“PEREMPUAN itu semisal apa?” tanya Olga, makhluk berwarna jeli dengan mata bulat dan besar.
Kerutan di wajahnya sedikit menggerunkan. Seakan kek yang dibakar tidak menjadi. Lalu bergemalah suara paling dahsyat hingga memecahkan seluruh isi dapur. Jeritan siapa? Perempuan!
Aku hanya mampu mengeluh. Soalan Olga seakan menambah beban di pundak. Kedatanganku ke mari dengan niat untuk melepaskan tekanan, berubah sebaliknya.
Olga adalah sahabat yang kebetulan muncul ketika aku berada dalam dilema setahun yang lalu. Terkejut melihatnya, Olga cuba tersenyum padaku. Dia memperkenal diri sebagai makhluk dari angkasa yang dalam perjalanan menyelamatkan diri daripada musuh. Takdirnya membawanya ke bumi.
“Mengapa kau bertanya tentang perempuan?” aku menyoal kembali.
Peristiwa pagi tadi mengulang di ingatan. Pertanyaan semisal ini selalu berolak dalam fikiran, mengapa perempuan selalu fikir mereka betul?
“Awak tak sepatutnya buat macam tu. Pelajar asrama dah ada jadual mereka sendiri. Sebagai ketua warden, tugas awak pastikan jadual itu dipatuhi. Bukan sewenang-wenangnya memberi tiket untuk mereka langgar peraturan yang pihak sekolah tetapkan!”
Suara Puan Ainon, Guru Hal Ehwal Murid itu menggegar bilik pentadbir. Naik pecah gegendang telingaku menadah bebelannya. Salahku tidaklah besar.
Aku cuma memberi kelonggaran kepada pelajar pada waktu persediaan untuk membuat aktiviti sendiri. Pelbagai aktiviti dicipta sendiri oleh mereka secara berkumpulan.
Ada yang membentuk kumpulan kompang, catur dan bermain gitar. Ada yang menghabiskan masa dengan bermain bola sepak dan sepak takraw. Lebih menarik lagi, ada kumpulan yang memberi khidmat menggunting rambut dan kelas tuisyen peribadi.
Mungkin ini dilihat sebagai satu kesalahan, tetapi padaku itu ruang yang baik untuk pelajar bernafas. Peraturan ada kalanya menjadikan manusia seperti robot. Diprogramkan setiap hari tanpa ada ruang untuk otak mereka berekspresi secara alami. Sudahlah terkurung di dalam hutan batu. Tentu bertambah menyesakkan otak!
Puas dibasuh oleh Puan Ainon, Kak Lisa pula datang mencariku di bilik guru. Aku baru sahaja hendak ke kantin untuk membasahkan tekak setelah empat waktu mengajar yang berturutan.
“Halim!” panggilnya.
“Akak dah tengok soalan peperiksaan yang Halim bagi semalam. Halim kena buat semula soalan tu.”
“Kenapa pula, kak? Ada kesilapan ke?” soalku.
“Bukan macam tu. Soalan yang Halim buat tu tak menepati piawaian Kemahiran Berfikir Aras Tinggi yang digariskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah. Susah nanti apabila mereka membuat pemantauan. Apa yang akak nak jawab nanti?”
“Akak tahukan tahap penguasaan pelajar kita? Macam mana saya nak buat soalan aras tinggi kalau penguasaan mereka sangat lemah?” Aku memulang pertanyaan.
“Itu bukan masalah kita, Halim. Itu masalah pelajar. Kita menjalankan tugas seperti yang diarahkan,” balas Kak Lisa.
“Tapi kak, nanti kertas jawapan kosong tak berjawab,” sanggahku.
“Akak nak Halim buat semula. Kita pendidik, mesti patuh kepada arahan pihak atasan. Jangan memandai-mandai. Bukan Halim seorang yang susah nanti!”
Tinggi nada suara Kak Lisa, menamatkan perbualan kami. Aku ditinggalkan terkulat-kulat di situ menelan kata-kata sendiri. Seorang guru muda yang hanya diarah-arah sesuka hati tanpa berpeluang mengetengahkan pendapat sendiri. Di manakah perananku sebagai seorang pendidik?
Argh! Keluhan demi keluhan tanpa bertemu penghujung. Hampir lapan tahun dalam bidang ini, terlalu sedikit sumbangan yang dapat kuberikan kepada mereka, generasi bakal pewaris negara.
Sampai bila kaki dan tanganku dibiar terikat? Mungkin sudah sampai masanya aku melonggarkan sendiri ikatan dan berusaha untuk bebas!
“Hurm…”
Pandanganku mengangkat wajah Olga semula.
“Mengapa kau mengeluh? Makhluk asing seperti kau juga ada masalah ke?”
Dia menggeleng.
“Aku kecewa kerana pertanyaanku tidak pernah berbalas sejak dulu,” balas Olga.
“Maksud kau?”
“Kau datang ke tebing sungai ni, kerana ada masalah dengan perempuan?” tebak Olga.
Mata kami saling berlaga. Separuh badannya berendam di dalam air. Olga tinggal di dalam sungai itu. Gaya hidupnya menyerupai hidupan air. Bezanya, Olga juga boleh hidup di darat seperti kura-kura.
“Bagaimana kau tahu?”
Olga tertawa.
“Semua lelaki datang ke mari membawa masalah mereka dengan perempuan. Mungkin air sungai ini tempat paling sesuai untuk mendinginkan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap perempuan,” ujar Olga sambil tersenyum.
“Kau boleh membaca fikiran manusia?” tanyaku dengan perasaan teruja.
“Sudah tentu. Cuma, aku tak mampu membaca fikiran seorang perempuan.”
“Mengapa pula? Mereka juga manusia seperti kami, lelaki.”
“Sebab tu aku bertanya pada kau. Perempuan itu semisal apa sebenarnya? Mengapa aku tidak boleh menebak fikiran dan perasaan mereka? Aku berasa sungguh hairan dengan manusia bernama perempuan!”
Terkebil-kebil mataku memandang Olga. Hairan dengan perempuan? Otakku ligat menggali semua ingatan tentang perempuan. Dakwaan sesetengah orang bahawa perempuan bukan makhluk bumi itu seakan-akan tepat. Olga sendiri tidak mampu membaca seorang perempuan!
Namun, layar ingatanku menyapa kenangan bersama seorang perempuan mulia, yang tidak habis kubaca hidupnya sehingga hari ini. Meski setelah setahun aku menandatangani surat persetujuan untuk melepaskannya.
Sebulan sebelum aku menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Malaysia Sabah, aku membuat panggilan ke kampung.
“Nanti mak ke sana ya,” ujar emak.
Aku tersentak! Sebetulnya aku cuma ingin memaklumkan emak tentang majlis graduasi itu. Tidak pula aku mendesak memintanya hadir kerana situasi keluarga kami sama sekali tidak mengizinkan.
Emak bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah rendah. Ayah sudah lama meninggalkan kami tiga beradik. Tanggungjawab membesarkan kami terbeban di pundak emak.
“Mengapa mak tak berkahwin lain?”
Pernah aku bertanyakan emak hal ini. Diejek sebagai anak yatim dan miskin pula, membuatkan kesabaranku sering diduga. Di sekolah, aku tidak mempunyai ramai kawan. Malah, sampai ke hari ini, sifat merendah diri itu begitu membebankanku.
Ayah dan emak tidak pernah bercerai. Itulah sebabnya emak tidak boleh berkahwin lain dan kami membesar tanpa seorang lelaki yang boleh dipanggil ayah.
“Tak apalah, mak. Halim tahu, mak tak mampu nak datang sini. Lagi pun, Halim naik atas pentas tu tak sampai seminit pun,” ujarku.
“Nanti Halim ambil gambar banyak-banyak untuk mak tengok sampai puas ya?” pujukku pula.
“Tak. Mak akan cari jalan untuk ke sana. Mak nak tengok anak mak di pentas kejayaan!”
Dua minggu berlalu, emak tidak membangkitkan hal itu ketika aku menghubunginya seperti selalu. Aku menyangka emak membatalkan niatnya kerana usahanya bertemu jalan buntu.
Namun emak wanita cekal. Seminggu sebelum majlis berlangsung, emak memberitahu bahawa dia telah membeli tiket penerbangan. Malam itu, aku menitiskan air mata. Tidak dapat kubayangkan kegigihan emak memenuhi janjinya.
Setiap bulan hampir tiada wang yang dapat disimpan kerana gaji emak kecil dibandingkan komitmen untuk membiayai kehidupan dan persekolahan kami tiga beradik.
Aku menunggu emak di terminal dua lapangan terbang. Dua jam berlalu daripada masa ketibaan, kelibat emak tidak jua timbul. Aku berasa panik. Ke hulu ke hilir aku mengelilingi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu itu. Namun, semua papan yang memaparkan maklumat penerbangan tidak mencatatkan ketibaan kapal terbang yang dinaiki emak.
Setelah bertanya di kaunter, aku berlari keluar lalu mendapatkan teksi untuk ke terminal satu yang terletak di bangunan bersebelahan. Tidak cukup nafas aku berkeliling mencari emak. Membayangkan emak sendirian menunggu tanpa dapat menghubungiku kerana tidak memiliki telefon bimbit, aku berasa amat bersalah atas kecuaianku itu.
“Emak!” jeritku sekuat hati tatkala terlihatkan emak yang berjalan terhincut-hincut dengan menggalas beg.
Tubuhnya kupeluk erat. Bagaikan anak kecil yang kehilangan orang tuanya di pasar raya. Rasa takut, cemas dan rindu saling berdakapan.
“Maafkan Halim. Halim ingatkan mak naik kapal terbang Air Asia. Eh, kaki mak kenapa?”
Rupa-rupanya emak terjatuh beberapa hari sebelum terbang ke sini. Namun emak masih nekad untuk datang.
Menjelang hari yang gemilang itu, emak mengenakan baju kurung lama. Kata emak, itu baju nikahnya. Baju itu masih elok. Aku rasa, itulah baju paling elok yang emak ada.
Melihat senyuman manis yang mekar di bibirnya sejak pagi, hatiku sebak. Dalam keadaan kaki kanannya yang sakit serta kewangan yang menghimpit, emak tetap hadir memenuhi tanggungjawab sebagai ibu dan ayah buatku. Di belakang emak, wajahku basah tanpa dapat kutahan lagi.
“Ini emak saya.”
Aku memperkenalkan emak kepada keluarga rakan-rakanku. Sementara orang lain bergaya dengan pakaian yang lebih cantik, emak cuma mampu mengenakan sepasang pakaian lama. Tiada seurat perhiasan di tubuhnya. Namun, senyuman bangga yang tidak lekang daripada bibirnya adalah perhiasan paling indah buatku.
“Baju mak kau pelik,” bisik seorang rakanku.
“Mungkin bajunya paling buruk, tetapi dia ada untukku,” balasku tanpa rasa malu.
Benar. Kedatangan emak bukan sekadar untuk meraikan kejayaan. Emak mahu ada di sisi ketika aku memerlukannya. Itulah emak, yang sangat seni dalam menunjukkan kasih dan cintanya kepada kami.
Selepas menghantar emak pulang, aku menangis semahu-mahunya. Doaku bertali arus agar emak sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah.
Emak yang berkorban segala. Sentiasa ada dan memberi tanpa syarat. Biar kering lelahnya diperah. Biar habis kudratnya diratah. Emak sentiasa rela dan reda. Tiada balasan lebih baik untuk emak selain syurga Allah.
“Benar katamu, Olga. Perempuan memang aneh!”
Kami sama-sama tersenyum.
“Dia memberi tanpa memiliki apa pun,” sambungku.
“Bagaimana?” tanya Olga, dengan riak ingin tahu.
“Oleh kerana perempuan aneh, tak mungkin kau fahami,” balasku.
Aku segera meminta diri kerana sebentar lagi lebat hujan akan menguyupkan dadaku.