ANGIN menderu di pangkal telinga. Meramas-ramas hujung tudung dengan gelojoh. Pipi terasa sejuk setelah dibasahi air mata. Pandanganku terpaku. Merenung jauh ke hujung bumi.
Dunia seakan turut kelu dan bisu. Tiada burung yang berkicau riang pada dahan pokok di tempatku berteduh. Tiada langsung kapal terbang yang biasa aku lihat memecah kepulan awan putih di langit biru. Hanya angin… hanya angin yang menderu laju. Selaju dan sesesak emosi yang bersarang dalam dada. Ia berpancakara dalam dada yang kian nazak.
Keluhan kecil kuhambur berat setelah sekian lama terpaku bagai patung bernyawa.
“Janganlah mengeluh,” satu sentuhan yang lembut membelai jariku yang dingin. Aku hampir lupa akan kehadirannya di sebelah. Dek asyik melayan rasa. Lalu, aku menoleh ke arahnya.
Dia, bertutup litup, hanya matanya yang terpamer. Namun aku tahu, dia sedang tersenyum padaku. Cuba menyalurkan sedikit kekuatannya kepada aku yang lemah. Sangat lemah pada saat ini.
“Biasalah, iman kita ni kan macam cuaca,” di hujung ayatnya, dia ketawa kecil. Aku mengeratkan lagi genggaman tanganku.
Kami sama-sama mendongak wajah ke langit.
“Sekejap cerah. Nanti-nanti, hujan. Ada masa, kemarau. Kadang-kadang, ribut taufan. Kita pun, sama macam tu juga. Kejap, gembira. Kemudian sedih. Ada masa, putus harap. Kadang-kadang, rasa terlalu lemah. Kalau kau pandang semua itu dengan rasa syukur, kau akan nikmati kesakitan kau tu dengan tenang,” ujarnya dengan tutur yang lembut.
“Ingat lagi, ketika aku datang dalam hidup kau?”
Aku menoleh sekilas ke arahnya. Kemudian membuang jauh pandangan ke kaki langit semula. Merenung awan yang berarak laju. Berubah-ubah bentuknya.
“Kau sedang dalam kesedihan, kehilangan, putus harap, dan kecewa. Semua itu disebabkan kau terlalu bersandar kepada makhluk. Sehingga, makhluk-makhluk itu mengecewakan kau. Kemudian, aku datang mengetuk pintu. Dan, dalam keadaan kau tersungkur tak berdaya, kau kuatkan tekad. Masih sudi membuka pintu itu dengan penuh rasa kerendahan, pencarian dan kesedaran. Saat itu, aku memelukmu dengan erat sehingga terbit senyuman yang indah di bibirmu. Kau berjanji akan menjaga aku dengan elok. Akan terus betah bersama aku. Walau apa sahaja dugaan yang datang. Alhamdulillah, hingga saat ini kau masih pegang pada janji. Sedikit demi sedikit, aku berubah. Lihatlah diriku sekarang, bagaimana?”
Dia bercerita dengan riang dalam nada yang sekata.
Aku ingat lagi saat itu! Ketika Allah mempertemukan kami. Menganugerahkan dia kepada aku. Itulah saat terindah dalam hidupku ketika usiaku 24 tahun. Saat kejatuhan yang paling parah, dia hadir membawa sinar!
“Ingat lagi, macam mana kau mula jinakkan diri untuk labuhkan tudung?” Dia ketawa.
Aku mengerling mesra. Teringatkan hal itu, aku juga turut menghambur tawa, sedikit.
“Daripada pakai shawl melilit. Namun, ketika aku jumpa kau, aku bagi semua shawl aku dengan orang. Mulalah selongkar almari, jumpa tudung bawal bidang 45. Agak kekok. Sebab dah biasa pakai shawl. Lama-lama, jumpa juga tudung bidang 50. Lepas tu, aku jinakkan diri pakai stokin. Allahu rabbi. Sampai orang sindir, aku ni tengah berpantang selepas bersalin!” Aku ketawa apabila teringatkan kenangan itu.
“Tapi, kau kuat. Apa sahaja orang cakap, kau buat pekak telinga. Sebab apa? Sebab hati kau dah nekad. Tak begitu?”
“Aku nekad sebab aku sayangkan kau. Sekali aku dapat kau, aku tak akan lepaskan lagi.” kataku sambil mengukir senyuman indah.
“Aku ingat lagi macam mana kau gunting kain, untuk buat tudung labuh. Kau jahit sendiri dan lilinkan hujung tudung. Zaman itu, tudung labuh sukar sangat didapati. Aku bangga dengan kau. Dari hari demi hari kau mampu berubah. Kau perbetulkan semula perkara-perkara asas dalam beragama. Kau berani untuk belajar dan alhamdulillah, kau dipertemukan dengan orang-orang yang baik, guru-guru yang benar. Dan, kau selalu berdoa agar aku akan selalu ada bersama. Daripada gadis berselendang melilit, kau sekarang menjadi seorang wanita yang sangat menjaga aurat. Aku tahu, jangka masa itu terlalu lama untuk transformasi diri kau. Tapi, alhamdulillah. selagi kau ingat Allah, rajin menjaga amalan, aku akan sentiasa ada dalam kau” Dia menggenggam erat tanganku.
“Hijrah itu sakit, tapi nikmatnya, masya-Allah!” sambungnya lagi.
“Alhamdulillah…” ucapku lembut. Selembut angin yang tadinya menderu kasar merempuh pipi, namun sekarang ia begitu lembut membelai wajah.
“Tak salah bersedih, kecewa. Tapi, kena ingat Allah. Kena ingat! Walau bagaimana sekali pun. Jangan bersedih dengan keterlaluan dan berlama-lama. Nanti, merosak hati. Teruskan istighfar. Teruskan berwukuf dalam hati mengingati Allah. Dia yang memberikan kesedihan dan kekecewaan, Dia juga yang akan menariknya daripadamu selagimana kau ingat bahawa Dia Yang Maha Memiliki.” Tidak jemu dia meniupkan api semangat yang tadi hampir malap dalam diri aku. Berharap agar aku tidak berputus asa dengan ujian Allah.
“Ingat, syaitan itu musuh bagimu tiada berhenti siang dan malam dalam seorang atau ramai, syaitan tiada berhenti menggelincirkan kita. Kalau dah buat dosa kita akan dibuat agar berputus asa dengan dosa kita. Dia berbibisik, ‘Sudahlah. Kamu sudah membuat banyak dosa. Kamu sudah tiada harapan’ Jadi, bertambah jauhlah kita daripada Allah.”
“Jangan putus harapan daripada rahmat Allah. Kerana ampunan Allah lebih luas daripada dosa orang yang bertaubat.” kata-katanya putus di situ. Lalu kami mengumam surah al-Baqarah ayat 222, bersama-sama, senada.
“…sesungguhnya Allah sangat mencintai mereka yang bertaubat dan mensucikan diri.”
Alhamdulillah. Aku tersenyum tenang. Hati kian lapang. Tidak seperti tadi. Agak kacau-bilau dengan perasaan yang berkecamuk. Merimaskan!
Dia menarik tanganku dan meletakkan telapak tangan dekat di hati aku. Jantung berdenyut perlahan. Normal.
“Selagi kau sayang aku, selagi itulah aku akan sayang kau. Selagi kau jaga aku, selagi itu aku akan jaga kau. Istiqamah itu, sememangnya berat. Namun, Istiqamahlah walau sedikit, tapi ia terus menerus.”
Suaranya seakan berbisik lembut. Bukan di telinga, tapi dalam hati.
Aku menutup kelopak mata dengan berat. Beristighfar berkali-kali dan memohon keampunan Allah,atas kelemahan iman dan kesedihan yang melampau ini. Benarlah, hati itu berbolak balik sifatnya.
“Aku sayang kau, Hidayah.” balasku dalam bisikan lembut lalu membuka mata dengan perlahan.
Di sini, di bawah pohon nan rendang, hanya ada aku seorang. Membawa diri dari jiwa yang parah kerana kecewa. Dan dia, yang sebentar tadi meniup kesedaran dalam hatiku itu adalah, HIDAYAH. Bukan manusia. Tapi ia makhluk Allah.
Hidayah yang Allah anugerahkan kepadaku dahulu. Ketika aku berumur 24 tahun. Saat aku bergelumang dengan maksiat dan dosa. Lalu, Allah tarik segala nikmat yang aku ada. Nikmat punya wang dan berboros. Nikmat punya teman, yang mula menjauh. Nikmat memiliki segalanya namun, aku telah kehilangan-Nya!
Saat tersungkur parah itulah, hidayah hadir mengetuk pintu hati. Aku masih ingat, ketika mengalami kesedihan yang melampau, aku hanya terfikir untuk menamatkan riwayat hidup. Tidur tidak lena, menangis macam orang gila hingga ke waktu subuh. Ya, subuh! Aku terdengar azan mendayu-dayu di cuping telinga. Bagaimana boleh terdengar azan? Sedangkan jarak rumahku ketika itu sangat jauh dari surau atau masjid. Seruan itulah yang membangkitkan aku.
Bagaikan terkena penampar yang maha dahsyat. Seruan itu meminta aku mengucap dua kalimah syahadah. Aku menangis semakin hebat. Aku usaikan dengan selawat yang tak putus sehingga lidah terasa kejung. Aku menangis lagi. Tiba-tiba teringatkan manusia mulia yang telah mencintai aku walau aku tidak pernah bersua muka dengannya. Dia telah mencintai aku beribu tahun yang lalu dengan tulus. Ya Rabb! Ya Rasulullah! Berdosanya aku! Akankah penyesalan ini diterima?
Air mata kekecewaan berganti dengan air mata keinsafan yang paling dalam. Itu adalah hidayah! Hidayah itu, aku akan jaga sebaik mungkin selagi Allah izinkan aku bersama dengannya. Alhamdulillah…