GELAP. Bukan bermakna hilang. Tidak semua yang bernyawa juga perlukan terang. Bagi Hitam, gelap adalah kehidupan. Mendengar dengan jelas, melihat dengan terang, malah boleh bercakap dalam kegelapan adalah kelebihan yang dimiliki oleh Hitam.
Hitam ialah salah seekor daripada ribuan semut hitam yang tinggal di dalam pendingin hawa. Salah satu perkara yang tidak pernah dipertikaikan oleh Hitam adalah mengapa mereka dilahirkan tanpa nama. Semua mereka dipanggil Hitam.
“Aku yakin kita selamat jika masuk ke dalam rumah itu. Aku juga yakin tuan rumah dan keluarganya tidak akan mengganggu kita. Dengar khabar, dia dan keluarganya tidak menggunakan bilik itu lagi,” ujar ketua mereka semasa bersidang. Mujurlah petang itu angin tidak sekuat semalam.
“Kita perlu mencari tempat yang lebih selesa.”
“Di sini kita tidak selamat selamanya. Makin hari ranting makin berkurangan.”
“Kampung kita terdedah kepada bencana.”
Mereka menyokong kata-kata ketua mereka. Hanya sedikit sahaja yang tidak bersetuju. Bagi Hitam pula, dia tidak mahu tinggal di pokok ini. Angin, hujan dan panas -semua itu kecelakaan baginya.
“Kau belum tahu kehidupan di dalam rumah. Banyak bahaya yang menunggu,” kata salah seorang daripada mereka. Sesungutnya bergerak ke kiri dan kanan.
“Kalau kau hendak tinggal juga di dalam rumah itu, pergilah. Kalau ada apa-apa yang berlaku, kau tanggung sendiri,” rungut rakannya yang lain.
Lamunan Hitam menghilang. Gelap seperti di dalam pendingin hawa itu. Kata-kata rakan-rakannya sebelum mereka berpindah ke tempat baharu masih dalam ingatan. Esok adalah perjalanan pertama mereka meredah dinding rumah itu mencari makanan. Sebelum mereka berpindah, ada virus yang sudah lama bersarang di dalam kepala Hitam. Hari ini dia nekad – dia mahu matikan virus itu agar tidak merebak dan menguasai fikirannya.
“Terang. Kita tidak dapat mendengar dan bercakap. Kenapa?”
“Aku pernah tanya soalan yang sama kepada yang lain. Aku masih ingat. Tapi masa itu aku masih kecil. Aku pun seperti kau dahulu- inginkan jawapan. Mereka menyuruh aku mencari sendiri jawapan,” balas rakannya.
“Kita kuat. Kita dapat mengangkat makanan yang beratnya lebih besar berbanding tubuh kita. Kenapa kita lemah dengan cahaya?” bentak Hitam lagi.
Rakannya menggeleng kepala berkali-kali. Sesungutnya tidak berhenti bergerak. “Terang sering kali menyebabkan kita lalai,” jawab rakannya.
Hitam memerhati tepat ke wajah rakannya. Rakannya yakin Hitam perlukan penjelasan.
“Apakah yang berlaku jika kita boleh mendengar dan bercakap semasa mencari makanan?” soal rakannya lagi.
Sesungut Hitam tidak bergerak. Kakinya pula bergerak tanpa henti. Rakannya yakin Hitam tidak ada jawapan.
“Kalau kita boleh bercakap, ramai yang akan berani bersuara. Kalau kita boleh mendengar, kita menjadi keliru. Hendak ikut siapa?” jelas rakannya lagi.
Hitam menundukkan kepalanya. Tidak pasti sama ada dia kehairanan atau teruja.
Rakannya berkata lagi, “Di luar sana, kehidupan manusia sangat rumit. Kerana mulut mereka, mereka berpecah belah. Suara mereka tidak ada sempadan. Disebabkan itu, kita tidak perlukan suara dan tidak perlu mendengar untuk kesejahteraan bersama.”
Bunyi tapak kaki mengejutkan mereka berdua. Tubuh semut yang melintas mereka dipenuhi keringat. Sesungutnya bergerak lemah. Mungkin dia keletihan, tapi wajahnya mengukir senyum. Dia menuju ke arah ketua. Pada masa yang sama, seekor semut lagi menuju ke arah sama. Mereka keluar dari petang tadi. Kembali dalam keadaan letih. Apakah sebenarnya yang mereka lakukan? Sepatutnya mereka berehat.
Argh, tidak salah aku bertanya. Lagipun ini pertama kali aku mengikut mereka, monolog Hitam dalam hati.
Sesungut Hitam berhenti bergerak. Dia memandang rakannya. Persoalan itu hilang seperti angin. Rakannya dapat menebak bahawa Hitam perlukan penjelasan.
“Mereka mencari tempat yang ada makanan. Itu tugas mereka. Mereka bergerak secara solo, jadi mudah untuk mereka mencari. Jika ketua setuju dengan tempat yang diberitahu, dia akan mengetuai perjalanan esok.”
“Kau pasti kalau siang kita selamat?” tanya Hitam lagi.
“Aku yakin. Manusia zaman sekarang seperti kita. Siang hari mereka juga tidak bercakap dan mendengar. Hanya melihat.”
“Kenapa pula?”
“Mereka sibuk dengan gajet. Mereka jarang bercakap sesama mereka.”
Kali ini Hitam menganggukkan kepala. Dia tidak mahu ambil peduli tentang kehidupan manusia. Masa ini dia membayangkan satu pengembaraan yang hebat. Sedikit risau menjelma di sudut hatinya, namun dia rasa teruja. Dia tidak sabar menunggu esok hari.
Malam itu, bintang memenuhi langit. Seolah memahami perasaan Hitam—berkelip tanpa henti. Sekali sahaja terdengar bunyi pintu dibuka malam itu. Lampu dinyalakan. Mungkin tuan rumah atau anaknya mengambil sesuatu dari bilik itu.
Keterujaan Hitam tidak dapat dibendung. Dia harus bersedia dari segi fizikal dan mental. Dia perlu berehat secukupnya. Kantuk mulai menguasai anak matanya. Jarum saat di dinding bergerak selangkah demi selangkah. Ibu jarum akhirnya menyentuh angka lima.
Hitam menarik nafas panjang dan melepaskannya terus. Wajahnya terlihat segar. Hitam dan rakannya ditugaskan untuk memikul makanan. Semut yang lain pula ada yang bertugas memberi larva makan, menyimpan makanan dan ada yang mempertahankan sarang.
Tanpa suara, seekor demi seekor semut keluar melalui ruang di bawah pendingin itu. Kaki Hitam memijak dinding di dalam rumah ini seolah-olah dia berada di kawasan tanah yang sangat luas. Dia teringat pesan ketua malam tadi kepada semua semut —kita harus mengikut jejak aroma yang ditinggalkan. Setiap kali bertemu yang lain, sesungut wajib bersalam.
Hitam memandang ke depan. Puluhan rakannya bergerak dalam satu barisan.
Aku sangat bangga dilahirkan sebagai semut. Barisan kami seperti sebuah jambatan yang sangat panjang merentasi sebuah lautan yang airnya berwarna putih. Tidak semua serangga mampu buat seperti yang kami lakukan. Ingin aku laungkan kepada serangga lain bahawa kami, semut hitam, sememangnya luar biasa.
Sesekali Hitam memandang ke kiri. Sudut antara dinding dan siling bilik dijejaki sehingga menuju ke lantai. Kerana keterujaan, Hitam kadang-kadang hilang fokus. Dia mempercepatkan langkahnya agar jaraknya dengan rakan baiknya itu tidak terlalu jauh.
Hitam fikir sudah tiga pusingan lengkap dia memikul cebisan makanan ke perkampungan mereka. Dia sangat letih, tetapi tetap bersemangat apabila melihat rakan semutnya yang lain berjalan tanpa putus asa meneruskan tujuan hidup. Sebelum pusingan keempat selesai, dia terlihat tuan rumah masuk ke dalam bilik ini.
Aku tidak boleh hilang fokus. Jejak mesti diikuti. Makanan harus dipikul. Perjuangan harus diteruskan.
Argh, bau yang menyengat. Semburan bertubi-tubi menuju ke barisan paling hadapan. Barisan mula putus. Beberapa ekor semut jatuh ke bawah. Hitam panik. Semua mereka bergerak tidak tentu arah.
Aku harus menyelamatkan diri!
Dengan sekuat hati, dia bergerak ke tempat gelap. Semua semut seperti hilang arah. Langkahnya harus sekata. Dia terus bergerak ke arah kanan. Hitam menarik nafas panjang. Dia berada di belakang sebuah almari. Semburan itu boleh mematikan mereka. Walaupun mereka tidak mempunyai paru-paru, mereka tetap perlukan oksigen melalui lubang yang ada di sisi tubuh mereka.
Nah, perkara yang dirisaukan oleh Hitam terjadi juga. Matanya tidak berkelip melihat semua semut yang berada di dalam perkampungan ditolak angin hingga jatuh ke lantai – seperti air terjun yang jatuh di antara batu-batuan yang besar.
Ahh, aku harus keluar dari bilik ini!
Tanpa menoleh ke belakang, Hitam menuju ke lubang kecil yang ada di antara dinding simen dengan pintu bilik itu. Dia tidak ingin menoleh ke bawah lagi. Dia harus kuat. Kakinya tidak berhenti berjalan melalui dinding di ruang sebelah. Dia fikir ini ruang makan keluarga itu.
Hitam sudah persiapkan dirinya dengan segala kemungkinan. Mereka sememangnya sudah diajar erti pengorbanan. Hitam berhenti seketika. Di tempat yang sama, dia terlihat beberapa ekor semut hitam yang lain berjaya menyelamatkan diri. Dia tercari-cari rakan baiknya. Hampa.
Pada masa yang sama, Hitam teringat lagi laungan semangat ketua mereka sebelum mereka keluar berjuang pagi tadi — “Jika kita diserang, bergerak menuju ke tanah. Di situ banyak koloni kita. Selamat berjuang semua. Hidup semut hitam!”
Keadaan semakin genting. Bau semburan mula menyerap udara luar. Hitam harus keluar dari dinding dapur menuju ke tanah. Tanpa berlengah, dia berlari ke arah bawah kemudian membelok ke kanan dan akhirnya keluar dari rumah itu melalui lubang kecil di bawah pintu kayu.
Langkahnya tidak berhenti menuju ke arah rumput di belakang rumah. Dia menemui satu koloni di bawah dahan kayu yang agak reput. Ada ramai lagi yang terselamat masuk ke koloni itu. Dia menarik nafas lega.
Mujurlah ada dua perut. Kalau tidak, mati kelaparan aku. Ah, aku makan dulu makanan yang tersimpan ini. Makanan di perut satu lagi, kemudian saja aku kongsikan kepada yang lain.
“Bagaimana kau mati?”
Hitam terkejut. Suara rakannya menyebabkan badannya terjungkit sedikit. Kisah gembira yang diceritakannya tadi seperti cahaya matahari ditutup oleh awan mendung.
“Langsung tidak beri masa untuk aku bergembira,” rungut Hitam.
“Jangan buang masa. Tidak lama lagi roh kita akan diambil. Cepatlah ceritakan. Kita mana ada masa lagi untuk bertemu,” desak rakan baiknya itu lagi.
Hitam melihat ke langit yang kebiruan. Mereka berdua di atas sehelai daun.
“Tuan rumah bukan hanya membersihkan bilik tempat perkampungan kita saja. Rupa-rupanya dia juga membersihkan seluruh kawasan di belakang rumah pada petang itu,” jelas Hitam. “Kita semua mati terkena semburan. Aku fikir semburan itu adalah racun,” kata Hitam lagi. Hampa.
“Begitulah nasib kita. Sebelum aku lupa, ada satu perkara yang aku ingin tanya kepada kau. Masa kita hidup, kau sempat bertanya kepada aku. Sekarang kita sudah mati, giliran aku pula bertanya,” kata rakannya. “Kau pilih terang atau gelap?”
Agak lama Hitam tunduk. Mungkin dia teringat penjelasan rakannya dahulu tentang terang. Jasad mereka terlihat pudar. Bila-bila masa saja boleh hilang dari pandangan kasar. Sebelum jasad mereka tidak kelihatan lagi, Hitam sempat membalas rakannya.
“Gelap, kerana dalam keadaan gelap aku dapat membalas nikmat yang dianugerahkan kepada aku untuk mensyukuri kehidupan ini. Gelap yang menyelamatkan.”
Wajah Hitam tersenyum sebelum jasadnya hilang dan meninggalkan helaian daun yang segar.