CAHAYA terang dari sebelah kanan hutan dapat dilihat sehingga ke bahu jalan. Chevrolet Vega 2 sedan itu dipandu perlahan-lahan di atas jalan. Manakala, mata pemandu itu melilau ke sekitar untuk meninjau cahaya terang yang tiba-tiba muncul. Dia berhenti seketika di tepi jalan. Sifat ingin tahu kian menebal.
Pakk!! Pakkk! Pakkk!
Kedengaran pintu sebelah penumpang depan diketuk kasar. Degupan jantung Megan terasa kencang. Rasa takut terus menyelimuti seluruh jiwa. Siapa tidak takut ketika berseorangan di atas jalan raya yang sunyi serta dikelilingi hutan tebal?
“Jangan keluar malam seorang diri, kau tu gadis!”
Tetapi, dia menentang pesan ibu.
Padan muka kau, Megan! Bukan badan kau ada gps! Kalau ada pun, diculik makhluk asing pun tak ada yang sempat datang selamatkan kaulah!
Lalu, dia menekan pedal minyak ketika ketakutan mula hadir tetapi kereta itu langsung tidak bergerak seperti ada yang menahannya dari belakang. Geseran tayar mula meninggalkan asap.
Pakk!! Pakk!! Pakk!
Sekali lagi, pintu dipalu.
Aduhai..kenapa kereta ini!? Megan cuba menekan pedal minyak dengan kuat sekali lagi. Tiba-tiba,seorang wanita muncul dan memukul tingkap sebelah penumpang depan itu.
“Tolong aku! Tolong aku!” jerit wanita itu.
Megan terkesima. Dia harus berbuat apa? Wanita itu mengetuk tingkap keretanya bertalu-talu.
Argghhhh! Bagi sajalah perempuan ni masuk! Desak hatinya. Dia terus membuka pintu lalu wanita itu terus masuk.
“Pergi, pergi!”
Kereta itu meluncur laju sambil wanita itu menoleh ke belakang seolah-olah dikejar oleh orang atau sesuatu.
Megan memerhati lengan wanita itu. Ada lebam dan luka. “Kau diculik?” tanya Megan. Soalan Megan masih tidak dijawab. “Kau ditangkap orang?” soalnya lagi.
Wanita itu mengangguk. “Lebih kurang begitulah,” sahutnya.
“Megan. Namaku Megan.”
“Aku Anjelica.”
“Kau nak aku hantar ke mana?” tanya Megan, tangannya kekal di stereng.
“Boleh tak jika aku menumpang di rumah kau buat sementara waktu?”
“Aku takut ibuku marah. Bapaku juga ada di rumah. Tentu mereka marah jika aku membawa orang asing pulang ke rumah,”balas Megan padanya.
“Tolonglah. Aku tak tahu nak pergi ke mana dah.”
Megan menarik nafas. Ketika ini, dia mati akal. Habislah aku. Kereta itu menuju ke rumah.
****
“Boleh tak jikalau Anjelica tinggal di sini?” tanya Megan.
Anjelica memeluk tubuh. Dia kemudiannya berdiri di sebelah rak yang penuh dengan foto-foto keluarga. Dia memegang salah satu foto lama ibu dan bapa Megan.
“Anjelica?” panggil ayah.
Anjelica menoleh sebaik sahaja namanya disebut. Dia meletakkan kembali foto itu.
“Kau tak nak ke pejabat pihak berkuasa untuk membuat laporan?”
“Tak boleh, tak boleh.” Segera dia menepis cadangan itu. “Aku akan mati kalau mereka tahu keberadaan aku.”
Ibu dan bapa Megan berpandangan sesama sendiri.
“Siapa?”
“Aku ada rahsia besar.”
“Kalau kau tak beritahu kami, bagaimana kami hendak tolong?” Dahi ayah Megan semakin mengerut. Aneh. Sudahlah orang asing, fikirnya.
“Aku… ada kuasa. Mereka nakkan kuasa aku. Mereka perlukan darah aku untuk dijadikan bahan uji kaji mereka. Aku adalah orang terakhir yang terselamat di Planet Xelarvis. Penduduk-penduduk lain telah berpindah dan menuju ke galaksi Malin 1 ketika ini.”
Wajah Megan dan ibu bapanya berubah. Tidak mengerti. Ada seribu pertanyaan dan kekeliruan mendengar penerangan Anjelica.
Anjelica sedar. Wajah mereka tidak menipu — dia tahu yang mereka masih tidak mempercayai kata-katanya. Lalu, dia berjalan menuju ke arah lampu dan memegangnya. Tiba-tiba, seluruh rumah menjadi gelap-gelita. Anjelica mengangkat tangannya dan mengeluarkan cahaya yang terang dari tengah, antara kedua-duanya tangan yang mendepa. Kemudian, dia menutup tangan dan cahaya itu semakin mengecil. Rumah itu kembali seperti sediakala.
“Aku tak boleh tunjuk dengan lebih lama. Nanti dikesan oleh orang Andromeda.”
“Kau boleh jadi halimunan tak?” Tanya Megan.
“Kau boleh?” soal Anjelica kepada ibu Megan yang berdiri di hadapannya.
“Sudah tentu tidak! Kami manusia biasa.”
“Maka, aku juga tak boleh,”sahut Anjelica. Masih bersisa jelingannya pada ibu Megan.
Ibu Megan berpura-pura tidak sedar dan mengalih pandangannya.
“Tapi kau tak normal.” Balas Megan.
“Ada beberapa perkara aku tak boleh lakukan di sini. Sebab itu aku tak boleh jadi halimunan. Daya tarikan magnetik kita berbeza.”
Megan semakin asyik ingin mengetahui asal-usul Anjelica. Dia mendengar dengan penuh bersemangat cerita wanita itu.
“Ada lagi kuasaku yang lain tetapi aku tak boleh tunjuk. Orang-orang Andromeda pasti akan menemuiku.”
“Sebenarnya, kami masih belum boleh percaya apa yang kau ceritakan.” Bapa Megan memandang tajam pada Anjelica.
Anjelica segera menoleh ke arah Megan. “Jika aku orang jahat, anak kau tentu takkan balik ke sini lagi. Aku seorang yang berintegriti dan mengenang budi. Dan, ketika ini aku sedang menanti sahabatku dari Planet Xelarvis datang menyelamatku.”
****
“Kau ingin sarapan apa? Yalah, mungkin makanan kau berbeza dengan kami.” Megan menoleh kepada Anjelica.
“Biasa. Aku boleh makan apa saja.”
Megan mengangguk. Lalu, dia membuat roti sandwich berintikan telur dan mayonis. Setelah itu, dia menuangkan susu panas yang seawal pagi telah dihantar di hadapan pintu mereka oleh penjaja susu. Ayah pula sibuk membaca surat khabar hari ini.
Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman kuat. Sebuah kereta telah terbalik betul-betul di hadapan mereka. Serta-merta, terbakar! Sebuah kemalangan kendiri sedang berlaku ketika ini, di depan mata mereka!
Ayah terus bangun dari tempat duduk lalu berlari ke hadapan pintu. Ibu juga panik! Wajahnya kelihatan pucat seperti mayat. Megan terus menatal telefon untuk menghubungi bantuan kecemasan. Anjelica kemudian berdiri menghampirinya.
“Kenapa?”
“Kau tak nampakkah? Kereta itu terbakar dan ada kanak-kanak terperangkap di dalamnya.” Jawab Megan dengan suara yang bergetar. Lantas, dia membuntuti ibu keluar dari rumah untuk melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu.
Megan sempat menoleh pada Anjelica yang sedang santai menghirup susu panas seperti sedang menikmati minuman itu di dalam suasana percutian dengan matanya dipejam. Sesaat sahaja dia kembali menoleh pada kereta terbakar itu, dia ternampak kanak-kanak yang terperangkap itu telah pun duduk di atas jalan kira-kira 50 meter dari tempat kejadian. Orang yang mengkerumuni kawasan itu juga terpinga-pinga seperti mereka. Bagaimana? Apa yang telah berlaku?
Bukankah tadi kanak-kanak itu masih di dalam kereta yang terbakar itu? Pintu kereta itu telah tercabut dan terdampar di sebelah kereta terbakar seolah-olah baru diletakkan! Adakah—
Dengan pantas ayah berlari kembali menuju ke rumah sambil diikuti Megan. Tercungap-cungap, Megan dan ayahnya merenung Anjelica. Anjelica mengangkat bahu, seolah-olah menafikan apa-apa sahaja yang sedang berlegar dalam fikiran mereka berdua.
Anjelica meninggalkan mereka berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum.
“Kau kan?”
Mereka bertiga sama-sama memandang Anjelica yang tenang duduk di atas bangku. Menunggu Anjelica membuka mulut mengenai kejadian pagi tadi.
“Cuba kau ceritakan pada kami. Adakah kau yang menolong budak tadi?” soal Megan.
“Ya. Aku harap perbuatanku itu tidak salah di sini.”
“Tak, tak. Itu perkara baik, wajar dilakukan,” ujar ibu.
“Kau guna kuasa apa?” soal Megan.
“Masa. Hentikan masa.” Jawab Anjelica tenang. Dia tersenyum. “Budak tu pasti tak apa-apa, bukan?” soalnya.
Megan mengangguk. “Kau tak beritahu awal-awal! Aku hampir tercabut jantung tau tak?”
“Jantung? Kenapa nak tercabut?” soal Anjelica yang tidak memahami ayat Megan.
“Terkejutlah oi! Kau ni seperti seorang hero! Tapi… kau ni wanita. Wirawati!”
“Megan.” Ayah menggeleng kepala. “Kita masih tak kenal dia. Jangan.” Bisik ayah Megan, menghampiri dan memegang bahu Megan. Pendiriannya masih tidak berubah. Dia tetap memikirkan kehadiran Anjelica seperti ada udang di sebalik batu.
Tiba-tiba kedengaran bunyi bising di ruang udara rumah. Menderum bunyi enjin sebuah pesawat sedang terbang rendah, berlegar-legar betul-betul di kawasan rumah Megan.
“Apa itu?” Mereka segera menuju tingkat atas rumah.
“Itu orang Andromeda! Mereka dah tahu aku ada di sini!”
Deboom!!!! Pintu besar dipecahkan!
“Kalian bersembunyi! Tak kira apa berlaku, jangan keluar!” arah Anjelica pada mereka. Anjelica segera turun ke bawah.
“Kami mahu kau ikut kami sekarang!”
“Tidak! Walau apa pun terjadi, aku takkan ikut arahan kau semua!”
Anjelica melepaskan tendangan pertama ke arah dada seorang penyerang. Penyerang itu jatuh. Seorang penyerang menumbuk pipi kiri Anjelica . Ada cairan merah mengalir dari sudut bibir Anjelica. Anjelica mengelapnya. Dia segera mencapai batang besi tingkap, membengkokkannya lalu membaling besi itu ke arah penyerang sehingga terkena pada kepalanya. Penyerang itu jatuh terjelepok lalu pengsan.
Tiba-tiba, ada kerusi dihentak di atas belakang Anjelica. Namun hentakan itu tidak merebahkan Anjelica. Anjelica berpaling dan menarik si penyerang dengan kuat sehingga penyerang itu terpelanting ke dinding. Rak yang berada di dinding itu jatuh dan menimpa si penyerang.
Maju dua orang lagi penyerang bertubuh besar ke arah Anjelica. Seorang daripadanya berjaya menangkap Anjelica dan menahannya. Manakala pasangannya mencekik leher Anjelica sekuat hati. Anjelica hampir lemas dalam genggaman dua lelaki itu. Tiba-tiba, bergema suara teriakan yang sangat nyaring sehingga kedua-duanya melepaskan Anjelica. Anjelica sendiri menahan telinga kerana tidak tahan dengan bunyi teriakan itu. Akhirnya semua penyerang yang ada itu di situ melarikan diri. Anjelica sempat melihat sosok tubuh yang mengeluarkan bunyi teriakan itu sebelum pengsan.
“Kau tak apa-apa?”soal Megan
Anjelica yang mulai sedar dari pengsan perlahan-lahan bangkit, duduk.
“Siapa tadi tu?” tanya Anjelica.
“Siapa apa?”soal Megan pula.
“Yang mengeluarkan bunyi teriakan dengan frekuensi tinggi.”
“Tak tahu… yang aku tahu, kau telah pun terbaring di ruang tamu. Penyerang tadi telah melarikan diri. Kau tak ingat?”
Anjelica menggelengkan kepala. Megan kemudian beredar ke dapur untuk membasahi kain.
Ibu mendekati Anjelica. “Kau tak apa-apa?”
Anjelica mengangguk. Dia menarik lengan ibu. “Kau yang lakukannya.”
Wajah ibu berubah. “Mengarut!”
“Parut lama tu. Aku kenal. Kau Xandria, bukan?” soal Anjelica.
“Kau diam. Seharusnya hal ini hanya kau dan aku sahaja yang tahu. Tak kira apa yang berlaku, jauhi keluarga aku!” Bisik kasar ibu Megan pada Anjelica.
Megan muncul bersama kain basah lembap di tangannya. “Semuanya baik-baik?” tanya Megan.
“Ya, sayang. Ibu nak keluar. Nak tengok keadaan rumah kita.” Ibu Megan menjeling tajam pada Anjelica sebelum berlalu pergi.
Malam itu, Megan yang berada di dalam biliknya, tiba-tiba menjerit. Anjelica segera keluar dari rumah, mengikuti bunyi teriakan Megan. Megan terapung di langit. Anjelica tergamam.
“Ibu!!!” jerit Megan.
“Kau masih lagi tak mahu tunjukkan diri kau yang sebenar? Itu anak kau! Kau nak lihat macam tu saja?” desak Anjelica.
Anjelica tidak menunggu jawapan ibu Megan kerana tahu nyawa Megan ketika ini dalam bahaya. Dia terus terbang menuju ke arah Megan yang bergelut dalam genggaman kuasa oleh orang Andromeda. Ternyata kini lawannya bukan mudah. Beberapa kali Anjelica terjelepok jatuh ke lantai bumi sambil disaksikan oleh ibu Megan yang kaku, belum berbuat apa-apa. Dia dilema; melakukannya atau tidak.
Tiba-tiba, ibu mengangkat kedua-dua belah tangannya dan kelihatan ribut taufan berserta puting beliung datang entah dari mana menuju ke arahnya. Serentak itu, dia memutarkan tangannya.Taufan yang terkumpul di sekitarnya seperti menurut, berputar laju menuju ke arah orang Andromeda. Melihat Megan terlepas daripada kuasa orang Andromeda ketika diserang oleh taufan dan jatuh dari aras tinggi, Anjelica terbang mendekati dan merangkulnya.
“Ibuku… seperti kau?” sempat Megan bertanya.
Anjelica tidak mempedulikan pertanyaan itu lalu membawa Megan ke arah ayah Megan yang masih terpisat-pisat, terkejut melihat kekuatan dan kuasa yang dimiliki isterinya.
Anjelica datang kembali ke arah ibu. Mereka merancang bergabung menentang orang Andromeda.
“Kau bersedia?”soal Xandria.
“Aku dah lama bersedia. Akhirnya kita kembali beraksi, kakakku, Xandria.”
Ibu mengangguk.
Xandria dan Anjelica terbang ke udara dan menyerang orang-orang Andromeda. Mereka terus memulakan pertarungan yang menyaksikan masing-masing mengeluarkan kuasa tak terduga. Dalam kekalutan itu, Xandria jatuh ke lantai Bumi. Dia menahan bahagian bawah perut. Kelihatan ada darah yang mengalir. Melihatnya, Anjelica menghadang dengan perisai kalis serangan bertubi-tubi.
“Kau sepatutnya tak boleh cedera. Kenapa begini?” tanya Anjelica.
“Ini salah aku. Tidak seharusnya aku menjadi orang Bumi. Semakin lama aku tinggal di sini, aku akan menjadi seperti manusia. Aku akan cedera seperti mereka, aku juga akan menjadi tua seperti mereka dan akhirnya mati seperti mereka.”
“Tak, kau baliklah ke planet kita. Teknologi planet kita akan merawat kau, kakakku.”
“Tidak. Aku sudah pun melahirkan seorang anak manusia. Semuanya sudah terlambat.”
Mendengarnya Anjelica terdiam. Dia pantas bangun dan menyerang kembali sehabis baik dan sedaya kuasa yang dia ada.
“Ibu!”
Jeritan Megan menyebabkan Anjelica terus bersemangat walaupun berseorangan. Semua cahaya kuning yang datang menyerangnya dia tepis dengan kuasa berjalur merahnya seperti kilat menyambar. Tiba-tiba, ada sebuah objek terbang datang membantu dengan tembakan inframerah dari belakangnya! Sahabatku! Anjelica kenal akan kapal angkasa yang datang menyelamatkannya! Meninggalkan sahabatnya meneruskan pertarungan itu, Anjelica kembali ke Xandria. Xandria terbaring lemah dalam pelukan Megan dan ayah Megan.
“Jika aku tahu, aku takkan meminta tolong dan akan pergi jauh daripada keluarga kakak,” ujarnya dalam tangisan.
“Anjelica. Xandria, wanita terulung.” Sepasukan sahabat Anjelica yang datang dari Planet Xelarvis datang mendekati mereka. Mereka berjaya menewaskan orang-orang Andromeda.
“Ini bukan salah kau wahai adikku. Sudah takdir aku akan ‘pergi’ ketika berada di sisi orang tersayang. Megan… suamiku, jaga diri baik-baik. Aku sayang pada kamu semua…”
Akhirnya, ibu menghembus nafasnya yang terakhir. Anjelica memegang tangan Xandria dengan erat.
Xandria disemadikan di Taman Grace tiga hari lepas. Megan menghampiri Anjelica dan memeluknya.
“Aku akan selalu memerhati kau dari jauh. Kau gunalah alat ini untuk menghubungi aku jika perlukan aku.” Anjelica menyerahkan objek berbentuk bulat sebesar cincin saja kepada Megan sebelum Menaiki kapal angkasa dan melambai padanya. Selamat tinggal Bumi. Hati kecil Anjelica berbicara.
Megan masih tercegat, memerhati kapal angkasa yang akhirnya lenyap di langit.
“Tolong!”
Secara tiba-tiba,dia mendengar suara meminta tolong yang entah dari mana. Dia cepat-cepat beredar. Semakin lama dia berjalan, semakin dia merasakan daya kelajuan pada langkahnya. Pergerakannya tiba-tiba menjadi sepantas kilat! Aku, pejuang Xelarvis dan Bumi! Anak Xandria, wanita terulung! Akulah, Megan!