LANGKAHKU menapak perlahan di denai yang basah selepas hujan semalam. Bau tanah yang lembap bercampur harum dengan dedaunan yang basah menusuk ke rongga hidung. Ini memberikan ketenangan yang selama ini puas aku mencari. Setiap derap kaki di laluan sempit itu seakan memadamkan sedikit episod yang kerap menghantui kala malam yang suram. Sedikit demi sedikit parut luka yang terpahat dalam hati ini seakan habuan dari masa silam. Bukit ini bukanlah yang pertama kutawan, dan barangkali mungkin bukan yang terakhir.
Namun, ada sesuatu pada cabaran lerengnya — curam yang seolah-olah menguji tekad. Kabus memeluk erat dahan-dahan pokok, sementara desiran angin mengusap wajah, lembut bagaikan belaian seorang ibu yang menenangkan anak kecil yang menangis tanpa sebab. Di puncak nanti, aku yakin aku akan berdiri tegak lalu menghadap langit yang luas, dan memejamkan mata dengan perlahan-lahan. Menikmati keindahan Sang Pencipta, mengucap kesyukuran atas segala yang telah berlaku.
Tetapi ketika dingin mula menusuk tulang, sebuah monolog lama muncul kembali. Monolog itu bagai duri dalam daging, barangkali ada satu perkara yang tidak sengaja telah aku lakukan atau lebih tepat tindakan yang dilihat sebagai khianat, mungkin. Langkahku semakin berat lalu dadaku mula berasa sempit tetapi bibir ini masih menguntum senyuman. Setiap akar yang menonjol dari tanah, mengingatkan aku pada niat asal. Nawaitu yang mahu menakluki bukit ini sepertimana aku pernah menakluknya sebelum ini. Namun, ada bayang jiwa yang cuba untuk mematahkan semangat.
“Puncak ini ialah titik permulaan buat segalanya.” Kulafazkan dengan lantang, namun suaraku tidak kedengaran oleh desiran angin dan dedaunan.
Kini, susuk tubuh aku berasa sesuatu yang ganjil. Semakin aku mendaki, bunyi burung yang galak berkicau dengan pantas membuat aku kurang selesa. Angin yang tadi menyapa mesra kini hilang sepertimana insan yang dahulu digelar sahabat kini musuh dalam selimut, udara turut berasa asing. Saat berasa janggal, aku cuba untuk mengatur nafas, tidak lama kemudian aku sedar bahawa kedua-dua kaki aku tidak benar menyentuh tanah. Rasa pijakan itu seperti hanyut, ringan dan tidak berpaut pada dunia. Lebih tepat, seakan aku tidak berpaksi.
Pandangan aku mula samar-samar. Tanganku cuba untuk mencapai pokok di kiri dan kanan yang berdiri tegak, tetapi kabus yang melilit batangnya semakin pekat, sehingga membentuk dinding putih.
Aku melangkah ke hadapan, namun langkah itu berasa seperti terapung, bukan berjalan. Degupan jantung turut laju, cuba untuk meyakinkan diri bahawa ini sebahagian kepenatanku mendaki. Bunyi desing memenuhi ruang pendengaran sehingga rasa kebas menakluki seluruh tubuhku. Dalam sekelip mata aku rebah dalam beberapa saat, tanah pula memelukku dengan erat. Di hujung kabus yang melilit, aku pejam mata perlahan-lahan. Tiada yang menemani saat aku rebah, hanya alam yang menjemput kehadiran aku saat aku lelah.
Tiba-tiba, terlihat sebuah katil putih, sunyi dan berselimutkan cahaya yang malap. Di atasnya, terkejur seorang wanita dengan wajah yang bukan asing, aku tergamam. Wajahnya ialah wajahku. Aku kelihatan begitu pucat atau lebih mudah, seiring dengan mayat. Pada saat itu, pandangan aku runtuh. Lalu aku sedar, aku tidak pernah menyelesaikan pendakian aku. Aku sedang baring atas katil hospital, lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah. Semua pendakian itu cuma monolog dalam kepala aku. Episod, memori dan ilusi yang dicipta itu hanyalah untuk mengelakkan aku daripada hakikat sebenar. Aku sendiri yang telah meragut nikmat serta kebebasan tubuhku.
Bau antiseptik meresap ke dalam paru-paru. Siling putih hospital dan bunyi mesin yang berirama perlahan menyelinap masuk ke pendengaranku. Rasa kebas telah menguasai tubuh walaupun aku sedaya upaya untuk bergerak. Air mata mengalir jatuh dengan rela. Dengan sekelip mata, kenangan itu kembali; langkah tergesa di lereng curam, batu licin selepas hujan, dan tubuhku terhempas ke tanah. Sakitnya begitu nyata sepertimana yang dirasai selama ini. Tetapi perit ini lebih menyakitkan kerana aku sedar aku tidak akan mendaki lagi demi ketenangan yang hendak dicari.
Suasana wad hospital begitu suram sehingga aku sendiri dapat merasakan roh-roh yang tidak tenang memanggil kala malam menjelma. Aku tidak takut malahan aku yakin saat aku mendaki sebelum ini, ada sahaja yang mengiringi aku. Andai aku tahu bagaimana untuk membuka mata batin, mungkin aku dapat berinteraksi dengan alam ghaib kerana realiti sudah terlalu sarat dengan keperitan.
Namun, nawaitu aku tetap terpahat dalam jiwa, aku tetap memilih untuk kembali ke bukit itu. Dalam diam, aku mendaki setiap hari, walaupun hanya di ruang yang tidak memerlukan pergerakan. Pertuturan aku ibarat angin, menyapa kabus, dan menunggu puncak yang tidak akan ditawan dengan nyata. Hakikatnya, aku telah tawan di realiti yang berbeza. Realiti di mana aku telah merawat segala kesakitan yang tertanam dalam jiwa.
‘Aku bebas, bebas daripada segala keperitan yang menghantui hidupku.’ Bisikku walau tiada yang mendengar.
Tetapi bebas ini telah meninggalkan kesan yang mendalam, aku sendiri tidak dapat mengalaminya kerana silap langkah yang telah aku lakukan di paksi yang sudah nyata. Tetapi kerana jiwa yang meronta aku kalah dalam menang. Bukit-bukit yang pernah kutawan hanyalah kenangan. Andai aku mampu untuk menikmati keindahan itu sekali lagi, aku akan menikmatinya dengan lebih lama. Leka bukanlah sekadar punca atau sekadar kesalahan dalam kehidupanku. Aku lebih rela mendaki berulang kali hanya untuk menghirup udara yang bersih.
Dengan adanya alam, aku lebih memahami definisi kehidupan. Adanya gunung-ganang, aku lebih mendalami buana hijau. Idea-idea yang hadir setiap kali aku berjaya menakluki bukit, menjadi bahan cerca buat insan-insan yang kini dilihat sebagai durjana.
Kesenanganku tidak dilihat sebagai perhiasan, kesenangan aku dilihat sebagai cabaran buat mereka. Jika aku berjaya mengumpul cerca yang menarik dan tepat buat mereka, sudah pasti mereka akan balas dengan senyuman yang sinis.
Tuhan dengar segala nawaitu aku, itu silap aku. Memasang niat yang hanya membawa padah. Lihatlah keadaan diriku, perbuatanku telah mengubah susur alur kehidupanku. Penyesalan yang tiada pangkal tetapi sampai bila? Persoalan ini hadir pada setiap hari, dengan siapakah lagi aku mahu menyalahkan? Puas aku memberikan jawapan pada persoalan yang menghantui buah fikiranku.
Kini, aku mahu ghaib menjemput aku, tapi dalam masa yang sama aku takut ghaib akan menakluki segalanya. Apabila ghaib menerima kehadiran aku, dengan sekelip mata semua memori yang aku puas lindungi akan dimakan lalu lesap daripada ingatan. Secara jelasnya, aku telah khianat nawaitu aku sendiri. Sakit ini bukan sebarang sakit dan aku memandangnya dengan mudah. Aku tidak peduli sepertimana yang sepatutnya. Engkau sebagai pembaca, sudah pasti mengutuk monolog yang aku berikan.
Bukan kerana kesilapan yang telah aku lakukan tetapi monolog ini ibarat cerca kepada aku sendiri kerana kedegilan aku yang mahu menawan puncak itu buat sekali lagi. Adakah aku tidak setuju dengan takdir yang telah aku ubah? Atau lebih tepat, aku tidak pernah tawan puncak itu atas amarah aku sendiri? Puas aku meneka, mencari, menggali setiap selok-belok sepanjang kehidupan aku. Angkuh sekali apabila mendengar rintihan aku, tiada ungkapan yang singkat buat latar fikiran aku selain mengatakan bahawa aku tidak pernah benar tulus dengan pendirian aku sendiri.
Jangan disoal mengapa, tetapi soallah bagaimana semua ini berlaku dengan sekelip mata. Penyakit yang hadir tanpa diduga kerana aku tidak fasih dengan pendirian aku sendiri. Sentiasa mengatakan bahawa masalah duniawi tidaklah begitu sukar dan menganggap itu sebagai remeh. Aku sering memperlekeh pendapat orang sekeliling dan mahu melihat aku di puncak kerana itulah aku.
Kehidupan aku ibarat parasit. Memilih rumah yang sesuai agar aku bertahan buat sementara. Kemudian, mencari rumah yang lain untuk meneruskan kehidupan. Kadangkala aku merasakan, hidup ini lebih menarik jika orang sekeliling mampu membaca apa yang berlegar-legar dalam mindaku. Parasit yang ada dalam pemikiran membantu aku untuk berdebat dengan lantang. Aku dapat memberikan hujah yang padat agar mereka tidak mampu untuk balas serta melihat aku sebagai insan yang telah berjaya menakluki puncak setiap fasa kehidupan.
Untuk menakluki puncak pada setiap fasa kehidupan, engkau harus melalui dahulu segala liku-likunya. Tiada jalan yang mudah untuk melepasi segala fasa yang bakal diharungi. Demikianlah paksi kehidupan, kerana mendalami segala idea yang berkait rapat pada pangkalnya seakan mengajar kita bahawa tiap langkah punya hikmahnya. Adakah engkau sebagai pembaca pernah melalui fasa ini? Fasa di mana engkau berasa alam tidak berpihak pada engkau? Kalau ada, aku hanya ingin ucap semoga maju jaya dan cubalah untuk memahami kitab alam serta berpaksi dengan yang nyata. Aku sajikan puisi buat engkau yang pernah mengalami situasi seperti aku,
Bayangannya seakan kembarku,
setiap kali kaki ini cuba untuk melangkah,
kehadirannya berasa hangat,
namun hala tuju tidak begitu jelas.
Pagar yang mula kukuh,
kini telah rapuh,
gelora ombak dikejari,
sepertimana diri ini pernah tawan gunung-ganang.
Kefasihan terhadap duniawi,
mula dicurahkan atas bumi nyata,
jiwa yang sering berkobar-kobar,
tidak berpaut pada paksi atas riwayat yang asing.
Kusangkakan bekalanku sudah cukup,
malangnya tubuh ini tidak berpaut pada paksi,
sehingga rangka tubuh mula retak,
kemudian batin meraung dalam diam.