NAMA penuhku Adler Gabriele 13 Autimatic. Dimiliki secara hakiki oleh seorang pemikir dan pejuang seni. Aku bangga kerana sentiasa ditemani Pak Tua. Aku selalu menjadi bahan perbualan setiap kali bertemu rakan seperjuangannya. Jika ideanya datang secara tiba-tiba tanpa mengira waktu; siang malam pagi atau petang akulah sebagai teman setianya.
Aku masih ingat, sewaktu aku digunakan untuk menggarap ilham murninya; secara tiba-tiba bekalan elektrik di rumah Pak Tua terputus. Kelam-kabut Pak Tua mencari lilin sebagai pengganti penyuluh kegelapan malam bagi meneruskan hajatnya menggarap ilham. Aku sekadar menanti dan melihat apakah tindakan selanjutnya yang Pak Tua akan lakukan dalam situasi meresahkan pada ketika itu? Adakah Pak Tua akan berhenti mengetik punat ditubuhku atau meneruskan rencananya pada malam itu? Ternyata bekalan elektrik terpadam tidak mematikan semangatnya untuk meneruskan usahanya. Sebaik-baik sahaja lilin sebatang dihidupkan, tugasannya boleh diteruskan, Pak Tua tidak membuang masa dan terus menyantuni aku. Kelincahan jari-jemarinya memicit punat yang ada pada badanku, tanpa henti sehinggalah menjelang solat subuh. Tahap kebanggaanku bukan kepalang!
Aku faham sangat perangainya, ada ketikanya Pak Tua perlu menyegerakan tugasan menyiapkan ilham murninya yang akhirnya menghasilkan sebuah manuskrip novel, sebuah cerpen, sebuah puisi, sebuah drama radio, kajian sastera dan sejarah serta termasuklah penyediaan minit mesyuarat komuniti yang dianggotainya. Semuanya ditangani dengan tekun dan dengan semangat yang tinggi. Luar biasa sekali. Dan, aku setia berpenat lelah di sisinya.
Oleh sebab Pak Tua sangat menghargai jasaku, maka aku diletakkan di atas meja khas dan disediakan sebuah kerusi ditempah khas di dalam sebuah bilik yang sentiasa berkunci 24 jam. Tiada sesiapa pun termasuk anggota keluarganya dibenarkan masuk ke bilik itu.
Tiada sesiapa dibenarkan mengusik atau mengalihkan bahan berkaitan tugasan yang sedang disiapkannya. Semua penghuni dilarang memindahkan walaupun hanya kepingan kertas bercoret tangan. Semua bahan tersebut amatlah penting, yang menjadi media sementara luahan idea Pak Tua sebelum dituntaskan menjadi sebuah manuskrip.
Sesungguhnya, bilik khas itu dipenuhi dengan deretan buku rujukan yang disusun rapi dalam sebuah gerobok berkaca. Aku dapat melihat di dalam gerobok yang terletak bersebelahan dengan mejaku, ruang yang sendat dipenuhi dengan plak cenderahati, sijil dan anugerah yang menjadi bukti penglibatan Pak Tua sebagai penggerak seni, budaya dan warisan di daerahnya yang sepi dan negerinya yang makmur. Itulah kebanggaan Pak Tua dan juga aku!
Walaupun begitu, aku belum melihat sesiapa pun dalam kalangan ahli politik, ahli akademik, organisasi bukan kerajaan atau pejuang karya seni termasuklah pemberita yang sudi berkunjung ke rumah Pak Tua membuat liputan khusus mengenai biografi atau liputan berkaitan ketokohannya, nilai kegigihan sebagai seorang pejuang bahasa, sastera, seni budaya dan warisan bangsa di negeri bertuah ini. Aku juga tertanya-tanya dan bertambah hairan kerana belum ada lagi pengarang atau pelapis dalam bidang penulisan yang bersedia atau tergerak hati untuk berguru dengan Pak Tua. Adakah usahanya selama ini tidak diakui oleh badan tertentu? Adakah pencapaian yang diperolehnya belum cukup membuktikan kehebatannya dalam bidang yang ditekuninya?
Aku tahu, bahawa kebolehan dan tahap pencapaian Pak Tua yang ada pada hari ini bukan mudah diperolehnya. Pak Tua gigih mengikuti kursus atau bengkel penulisan untuk memantapkan ilmu pengetahuannya. Karyanya banyak dihasilkan berbekalkan pengalaman dan pengetahuan dalam kerjaya yang ditekuninya dan sangat rajin membuat kajian lapangan secara bersendirian demi mengumpulkan maklumat yang benar dan tepat daripada badan yang berautoriti. Semua dilakukan demi kepuasan pembaca yang menikmati karyanya. Namun, kemampuannya malah tidak diakui oleh mereka yang wajar memberikan pengiktirafan. Pelik bukan? Adakah usaha seorang tua yang gigih ini tidak mempunyai nilai apa-apa di mata mereka? Bukankah itu tersangat kejam?
Sehubungan dengan itu, tahap pengalaman dan pencapaian Pak Tua sehingga kini, bukan satu gerak kerja yang mudah. Tidak semua orang sanggup melaluinya kerana pada waktu itu serba kekurangan dan tidak seperti yang dinikmati oleh pengarang zaman serba canggih pada masa kini. Era penggunaan TikTok, WhatsApp, Google dan pelbagai kaedah penyaluran maklumat dan saluran media komunikasi yang boleh dicapai melalui hujung jari dan sangat berbeza pada 20 tahun lampau, semuanya memerlukan kekuatan mental dan fizikal melaksanakan penyelidikan di perpustakaan, menemu bual individu yang mempunyai ilmu dan kepakaran serta terlibat dalam kehidupan responden demi mengumpulkan maklumat yang benar dan tepat.
Namun begitu, pada hari ini nilai-nilai budaya, kesantunan berbahasa dan usaha memelihara serta memulihara nilai-nilai bahasa dan unsur budaya bagaikan semakin terhindar tanpa dipedulikan. Apa tidaknya, generasi hari ini ketika berkomunikasi dengan orang yang lebih berusia menggunakan bahasa rojak dan kasar tanpa rasa bersalah! Tiada lagi penggunaan kalimah yang sopan serta bercirikan ketimuran yang didukung oleh nenek moyang kita. Mengapa semua ajaran itu menghilang? Di manakah silapnya?
Aku sekarang sedar diri, sekadar menjadi barangan lusuh yang layaknya disimpan sebagai kenangan dan bahan tontonan semata-mata. Itu pun kalau ada yang berminat untuk melihatnya. Aku juga memiliki perasaan halus yang mahu dibelai dan dikasihi serta digunakan untuk memberikan manfaat kepada manusia sejagat. Aku mahu dihargai dan dijaga dengan sepenuh hati dan diperkenalkan sebagai bahan yang pernah berjasa kepada Pak Tua kepada generasi pewarisnya. Namun demikian, itu semua sudah dilupakan dan aku hanya sekadar mampu berdiam!
Lamunanku tergugat. Secara tiba-tiba kunci pintu gerobok berkaca yang menjadi tempatku beristirahat dibuka secara tergesa-gesa. Satu demi satu barangan lama yang tersimpan rapi bersama-samaku lebih dua dekad dikeluarkan dan disumbatkan ke dalam bekas plastik yang besar. Aku sekadar mampu merenung sayu apabila parang pusaka, pinggan kenangan, alatan merejam ikan, buku tulisan tangan, album kenangan dan jam antik yang berusia puluhan tahun akan beralih tangan penjagaannya. Entah mahu dipulihara, disimpan atau dileburkan, aku pun tidak dapat membuat sebarang ramalan.
Hatiku lega ketika ini. Hanya aku dan sebilah keris pusaka yang masih belum dimasukkan ke dalam plastik yang besar di sebelah gerobok berkaca.
Aku dan keris masih kekal teguh berdiri di tempat asal kami disimpan. Sementara barangan yang lain, satu per satu dipunggah dan dicampakkan ke dalam bekas plastik yang telah pun diletakkan di luar rumah setelah plastik itu penuh.
Gerobok berkaca kelihatan kosong sekelip mata. Aku meraung bertujuan menagih perhatian, namun tiada sesiapa yang mengendahkan rayuanku. Kelihatan sebuah van dan sebuah lori kecil berbumbung tercegat di halaman rumah membuatkan kami semua panik dan diam seribu bahasa. Masa kami sudah hampir!
Aku bertambah cemas. Enjin kenderaan tidak dimatikan sejak tadi. Pemandu pantas membantu kerja pemunggahan barang. Aku merintih lagi tetapi anak Pak Tua bagaikan dirasuk histeria; tergesa-gesa menyegerakan kerja pemunggahan. Aku berdoa agar Pak Tua cepat pulang dan dapat membuat perhitungan serta menyelesaikan kekeliruan ini dengan baik. Hal ini bukan untuk kepentingan diriku sahaja tetapi ini demi kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan barangan lusuh yang mempunyai nilai seni dan artistik serta estetika yang berharga kepada bangsa dan negara.
Mengapakah kami perlu dilayan sebegitu rupa? Untuk tujuan apa barangan tersimpan begitu lama perlu bertukar milik? Di manakah akan diletakkan? Disimpan atau dilupuskan? Riwayat kami bakal tamat! Gelap!
Kedengaran bunyi enjin sebuah kenderaan yang dimatikan secara tiba-tiba sebaik-baik sahaja tiba di perkarangan rumah. Gaya menutup pintu kereta aku tahu pemiliknya sedang marah dan tidak dapat mengawal emosinya. Kelihatan Pak Tua meluru masuk ke dalam ruang tetamu.
Aku terdengar suara pertengkaran di ruang tamu antara pemilik van dan lori berbumbung dengan Pak Tua dan anak lelakinya. Pertengkaran semakin sengit sebaik-baik sahaja aku yang sejak tadi diam di tempat istirahat setelah sekian lama diangkat dan diserahkan kepada pemilik lori berbumbung.
Aku tidak terdaya menyampuk apatah lagi merayu agar tidak bertukar tangan. tubuhku mulai longlai. Aku benar-benar putus asa! Aku hanya mampu mendengar dialog pertelingkahan mereka.
“Siapa yang memandai-mandai suruh kamu ambil barang-barang koleksi di gerobok berkaca ini ?’’ bentak Pak Tua sambil menuding jari ke arah pemandu kenderaan.
Anak Pak Tua yang suruh kami ambil. Kami datang hendak beli dan bukan mengambil secara percuma,” kata pemilik lori tidak berpuas hati.
“Pulangkan semua barangan ini ke tempat asalnya. Jangan tertinggal walaupun satu barang pun. Ini bukan besi buruk atau barangan bekas yang dijual secara borong!” marah Pak Tua. Nafasnya turun naik menahan amarah.
“Tetapi saya sudah membayar semuanya Pak Tua; harganya juga bukannya murah!”
Pak Tua memberi masa 15 minit dari sekarang atau polis akan datang tangkap kamu berdua? Demikian ugutan Pak Tua sebelum mengambil Aku daripada tangan pemandu lori berbumbung.
Aku diserahkan semula kepada Pak Tua. Malahan, Pak Tua sendiri mengusapku berulang kali lantas meletakkan aku ke tempat asal dan beristirahat.
Aku terus memerhatikan episod pertelingkahan dengan penuh terharu. Wang bayaran yang baru diserahkan tadi bertukar tangan semula. Pak Tua bercakap secara sopan menggambarkan ketulusan hatinya, seterusnya meminta jasa baik pemilik kenderaan yang datang tanpa diundang meninggalkan rumahnya secara baik.
Berjela-jela bebelan yang berupa nasihat disampaikan oleh kepada anak lelakinya yang hanya pulang ke kampung dua kali setahun ketika menjelangnya Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Sesekali nada Pak Tua terdengar tinggi dan akhirnya suara itu terdengar perlahan dan nadanya tersembunyi perasaan hiba.
Pak Tua tidak mampu membendung perasaan hiba lantas mengelap air mata yang tiba-tiba meleleh dari kelopak matanya dengan hujung lengan bajunya. Pak Tua tidak dapat menahan perasaan kecewanya. Air mata tidak dapat dibendung dan semakin laju mengalir. Pak Tua mengelapnya berulang kali. Tubuhnya bergetar menahan esak tangis. Pak Tua berdiam kira-kira 15 minit. Pak Tua cuba mengawal emosinya. Hati Pak Tua benar-benar hancur. Pak Tua duduk di kerusi melayan perasaan kecewanya lantaran tindak-tanduk anak lelakinya yang bertindak begitu rupa hanya kerana memikirkan keuntungan dalam bentuk kewangan semata-mata tanpa mempedulikan seberapa tingginya nilai pengorbanan, penderitaan dan perjuangan Pak Tua memartabatkan bahasa, budaya dan warisan turun-temurun yang sepatutnya dipelihara bukan sebaliknya menjual maruah seni bangsanya.
Aku terharu dan bersyukur kerana aku masih disimpan dalam istana seni milik Pak Tua yang tiada tolok bandingnya dalam mempertahankan nilai estetika dan pengorbananku.
Adakah saat ini menjadi titik permulaan aku bermuhasabah diri, mengimbau kembali nilai kasih sayang Pak Tua yang kini sudah pada tahap penghujung usianya? Berpeluang lagikah aku bersama-samanya bermesra dengannya seperti dahulu sedangkan Pak Tua kini sentiasa berdampingan dengan mesin canggihnya yang lebih senyap dan mudah diatur berbanding dengan diriku? Adakah aku disimpan sebagai bahan tontonan sahaja?
Aku berserah kepada takdir yang Allah SWT tentukan ‘menunggu’ sahaja saat tibanya di hujung noktah kehidupan di dunia fana ini. Ketika itu, jasadku tiada lagi di dunia penuh pancaroba ini dan juga dalam album kenangan kepengarangan seorang pengarang bergelar Pak Tua.