SUASANA Bukit Kwong pagi itu cepat benar cerahnya. Kabus tidak banyak di puncak bukit. Matahari memancar terik. Burung belatuk dan tiong terbang galak dari dahan ke dahan reput, mencari ulat. Tupai-tupai melompat riang di puncak pohon kelapa, di halaman rumah panjang yang telah usang itu.
Umbok membuka matanya perlahan-lahan. Dia berbalik ke kiri, berbalik ke kanan. Diangkat kepalanya dari bantal yang telah lusuh. Sinar matahari masuk melalui dinding yang diperbuat daripada kulit kayu itu menyilaukan penglihatannya. Kepalanya diletakkan kembali ke bantal. Terasa berat dan bengang. Dia terasa rimas tidur di tikar mengkuang yang koyak rabak itu.
Muak dan mual menikam perasaannya. Dia ingin kembali pulih dan sihat seperti sediakala. Dia sudah puas terlantar begini. Dia sudah puas terbaring kaku. Dia ingin bangun, dia ingin berjalan-jalan ke perigi atau ke tandas. Dia ingin ke ruang makan untuk makan bersama keluarga Batin Palas.
Umbok tidak tahan lagi apabila dia disuap makanan dalam keadaan terbaring. Tidak lahap, tidak berselera dan tidak kenyang.
Setiap kali waktu makan, dia hanya diberi nasi kanji yang tawar atau kadang-kadang nasi berlaukkan haruan bakar yang hapak dan keras seperti kayu. Seleranya memang payah untuk terima semua itu.
Umbok tidak sanggup lagi ke tempat berak kencing dipapah oleh Mek. Dia malu kepada Mek. Mek sudah anak dara. Umbok berasa malu pada diri sendiri. Dia tidak sanggup lagi menyusahkan Mek. Cukuplah selama sebulan Mek bersusah payah kerana dia. Mek menyediakan makan minum. Mek menjaga makan pakainya, malah Mek jugalah merawat luka di pahanya. Luka yang amat parah.
Umbok berbalik ke kiri. Paha kanannya masih terasa sengal-sengal. Masih terasa sakit, berat dan tidak mampu untuk diangkat seperti dahulu. Umbok meraba-raba pahanya yang masih berbalut itu. Dia dapat merasakan bahawa pahanya sudah beransur pulih. Darah telah kering. Dia yakin benar ubat akar kayu yang Batin Palas sapu dan diberi minum kepadanya itu memang mujarab dan berkhasiat. Dia yakin dia akan pulih seperti sediakala. Dia akan dapat berjalan kembali malah dapat berlari, mendaki Bukit Kwong, menuruni jurang serta mengharungi sungai.
Umbok masih ingat peristiwa ketika dia mula-mula dirawat oleh Batin Palas sebulan yang lalu. Waktu itu pahanya terkulai longlai. Harapan untuk pulih langsung tidak ada. Dia menangis teresak-esak. Bukan sahaja kerana kesakitan, malah sedih apabila memikirkan masa depannya. Dia akan kudung. Dia akan cacat. Dia akan disisih oleh masyarakat. Alangkah sia-sianya kehidupannya selama ini. Sia-sia!
Namun begitu, Batin Palas menanam sepenuh harapan dan keyakinan kepada Umbok untuk segera sembuh.
“Jangan bimbang Umbok, luka di pahamu ini akan baik. Akan sembuh,” ujarnya.
Umbok sama sekali tidak percaya. Dia hanya mengangguk dalam kesakitan tetapi hatinya membantah. Dia tidak yakin pada kata-kata manis Batin Palas itu. Dia tidak yakin pada kebolehan tok batin itu. Batin Palas tidak akan berjaya menyembuhkan keparahan lukanya. Batin Palas akan gagal dan Umbok akan kudung.
Sejak hari itu Umbok merasakan masa depannya gelap dan pudar, umpama bumi yang tiada matahari. Umbok sedar bahawa rakannya, Umbai, juga pernah luka parah ditimpa pokok kayu. Keparahannya tidak sembuh-sembuh. Berpuluh tahun dan beberapa dukun cuba merawat Umbai tetapi tidak juga sembuh. Umbai kini tempang. Dia disisih dan dibenci oleh masyarakat kerana hidup menumpang. Tidak mampu bekerja dan mendaki bukit untuk mencari rotan.
Tiba-tiba Umbok merasakan nasibnya juga sama seperti Umbai. Dia akan tempang atau kudung. Dia akan disisih oleh masyarakat. Alangkah kesal hatinya. Sejak hari itu Umbok hidup dalam linangan air mata. Dia sering menangis mengenangkan masa depannya yang gelap-gelita dan kosong.
Mujurlah Mek, anak Batin Palas sentiasa ada bersamanya. Mek sering memberi nasihat untuk mengurangkan kesedihannya. Mek selalu meredakan gelodak di jiwanya. Meklah yang sentiasa memberi harapan sepanjang dia terlantar. Mek ibarat penawar mujarab sejak dia mula terbaring kaku. Dia rasa damai setiap kali tangan Mek meramas-ramas lengannya yang hanya tinggal kulit dan tulang. Tangan Mek juga mampu menghilangkan denyut di kepala Umbok apabila Mek memicit-micit dahinya. Mek adalah segala-galanya bagi Umbok.
Umbok menganggap Mek ialah ratu hatinya. Setiap pagi apabila bangun daripada tidur, matanya yang kelabu akan bercahaya akibat diterangi oleh mata Mek yang bersinar dan berkaca itu. Mek sering tersenyum. Walaupun bibir Mek tebal, senyumannya tetap berseri. Manis dan menawan. Di pipi Mek terbentuk sebuah lesung pipit indah.
Bagi Umbok, Mek memang cantik. Kulitnya sawo matang. Tutur katanya peramah, berbudi bahasa dan berhemah tinggi. Umbok sabar menerima hakikat yang menimpa dirinya selama ini oleh kerana sikap dan peribadi Mek. Dia merasakan ada sinar di rumah panjang ini. Sedikit demi sedikit dia rasa bahagia.
Keresahan di hatinya mulai reda. Umbok sering berfikir untuk melafazkan rasa cintanya pada Mek tetapi hatinya menegah. Dia bimbang Batin Palas tidak merestui hubungan ini. Dia juga bimbang Mek menolak cintanya. Dia tidak sanggup mendengar semua itu. Dia sedar, dia hadir di rumah panjang ini sebagai orang yang malang. Khabarnya, Batin Palas menemuinya di tebing sungai. Kemudian dia diusung dan dibawa ke rumah ini. Ketika itu dia tidak sedarkan diri. Dia luka parah dan dirawat di sini.
Umbok bimbang jika dia dituduh sebagai manusia yang tidak mengenang budi. Manusia yang tamak. Diberi betis, mahukan paha. Banyak lagi yang Umbok bimbang. Bimbang Batin Palas akan bertindak. Bimbang Batin Palas akan mungkir janji. Bimbang Batin Palas akan membongkar segala rahsianya kepada pasukan keselamatan.
Jika pasukan keselamatan datang ke rumah panjang ini, dia akan ditangkap dan diseret keluar. Dia tidak mampu untuk melawan, bahkan dia akan tewas dan dihukum.
Umbok masih ingat peristiwa senja itu. Dia sedang berehat di khemah di tebing sungai Bukit Kwong bersama lima orang rakan seperjuangan. Semasa mereka berbual, tiba-tiba dia terdengar suara manusia. Dia terus meniarap dan mencari tempat perlindungan. Dicapai senjata automatiknya. Dia bangkit untuk menembak tetapi pada saat itu jugalah pasukan keselamatan memuntahkan peluru mereka. Dia cuba untuk lari tetapi pahanya terasa berat. Dia rebah ke bumi bersama rakan-rakannya.
Ketika itu Umbok hanya fikir untuk selamat sahaja. Selamat daripada ditangkap oleh pasukan keselamatan. Dengan beraninya, Umbok menggulingkan tubuhnya untuk jatuh ke dalam sungai. Selepas itu dia tidak tahu apa yang berlaku. Sehinggalah dia sedar, dia sudah pun berada di rumah panjang Batin Palas. Dia menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Batin Palas dan semua penghuni rumah panjang itu. Mereka berjanji untuk menyelamatkan Umbok. Mereka juga berjanji merahsiakan Umbok daripada pasukan keselamatan itu.
Umbok yakin Batin Palas dan penghuni rumah panjang di hilir Sungai Bukit Kwong itu akan memegang rahsianya. Lebih-lebih lagi Mek. Pernah beberapa hari lalu pasukan keselamatan membuat rondaan. Mereka singgah di hadapan rumah panjang. Mereka berbual-bual dengan penghuni rumah panjang, terutamanya kanak-kanak. Mujurlah tidak sesiapa yang membocorkan rahsia. Saat itu Umbok sedang menggeletar ketakutan. Dari celah-celah dinding kulit kayu, dia nampak pasukan keselamatan berdiri megah di hadapan rumah panjang. Dia juga nampak Mek sedang rancak berbual dengan salah seorang ahli pasukan keselamatan. Hati Umbok terasa marah dan membara.
Hari demi hari dendam di hati Umbok kian membara. Dia berazam untuk membalas dendam apabila dia sembuh suatu hari nanti. Dia akan lari dari rumah ini. Dia akan masuk semula ke perut Bukit Kwong. Dia akan bersatu kembali dengan rakan-rakannya. Dia akan bangkit berjuang.
Terfikir juga di benak Umbok saat itu untuk mengambil Mek sebagai isteri. Mengajak Batin Palas turut berjuang menentang kerajaan. Dia yakin Batin Palas akan mengikut kehendaknya. Batin Palas akan jadi tulang belakang baharu perjuangannya. Batin Palas sudah arif tentang hutan dan rimba Bukit Kwong. Setiap denai dan lorong terlukis dalam ingatan Batin Palas. Setiap lurah dan liku berada di fikiran Batin Palas. Jika dia dapat memiliki Batin Palas, sama seperti dia memiliki Bukit Kwong keseluruhannya, sekali gus, dendam di hatinya akan tertunai.
Matahari berada betul-betul di atas pucuk kelapa. Umbok menggeliat rimas. Dia bangun dan bersandar ke dinding. Dia cuba mengangkat paha. Dia berjaya melakukannya. Bibirnya terukir senyuman. Kemudian dia membuka balutan di pahanya. Dia mahu melihat sendiri keadaan lukanya. Dia amat gembira, pahanya benar-benar sembuh. Cuma tinggal parut kehitaman.
Mek yang baru naik dari arah perigi menerpa masuk ke dalam rumah. Dia menerkam dan memeluk Umbok. Mek bimbang dengan perbuatan Umbok membuka balutannya sendiri.
“Jangan buka,” Mek bersuara.
Saat itu jugalah Umbok mengambil kesempatan. Cepat-cepat dia memeluk Mek. Mek tiba-tiba gelisah. Mek meronta-ronta. Umbok terus memeluk gadis bertubuh montok itu. Hati Mek menyesal. Bibirnya terketar-ketar. Saat itu baru dia sedar bahawa dia hanya berkemban. Mek cuba melepaskan pelukan Umbok. Mek mahu bangun tetapi tangan Mek ditarik kuat oleh Umbok. Mek terduduk kembali.
“Aku dah sembuh, Mek. Tengok,” ujar Umbok.
“Kenapa kau buka balutan ni? Pak kata kena bubuh ubat seminggu lagi,” suara Mek terketar-ketar.
Kedua-dua belah tangannya ditekup pada dada.
“Aku dah sembuh,” Umbok kembali bersuara.
Berulang-ulang kali Umbok laungkan kalimat itu.
“Belum!” bantah Mek.
“Aku nak bangun. Aku nak cuba berjalan,” Umbok bertegas.
“Jangan. Pesan Pak kena bubuh ubat seminggu lagi,” bantah Mek lagi.
Umbok tidak peduli. Dia berpaut ke turus dinding. Dia terus bangun. Dia cuba berjalan. Terhincut-hincut. Miring ke kiri. Miring ke kanan.
“Aku dah boleh berjalan,” Umbok melaung kuat.
“Jangan, nanti pahamu sakit. Duduklah. Tunggu seminggu lagi,” suara Mek bernada gelisah.
Mek mulai bimbang. Mek risau jika Umbok rebah dan sakit semula. Hatinya sedih melihat Umbok dan sudah sebulan lebih dia menjaga Umbok dengan penuh kasih sayang.
“Jangan Umbok. Duduklah. Pak kata tunggu seminggu lagi,” ujar Mek kembali.
Mek menghampiri Umbok semula. Dia memapah Umbok supaya duduk kembali. Saat itu Mek terasa tangan Umbok memaut erat pinggangnya.
Umbok duduk semula. Mek juga turut duduk. Dahi Umbok merecik peluh. Rasa cintanya pada Mek begitu dalam. Waktu itu Umbok sudah lupa pada rakan-rakan seperjuangannya di perut Bukit Kwong. Dia telah lupa kebaikan Batin Palas dan penghuni rumah panjang. Yang dia ingat saat itu rumah panjang tinggal kosong. Semua penghuni berada di puncak Bukit Kwong. Semua sedang berhuma. Semua sedang menugal padi. Menjelang malam nanti baru mereka balik ke rumah.
Saat itu Umbok benar-benar telah lupa akan budi baik Batin Palas sekeluarga. Dia lupa bahawa setiap pagi Mek bermain dengan nanah dan darah di pahanya. Dia sudah lupa paha kanan yang terkena peluru itu sembuh kerana ramuan ubat akar kayu yang dicari oleh Batin Palas. Dia sudah lupa betapa sukarnya Batin Palas merahsiakannya daripada pasukan keselamatan.
Apa yang berlegar di fikiran Umbok ketika itu ialah rumah panjang yang kosong. Dia hanya terbayang Mek. Mek di hadapannya saat ini. Bertubuh segar. Umbok ibarat pengembara yang haus di gurun sahara. Terhidang di hadapannya sekarang ialah setitis embun yang jernih.
Umbok merasakan peluang ini amat terbuka. Telah lama dia menunggu peluang seperti hari ini. Sejak mula-mula berada di rumah ini dia begitu menyayangi Mek tetapi ketika itu dia dalam keadaan sakit. Dia tidak dapat berbuat apa-apa walaupun ketika itu Mek kadang-kadang tidur di sebelahnya. Saat itu dia hanya mengerang kesakitan.
Selesai sahaja Mek membubuh ubat dan membalut kembali pahanya, Umbok bangun kembali. Mek susah payah memapahnya. Peluang itulah Umbok ambil. Kain sarung Mek yang hanya terselit di dada ditarik Umbok dengan sekuat hati. Mek menjerit. Umbok memeluk Mek erat-erat. Mek meronta. Mereka sama-sama jatuh ke lantai. Mek terus menjerit tetapi jeritannya hanya sia-sia. Rumah panjang itu kosong, sunyi sepi. Yang kelihatan hanya burung berkicauan di luar rumah dan tupai pula sedang melompat di pohon kelapa.
Saat Umbok bersedia melupakan budi baik Mek, tiba-tiba Mek teringat pada paha Umbok. Paha Umbok yang baru sahaja dibalutnya sebentar tadi. Mek menendangnya sekuat hati. Umbok menjerit kuat. Mek terlepas daripada pelukan Umbok.
Dia mencapai kain sarungnya dan lari turun ke tanah. Dia berlari sekuat hati. Dia menjerit-jerit. Air matanya mengalir bercucuran. Apa yang dilihat di depan matanya sekarang ialah lelaki beruniform celoreng dan bersenjata. Mek mahu lelaki jahanam yang sedang terhincut-hincut mengejarnya sekarang dihujani peluru. Biar rebah menyembah bumi.
“Pak!”
Umbok yang sedang mengejar Mek mendengar laungan itu. Langkahnya kaku. Keinginannya terhenti. Dia mahu terus mengejar Mek tetapi di hadapannya berdiri Batin Palas yang sedang memeluk anak perempuannya itu. Beberapa orang ahli pasukan keselamatan sedang menghala senapang ke arahnya.
Umbok melangkah untuk berundur.
“Jangan lari,” mereka berteriak.
Umbok mendengar laungan itu tetapi dia tidak sanggup berhadapan dengan Batin Palas. Dia pun mulai berlari meninggalkan kumpulan itu.
Beberapa saat kemudian dia terasa tubuhnya ditindih-tindih. Dia terjelepok ke bumi.
Esakan Mek semakin kuat. Mek melihat Bukit Kwong dengan penuh sayu.