SECANGKIR teh hitam dihidangkan di atas meja usang bersama dengan roti pita, minyak zaitun dan zaatar. Fatima memanggil suaminya, Abu Raouf untuk menikmati sarapan bersama. Kelihatan anak-anak mereka, iaitu Elfarra dan Abu Qasim telah sedia menanti.
Tanpa melengahkan waktu, Abu Raouf membaca doa makan. Sambil menghirup teh yang sudah suam-suam kuku, dia memikirkan masa depan anak-anaknya. Walau apapun yang telah terjadi, dia sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT, lebih-lebih lagi mereka sekeluarga masih tetap bersama sehingga ke saat itu.
Iklim Mediterranean di Gaza amat sesuai untuk pertumbuhan pelbagai jenis tanaman. Lantaran itu, kegiatan pertanian yang sudah sebati dengan penduduk di sana terus diusahakan sebagai sumber bekalan makanan dan memacu ekonomi negara. Tanaman yang sering kali diusahakan di sana ialah pohon buah zaitun, anggur dan oren. Sayur-sayuran pula seperti timun, tomato, kubis dan lada. Ada juga pelbagai jenis tanaman herba serta kekacang.
“Anak-anak, hari ini kita akan melawat tapak kebun di kawasan rumah lama,” ajak Abu Raouf.
“Kebun di mana? Bukahkah hanya terdapat timbunan puing di sana,” balas Elfarra kebingungan.
“Jangan risau, meskipun rumah-rumah di sana telah musnah, tapi tanah-tanah di sekitarnya masih subur. Jiran-jiran kita pun akan turut sama membantu,” jelas ayahnya dengan penuh semangat.
Elfarra mengangguk tanda mengerti.
Namun ada kerisauan dalam fikiran Abu Qasim, lalu dia bertanya, “Tapi, amankah di sana?”
“Insya-Allah aman, namun kita semua harus sentiasa berhati-hati. Semoga dengan membina kebun kecil di sana dapat memberi harapan dan kesejahteraan buat keluarga kita,” celah ibunya yang sedang berkemas di dapur.
Abu Raouf termenung sendirian sementara menanti jiran-jirannya datang. Sesekali teringat detik-detik kelahiran Elfarra.
***
“Ya Allah, terima kasih atas anugerah ini. Bagaimana keadaan anak kita, suamiku?” sapa Fatima.
“Alhamdulillah, semoga anak kita terus tumbuh menjadi sihat, kuat dan berperibadi elok. Semoga Allah memberkati keluarga kecil kita ini,” Abu Raouf menambah.
Selang beberapa hari selepas kelahiran Elfarra, berlakunya serangan udara. Torpedo dilancarkan di segenap kawasan.
Ledakan bom menjadi dodoian anak-anak tidur. Ramai pejuang yang terkorban dalam serangan tersebut, malah anak-anak kecil, wanita dan orang-orang tua yang tidak berdaya turut sama menjadi korban. Bangunan-bangunan telah hancur dan roboh menjadi puing berdebu. Peperangan, kematian dan kemusnahan sudah menjadi perkara biasa buat penduduk di sana.
Biarpun Fatima masih dalam keadaan berpantang, mereka sekeluarga terpaksa bergerak untuk mencari tempat perlindungan. Kediaman mereka pada waktu itu masih selamat. Namun selang beberapa tahun selepas kelahiran Abu Qasim, kediaman mereka akhirnya turut sama musnah dilanda serangan hujan misil berpandu. Situasi itu menyebabkan mereka selalu berpindah-randah.
Tok! Tok! Tok!
Pintu rumahnya diketuk. Abu Raouf tersedar dari lamunan dek teringat kisah silamnya itu. Jiran-jirannya telah bersiap sedia dengan segala kelengkapan untuk ke kebun. Sewaktu dalam perjalanan, anak-anak mereka tidak henti-henti mengulang ayat al-Quran kerana sudah terbiasa diajar sejak dari kecil. Sekarang tiba waktunya pula mereka diajar untuk berdikari, terutamanya belajar untuk menghasilkan sumber makanan sendiri, seperti aktiviti berkebun.
Ketika di rumah lama itu, Abu Raouf masih terbayang tragedi yang melanda dirinya. Dia pernah dipukul dengan kejam sehingga badannya penuh dengan luka dan darah. Dia yang pengsan ketika itu dijumpai berada di bawah runtuhan bangunan. Syukur umurnya masih panjang, mampu lagi berusaha menggembirakan hati keluarganya, meskipun sering hidup dalam suasana kesederhanaan.
***
Selang beberapa bulan, Elfarra dan Abu Qasim sudah terbiasa melakukan kerja-kerja di kebun. Kebun mereka bukan sahaja dibina di atas tanah, tetapi juga di atas atap rumah dan mereka menanam sayur-sayuran menggunakan kaedah hidroponik. Begitu kreatif penduduk di sana dalam menghasilkan sumber makanan sendiri.
Meskipun terdapat sekatan dan rusuhan, mereka tetap gigih menjaga kebun tersebut. Setiap pagi, mereka menyiram tanaman di sana sambil berdoa mengharapkan keamanan. Mereka masih mampu ketawa dan bergurau senda di tengah-tengah kehidupan yang semakin sukar. Kebersamaan mereka telah memberi inspirasi buat jiran-jiran sekitar. Sebuah kebun kecil akhirnya berjaya diwujudkan. Tanaman semakin subur dan berbuah sehingga muncul wangi-wangian daripada bunga serta tanaman herba yang menusuk hidung. Di situlah mereka temui ketenangan dalam hidup. Ketabahan dan kegigihan seorang ayah juga terlihat dalam diri Abu Raouf. Abu Raouf sentiasa mencari jalan untuk berkembang maju dalam kehidupan.
Usia Elfarra dan Abu Qasim kian remaja. Konflik yang melanda negara mereka tiada tanda untuk reda, malah keganasan puak rejim Zionis semakin menjadi-jadi. Mereka berdua sedar keadaan tersebut, tetapi tidak mahu berputus asa begitu sahaja. Kebun kecil itu bukan sekadar tempat mencipta keindahan, tetapi sebagai simbol penentangan bahawa mereka tidak pernah berputus asa.
Begitulah hari-hari mereka lalui sehingga tragedi terkini melanda. Sebuah peluru berpandu yang dilepaskan semasa pertempuran terkena kawasan kediaman mereka. Situasi menjadi kelam-kabut. Elfarra terkapai-kapai mencari keluarganya. Jantungnya berdegup kencang. Siren tanda amaran bergema di segenap kawasan.
“Cepat, bawa anak-anak masuk ke ruang perlindungan!” laung seseorang di sana.
Bunyi ledakan semakin kuat. Banyak bom mortar dilancarkan ke serata penjuru.
“Ibu, adakah rumah kita akan musnah lagi?” tanya Abu Qasim. Rendah nada suaranya.
“Tak tahulah nak, tapi kita harus tenang dan bersatu. Ayah pasti akan melakukan sesuatu untuk melindungi rumah kita,” jelas ibunya, sambil mulut berzikir dan berdoa memohon perlindungan.
Tidak lama kemudian, bunyi serangan berhenti.
“Alhamdulillah, serangan tadi sudah reda,” ucap ibunya.
“Jangan menangis sayangku, semuanya akan baik-baik saja,” sambungnya lagi.
Meskipun begitu, rumah mereka telah musnah menjadi timbunan runtuhan dan debu. Ajaibnya, kebun kecil yang diusahakan oleh mereka dengan penuh kasih sayang selama bertahun-tahun itu masih selamat, seolah-olah terlindung daripada pandangan mata pihak musuh. Segala-galanya merupakan kuasa Tuhan. Sekurang-kurangnya masih ada sumber makanan untuk mereka teruskan kehidupan pada ketika itu. Betul kata ayahnya, kebun kecil itu menjadi simbol harapan ketika mereka hampir putus asa. Namun, Abu Raouf telah hilang sewaktu kejadian tersebut.
***
Beberapa bulan berlalu, jasad Abu Raouf akhirnya ditemui terbaring di bawah runtuhan bangunan. Tanah di sekeliling tubuhnya dihiasi dengan anak-anak pokok kecil yang tumbuh subur, seolah-olah menjadi tanda kehidupan baharu. Lebih menakjubkan, jasadnya tetap utuh meskipun telah lama terkubur di situ, seakan-akan tidak disentuh oleh hakikat bumi yang fana. Keajaiban ini jelas menjadi bukti kekuasaan Allah SWT bahawa pemilik jasad itu tergolong dalam kalangan para syahid.
Melihat kepada keadaan jasad ayahnya itu, mereka mengerti bahawa ayahnya telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan benih-benih tanaman. Masih ada lagi sisa-sisa benih di dalam poket baju dan seluar ayahnya. Walau apapun yang berlaku mereka harus reda.
Pemergian itu menjadi bukti pengorbanan seorang ayah yang rela berkorban demi keluarganya, juga hakikat bahawa hidup di dunia ini cuma sementara.
Kini, mereka berada di khemah perlindungan. Suasana menjadi hiba dan menyayat hati. Kemusnahan yang berlaku pada kali ini agak luar biasa. Rumah, sekolah, kemudahan komersial, telaga air dan pusat perubatan semakin lumpuh. Angka kematian kian meningkat. Mereka tidak boleh berlama-lama lagi di sana kerana Gaza kini menjadi tumpuan serangan.
“Situasi di sini semakin bahaya. Kita harus berpindah untuk mencari tempat yang lebih aman,” cadang Fatima kepada anak-anaknya.
“Ibu yakin dengan keputusan ini? Perjalanan ke sana sangat berisiko dan tidak mudah,” ujar Elfarra, kelihatan risau.
“Ibu tahu, kamu berat hati untuk berpindah selepas pemergian ayah. Tapi di sana satu-satunya harapan kita untuk keluar dari zon perang ini. Kita mungkin boleh mendapatkan bantuan makanan dan kesihatan di sana,” jelas ibunya lagi.
“Baiklah, jika itu keputusannya,” akur Elfarra. Adiknya hanya menurut.
Segala sumber makanan disimpan rapi buat bekalan sewaktu dalam perjalanan. Benih-benih tanaman yang tidak sempat ditanam dibawa bersama-sama dengan harapan suatu hari nanti mereka dapat wujudkan lagi sebuah kebun kecil di sana. Situasi mereka sebenarnya bukan berada dalam konflik dan peperangan semata-mata, tetapi jelas merupakan satu genosid. Oleh sebab itu, perpindahan mereka bukan sekadar terpaksa, tetapi dipaksa oleh puak rejim Zionis.
Perjalanan panjang mereka menuju ke Deir El-Balah. Seandainya masih tidak selamat, mereka terpaksa pula bergerak ke Khan Yunis. Seterusnya, hanya di Rafah menjadi destinasi terakhir mereka untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan. Jika di sana juga tiada harapan, mereka tetap reda dengan segala takdir Allah SWT, kerana mati syahid sudah lama menjadi cita-cita dan idaman orang Islam di sana.
“Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki” (Surah Ali ‘Imran: 169).