“DIA bukan anak aku!” jerkah ayah. Habis segala pinggan dan cawan jatuh ke lantai, pecah berderai, seolah-olah menanggung amarah yang meluap.
“Ayah cuba baca surat ini. abang sudah tiada,” kataku dengan suara bergetar, menahan rasa yang hampir pecah.
Ya, aku baru sahaja menerima khabar—abang aku sudah tiada. Kata mereka, arwah Abang Arif sudah meninggal dunia sejak dua minggu lalu. Alangkah terkejutnya aku ketika itu—langsung tidak pernah terlintas dalam fikiranku bahawa arwah akan pergi meninggalkan aku secepat ini. Dia kini sudah jauh daripada kehidupan yang penuh dengan kefanaan ini, menuju kehidupan yang sebenar. Aku telah memberitahu ayah tentang kematian abangku.
“Aku tiada anak yang tidak berguna macam dia, dari kecil sampai mati pun menyusahkan aku!” bentak Ayah, suaranya tajam menikam. Tanpa menoleh lagi, ayah terus meninggalkan aku sendirian di ruangan tamu itu.
Entah apa kesalahan yang telah dilakukan oleh arwah abang terhadap ayah, sehingga ayah membencinya sebegitu rupa. Dari kecil hingga dewasa, arwah tidak pernah merasai kasih sayang daripada seorang ayah. Dan kemuncak segala kebencian itu—ayah telah menghalau arwah abang dari rumah.
“Walaupun ayah mengusir arwah abang. Percayalah, walau sebesar zarah pun, arwah abang tidak pernah membenci ayah.” Katanya dalam surat yang dihantar kepadaku.
Sejak kejadian itu, kami sering berbalas surat untuk bertanyakan khabar. Arwah juga selalu mengirimkan wang kepada kami dua beranak. Walaupun ayah melarang aku untuk berhubung dengan arwah, namun aku tetap berhubung dengannya secara senyap, tanpa pengetahuan ayah.
Aku melangkah masuk ke bilik arwah Abang Arif, setiap penjuru ruang itu kupandang satu demi satu. Sebak di dada usah dikata. Namun, air mata yang sejak tadi kutahan akhirnya mengalir juga. Aku membelek surat yang dikirim oleh arwah abang, dan aku baru menyedari bahawa nama pengirim surat itu bukan nama arwah, tetapi satu nama yang asing bagiku.
Nurul Huda Ismail,
Taman Harapan Jalan 8200,
Kuala Lumpur, Selangor.
Untuk seketika, dunia terasa berhenti. Nafasku turun naik tidak teratur, seolah-olah seluruh tubuhku kehilangan arah. Berita itu akhirnya benar-benar sampai ke dalam fikiranku—abangku telah pergi. Setelah sedikit tenang, aku cuba untuk jernihkan fikiran.
Siapa Nurul Huda? Kenapa dia yang memaklumkan berita kematian arwah abang kepadaku?
Sepatutnya pihak tentera yang menyampaikan berita itu. Ya, arwah abang aku bekerja sebagai seorang tentera, berpangkat leftenan. Aku menuju ke arah meja arwah, ketika aku membuka lacinya, aku mendapati ada sebuah diari berwarna hitam. Aku membelek diari itu perlahan-lahan, sehingga mataku terhenti pada satu catatan.
27 Julai 2024
Selama 25 tahun aku hidup, baru aku tahu kebenarannya. Kebenaran yang menyakitkan, aku bukan….
“Bukan? Bukan apa? Apa maksud arwah abang?” Pelbagai persoalan yang bermain di fikiranku. Siapa Nurul Huda? Apakah kaitan wanita itu dalam hidup abang?
Dengan alasan ingin berjumpa kawan lama sebelum masing-masing menyambung pelajaran, aku meminta izin daripada ayah. Pada mulanya, ayah menolak kerana risau akan diriku yang pergi seorang diri ke Kuala Lumpur. Tambahan pula, aku seorang perempuan. Namun begitu, akhirnya ayah bersetuju untuk membenarkan aku pergi setelah aku berusaha memujuknya. Sekitar pukul 7.00 pagi, aku pun bertolak.
Aku telah sampai di Kuala Lumpur dan kini berdiri di hadapan rumah Nurul Huda seperti yang tertera pada alamat itu.
“Assalamualaikum,” aku memberi salam.
“Waalaikumsalam, ya, cari siapa?” kedengaran suara seorang gadis. Kelihatan seorang gadis dalam lingkungan umur yang sama seperti arwah abangku keluar dari banglo itu.
“Ini rumah Nurul Huda ?” soalku.
“Ya, saya Nurul Huda, ada apa ya?” balasnya.
“Alhamdulillah,” ucapku dalam hati. Syukur kepada-Mu, ya Allah, Engkau telah memudah urusanku. Aku menyerahkan surat yang aku terima minggu lepas kepada Nurul Huda.
“Awak adik arwah, ya?” tanya Nurul Huda.
Aku hanya mengangguk.
“Silakan masuk,” pelawanya dengan sopan. Aku melangkah masuk ke dalam banglo itu lalu duduk di ruang tamu. “Tak sangka, akhirnya saya dapat berjumpa dengan awak.”
Aku tersenyum nipis. “Boleh saya bertanya, maaf kalau soalan ini membuat awak tidak selesa, apakah hubungan awak dengan arwah abang saya?” soalku dengan berhati-hati.
Dia terdiam sebentar.
“Sebenarnya saya isteri dia,” jawabnya sambil menundukkan kepala.
“Apa?” tanpa sengaja, aku meninggikan suaraku kerana terkejut. Aku benar-benar tidak percaya bahawa arwah abangku sudah mendirikan rumah tangga.
“Sejak bila?” soalku lagi. Mengapakah arwah Abang Arif tidak memberitahuku perkara penting seperti ini.
“Kami telah berkahwin sejak dua bulan yang lalu, sebelum arwah Abang Arif berangkat ke Syria untuk bertugas,” terang Nurul Huda.
“Kenapa tidak beritahu?” Aku agak terkilan apabila arwah tidak memaklumkan tentang perkahwinannya kepadaku. Ya, dia tahu bagaimana hubungannya dengan ayah, tetapi kenapa perkara ini perlu dirahsiakan daripadaku?
“Arwah tidak sempat memberitahu awak kerana seminggu selepas kami berkahwin, arwah terus ditugaskan menjalankan operasi.” Suara Nurul Huda mula sebak. Masih segar dalam ingatannya, kenangan saat dia menerima jasad lelaki yang dicintainya telah kaku tanpa nyawa, terus bermain dalam fikirannya.
Aku terdiam sejenak. “Arwah memang seorang yang baik. Dia sering menceritakan hal kamu kepada saya. Saya tahu bagaimana hubungan dia dengan ayah kamu. Kamulah yang menyelamatkannya ketika dia bergaduh dengan ayah kamu. Kamulah juga tempat arwah meluahkan perasannya,” kata Nurul Huda kepadaku sambil tersenyum.
Aku tersenyum nipis ke arah Nurul Huda, mengimbas kembali detik ketika setiap kali arwah bertengkar dengan ayah. Ayah akan memukulnya. Aku jugalah yang akan merawat luka-luka arwah.
“Kalau boleh saya tahu, arwah abang meninggal disebabkan apa?” soalku, ingin mendapatkan kepastian.
“Arwah meninggal akibat terkena serangan bom ketika bertugas di Syria,” jawab Nurul Huda. Itulah hakikat yang harus diterimanya sebagai seorang isteri kepada perwira negara.
Aku hanya mampu berdiam. Syahidnya seorang perwira dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.
“Sebelum arwah meninggal dunia, dia meninggalkan pesan kepada saya untuk menyerahkan ini kepada awak sekiranya awak datang ke sini. Di dalam kotak ini, tersimpan rahsia,” kata Nurul Huda sambil menyerahkan kotak itu kepadaku.
Aku mengambil kotak itu. Rahsia? Rahsia apa? Apakah yang arwah cuba sampaikan kepadaku? Adakah sesuatu yang sangat penting sehingga dia meminta Nurul Huda menyerahkannya kepadaku?
Selesai pertemuan itu, aku terus kembali ke kampung. Namun, sebelum aku pulang, aku singgah sebentar di pusara arwah. Arwah Abang Arif disemadikan di tanah air.
Sebaik sahaja sampai di rumah, kelihatan ayah duduk di luar rumah sambil membaca surat khabar. “Baru balik? Kata lama di Kuala Lumpur?” tanya ayah.
Aku menyalam tangan ayah sambil tersenyum, lalu masuk ke dalam rumah. Ayah yang melihatku tidak seperti biasa, memandang pelik ke arahku.
“Kau ada masalahkah? Kalau ada masalah, ceritalah dengan ayah,” pujuk ayah kepadaku.
Aku memandang wajah ayah dan bertanya, “Ayah ada menyembunyikan apa-apa daripada saya?”
“Sembunyikan apa?” soal ayah sambil memandang hairan kepada aku.
Aku menarik nafas perlahan.
“Arwah Abang Arif bukan abang kandung saya kan?” tanyaku dalam nada menahan getaran. Sakit di dada usah dikata. Betul kata orang, tidak semua kebenaran itu manis.
Kelihatan wajah ayah yang tadi tersenyum manis, berubah dalam sekelip mata.
“Apa yang kau merepek ni? Itu kan abang kau, kamu lahir dari rahim yang sama.” Nafi Ayah. Aku tahu itu bukanlah kenyataannya.
“Jangan tipu saya ayah, saya tahu arwah abang bukan anak kandung ayah dan arwah mak. Kami cuma adik-beradik susuan. Arwah mak yang menyusukan arwah Abang Arif,” kataku tegas. Itulah kebenaran yang disimpan oleh arwah di dalam kotak itu. Arwah abang mengetahui kebenaran itu dua hari sebelum dia berangkat ke Kuala Lumpur. Patutlah sewaktu aku menghantarnya ke stesen bas, dia memelukku seolah-olah tidak mahu melepaskan aku.
“Dia anak sahabat ayah kan? Arwah Pak cik Omar,” kataku lagi. Ayah bangun dari tempat duduknya. Kelihatan ayah menggenggam penumbuknya, seolah-olah menahan rasa marah.
“Kau jangan sebut nama dia lagi, macam mana aku bencikan bapa dia, macam itu juga aku bencikan dia!” bentak ayah. Ya, aku sudah tahu hal ini pasti mengundang kemarahan ayah.
“Dia punca arwah mak cik kau mati. Arwah Pak cik Omar ialah bekas kekasih mak cik kau. Dia tinggalkan arwah mak cik kau ketika majlis pertunangan mereka. Mak cik kau meninggal dunia kerana dia terlalu tertekan dengan hal yang telah berlaku,” kata ayah. Masih jelas dalam ingatannya wajah adiknya yang ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa itu.
“Isteri baharu arwah Pak cik Omar, kawan arwah mak kau. Sebelum dia meninggal, dia minta mak kau jagakan Arif. Aku tak mahu jaga budak Itu. Tapi arwah mak kau berkeras juga mahu menjaganya,” kata ayah semakin bengang. Peristiwa pedih itu kembali bermain dalam fikirannya.
“Arwah Abang Arif tiada salah apa-apa pun terhadap ayah. Selama dia hidup, dia sentiasa berusaha menjadi anak yang baik untuk ayah. Dia tidak pernah membenci ayah, walaupun ayah berkali-kali menyakitinya. Ayah tahu duit yang saya selalu berikan itu? Itu bukan duit saya, tetapi itu duit arwah Abang Arif yang dia kirimkan kepada ayah. Hingga ke akhir hayatnya pun, dia masih minta saya jagakan ayah.” Di muka surat terakhir diari itu, rupanya terdapat surat untuknya.
“Kalau ayah tidak percaya, bacalah surat ini,” kataku sambil menghulurkan surat tersebut kepada ayah. Lalu ayah mengambil surat itu, dan membacanya dengan tangan yang bergetar.
Surat untuk Ayah
Assalamualaikum Ayah,
Saat ayah membaca surat ini, mungkin saya sudah pulang bertemu dengan Sang Pencipta. Ayah, terima kasih kerana telah menjaga saya walaupun saya bukan anak kandung ayah. Walaupun ayah membenci saya dan tidak menyukai kehadiran saya dalam keluarga ayah, percayalah saya tidak pernah menyimpan dendam kepada ayah walaupun sebesar zarah. Malah, saya sangat menyayangi dan menghormati ayah. Saya memohon maaf atas perbuatan arwah abah dan umi saya yang telah menyebabkan arwah mak cik menderita dan menyebabkan ayah kehilangan satu-satunya adik perempuan. Kalaulah saya boleh menggantikan tempat arwah mak cik, pasti ayah tidak akan menanggung penderitaan ini.
Saya minta maaf kerana telah menyusahkan ayah. Jangan risau, selepas ini, saya tidak akan menyusahkan ayah lagi. Kalau saya sudah tidak ada, ayah jaga diri, jaga kesihatan. Saya telah amanahkan adik untuk menjaga ayah. Saya memohon maaf kerana tidak dapat menjaga ayah hingga akhir hayat ayah. Semoga kita semua disatukan di syurga-Nya.
Salam sayang, Arif.
“Arif. Ya Allah, anak aku.”
Tangisan ayah menjadi pecah setelah membaca surat daripada arwah Abang Arif. Timbul rasa kesal dan bersalah dalam diri ayah kepada arwah.
“Ya Allah, akibat dendam peribadi, aku telah kehilangan satu-satunya anak lelaki aku.”
Sungguh, dia rasa menyesal kerana tidak pernah menyayangi dan selalu mengabaikan arwah Arif. Aku juga turut menangis dan merasa simpati melihat ayah. Namun, tangisan dan penyesalan itu sudah tidak berguna lagi.
“Sekarang, arwah abang sudah tiada. Dia terlalu sakit untuk menanggung kesedihan. Sejak kecil, dia kehilangan kasih sayang kedua-dua ibu bapanya. Kehadiran pengganti untuk memberikan kasih sayang, ternyata hanya menambah luka yang ada,” kataku lalu melangkah keluar dari rumah itu. Kedengaran suara tangis ayah menerpa ruang tamu itu.
Aku melangkah ke arah sawah padi itu. Tempat aku dan arwah Abang Arif bermain sewaktu kecil. Matahari terbenam yang menandakan tamatnya waktu siang, kupandang dengan kesayuan. Aku tidak sempat untuk menatap wajah abangku untuk kali terakhir. Walaupun dia bukan abang kandungku, namun dialah menjadi teman aku menjalani kehidupan. Berehatlah dari dunia ini, Leftenan Muhammad Arif. Akan kutabur bunga di pusaramu dan aku berbangga mempunyai abang sepertimu yang merupakan seorang perwira sejati.
