Skip to content
Cahaya Pelita Terakhir
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Cahaya Pelita Terakhir
Cahaya Pelita Terakhir
Cerpen

Cahaya Pelita Terakhir

  • Ayu Arnieza Binti Mat Jalih
  • 20 Oktober 2026
  • DBP Cawangan Sabah
  • 22
  • 1

DI sebuah kampung yang dikelilingi oleh sawah menghijau dan bukit-bukit yang memukau, tinggal seorang lelaki tua bernama Tok Fuad. Tok Fuad sudah lama memasuki usia senja, kini mencecah 80 tahun. Walaupun tubuhnya semakin lemah, mata yang semakin kabur, dan pendengarannya yang tidak begitu jelas, Tok Fuad masih penuh semangat menjalani kehidupannya di kampung. Dia terkenal dalam kalangan penduduk kampung dengan julukan “Pelita Tok Fuad,” kerana setiap kali tiba bulan Ramadan, rumahnya akan diterangi dengan pelita-pelita yang menyala sepanjang malam.

Setiap tahun, rumah Tok Fuad menjadi salah satu tempat yang paling meriah di kampung. Suasana Ramadan terasa lebih hidup dan penuh makna dengan pelita-pelita yang dipasang di sekeliling halaman rumahnya. Pelita-pelita itu tidak hanya menyinari rumah Tok Fuad, tetapi juga hati semua orang yang datang berkunjung.

Namun, pada tahun ini, suasana di rumah Tok Fuad sedikit berbeza. Di hadapan rumahnya yang sudah dihiasi dengan pelita-pelita yang menyala, hanya kelihatan Tok Fuad yang sibuk dengan urusan memasang pelita, dan Sarah, anak bongsunya yang menemani. Dua orang lagi anak Tok Fuad, iaitu Along dan Angah, sudah lama menetap di bandar dan tidak pernah lagi pulang ke kampung sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bahkan, tahun ini sudah hampir sepuluh tahun mereka tidak pulang ke kampung untuk beraya.

Ketika mereka asyik memasang pelita, salah seorang jiran mereka, iaitu Mak Leha, bertanya kepada Tok Fuad “Fuad,  Along dan Angah tak balik kampung?”

Sarah melihat wajah bapanya yang semakin muram dan tidak membalas sepatah kata pertanyaan Mak Leha. Sarah pula menjawab ,“Tak pastilah Mak Leha,” sambil membersihkan halaman rumah.

Setiap kali menjelang bulan puasa, Tok Fuad akan menghubungi Along dan Angah, memohon agar mereka pulang. Namun, tahun ini, panggilannya tidak berjawab seperti sebelumnya.

Walaupun Tok Fuad tidak pernah mengungkapkan rasa kesedihannya, Sarah tahu betapa rindu dan perihnya hati seorang bapa yang tidak pernah lagi merasai kehadiran anak-anaknya di kampung halaman. Kadangkala, Tok Fuad berasa malu dengan penduduk kampung yang sentiasa bertanya keberadaan Along dan Angah, sama ada mereka balik ke kampung atau pun tidak.

Tok Fuad bersyukur, atas keprihatinan orang kampung yang bertanya tentang anak-anaknya, namun hatinya tetap terasa sakit, seperti dicakar-cakar oleh kata-kata penduduk kampung. Sesetengah penduduk kampung menyindir Tok Fuad. Mereka berkata bahawa Along dan Angah lupakan keluarga di kampung, dan mengatakan Along dan Angah malu dengan keluarganya yang miskin di kampung. Walau bagaimanapun, Sarah tetap menasihati bapanya agar tidak termakan dengan kata-kata penduduk kampung.

Setelah selesai memasang pelita, wajah Tok Fuad kelihatan sedikit tenang. Ibu Sarah memerhati dari jauh. Dia memahami perasaan suaminya, melihat pelita-pelita itu semua, dengan harapan anak-anak mereka akan pulang ke kampung bersama-sama cucu-cucu kesayangan mereka.

“Sarah, kau tolonglah suruh abang dan kakak pulang. Aku rindu sangat pada mereka, rindu pada suara mereka, pada gelak tawa anak-anak mereka,” Tok Fuad berbisik perlahan sambil menatap jauh ke luar jendela.

Sarah yang sedang mengemas rumah hanya mengangguk, meskipun dia sendiri tahu kemungkinan besar abang dan kakaknya, Along dan Angah, tidak akan pulang. Mereka sibuk dengan kehidupan masing-masing di bandar dengan pekerjaan yang semakin membebankan. Namun, kerana kasih sayang dan rasa hormat kepada ayahnya, Sarah cuba menghubungi Along dan Angah sekali lagi.

Setelah beberapa hari, tiba-tiba sahaja, Along dan Angah menghubungi Sarah dan memberitahu mereka akan pulang ke kampung pada minggu terakhir Ramadan. Sarah terkejut dan gembira, tetapi pada masa yang sama, dia dapat merasakan ketegangan dalam hati. Keluarga mereka sudah terlalu lama terpisah, dan kedatangan Along dan Angah kali ini mungkin bukan hanya untuk beraya, tetapi juga untuk mengatasi perasaan rindu yang sudah terlalu lama dipendamkan.

Pada malam terakhir bulan Ramadan, kedatangan Along dan Angah disambut dengan hati yang penuh gembira oleh Tok Fuad.

“Alhamdulillah, anak-anak pulang juga,” katanya sambil tersenyum lemah.

Tetapi, suasana gembira itu tidak bertahan lama. Sesampainya di rumah, Along dan Angah mula berbincang dengan nada yang agak tinggi. Mereka berdua, yang sudah biasa dengan kehidupan di bandar, merasakan banyak kerja yang perlu diselesaikan selepas hari raya. Mereka tidak berniat untuk tinggal lebih lama di kampung.

“Esok kita balik, banyak kerja yang tertangguh. Lagipun, kita  sudah lama tinggal di bandar. Ini cuma untuk hari raya sahaja,” kata Along dengan nada yang agak terburu-buru.

Angah pula tidak jauh bezanya. “Memang kita rindu kampung, tetapi kita ada tanggungjawab. Janganlah buat kami rasa terpaksa. Ini sudah cukup untuk tahun ini,” katanya.

Sarah yang mendengar perbualan itu berasa amat sedih. Dia tahu mereka semua sibuk dengan kehidupan masing-masing, tetapi hati kecilnya berharap agar mereka dapat lebih lama berada di kampung, menikmati suasana bersama bapa mereka yang sudah semakin uzur.

Namun, yang lebih menyedihkan hati Sarah, pergaduhan kecil yang tercetus antara Along dan Angah. Mereka tidak pernah lagi pulang bersama-sama sejak bertahun-tahun lalu, dan kedatangan mereka kali ini tidak semestinya dapat menyelesaikan segala kerinduan. Sarah memutuskan untuk membawa anak-anak Along dan Angah ke dapur agar mereka tidak mendengar pertengkaran itu. Di dapur, dia cuba menenangkan mereka yang kelihatan agak cemas.

“Ibu sabarlah, jangan layan sangat. Biarkan mereka berbincang, nanti mereka akan faham juga,” Sarah berkata dengan lembut, sambil mengelap air mata yang hampir menitis.

Di luar, Tok Fuad yang mendengar perbincangan anak-anaknya hanya mengeluh perlahan. Dia berjalan ke tengah ruang tamu, lalu berkata dengan suara yang penuh kelembutan, “Aku minta maaf jika aku terlalu memaksa kalian pulang. Aku hanya… aku rindu pada anak-anak. Mungkin ini kali terakhir kalian dapat melihat aku. Aku memaafkan kalian, kalian tidak bersalah. Aku yang bersalah dalam hal ini.”

Dengan langkah perlahan, Tok Fuad melangkah masuk ke biliknya. Pelita yang masih menyala di tangan, menambah cahaya di dalam biliknya yang suram. Dia meninggalkan seluruh keluarga itu dengan hati yang penuh kerinduan, menunggu kedatangan hari raya pada hari esok.

Hari raya tiba dengan penuh warna, tetapi suasananya berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Walaupun ibu dan Sarah sibuk menyiapkan hidangan raya di dapur, kegembiraan yang biasa terasa hilang. Mereka masih teringat-ingat kata-kata Tok Fuad, dan dalam hati Sarah, ada sedikit kegelisahan. Tetapi dia cuba menenangkan dirinya, kerana dia tahu, Tok Fuad tetap seorang bapa yang penuh pengertian dan kasih sayang.

Pagi hari raya itu, Sarah pergi ke bilik Tok Fuad untuk mengejutkan bapanya bangun. Namun, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Tok Fuad tidak memberikan reaksi. Pelita yang masih menyala diletakkan di sisi katilnya. Tok Fuad yang selama ini penuh dengan tenaga dan semangat, kini tidak lagi bergerak.

“IBU! ALONG! ANGAH!” Sarah menjerit sekuat hati, tetapi tiada jawapan. Mereka semua bergegas masuk ke bilik Tok Fuad dan mendapati bahawa Tok Fuad sudah tiada lagi di dunia ini.

Dia meninggal dengan tenang, ditemani pelita yang masih menyala, seolah-olah ingin menerangi jalan mereka yang akan terus hidup tanpa kehadirannya.

Sarah menangis teresak-esak, dia tidak dapat menahan lagi air mata yang mengalir deras. Along dan Angah yang berada di luar segera bergegas masuk, dan mereka juga terkejut dengan kehilangan yang tidak diduga. Hari raya yang sepatutnya penuh dengan kegembiraan, bertukar menjadi hari yang penuh dengan kesedihan dan kehilangan.

Di luar, pelita yang dipasang oleh Tok Fuad masih menyala, menerangi segenap sudut rumah itu. Kehilangan Tok Fuad meninggalkan kesan yang mendalam pada setiap orang yang pernah mengenalnya. Dia tidak hanya meninggalkan sebuah rumah yang penuh dengan kenangan, tetapi juga pelita yang menjadi simbol kasih sayang dan kerinduan seorang bapa kepada anak-anaknya.

Walaupun Tok Fuad sudah tiada, cahaya pelita yang diletakkan di seluruh halaman rumah akan terus bersinar setiap kali Ramadan tiba, mengingatkan mereka akan kasih sayang yang tidak pernah pudar. Kini, setiap kali mereka melihat pelita itu, mereka akan mengingati ayah dan datuk mereka yang sudah tiada, tetapi cintanya tetap menerangi hati mereka untuk selamanya.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (3) #cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (32) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (36) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (6) #puisijawi (7) #puisimoden (25) #sasteramelayu (11) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (17) abuyon (5) adie abd gani (6) anak (3) bahasa (3) cerpen (17) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (31) dbpsarawak (4) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (7) palestin (3) penulis sarawak (16) puisi (35) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) rindu (3) sajak (12) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (4) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Jangan Dibuang Keris Mas Saya!
Cerpen

Jangan Dibuang Keris Mas Saya!

  • 16 Januari 2024
  • 220
  • 4.7
Janji Calliope
Cerpen

Janji Calliope

  • 7 Mac 2024
  • 232
  • 4.8
Kisah Burung Kedasih
Cerpen

Kisah Burung Kedasih

  • 6 Mei 2025
  • 3356
  • 4.8
Majalah Berbahasa Melayu Memugar Sastera di Sabah: Suatu Sorotan Sejarah
Bicara Bahasa dan Sastera

Majalah Berbahasa Melayu Memugar Sastera di Sabah: Suatu Sorotan Sejarah

  • 24 Mei 2024
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP