CIKGU HAMDI benar-benar bungkam. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar daripada mulutnya. Matanya merenung tepat ke arah remaja yang tegak berdiri di hadapannya. Sebenarnya dia telah kehilangan cara, kehilangan idea dan kehilangan usaha. Termasuk hari ini sudah lima kali anak remaja itu terlibat dalam kes pelanggaran disiplin sekolah. Kali pertama kes vandalisme. Menconteng dinding bangunan sekolah. Kali kedua memecahkan cermin tingkap dengan sengaja. Diikuti dengan kes ponteng kelas. Pada waktu rehat, dia dan beberapa orang kawannya ditangkap ketika melompat pagar untuk keluar dari kawasan sekolah. Sebulan kemudian dia ditangkap lagi. Kes memukul pelajar junior. Dan kali ini kes mencuri duit rakan sekelas.
“Zarul… ini kali kelima kamu langgar disiplin sekolah.” jerkah Cikgu Hamdi.
Tiba-tiba dia bangun daripada kerusinya. Pangggg! Satu tamparan singgah pada muka Zarul. Berdesing telinga Zarul. Pipinya terasa panas. Tidak cukup dengan itu, Cikgu Hamdi melibas rotan sebesar jari kelingking. Rotan itu singgah tepat pada punggung Zarul.
“Awak keluar dari bilik ni,” tengking Cikgu Hamdi.
Zarul mengatur langkah tanpa sebarang kata. Dia tidak masuk ke kelas, sebaliknya menyendiri di belakang bangunan di tepi padang. Di situ dia menangis sepuas-puasnya. Menangis bukan kerana sakit tetapi menangis kerana marah, kerana geram dan kerana tidak berpuas hati. Lama dia di situ sehinggalah Adi rakan baiknya datang memujuk.
“Kau tahu Adi… Cikgu Hamdi bukan tahu masalah aku. Dia tak tahu susah aku. Yang dia tahu cuma marahkan aku, denda aku, hukum aku. Kalau dia duduk di tempat aku, dia tahulah…”
Waktu rehat telah tamat. Zarul dan Adi berjalan menuju ke kelas masing-masing, Mereka belajar di dalam kelas yang berlainan. Ketika sampai di kelas, Adi mendapati Cikgu Hamdi tercegat di hadapan pintu.
“Adi, awak dari mana?” Cikgu Hamdi menyoal Adi yang agak terlewat.
“Dari belakang bangunan tepi padang, cikgu,” jawab Adi dengan jujur.
“Kenapa awak ke sana?” Cikgu Hamdi inginkan penjelasan lanjut.
“Saya pujuk Zarul. Dia menangis.”
“Sebab sakit saya rotan dia? Dia memang patut dirotan.”
“Bukan sakit, cikgu. Dia sedih. Sedih sangat.”
“Kenapa?”
Adi pun memberitahu Cikgu Hamdi bahawa keluarga Zarul merupakan golongan miskin. Hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Zarul hanya memiliki sepasang uniform sekolah sahaja. Juga tentang masalah kewangan yang sedang dihadapi oleh Zarul.
“Adi… petang ni tolong temankan saya ke rumah Zarul. Awak tunggu di sekolah pukul 5.30 petang. Jangan beritahu Zarul.”
Adi mengangguk tanda setuju.
Seperti yang dijanjikan, petang itu Adi membonceng motosikal Cikgu Hamdi. Mereka menuju ke rumah Zarul.
“Cikgu… itu rumah Zarul,” kata Adi sambil menuding ke arah sebuah teratak kecil di tepi sawah.
Cikgu Hamdi memberhentikan motosikalnya. Direnungnya teratak itu dengan mata yang tidak berkedip. Berdinding papan dan beratap zink. Di tepi teratak itu ada sebatang anak sungai. Cikgu Hamdi terpesona akan keindahan pemandangan di situ. Dia menikmatinya. Dia memerhatikan keseluruhan kawasan sawah padi itu. Tiba-tiba dia ternampak seseorang di tengah sawah.
“Zarul…” Spontan terkeluar daripada mulutnya.
Setapak demi setapak Cikgu Hamdi mengatur langkah ke arah teratak usang itu. Tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia merenung tajam seorang wanita yang duduk di atas sebuah kerusi roda.
“Itu mak Zarul?” Cikgu Hamdi inginkan kepastian.
“Ya,” jawab Adi. “Kakinya kena potong, cikgu. Kencing manis.” Adi memberikan penjelasan lanjut.
“Pak dia kerja apa?” soal Cikgu Hamdi.
Pertanyaannya tidak diberikan jawapan. Adi yang berjalan di belakangnya hanya mendiamkan diri.
Cikgu Hamdi berhenti melangkah. Dia berpaling ke belakang.
“Pak Zarul kerja apa?” Cikgu Hamdi mengulangi pertanyaannya.
“ Pak dia dok dalam, cikgu.”
“ Dok dalam?”
“Ya!”
“Sebab apa?”
“Pek hoon, cikgu.”
“Maksud awak…”
“Ya, cikgu. Seksyen 39A.”
Cikgu Hamdi merenung Adi.
Setelah sampai di teratak Zarul, Cikgu Hamdi memberi salam lalu memperkenalkan dirinya kepada Mak Limah, ibu Zarul.
Petang itu Cikgu Hamdi dapat tahu punca kenakalan Zarul. Ibu Zarul menceritakan keadaan keluarganya kepada Cikgu Hamdi. Sesekali ibu Zarul mengesat air mata dengan lengan bajunya. Cikgu Hamdi berasa bersalah. Selama ini dia hanya menghukum tanpa mengenal pasti punca. Dia meminta agar Mak Limah merahsiakan kehadirannya daripada Zarul.
Pagi itu Adi dan Cikgu Hamdi mendaki Gunung Baling. Cikgu Hamdi membuat perancangan rapi. Adi memujuk Zarul. Cikgu Hamdi meminta agar Adi merahsiakan penyertaannya. Dia bimbang Zarul tidak setuju. Cikgu Hamdi mendaki terlebih dahulu. Dia menunggu di pertengahan jalan. Setelah sejam mendaki akhirnya mereka sampai di puncak. Cikgu Hamdi melabuhkan punggungnya di atas sebongkah batu. Zarul leka menikmati keindahan pemandangan dari atas gunung. Dia melihat pekan Baling. Juga sebatang sungai yang mengalir di tepi pekan kecil itu.
“Zarul…”
“Ya cikgu.”
“Sudah berapa lama pak kamu tak balik ke rumah?”
Zarul terkejut bukan kepalang. Air mukanya berubah. Dia memandang Cikgu Hamdi, kemudian tunduk ke bumi. Cikgu Hamdi meminta Zarul duduk di sebelahnya. Di atas sebongkah batu. Zarul menunaikan permintaan gurunya kerana rasa hormatnya masih ada.
“Awak tengok sungai di bawah sana.”
Zarul memandang sungai di kaki gunung Baling.
“Kenapa, cikgu?”
“Allah mengajar kita tentang sesuatu melalui sungai ini.”
“Tentang apa?”
“Zarul… kita perlu belajar melalui alam seperti yang dilakukan oleh Saidina Ali. Awak tengok sungai tu. Airnya mengalir dari hulu hingga ke laut. Tidak pernah berhenti. Andai ada yang menghalang, alirannya tetap diteruskan. Kayu yang menghalang diseret ke laut. Batu besar dielakkannya. Matlamatnya hanya satu; menuju ke laut.”
“Saya tak faham maksud cikgu.”
“Hidup kita pun macam tu, Zarul. Kita perlu tetapkan matlamat, tetapkan cita-cita. Selepas itu kita berusaha untuk mencapai matlamat itu. Halangan pasti ada. Masalah pasti wujud. Itu lumrah. Jangan lari daripada masalah. Berusaha atasinya.”
“Masalah saya besar. Cikgu tak faham sebab cikgu tak alaminya. Saya yang hadap. Saya tahulah susahnya nak hidup. Mak sakit, ayah dok dalam, adik-adik ramai.”
“Allah menguji kita setakat yang kita mampu hadapi, Zarul.”
“Cikgu tahu dari mana?”
“Awak rujuk al-Quran. Surah al-Baqarah, ayat 286.”
Zarul terdiam.
“Penat tak masa daki gunung tadi,” soal Cikgu Hamdi.
“Penat cikgu…”
“Apabila sampai di puncak kamu rasa macam mana?”
“Lega…”
“Lagi?”
“Seronok.”
“Lagi?”
“Puas.”
“Awak rasa semua tu sebab awak letih, awak penat mendaki kan?”
“Ya, cikgu.”
“Begitulah hidup kita, Zarul. Semakin berat masalah, semakin banyak halangan maka semakin seronok, semakin puas apabila kita berjaya kelak.”
Setelah hampir satu jam berada di puncak Gunung Baling, Cikgu Hamdi mengajak Zarul turun.
“Sebelum kita bergerak turun saya nak minta awak buat sesuatu,” pinta Cikgu Hamdi.
“Buat apa cikgu?” Zarul inginkan penjelasan.
“Awak berjanji kepada diri sendiri bahawa awak akan berubah. Menjadi pelajar yang baik, yang cemerlang dan anak yang soleh. Segala yang negatif awak tinggalkan di puncak gunung ini. Jangan bawa turun ke bawah.”
“Baik, cikgu. Tapi macam mana caranya. Cakap memang mudah, cikgu.”
“Mudah saja, Zarul… pertama jangan tinggalkan solat. Kedua hormat mak dan ayah kamu.”
“Ayah? Hormat apanya cikgu… . Dia makhluk perosak. Merosakkan keluarga kami. Tak semena-mena saya yang terpaksa pikul tanggungjawab dia.” Nyata Zarul benar-benar marah akan ayahnya.
“Zarul… seburuk apapun dia, sejahat apapun dia, dia tetap ayah kamu. Kamu mesti hormati dia. Rajin-rajinlah berdoa. Insya-Allah ayah kamu akan berubah menjadi baik.”
Melihat Zarul mendiamkan diri, Cikgu Hamdi menyambung, “yang ketiga, hormat guru. Kalau awak amalkan ketiga-tiga ini, insya-Allah akan berjaya.”
“Bolehkah, cikgu? Saya budak nakal. Akademik tak cemerlang. Kokurikulum tak hebat. Sahsiah ke laut.”
“Ke laut?”
“Ya!”
“Zarul… awak tengok air sungai di bawah sana. Mengalir dari hulu. Kadang-kadang perlahan, kadang-kadang laju. Akhirnya sampai ke laut di Kuala Muda.”
“Maksud cikgu?”
“Air di dalam sungai tu berasal dari hulu sana. Airnya jernih. Itu yang banyaknya. Tapi ada juga air bendang yang dilepaskan masuk ke dalam sungai. Dan ada juga air longkang yang kotor, yang busuk. Mengalir dari rumah orang, dari bangunan. Semuanya bercampur dalam sungai tu. Semuanya berakhir di destinasi yang sama; laut. Awak faham maksud saya?”
Zarul mengangguk.
Sebelum bergerak turun dari puncak gunung, Zarul berjanji untuk berubah seperti yang diminta oleh Cikgu Hamdi. Dia mahu menjadi pelajar yang cemerlang dalam semua aspek merangkumi akademik, kurikulum dan yang paling penting sahsiah. Cikgu Hamdi nekad untuk membantunya dalam usaha mengembangkan potensi diri.
Bermula dari detik itu, Zarul berusaha meningkatkan kualiti diri. Dia menyertai latihan pasukan bola tampar sekolah seperti yang dicadangkan oleh Cikgu Hamdi. Sesuai dengan dirinya yang tinggi lampai. Dalam pertandingan peringkat daerah pasukan sekolahnya muncul johan. Zarul merupakan tunjang pasukan sekolah. Dia banyak menyumbangkan mata kepada pasukan. Rejamannya padu. Ketika acara penyampaian hadiah dijalankan, semua guru dan pelajar sekolahnya berdiri lalu bertepuk tangan dengan kuat apabila tiba giliran Zarul untuk dikalungkan pingat. Dia benar-benar terharu. Sepanjang lima tahun belajar di situ, inilah pertama kalinya dia dijemput naik ke atas pentas untuk menerima hadiah. Sebaik turun dari pentas dia terus menangis. Tiba-tiba bahunya ditepuk oleh seseorang. Dia menoleh ke belakang. “Cikgu…” Hanya perkataan itu terpacul daripada mulutnya setelah mendapati Cikgu Hamdi berada di belakangnya.
“Ini baru permulaan, Zarul. Ingat pesan saya dahulu, kalau rajin berusaha dan berdoa insya- Allah kamu akan terus berjaya.”
Zarul terpilih untuk mewakili daerah bagi menghadapi pertandingan peringkat negeri. Jadual rutin hariannya berubah. Pagi ke sekolah, awal petang menyiapkan kerja sekolah, selepas Asar menjalani latihan bola tampar. Selesai solat Maghrib dia membaca al-Quran. Selepas itu dia mengulangkaji pelajaran. Kadang-kadang dia mengayuh basikal ke rumah Jazlan pelajar pintar yang sentiasa bersedia membantunya dalam pelajaran. Si ibu bersyukur dan terharu atas perubahan positif anak sulungnya itu. Setiap kali selepas solat, dia akan berdoa kepada Allah agar Zarul terus berusaha dan berjaya nanti.
Setelah sebulan menjalani latihan, Zarul dan rakan-rakan sepasukan bergerak ke Sungai Petani untuk menyertai pertandingan bola tampar peringkat negeri. Sebelum perlawanan pertama bermula, mereka memanaskan badan. Selesai memanaskan badan, Cikgu Zaidi sebagai jurulatih menghampiri Zarul. Cikgu Zaidi melilit sesuatu pada lengan Zarul. Zarul memerhati dengan terkejut.
“Saya kaptenkah, cikgu?’’
Cikgu Zaidi mengangguk kemudian berkata, “kamu yang paling layak. Kumpulkan semua pemain, berikan kata-kata semangat,” arah cikgu Zaidi.
Semua pemain berdiri membentuk bulatan kecil di tengah gelanggang.
“Kita dah nak berlawan. Ingat….jangan main-main tapi lawan sungguh-sungguh. Lawan sampai menang. Kesian kat Cikgu Zaidi. Tiap-tiap hari latih kita. Kita bawa nama Baling. Dema dok kata Baling hulu. Dema dok kata Baling lekeh. Hari ni kita tunjuk kita anak jati Baling.” Itulah antara kata-kata perangsang yang dilafazkan oleh Zarul.
Pertandingan peringkat negeri mengambil masa tiga hari. Alhamdulillah pasukan daerah Baling yang diketuai Zarul muncul naib johan. Kejayaan di luar jangkaan. Antara faktor kejayaan tersebut adalah pengaruh Zarul, Sang Kapten yang sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi. Selain daripada beraksi bersungguh-sungguh dia juga sentiasa memberikan motivasi kepada rakan-rakan. Sejak itu, Zarul telah menjadi buah mulut di sekolahnya. Cikgu Hamdi menasihati Zarul agar tidak hanyut dengan pujian, sebaliknya berusaha menghadapi peperangan yang lebih besar, iaitu peperiksaan SPM.
Masa berlalu begitu pantas. Isnin itu bekas-bekas pelajar SMK Baling berkumpul di dalam dewan sekolah. Semuanya tidak sabar untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM. Zarul tidak terkecuali namun dia agak hairan. Kelibat Cikgu Hamdi masih belum kelihatan. Cikgu yang mengejutkannya daripada lena yang panjang. Cikgu yang sentiasa membantu mengubah dirinya daripada pelajar nakal menjadi pelajar kebanggaan sekolah dan keluarga. Cikgu Hamdi yang mengeluarkan modal bagi memastikan dia tidak perlu turun ke sawah lagi. Semua kerja upah orang lain. Dapat hasil nanti Cikgu Hamdi akan ambil modal semula. Selebihnya diserahkan kepada ibu Zarul. Cikgu Hamdi juga telah membekalkannya buku-buku ulangkaji setiap mata pelajaran. Setiap minggu cikgu kesayangannya itu menghulurkan RM20.00 kepadanya sebagai duit belanja.
Para pelajar diminta beratur mengikut kelas masing-masing. Zarul beratur dalam barisan Kelas 5 Ibnu Sina. Sampai gilirannya. Dia menghulur tangan untuk mendapatkan slip keputusan. Cikgu Murni menyerahkan slip tersebut sambil tersenyum. “Terima kasih, cikgu,” ucap Zarul yang kemudiannya beredar ke belakang dewan. Di penjuru dewan dia membuka slip keputusan SPM. Tertera pada slip itu 6A 3B. “Alhamdulillah…” syukur Zarul. Pelajar-pelajar lain mendapatkan ibu atau bapa masing-masing untuk berkongsi kegembiraan. “Aku nak tunjuk kepada siapa?” Zarul bertanya kepada diri sendiri. Ibunya tak mungkin datang. Ayahnya masih di dalam tahanan lagi. Adik-adiknya juga tak mungkin datang. Insan yang diharapkan dari awal lagi ialah Cikgu Hamdi. Dia dah berniat bahawa Cikgu Hamdi adalah orang pertama yang dia akan tunjukkan slip keputusan tanpa mengira keputusan cemerlang ataupun tidak.
Tidak lama kemudian tuan pengetua menyampaikan ucapan ringkas. “Assalamualaikum. Terima kasih kepada semua guru, para waris dan pelajar-pelajar yang hadir pada hari ini. Tahniah kepada pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang. Yang kurang cemerlang teruskan perjuangan dalam apa sahaja bidang yang akan kalian ceburi nanti. Untuk makluman semua, Cikgu Hamdi ketika ini sedang menerima rawatan rapi di Zon Merah, Hospital Baling. Dia terjatuh ketika mendaki Gunung Pulai awal pagi tadi.”
Zarul benar-benar terkejut. Dia bergegas menuju ke arah Adi, rakan baiknya yang memiliki motosikal. Dia dan Adi bergegas ke Hospital Baling. Sebaik sahaja mereka sampai di Hospital Baling, sebuah ambulans sedang bergerak keluar. Mereka mendapat maklumat bahawa keadaan Cikgu Hamdi agak kritikal. Dia dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Zarul terpaku di perkarangan wad kecemasan Hospital Baling.
“Ya Allah…selamatkanlah Cikgu Hamdi…” air matanya mengalir laju.