orang yang mendengar, terpana.

Che Jamila menyambung, “Salmah sudah tiada… pergilah juga beritahu orang-orang surau.”

Tanpa disuruh-suruh, dua orang lelaki dewasa terus berlari keluar dari perkarangan rumah Salmah. Che Jamila masuk semula lalu terdiam di depan kek tenun.

Kek tenun ini sudah menyatukan benang-benang menjadi helai kain, namun jodoh Salmah tidak bersatu dengannya di dunia ini.                                                                                                                                    

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Pembakuan Istilah: Antara Selera dan Disiplin Ilmu Linguistik
Bicara Bahasa

Pembakuan Istilah: Antara Selera dan Disiplin Ilmu Linguistik

  • 20 April 2026
  • 21
  • 5
ڤڠکت
Puisi Moden

ڤڠکت

  • 22 April 2024
  • 39
  • 3.2
Syair Dialog Puncak
Puisi

Syair Dialog Puncak

  • 5 Disember 2023
  • 124
  • 5
Bukan Makhluk Bumi
Cerpen

Bukan Makhluk Bumi

  • 19 Oktober 2023
  • 240
  • 3.8

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP