CAM celik perlahan-lahan sambil bibirnya mengucap syukur. Dia menarik nafas sedalam yang mungkin dan menghembuskannya kembali perlahan-lahan. Sekujur tubuh di sebelah kirinya, Tijah, masih dalam lena. Urat sendi tangan kanan dan kiri terasa lenguh-lenguh lagi. Fajar mulai memancar ketika pintu dapur dibuka.
Bermula dengan kaki kanan, dia melangkah ke tempat yang selalu dituju dengan berbekalkan doa subuh tadi. Jarak tiga kilometer dengan hanya berjalan kaki sudah menjadi kebiasaannya sambil menggalas guni gula usang. Baunya sungguh masam, hapak dan menusuk ke hidung. Lebih-lebih lagi jika orang yang tidak biasa dengan kerja-kerja begitu, memang tidak boleh menghidunya, apatah lagi berada dekat dengan guni kesayangannya itu. Bibir Cam masih berzikir. Moga pagi yang masih basah dengan embun mendatangkan rezeki yang melimpah kepadanya.
Petang kelmarin Cam tidak ke tempat pelupusan sampah. Pada usia 57 tahun, uratnya mulai kendur, rambut sudah beruban tetapi masih kemas dan sendi lutut juga sudah goyah. Satu-satunya penyakit yang diwarisi daripada gemulah ibunya ialah kencing manis. Lutut kirinya selalu sakit dan membuatkan langkah Cam sedikit tempang. Namun matanya tetap bersinar bak mentari yang menyinari alam semesta.
Sudah seminggu Cam duduk di rumah membantu anak perempuannya, Senah, melukis batik. Kebetulan ada tempahan yang perlu disiapkan segera. Senah juga sudah seminggu tidak menulis. Dia amat meminati bidang penulisan cerpen. Sinopis atau rangka cerita sudah dirangka. Pernah dia dipersoalkan oleh ibunya sendiri bahawa menulis tidak mendatangkan hasil berbanding melukis batik. Senah menerima teguran ibunya dengan senyuman.
“Melukis dan menulis dua bidang seni yang berlainan,” suara gagapnya kedengaran perlahan-lahan.
Bagi Senah, tulisan mempunyai maksud yang tersendiri, malah sifatnya yang gagap itu lebih jelas difahami orang lain jika dia ingin memaklumkan sesuatu. Rasa puas jika dia dapat atur huruf satu per satu. Sebaliknya, bertutur dengan cepat pula kadang-kadang membuatkan orang terpaksa berfikir dan perlu memberikan perhatian. Manakala dengan melukis pula, dia dapat mengangkat budaya kehidupan masyarakat. Senah tahu ayahnya, Cam selalu memuji karyanya. Karya Senah banyak menceritakan kehidupan masyarakat kampungnya sendiri. Lebih-lebih lagi hal yang berlaku dalam keluarganya.
Sebelum memulakan kerja, Cam membayangkan raut wajah sepuluh orang anaknya yang sedang membesar dan masih dalam tanggungannya. Isterinya selalu membekalkan makanan dan minuman pagi untuk Cam. Ubi rebus dan air kopi bekal hariannya. Begitu juga untuk Meli, anak lelaki yang membantu ibunya mengerjakan sawah. Sebelah petang pula, Meli mengambil upah mengutip buah kelapa di kebun Lebai Salleh. Senah yang gagap sangat mahir dengan tugasnya melukis batik. Malam-malam Cam selalu nampak Senah tekun menulis cerpen.
Anak yang lain, Milah, turut membantu Tijah menggali ubi kayu untuk dibuat tapai. Tini pula terbaring di atas tikar mengkuang. Memang nasibnya dilahirkan lumpuh. Nisah baru darjah enam, Seni darjah lima, Jali darjah empat, Zarah darjah tiga, Meon darjah dua dan yang bongsu berumur lima tahun, Zubir. Zubir dilahirkan bisu. Watak-watak yang wujud dalam kehidupan si pencari sampah tegar saling tidak ubah seperti wayang gambar yang penuh dengan adegan di sebuah desa yang aman.
***
Longgokan sampah seperti botol, plastik, kerusi besi atau kotak yang dikumpulkan akan dijual semula di kedai besi buruk. Hasil jualan semula barangan tersebut akan dikongsi dengan sekumpulan pencari barangan terpakai yang turut sama-sama membantu Cam. Kalau tidak, masakan dia dapat memikul kerusi besi yang berat jika tidak ada yang membantunya. Terbentuknya ahli kumpulan Cam memang tidak dirancang. Kumpulan itu hanya terbentuk pada hari tersebut sahaja. Esoknya akan wujud kumpulan baharu pula. Kumpulan tersebut boleh wujud dan bubar tanpa terikat dengan apa-apa syarat. Mereka saling bekerjasama dan sangat mengerti tentang makna sebuah kehidupan. Jauh sekali untuk bersikap tamak.
Cam tidak pernah membazir. Jika dia terjumpa tepung gandum tumpah, matanya mencari-cari unggas atau burung untuk diberinya makan. Paling tidak diunjuknya sisa-sisa mi goreng kepada mengkarung. Sambil terkepung bau hanyir dan air yang bertakung, dibebaskannya katak yang tersepit di celah tempurung. Biji jagung dan kulit kacang ditinggalkannya untuk burung gembala kerbau. Begitulah lakonan dalam filem tanpa pengarah, tiada kamera khas merakamkannya.
***
Suatu malam yang sunyi, Cam berehat di meja Senah. Dia terbaca cerpen Senah yang belum siap. Dia tidak dapat melelapkan mata. Asyik ternampak tulisan di kertas kajang yang ditemuinya itu. Betul-betul berkenaan dengan kisah hidupnya. Baru dia perasan bahawa selama ini Senah memang berbakat untuk menjadi penulis jika diberi pendedahan.
Cam tertanya-tanya bagaimana jika kisah hidupnya menjadi sebuah cerita dan dibaca oleh masyarakat? Cam juga ada terbaca cebisan surat khabar di tapak pelupusan sampah petang tadi. Rakyat Palestin hampir 41 000 orang telah terkorban. Ada yang dibom dan ada yang masih tertimbus di bawah bangunan. Mengapa Senah tidak menulis tentang mereka? Mungkin selepas kisah keluarganya didahulukan?
Kedengaran bunyi burung pungguk dan burung hantu berselang-seli dengan dengkuran isterinya, Tijah. Cam melelapkan matanya sambil berzikir dan berdoa. Esok dia berharap dapat kembali ke tempat pelupusan sampah itu. Dia terbayang-bayang bagaimana sekiranya sampah sarap akan menenggelamkan dunia jika tidak dikitar semula?