DR.HASAN ialah seorang doktor bedah yang bekerja di sebuah hospital besar. Setiap pagi, sebelum matahari naik, beliau sudah bangun. Beliau akan menyarungkan stetoskop peraknya di leher, minum secawan kopi yang dibancuh oleh isterinya, kemudian memandu kereta lama ke hospital. Itulah rutinnya yang sama selama lima belas tahun.
Isteri Dr.Hasan, Syazwani ialah seorang wanita yang penyabar dan lembut hati. Dialah yang menjaga rumah dan membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang. Dr. Hasan dan isterinya mempunyai dua orang anak, satu anak lelaki dan satu anak perempuan. Anak lelaki mereka, Irwan, baru berusia tujuh belas tahun. Dia seorang yang tekun belajar dan bercita-cita tinggi untuk menjadi doktor seperti ayahnya. Anak perempuan mereka, Aleeya, berumur dua belas tahun. Dia seorang yang pendiam tetapi mempunyai bakat melukis yang luar biasa. Dinding biliknya penuh dengan gambar-gambar pemandangan, binatang, dan kadang-kadang potret ayahnya dengan stetoskop di leher.
Hidup mereka sederhana tetapi cukup. Walaupun Dr. Hasan bergaji lumayan sebagai seorang doktor bedah, namun mereka tidak hidup mewah. Mereka hanya menyewa sebuah rumah teres di kawasan yang selamat. Syazwani pula bijak dalam mengurus kewangan. Dia memastikan kebajikan dan pendidikan anak-anak sentiasa terjamin. Keluarga ini juga jarang bergaduh. Itulah potret bahagia mereka sebelum perang bermula.
Tiada seorang pun dalam keluarga ini menyangka bahawa hidup mereka akan berubah secara mendadak. Perang tidak datang dengan amaran. Ia datang seperti mimpi ngeri yang merentap tidur lena mereka pada tengah malam. Pada mulanya, berita tentang perang sekadar melintasi ruang tamu mereka lewat berita di televisyen. Tembakan di bandar lain, letupan di pasar, konvoi tentera bergerak ke utara…,” begitu butir-butir yang dilaporkan.
Saban pagi, Dr. Hasan akan menekuni helaian surat khabar sambil ditemani suara itu, lalu beliau akan menggelengkan kepala dalam kebisuan.
“Keadaan jadi semakin teruk,” kata beliau kepada Syazwani suatu petang.
Syazwani hanya mengangguk bisu sambil menyidai pakaian di ampaian. Dia tidak mahu berfikir terlalu jauh.
Namun tidak lama kemudian, bunyi tembakan mula memecah kesunyian di pinggir bandar. Pada mulanya hanya gema yang samar, kemudian semakin dekat.
Walaupun begitu, Dr. Hasan masih pergi ke hospital setiap hari. Beliau terpaksa bekerja lebih masa kerana hospital mula dipenuhi mangsa perang. Askar yang cedera, orang yang terperangkap dalam letupan, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa…
Beliau sering pulang lewat malam, kadang-kadang pada pukul dua atau tiga pagi. Beliau juga pernah tidak pulang selama dua hari berturut-turut. Syazwani cuba menelefon berkali-kali, tetapi sukar untuk berhubung kerana talian telefon kerap terputus.
“Mak, mana ayah? Kenapa tak balik rumah?” tanya Aleeya dengan suara yang tenggelam dalam kebimbangan.
“Ayah awak selamat, cuma sibuk di hospital sahaja,” kata Syazwani kepada Aleeya.
Irwan hanya mendiamkan diri. Dia sudah cukup dewasa untuk membaca kegelisahan di wajah ibunya.
Aleeya pula kekal diam sambil melukis tanpa henti.
Lukisan itu menjadi saksi lakaran sebuah hospital yang marak terbakar, berselimutkan asap hitam yang membubung ke dada langit. Bagaimanapun, lukisan itu kekal sebagai rahsia, tidak pernah ditunjukkan kepada sesiapa.
Hari yang menentukan itu tiba pada suatu petang. Dr. Hasan baru sahaja selesai membedah seorang pesakit apendiks apabila Dr. Rahim memanggil beliau ke pejabat.
“Hasan, duduk,” kata Dr. Rahim dengan wajah yang amat serius.
Dr. Hasan melabuhkan duduknya lalu memandang Rahim. “Ada apa, Rahim?”
“Kamu tahu keadaan di tapak kecemasan utara. Semalam mereka diserang. Tiga doktor bedah cedera, manakala seorang lagi terkorban. Kita kini benar-benar kekurangan kakitangan. Pihak atasan meminta kita menghantar sukarelawan, dan saya fikir… kamulah orang yang paling sesuai.”
Dr. Hasan terdiam seribu bahasa. Beliau sudah lima belas tahun berbakti di hospital ini, sudah berpuluh-puluh nyawa yang diselamatkannya. Namun, untuk pergi ke kawasan yang sedang dihujani bom, itu sebuah cerita yang jauh berbeza.
“Biar saya fikirkan dahulu,” jawab beliau sangat pendek.
Sepanjang perjalanan pulang, fikiran Dr. Hasan bercelaru hebat. Beliau memandu kereta lamanya perlahan-lahan. Di satu sisi, ada tanggungjawab yang menuntut sebagai seorang doktor. Di satu sisi yang lain, wajah Wani, Irwan, dan Aleeya mula menari-nari di ruang ingatan.
Sebaik sahaja sampai di rumah, Wani sedang sibuk memasak di dapur. Aroma kari ayam memenuhi ruang tamu, begitu mendamaikan. Irwan pula sedang tekun membaca buku di meja makan, manakala Aleeya ralit melukis di atas lantai.
“Ayah dah balik!” teriak Aleeya lalu berlari memeluk erat kaki Dr. Hasan.
Dr. Hasan mengusap lembut rambut Aleeya. Beliau tersenyum, namun senyuman itu langsung tidak mencecah ke matanya.
Selepas makan malam, apabila Irwan dan Aleeya sudah masuk ke dalam bilik, Dr. Hasan duduk di ruang tamu bersama Syazwani.
“Wani, aku ada sesuatu nak cakap,” kata beliau, nadanya rendah dan perlahan.
Syazwani yang sedang mengemas meja makan terus kaku. “Apa dia, Hasan?”
“Hospital kekurangan doktor bedah di tapak kecemasan utara. Saya diminta untuk pergi membantu di sana.”
Syazwani meletakkan pinggan di tangan. Jemarinya mula menggeletar halus.
“Utara? Itu kawasan konflik, Hasan! Setiap hari ada letupan di sana.”
“Aku tahu, Wani.”
“Kalau awak tahu, kenapa awak masih nak pergi?”
“Sebab aku seorang doktor. Di sana, ada ramai pesakit yang sedang bertarung nyawa memerlukan saya.”
Syazwani bingkas berdiri. Suaranya yang selama ini lembut mula meninggi.
“Pesakit di sini juga perlukan doktor, Hasan! Awak sudah cukup berkorban selama ini. Awak tahu tak, setiap kali awak keluar bekerja, aku menangis sendirian di dalam bilik? Aku takut gila kalau telefon berdering! Aku takut ada orang datang ketuk pintu rumah kita untuk hantar berita buruk. Awak faham tak kerisauan aku?”
Dr. Hasan menghela nafas panjang, cuba menahan gelora. “Ini tanggungjawab aku, Wani.”
“Tanggungjawab?” Wani hampir menjerit, matanya mula berkaca.
“Tanggungjawab awak sekarang adalah kepada keluarga awak! Irwan sedang menduduki peperiksaan penting. Aleeya masih kecil. Aku… aku tak boleh kehilangan kau, Hasan!”
Di sebalik pintu bilik, Irwan terdengar pertengkaran itu. Dia membuka pintu sedikit, memerhati dengan pandangan yang sarat kerisauan.
Dr. Hasan berdiri, tidak dapat lagi membendung sabar. Beliau turut meninggikan suara. “Awak mementingkan diri sendiri, Wani! Ada orang sedang mati di luar sana, dan awak cuma fikir tentang rasa takut awak sahaja?”
Syazwani terkedu. Air matanya gugur membasahi pipi. “Mementingkan diri? Sebab saya terlampau sayangkan awak… tetapi awak anggap saya mementingkan diri?”
Dr. Hasan memaling muka, tidak sanggup menatap remuk di wajah isterinya. Beliau tidak menjawab, sebaliknya terus berlalu masuk ke dalam bilik tidur. Pintu ditutup perlahan, namun gema sepinya cukup kuat untuk menterjemahkan rasa amarah.
Syazwani terduduk di kerusi ruang tamu, menangis dalam esakan tanpa bunyi.
Aleeya keluar dari biliknya perlahan-lahan, lalu memeluk erat tubuh ibunya.
“Ibu jangan nangis…” bisik Alya sambil mengesat air mata ibunya.
“Ibu tak apa-apa, sayang.” Syazwani mengusap rambut Aleeya, cuba mengumpul sisa kekuatan.
Malam itu, tiada sesiapa pun di dalam rumah itu yang dapat tidur dengan lena. Dr. Hasan termenung di birai katil, merenung kata-katanya sendiri. Apabila marahnya mula reda, yang tersisa hanyalah rasa bersalah yang mencengkam dada. Beliau tahu Wani tidak mementingkan diri; beliau tahu isterinya hanya diselimuti ketakutan. Namun, kata-kata yang tajam sudah pun terlajak dari bibir.
Kira-kira pukul dua pagi, Dr. Hasan keluar dari bilik tidur. Kelihatan Wani masih kaku di ruang tamu, memeluk bantal dalam kegelapan.
“Wani…” panggil beliau, teramat perlahan.
Hanya sepi yang membalas.
“Maafkan saya, Wani…” kata Dr. Hasan, melangkah mendekat. “Aku tak sepatutnya lepaskan marah pada awak. Aku tahu awak cuma sayangkan aku.”
Wani mengangkat wajah. Mata Wani sudah bengkak kerana menangis. “Aku takut, Hasan. Setiap kali kau keluar dari rumah ini, aku selalu terfikir… mungkinkah itu kali terakhir aku dapat tengok awak?”
Dr. Hasan duduk di sebelah isterinya. “Aku tahu. Tapi aku tetap kena pergi. Aku janji, aku akan hati-hati. Aku janji… aku akan balik.”
Wani terus merebahkan diri ke dalam pelukan suaminya. “Janji?”
“Janji.”
Mereka diam sekejap, melayan rasa sedih yang semakin mencengkam.
Kemudian, Wani memecah sunyi dengan suara yang paling pasrah, “Aku reda, Hasan. Tapi tolong… jaga diri awak baik-baik.”
Keesokan paginya, sebelum subuh lagi, Dr. Hasan sudah bersiap. Wani turut bangun. Dia membancuh secawan kopi dan menghulurkannya tanpa berkata apa-apa.
“Bawa bekal ni,” kata Wani sambil menyelitkan bungkusan kecil ke dalam beg suaminya.
Aleeya masih tidur, manakala Irwan keluar dari bilik.
“Ayah, hati-hati,” katanya ringkas.
Dr. Hasan mengangguk. “Doakan ayah.”
Di muka pintu, Syazwani memegang tangan suaminya. “Ingat janji awak.”
Dr. Hasan mengangguk. “Jangan risau. Saya ingat.”
Beliau melangkah keluar. Syazwani berdiri di muka pintu, memandang kereta itu bergerak meninggalkan lorong sehingga hilang dari pandangan.
Tiada sesiapa pun tahu bahawa itulah kali terakhir langkah itu kelihatan sempurna, sebelum perang datang dan memusnahkan segalanya.
Dalam perjalanan ke tapak kecemasan, ambulans yang dinaiki Dr. Hasan melalui kawasan berbukit. Tiba-tiba, kedengaran letupan kuat berturut-turut. Pemandu ambulans cuba membawa kenderaan ke tepi jalan, tetapi sudah terlambat. Serpihan letupan pertama menembusi bahagian belakang ambulans. Dr. Hasan terhumban ke dinding kenderaan. Beliau merasakan sesuatu yang panas dan tajam mencucuk kaki kirinya, sebelum segalanya menjadi gelap.
Apabila sedar, beliau sudah terbaring di atas meja beda, tetapi bukan sebagai doktor, melainkan sebagai pesakit. Lampu di atas siling menyilaukan mata, manakala rakan-rakan setugas sedang berusaha menyelamatkan kakinya.
“Bertenang, Hasan,” kata Dr. Rahim, rakan baiknya. “Kami akan selamatkan kaki kamu.”
Namun, Dr. Hasan langsung tidak dapat merasakan kaki kirinya lagi.
Beberapa jam kemudian, Dr. Rahim datang ke sisi katil dengan wajah yang letih dan sayu.
Dr. Hasan segera bertanya, “Kaki aku? Aku boleh membedah lagi?”
Dr. Rahim menarik nafas panjang. “Nasib baik kaki kamu terselamat, tidak perlu dipotong, tetapi…” Dia teragak-agak. “Cuma kamu tidak boleh berdiri lama. Mungkin hanya sepuluh atau lima belas minit, selepas itu sakitnya tidak tertanggung. Maafkan aku, Hasan.”
Dr. Hasan memejamkan mata. Air matanya mengalir tanpa sebarang suara. Seorang pakar bedah yang tidak boleh berdiri lama. Keadaan itu tidak ubah seperti memberitahu seorang nelayan bahawa dia tidak boleh lagi menyentuh air.
Dua minggu kemudian, Dr. Hasan dibenarkan pulang ke rumah. Beliau memerlukan tongkat untuk berjalan. Kaki kirinya dibalut dengan tebal. Sebaik melihat suaminya keluar dari kereta.
Syazwani tidak dapat menahan tangis lagi. Irwan dan Aleeya terus berlari lalu memeluk erat ayah mereka.
“Ayah, ayah!” teriak Aleeya sambil memeluk pinggang Dr. Hasan.
Dr. Hasan mengusap rambut Aleeya. “Ayah tak apa,” katanya. Suaranya berat tetapi terpaksa tenang.
Irwan tidak berkata apa-apa. Dia sekadar memapah ayahnya masuk ke dalam rumah. Di sebalik sinar matanya yang pudar, ada benci yang mendalam terhadap peperangan yang merampas segala-galanya.
Selepas beberapa minggu, Dr. Hasan cuba untuk kembali bekerja. Pihak hospital memindahkannya ke jabatan pentadbiran. Beliau sekarang mengisi borang dan menaip laporan di pejabat yang sempit, jauh dari bilik bedah yang selama lima belas tahun menjadi tempatnya bekerja. Suatu pagi, Dr. Rahim datang menemuinya.
“Hasan, hari ini ada pembedahan. Sukarelawan dari luar negara datang. Mereka perlukan doktor tempatan untuk memerhati. Kamu mahu datang?” tanya Dr. Rahim dengan berhati-hati.
“Ya, saya mahu. Tolong bantu saya berdiri di sebelah meja,” jawab Dr. Hasan.
Dr. Rahim memimpin Dr. Hasan masuk ke bilik bedah.
Sebaik berdiri di hadapan meja bedah, jantungnya berdegup kencang. Suasana di situ masih sama – lampu, alatan pembedahan, dan bau disinfektan yang tajam. Dr. Hasan memandang pesakit yang sudah dibius, teringat kembali ribuan nyawa yang pernah dibantunya sebelum ini.
Namun, tidak sampai sepuluh minit, kaki kirinya mula diserang sakit yang amat sangat. Ibarat beribu jarum halus menusuk daging dan tulang. Dr. Hasan menggigit bibir, manakala tangannya yang memegang alat bedah mula menggeletar.
“Hasan?” panggil Dr. Rahim dengan risau.
“Saya… saya tak boleh,” kata Dr. Hasan. Keringat sejuk membasahi dahinya.
Dr. Rahim segera menyuruh jururawat membawa kerusi. Dr. Hasan terduduk dengan berat. Beliau menundukkan muka, tidak sanggup melihat meja bedah lagi. Dr. Rahim memegang bahunya.
“Tidak apa, Hasan. Kamu sudah cuba,” kata Dr. Rahim.
Dr. Hasan tidak menjawab. Dalam hati, beliau tahu kerjayanya sebagai pakar bedah sudah berakhir.
Beberapa bulan kemudian, pihak hospital mengeluarkan surat pengurangan jawatan akibat kekangan kewangan perang. Dr. Hasan tidak membantah. Beliau sedar, seorang doktor bedah yang tidak boleh berdiri lama kini tidak lagi berguna. Beliau hanya menerima pampasan yang sedikit, cukup untuk beberapa bulan sahaja.
Lama-kelamaan, duit mereka semakin habis. Wang simpanan yang ada berkurang dengan cepat. Syazwani terpaksa berjimat cermat. Irwan pula tidak lagi bercakap tentang impiannya untuk menjadi doktor. Dia sendiri memberitahu ibunya mahu berhenti kelas tuisyen.
“Ibu, biarlah,” kata Irwan suatu petang dengan tegas. “Saya mahu cari kerja sahaja untuk tolong ibu dan ayah.”
Syazwani menangis mendengarnya. “Jangan, Irwan. Ayah awak mahu kamu jadi doktor.”
Irwan hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu membebankan keluarga.
Aleeya juga tidak lagi pergi ke kelas lukisan.
Demi kelangsungan hidup, Syazwani terpaksa bekerja di sebuah gudang bantuan makanan. Tangannya yang dahulu halus, kini menjadi kasar dan luka. Pada waktu malam, dia hanya menyapu ubat murah untuk menahan sakit.
Dr. Hasan tidak tahu perkara itu pada mulanya. Apabila mendapat tahu, beliau terdiam lama.
“Aku yang patut cari pekerjaan, bukan awak,” kata Dr. Hasan.
Syazwani menjawab lembut, “Kita suami isteri. Susah senang bersama.”
Dr. Hasan memejamkan mata dan menahan rasa bersalah. Akibat perang yang kian terdesak, mereka terpaksa berpindah ke sebuah rumah kecil di pinggir bandar. Kawasan itu jauh lebih ringkas dan daif, tetapi sewa bulannya jauh lebih murah. Tidak banyak yang dibawa selain keperluan asas, buku-buku Irwan, dan alatan lukisan Aleeya. Ketika menyusun barang, Dr. Hasan teragak-agak untuk membawa stetoskopnya.
“Nak bawa tak?” tanya Syazwani.
Dr. Hasan mengangguk. Di rumah baharu itu, stetoskop tersebut digantung semula di belakang pintu. Namun, beliau tidak pernah menyentuhnya. Setiap kali lalu, beliau hanya memandangnya sekilas, kemudian mengalihkan muka dengan rasa hiba.
Di kawasan pinggir bandar itu, keadaan agak selamat kerana jauh dari pusat bandar yang menjadi medan perang. Namun, kawasan ini menjadi tempat tumpuan pelarian yang miskin. Jalan-jalannya sempit dan tidak berturap. Apabila hujan, lorong akan dipenuhi lumpur. Kanak-kanak bermain tanpa kasut di tepi longkang. Sebuah klinik lama terletak betul-betul di sebelah rumah mereka, tetapi pintu besinya sudah berkarat dan berkunci. Doktor yang bertugas di situ telah melarikan diri sejak awal peperangan lagi. Dr. Hasan sering duduk di muka pintu, memerhatikan jiran-jiran yang lalu-lalang. Kebanyakan mereka miskin. Mereka tidak mampu untuk pergi ke hospital pusat bandar yang berbahaya. Jika sakit, mereka cuma membeli ubat di kedai runcit atau menggunakan ubat tradisional.
Pada suatu petang, seorang nenek bernama Cynthia menghampiri rumah mereka. Dia mendukung seorang budak lelaki berusia sekitar empat tahun. Muka budak itu merah padam, matanya sayu, dan badannya terasa sangat panas.
“Doktor Hasan?” panggil Cynthia ragu-ragu.
“Ya?” jawab Dr. Hasan.
“Saya dengar daripada jiran kata awak seorang doktor. Cucu saya, Faiz, sudah demam tiga hari. Kami sudah cuba ubat tradisional tetapi tidak berkesan. Saya takut mahu ke hospital yang jauh dan berbahaya. Tolonglah, doktor.”
Dr. Hasan teragak-agak. Sudah lama beliau tidak merawat pesakit. Namun, melihat wajah budak itu, rasa tanggungjawab sebagai doktor tiba-tiba menyala semula.
“Tunggu sekejap,” kata Dr. Hasan.
Beliau bangun perlahan-lahan, melangkah masuk ke bilik tidur. Beliau mengambil stetoskopnya yang tergantung di belakang pintu, lalu kembali ke depan.
“Baringkan budak ini di atas tikar,” arah beliau.
Cynthia meletakkan cucunya di atas tikar pandan yang lusuh. Dr. Hasan membongkok dengan susah payah kerana kakinya yang sakit. Beliau mula memeriksa keadaan budak itu dengan teliti.
Setelah selesai memeriksa, Dr. Hasan menulis beberapa baris nasihat dan jenis ubat yang boleh dibeli di kedai runcit berhampiran, berserta cara penggunaannya yang betul. Beliau menghulurkan kertas itu kepada Cynthia.
“Nak bayar berapa ya, doktor?” tanya Cynthia.
Dr. Hasan menggeleng. “Tak payah bayar. Bawa ubat ini dan jaga cucu awak baik-baik.”
Mata Cynthia berkaca. “Terima kasih sangat, doktor.”
Dua hari kemudian, Cynthia datang lagi dengan wajah berseri-seri. Kali ini, dia membawa sedikit ubi rebus sebagai tanda terima kasih.
“Cucu saya sudah semakin baik, doktor! Demamnya sudah turun semalam dan dia sudah mula mahu makan,” kata Cynthia gembira.
Dr. Hasan mengukir senyuman kecil. “Syukur.”
Sejak hari itu, Cynthia mula bercerita kepada jiran-jiran lain tentang kebaikan Dr. Hasan. “Doktor Hasan itu sangat baik. Dia tidak minta bayaran langsung, malah tahu cara merawat dengan betul.”
Berita itu tersebar dengan cepat. Dalam masa seminggu, beberapa orang jiran sudah mula beratur di depan rumah Dr. Hasan. Walaupun beliau seorang doktor bedah, namun beliau masih ingat cara rawatan biasa untuk membantu mereka. Antaranya termasuklah kanak-kanak yang batuk, orang dewasa yang sakit kepala, dan mereka yang mengalami luka atau sakit sendi.
Dr. Hasan mula membuka “klinik” di tangga rumahnya setiap petang. Beliau hanya duduk di atas kerusi plastik dan menggunakan sebuah kotak kadbod sebagai meja. Beliau tidak mengenakan sebarang bayaran wang, tetapi jiran-jiran sering membawa sedikit sayur, telur atau makanan sebagai tanda terima kasih. Pesakit cuma perlu membeli ubat sendiri di kedai runcit dengan nota yang diberikan.
Syazwani melihat suaminya kembali bersemangat. Di wajah Dr. Hasan, ada sinar yang sudah lama hilang sejak kemalangan itu. Syazwani menghidangkan air panas kepada pesakit yang menunggu giliran. Mereka tidak ramai, lima atau enam orang setiap petang, tetapi itu sudah cukup untuk membuat Dr. Hasan berasa dirinya berguna semula.
Irwan pada mulanya segan untuk terlibat. Dia hanya duduk di dalam rumah sambil mendengar suara ayahnya bercakap dengan pesakit di luar. Pada suatu petang, dia keluar dan berdiri di pintu. Dia memerhati ayahnya memeriksa seorang kanak-kanak perempuan yang demam. Dr. Hasan menggunakan stetoskop itu dengan teliti dan penuh sabar, walaupun kakinya jelas berasa sakit.
Irwan menghampiri ayahnya. “Ayah, biar saya tolong catat nama pesakit dan ubat,” katanya.
Dr. Hasan memandang anaknya, lalu mengangguk dengan senyuman. “Terimakasih, Irwan.”
Sejak hari itu, Irwan mula bertugas sebagai pembantu. Dia membawa sebuah buku nota kosong dan mencatat setiap pesakit: nama, umur, dan ubat yang diberikan.
Aleeya pula membantu dengan caranya sendiri. Dia membawa kotak pensel warnanya ke luar rumah. Dia duduk di tepi dinding klinik lama yang sudah ditutup itu, lalu mula melukis. Dia melukis seorang lelaki bersenyum dengan stetoskop di leher. Di bawah lukisan itu, Aleeya menulis dengan huruf besar:
“AYAH SAYA DOKTOR.”
Syazwani melihat lukisan itu. Air matanya mengalir, tetapi dia cepat-cepat mengesatnya kerana tidak mahu anak-anak melihatnya menangis. Namun di dalam hati, dia bersyukur kerana mereka masih bersama.
Beberapa minggu kemudian, seorang pemuda berkaca mata bernama Amir datang ke rumah mereka. Dia merupakan wakil daripada sebuah kumpulan sukarelawan yang kecil.
“Selamat petang, Kumpulan kami sedang mengagihkan bantuan makanan di kawasan ini, lalu kami terdengar tentang klinik kecil yang dikendalikan oleh Dr. Hasan di sini.”
“Ya, saya hanya menolong jiran-jiran yang sakit,” kata Dr. Hasan.
“Kami ingin membantu, kami ada stok ubat-ubatan asas. Kami boleh berikan sedikit setiap minggu secara percuma, asalkan Dr. Hasan tolong catatkan penggunaan ubat tersebut.”
Dr. Hasan tidak menyangka rezeki akan datang. “Boleh, saya terima dengan penuh kesyukuran,” kata beliau.
Klinik kecil di tangga rumah itu kini mempunyai bekalan ubat yang lebih lengkap. Pesakit tidak perlu lagi membeli ubat sendiri sekiranya tidak mampu.
Tidak lama kemudian, pemilik bangunan klinik lama di sebelah rumah bernama Encik Adam datang menemui Dr. Hasan.
“Doktor, saya dengar ramai orang memuji awak,” kata Encik Adam. “Saya ada klinik lama itu, sudah bertahun-tahun tidak digunakan. Daripada awak duduk di tangga rumah, lebih baik guna klinik itu. Tidak perlu bayar sewa, asalkan awak teruskan kerja baik ini.”
Dr. Hasan berterima kasih dengan penuh gembira. Sekarang, klinik itu sudah mempunyai bumbung, dinding, pintu, dan tingkap. Terdapat dua buah bangku panjang untuk pesakit menunggu serta sebuah meja kayu yang kukuh. Syazwani membawa selimut lama untuk melapik bangku, manakala Aleeya melukis lebih banyak gambar bunga, matahari, dan seorang doktor pada dinding klinik.
Setiap petang, Syazwani akan menyediakan air panas atau teh untuk pesakit yang sedang menunggu giliran. Pesakit-pesakit yang kebanyakannya terdiri daripada ibu, kanak-kanak, dan warga emas akan duduk di bangku sambil berbual-bual.
Di situ, mereka bukan sahaja mendapatkan rawatan, tetapi juga menemui ketenangan.
Dalam peperangan ini, klinik kecil ini telah menjadi tempat perlindungan yang sangat penting bagi mangsa dalam peperangan ini. Sepanjang tempoh yang sukar ini, Dr. Hasan merawat setiap pesakit tanpa penat, manakala Irwan setia membantu di sisinya. Pengalaman melihat penderitaan orang ramai dan keikhlasan ayahnya telah mematangkan Irwan. Beliau benar-benar faham makna sebenar menjadi seorang doktor yang berjiwa kemanusiaan.
Akhirnya, peperangan yang panjang itu tamat. Namun, Irwan tidak pernah melupakan impiannya. Walaupun usianya sudah melebihi 20 tahun, dia bekerja keras sebagai buruh kasar pada waktu siang untuk menyara keluarga dan mengumpul wang yuran universiti. Pada waktu malam, di meja dapur yang kecil, dia membuka buku rujukan sains terpakai. Dr. Hasan akan duduk di sebelahnya, mengajar konsep biologi dan perubatan asas. Beliau tidak dapat berdiri sebagai pakar bedah lagi, tetapi beliau masih mampu menjadi guru terbaik untuk anaknya.
Bulan berganti bulan, tibalah hari peperiksaan khas untuk kemasukan ke universiti yang dinantikan. Irwan bangun awal dan memakai pakaian yang paling kemas. Sebelum keluar, dia mencium tangan ayah dan ibunya.
“Berdoalah untuk saya,” katanya.
“Kami sentiasa berdoa,” jawab Syazwani.
Dr. Hasan meletakkan tangan di kepala anaknya. “Buat yang terbaik, Irwan. Apa pun hasilnya, kami bangga dengan awak.”
Tiga minggu yang penuh debaran berlalu. Pada suatu petang, ketika Dr. Hasan sedang merawat seorang pesakit di klinik, Irwan berlari masuk dengan muka yang sangat teruja sambil memegang sehelai kertas.
“Ayah! Ibu! Aleeya!” jeritnya. “Saya lulus! Saya dapat masuk universiti dah!”
Dr. Hasan terpaku sebentar, kemudian perlahan-lahan berdiri dari kerusinya. Kakinya sakit, tetapi beliau tidak mempedulikannya lagi. Beliau memeluk Irwan erat-erat. Syazwani dan Aleeya turut menangis kegembiraan. Klinik kecil itu dipenuhi dengan tangisan bahagia.
Pada keesokan harinya, Dr. Hasan membuka klinik seperti biasa. Kehidupan baharu keluarga itu telah bermula. Irwan kini bersedia untuk mendaftar masuk ke universiti bagi memulakan pengajian perubatan. Aleeya pula telah kembali ke sekolah untuk menyambung pelajarannya yang tertunda akibat perang. Walaupun Aleeya belum tamat sekolah, dia sudah menemui impiannya sendiri. Dia ingin menjadi seorang pelukis, seperti gambar-gambar indah yang sering dilukisnya pada dinding klinik lama itu.
Pesakit datang silih berganti. Dr. Hasan merawat semua pesakit dengan senyuman sehingga pesakit terakhir pulang. Beliau memandang ke luar jendela, beberapa orang kanak-kanak sedang menyepak bola, seorang nenek tersenyum sambil mengangkat jemuran, dan seorang bapa sedang memimpin tangan anaknya pulang dari kedai roti. Semuanya kembali menikmati indahnya sebuah kehidupan yang damai.
Dr. Hasan menghela nafas lega. Dalam hatinya, beliau berkata, “Walaupun perang telah merampas banyak perkara dalam hidupku, ia tidak merampas maruahku, ilmuku, dan kecintaanku terhadap kerjaya ini. Perang boleh memusnahkan bilik pembedahanku, tetapi tidak boleh merampas naluriku sebagai seorang doktor. Aku tidak pernah menyesal dengan setiap keputusan yang kuambil. Degupan jantung yang aku rebut dari maut bermati-matian, kini terus berdegup dengan tabah di bumi ini. Selagi dua tanganku masih dapat merasai kehangatan, misiku masih jauh dari selesai.”
Beliau membetulkan stetoskop yang tergantung di lehernya, tersenyum sendirian, dan menunggu pesakit seterusnya membuka pintu.
