ALANG HUSIN sedang menyiapkan replika kapal di bangsal tua yang terletak di belakang rumah. Haikal ralit memerhati dengan teliti. Angin monsun berpuput lembut dari arah barat Selat Melaka. Sekali sekala semutar yang dipakai Alang Husin tersingkap ke kiri dan ke kanan. Haikal pula menyelak rambutnya yang hampir menutup mata.
“Apa nama kapal ni atuk?”
“Jong Melayu. Banyak dah atuk buat, macam-macam jenis.” Lanjutnya lagi, “Bangsa Melayu bina kapal yang berbeza sesuai kegunaan di laut lepas, antara pelabuhan di Nusantara, dermaga, pesisir pantai dan sungai.”
Haikal mendengar dengan tekun dan mengangguk perlahan. Cuti sekolah baru saja bermula. Ibu bapanya sibuk bekerja di Putrajaya. Haikal berasa selesa tinggal bersama-sama datuknya di Kampung Limbongan, Melaka.
Semasa mudanya, Alang Husin terkenal sebagai tukang rumah Melayu Melaka. Hasil ketukangannya cukup halus. Ilmu yang dipelajarinya turun-temurun. Jika dalam seni bina rumah Melayu; pasak digunakan untuk menyambung tiang, pelancar, rasuk, bendul, kasau, jenang, tunjuk langit, dan tulang bumbung. Begitu juga dengan binaan kapal; tembuku, lunas, linggi, gading, disambung dengan pasak.
Orang sekarang taasub membina rumah batu. Perlahan-lahan rumah tradisional Melayu mulai pupus satu per satu. Lebih mengecewakan Alang Husin, tiada sebarang usaha untuk mengangkat seni pertukangan rumah Melayu di peringkat lebih tinggi. Pusat latihan kemahiran sewajarnya menawarkan program sijil kemahiran dalam bidang pertukangan tradisional Melayu.
“Kenapa atuk tak buat kapal sebenar?” Alang Husin yang sedang asyik menyiapkan buritan sedikit terkejut.
“Kampung kita ni memang tempat membina dan membaiki kapal. Namanya pun limbungan.” Melihat cucunya melongo, dia menambah, “Nenek moyang atuk dulu memang tukang kapal yang mahir. Hebat!”
“Wah, jomlah kita buat atuk!”
“Amboi, bukan main bersemangat cucu atuk ni! Sayang sekali, pantai jauh di baruh. Laut dah ditambak. Tempat kita ni dah tak sesuai lagi.”
Haikal menarik muka.
Alang Husin memujuk, “Nanti bila Haikal dah besar, ambil kursus kejuruteraan marin. Boleh menyertai syarikat perkapalan Malaysia.”
Haikal menanam azam untuk berkhidmat dengan syarikat penapisan minyak yang terletak di Sungai Udang, sebuah anak syarikat petroleum terbesar di tanah air. Itulah cita-citanya. Sementelah, saban hari melihat deretan kapal tangki berulang-alik ke Kompleks penapisan di Sungai Udang. Lebih mengujakan apabila datuknya berjanji mahu membawanya ke Kuala Linggi. Bertemu sahabat lama, seorang tukang tersohor.
“Naik Jaguh ya, atuk.”
“Motosikal tu dah lama tak jalan jauh.”
“Jauh sangat ke atuk?”
“Hampir 45 kilometer, sejam perjalanan.”
Petang itu mereka bertiga menaiki kenderaan utiliti sukan atau SUV, kereta keluaran nasional yang sangat popular pada masa ini menyusuri Tanjung Kling, Sungai Udang, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru, lalu ke Kuala Linggi.
Alang Senah yang duduk di sebelah pemandu, tidak lupa membawa belacan, cencaluk, gula melaka, dan inang-inang sebagai buah tangan. Haikal merengek minta dibelikan air coconut shake yang tular di Klebang.
“Nah, tiga sekali nenek belikan.” Haikal tersengih kegirangan. Kata orang, “Siapa tak sayang cucu oi!”
Kereta SUV dipandu tenang sambil melayan lagu Bahtera Merdeka, dendangan Biduan Negara Datuk Ahmad Jais. Mata Alang Husin dan isterinya berkaca. Jerih perih kehidupan era penjajahan terbayang-bayang di ruang mata.
Haikal terlena di tempat duduk belakang. Mulutnya selekeh dek aiskrim. Cawan coconut shake yang sedikit bersisa, tergenggam erat di tangan. Alang Senah menoleh ke belakang, lalu ketawa terkekeh-kekeh.
“Hai bang, teringat mambang lama ke?”
Alang Senah tidak senang duduk dibuatnya sebaik-baik sahaja berkumandang lagu Jauh di Mata nyanyian Biduanita Sharifah Aini yang menusuk kalbu. Suaminya tersenyum.
Sebaik-baik sahaja melewati Akademi Laut Malaysia, Alang Senah mencuit pipi cucunya. Mana mahunya. Hampir licin satu bekas coconut shake disedutnya. Nyenyak betullah dia.
“Biarkanlah dia. Dah sampai nanti baru kita kejutkan.”
“Abang manjakan betul ya, cucu seorang ni.”
Ceria betul Ngah Seman sebaik-baik saja terpandang susuk Alang Husin terpacul di halaman.
“Mana kau lesap? Baru ni nampak batang hidung.”
“Tempahan banyak, tak menang tangan. Abang bertukang lagi?”
“Alhamdulillah, adalah sikit. Itu pun daripada inap desa dan chalet berdekatan. Hendak harapkan rumah kampung, tinggal ni sajalah sebuah.” Ngah Seman melirik matanya ke arah papan manis yang cantik berukir. Hatinya pedih mengenangkan ada rumah terbiar.
“Eh, kenapa tak dipelawa masuk orang rumah tu?” sampuk Ngah Esah sambil meletakkan hidangan minum petang. Bau ubi kayu rebus dan air kopi mengapung.
“Ya Allah, lupa aku.” Alang Husin bergegas.
“Nenek dan cucu sama-sama dah belayar ke Pulau Rupat.” Masing-masing tergelak sakan di sengkuap mendengar celoteh Alang Husin.
Isterinya yang kesipuan, menghulurkan buah tangan kepada Ngah Esah. Haikal masih terpisat-pisat.
Ngah Seman menyeru cucunya, “Damia, Haziq, mari sini. Abang Haikal ada bawa coconut shake ni.”
“Ajak abang Haikal bermain di bawah pokok bidara kat depan tu. Boleh naik buaian,” celah Ngah Esah pula.
Seronok betul mereka dapat bersembang sambil menikmati angin petang di Kampung Nelayan. Angin bersilir-silir dari Sungai Linggi dan Selat Melaka yang awalnya menyapa Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi.
Selesai membantu Ngah Esah di dapur, Alang Senah membelek-belek tikar mengkuang yang separuh siap dianyam di pelantar. Ragi kepala lalat bersulam kelarai bunga menarik minatnya. “Pandai kakak menjalin coraknya.”
Kembang hati Ngah Esah lalu tersenyum malu, apabila dipuji begitu.
Alang Husin dan Ngah Seman turun ke laman menghampiri cucu mereka yang sedang asyik bermain. Ketiga-tiganya bersorak mengajak atuk mereka bermain bersama-sama.
“Jika atuk naik buaian, sekah dahan pokok bidara ni nanti,” Alang Husin berseloroh.
Ngah Seman tersengih menampakkan giginya yang masih utuh.
“Ibu bapa budak-budak ni masih di Naval Base?” soal Alang Husin sambil mengusap rambut Haziq.
“Masih di Lumut, dulu lama juga di Labuan.”
“Haikal tu nampak gayanya berminat bidang marin. Abang berilah sedikit petua dan pesan.”
Mereka berlima duduk di pangkin bawah pokok bidara yang rendang. Nyaman sekali. Ngah Seman bercerita fasal asal usul nama Kuala Linggi. Haikal dan Damia mencatat dalam buku nota kecil yang tersedia dalam saku. Baru mereka tahu rupa-rupanya linggi bermaksud kayu yang melengkung di buritan kapal.
“Bermakna Kuala Linggi juga merupakan tempat membina kapal, sama seperti Kampung Limbongan,” ujar Haikal penuh teruja.
Ngah Seman menjelaskan, “Berdekatan Sungai Besut, Terengganu juga terdapat Kampung Limbongan.”
“Kenapa kamu terlopong?” usiknya pula. Haikal menggaru kepala.
Kali ini giliran Damia pula menyakat. “Kamu asyik main game saja ke? Lihat di Google Earth, puluhan ribu pulau di Nusantara ni.” Haikal terkebil-kebil.
“Wah, pandai cucu abang ni!” Kembang kempis hidung Damia dek pujian Alang Husin.
Haziq, adiknya yang berusia 10 tahun tumpang seronok.
“Komputer tablet yang abah kamu belikan, banyak gunanya. Internet pun cukup laju.” Haikal terkedu ditegur secara berhemah oleh datuknya.
Ngah Seman mengiakan. Menurutnya, semua kerajaan maritim di semenanjung dan pulau-pulau utama memiliki beberapa pelabuhan yang pesat. Dahulu, laluan laut bak lebuh raya yang menghubungkan pusat tamadun besar. Selat Melaka cukup sibuk sejak era Kedah Tua, Langkasuka, Sriwijaya, dan Champa lagi. Kemuncaknya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Bang, tak nak balik ke?” seru Alang Senah di tangga melaka yang jubinnya berwarna-warni. Tangannya menjinjing sehelai tikar mengkuang keling. Haikal berlari meluru ke arah Ngah Esah. Lalu diberi bungkusan dua keping kuih bakar pandan. Harumnya bukan main.
Alang Husin memborong 10 helai tikar bercampur kelarai corak pelekat, ragi beras patah, dan ragi kepala lalat. Katanya boleh dibekalkan kepada peniaga kraf di Dataran Pahlawan. “Tidaklah asyik-asyik kraf yang sama, dari negara jiran pula tu,” dengusnya.
Ngah Seman, isteri dan dua cucunya mengekori mereka hingga di kereta. Tiba-tiba Alang Husin menepuk dahinya. Lalu mencapai kotak di ruang bonet belakang.
“Wah, cantiknya Kapal Pinisi Bugis dan Lancang Kuning!” Ngah Seman menerimanya penuh semangat.
Alang Husin mendakap penuh erat Ngah Seman. Manakala Alang Senah dan Ngah Esah pula bersalaman, sambil berlaga pipi sesama mereka. Haikal dan Damia, sebaya. Faham makna perpisahan. Mereka bergenang melihat keakraban sahabat sejati di depan mata.