Pihak perempuan berbisik antara satu sama lain. Mengatur secara rasional kadar yang sesuai, bimbang pihak lelaki tidak setuju. Emak dan pak ngah saling berbisik. Gaya bisikan mereka seperti bergaduh dan cuba sepakat. Pihak lelaki pula sabar menanti. Manakan tidak, segala keputusan berada di tangan mereka. Yang mana mudah, mudahlah. Yang mana susah, berperit keringatlah. Tiba-tiba salah seorang daripada pihak lelaki bersuara.
“Kalau padi katakan padi,
Tidaklah kami tertampi-tampi;
Kalau sudi katakan sudi,
Tidaklah kami ternanti-nanti.”
Suara seorang tua lewat 50-an memecah bisikan tersebut. Pihak perempuan tersentak. Emak pula boleh melatah di situ. Semua yang berada di situ ketawa terbahak-bahak. Boleh pula majlis yang tegang itu ada unsur lucunya. Aku ketawa mengekek, geli hati rasanya melihat suasana begitu. Mak ngah di sisi menampar paha. Katanya, anak dara perlu jaga perlakuan supaya tidak mendapat malu.
Setelah sekian lama berbincang, akhirnya emak dan pak ngah mencapai kata sepakat. “Pihak perempuan akhirnya bersetuju menetapkan mas kahwin dengan kadar RM10,000.00 sahaja, hantaran lima berbalas tujuh. Setujukah pihak di sana?”
Pihak lelaki saling berbalas pandangan. Masing-masing mengangguk kepala tanda setuju, keluarga pihak perempuan memanjat kesyukuran atas kata sepakat yang dicapai.
*****************************************************************
“Embun, matikan api dapur tu! Sekejap lagi orang nak datang buat bunga telur,” Emak menjerit di muka pintu. Emak sibuk berbual dengan mak ngah tentang majlis akad nikah yang akan berlangsung esok. Aku yang sedang sibuk menyiapkan dulang sirih junjung bingkas bangun mematikan api rebusan telur di dapur.
Masuk rebusan ini, sudah tiga ratus biji telur direbus. Kuantitinya sangat banyak. Masakan tidak, Emak sudah mengira-ngira bilangan orang kampung yang hendak datang ke majlis esok. Aku yang mengeluarkan modal majlis teruk juga memikir hendak mencari wang. Emak menyuruh aku menggunakan duit hantaran untuk majlis kahwin. Bertekak jugalah aku tidak mahu menggunakan mas kahwin. Mas kahwin ialah hadiah daripada suami untuk isteri, khas untuk kegunaan sendiri. Berperah keringat jugalah hendak mencari wang tampungan majlis. Bekerja sebagai jururawat tidak menjanjikan kekayaan, namun sekadar cukup untuk menampung perbelanjaan majlis. Letih memikir perihal majlis, daripada bertunang, mahu ke malam berinai, lanjut ke akad nikah sampailah ke majlis persandingan.
Tersentak dari lamunan, aku meluru ke dapur mencapai periuk rebusan telur. Aku menghembus asap berbahang supaya tidak singgah ke muka. Leka hendak menurunkan periuk, tiba-tiba si kecil datang menyergah, “Kak Long!”
Tangan kananku terlepas pegangan periuk, telur rebus yang panas jatuh bertaburan ke atas kakiku. Aku mengerang kesakitan. Emak datang dalam keadaan terkejut apabila melihat kemalangan yang menimpa aku. Emak mencapai minyak gamat lalu disapunya pada bahagian kaki yang cedera. Emak mengutip telur rebus yang jatuh berselerakan di lantai dapur. Kasihan emak penatnya belum lagi hilang, terpaksa mengemas ruangan dapur pula. Apalah dugaan, salah adat atau salah akukah? Jauh di sudut hati aku mengharapkan majlis ini dapat berlangsung dengan baik dan sempurna.
Aku letih! Tanpa sedar aku terlena kepenatan dengan sakit pada bahagian kaki yang belum menunjukkan tanda-tanda akan sembuh. Tiba-tiba lenaku diganggu pekikan suara bertalu-talu di sebalik tingkap. Aku mengintai-intai di sebalik jendela dan mencari suara yang menjadi punca pergaduhan itu. Intaian aku tidak mendatangkan hasil, aku mengajak Anita ke luar rumah untuk melihat kekecohan yang berlaku.
“Ta, apa yang bising-bising tu?” aku bersuara mahukan jawapan.
“Tak tahulah. Perempuan tu datang bising-bising mengaku dia tunang Azman. Tu emak kau dengan pak ngah cuba tenangkan dia, tapi kau tengoklah dia bising lagi. Kau kenal ke perempuan tu?”
Soalan dibalas soalan membuatkan aku tergamam. Apa kaitan Azman dengan perempuan itu? Tunang? Kenapa tunang aku tak pernah bercerita tentang dia? Atau aku yang tidak kisah untuk mengetahui perkara tersebut? Kebingungan terus berputar ligat dalam kepalaku.
“Aku nak cakap pun aku tak tahu, Azman tak pernah bercakap tentangnya. Tahu-tahu begini jadinya” fikiranku kusut dan keliru apabila berhadapan dengan situasi begini.
Tidak semena-mena, perempuan itu telah menyedari kehadiranku, lalu dia meluru ke arahku, mujurlah pak ngah segera menyekat. Tangan kirinya memegang sebotol cecair jernih seperti asid. Aku terus berlari ke belakang Anita.
“Woi, perempuan! Suka hati kau saja rampas tunangan orang!” suara perempuan itu menjerit menyatakan ketidakpuasan hatinya.
Aku cuba menggagahkan diri mengumpul keberanian untuk bertentang mata serta bicara. “Aku memang tak kenal kau. Kau sendiri datang terpekik-pekik mengaku tunangan Azman, dah terang-teranglah aku tak kenal. Kalau Azman tu tunangan kau, sepatutnya kau yang kahwin dengan dia esok, bukannya aku,” balas aku tenang bernada tegas.
Perempuan itu menggelupur mahu mendapatkan aku. Rasa marahnya jelas terpapar di riak wajahnya. Aku meminta Anita menghubungi pihak polis tentang masalah amukan perempuan itu. Aku terus memerhatikan wajah dan tangannya. Wajahnya masih memancarkan riak amarah.
Ketika aku mahu mendapatkan emak di belakang pak ngah, kaki aku tersadung lalu terjatuh. Kepala aku berpinar-pinar. Dalam kesamaran, aku dapat melihat tingkah laku perempuan itu yang menyiku badan pak ngah dan menendang beberapa lelaki yang menyekat pergerakannya. Perempuan itu lantas membuka botol isian jernih itu mencurah ke wajahku. Aku menggelupur mengerang kesakitan terkena cecair jernih tersebut. Badan aku terus bergolek ke kiri ke kanan mengerang terus kesakitan. Terasa wajahku berbahang seperti terbakar.
“Embun, bangun Embun. Embun!” Emak memanggil dengan nada yang keras. Terasa badanku dipukul lembut. Aku yang menangis tadi terjaga daripada rasa sakit itu.
“Kau ni kan, mengigau je kerja,” emak berleter.
Kini, baru aku sedar, kejadian itu rupanya mimpi. Mimpi ngeri. Aku beristighfar panjang. Rupanya, aku memang tidur kesiangan selepas kemalangan kecil di dapur sebentar tadi. Kesan lecuran beberapa tempat di kaki masih lagi terasa. Mujurlah tidak begitu serius.
Aku bingkas bangun ke ruang tamu. Mata aku tertumpu kepada sirih junjung, entah siapa yang menyiapkan kerjaku yang terbengkalai sebentar tadi. Aku pun tak tahu. Tiba-tiba telingaku menangkap suara hingar-bingar di luar rumah. Suara pekikan wanita berserta omelan tidak jelas butirannya. Aku menghendap di sebalik jendela itu. Rupa-rupanyanya ada seorang perempuan persis seperti dalam mimpiku tadi.
“Embun mana? Dialah yang mencuri tunang aku. Bawa dia ke mari!” perempuan itu menjerit bingit. Beberapa orang penduduk kampung cuba menenangkannya.
Aku menggigil ketakutan dan mula menangis. Aku tidak mahu keluar dari rumah. Aku bimbang perempuan itu melakukan tindakan seperti dalam mimpi petang tadi. Aku mengintai lagi. Aku ternampak emak cuba bercakap dengannya.
“Engkau ni datang tak bagi salam cari anak aku kenapa? Anak aku tak pernah merampas hak sesiapa. Kau yakin yang nama perampas tunang kau tu Embun?” Emak mempertahankan aku. Emaklah yang menyatukan kami, aku tidak pernah kenal si Azman tu tanpa Emak. Merekalah yang menyatukan kami.
“Mak cik, saya tahulah Embun yang rampas. Embun yang rampas Azmin daripada saya,” perempuan itu membalas lagi dengan nada marah.
“Menantu aku tu namanya Azman. Azmin tu adik dia. Kau yang dah salah serang rumah ni,” emak membalas dengan selambanya. “Lain kali nak serang orang selidik dulu. Jangan salah masuk kandang harimau dik. Dah kau pergi balik, buat bising rumah orang je,” emak membalas lagi lalu berpaling pergi. Saudara-saudara yang berkumpul melihat kejadian itu pun melangkah pergi sambil menunjukkan reaksi keliru.
Perempuan itu menahan malunya dan berlalu pergi. Tanpa sedar, aku pun tertawa.