Skip to content
Disleksia
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Disleksia
Disleksia
Cerpen

Disleksia

  • Zulkifli Khair
  • 21 September 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 3
  • 5

KELAS ‘Penulisan Fiksyen’, program ko-kurikulum di sebuah universiti. Aktiviti utama kelas hari ini ialah menonton filem. Filem lama. Namun aku rasa relevan dengan tugasan berkaitan orang kelainan upaya (OKU) yang hendak diberi. Filem Taare Zameen Par terbitan tahun 2007, dalam bahasa Hindi. Ia kisah anak disleksia. Ia pernah menang anugerah seperti filem terbaik dalam Anugerah Filmfare, khusus buat filem-filem Hindi. Aku perasan, ada yang matanya bergenang air mata. Ada juga yang sampai tumpah menitik, menjadi air terjun yang sopan menuruni pipi lembut.

“Saya bagi awak dua minit. Refleksi satu ayat terhadap beberapa sedutan filem tu. Mana lagi kacak, saya atau cikgu seni dalam filem tu?” Aku lemparkan pertanyaan.

“Haha, tentulah cikgu Ka. Sejak lahir dah ada kalimat ‘ka’. Kacak sejak lahir, sampai bila-bila,” balas P5, yakni Pelajar 5, pantas. Di sini, semua nama pelajar menggunakan sistem kod.

“Tambah markah, siapa cakap cikgu Ka kacak.” P7 memberikan cadangan.

Wajah Aamir Khan tergambar dalam memori imej aku. Beliau hero merangkap pengarah filem. Beliau lebih tua berbanding aku. Lahir daripada keluarga dan sanak saudara yang terlibat dengan dunia perfileman. Setempoh 50 tahun, dari tahun 1973 hingga tahun 2023, Aamir Khan telibat dengan sekurang-kurangnya 60 filem. Bagi aku, bakat dan latar keluarga satu hal. Kemahuan dan kerja kuat satu hal yang lain. Dalam hal ni aku suka dengan gagasan grit oleh  Angela Duckworth. Bagi beliau, bakat tanpa usaha tidak akan ke mana-mana. Bakat mesti disertai bersama-sama usaha demi menghasilkan kemahiran. Kemahiran yang disusuli usaha yang berterusan akan menghasilkan pencapaian.

 Jadi, grit itu adalah tekal berusaha sebagaimana kata Angela, “Bersemangat itu perkara biasa. Kekal bertahan itu yang jarang-jarang berlaku.”

Begitu juga dalam bidang penulisan,  grit yakni tekal menulis itu begitu penting jika mahu berjaya. Tiada makna sekadar bergantung pada bakat dan kisah-kisah pencapaian lama.

“Baik, macam biasa. Tolong buat refleksi dalam seayat dan dalam senafas tentang Taare Zameen Par. Tadi ada tiga orang yang dah tengok. Bagi saya, sesiapa sahaja berhak komen. Lagilah awak semua. Orang bijak. Kreatif lagi.” Aku cuba memancing perhatian dan tindakan para pelajar subjek Penulisan Kreatif.

“Helo, helo, siapa nak mula dulu? Ingat, tak usahlah asyik terpesona dengan akad nikah dalam senafas. Itu modal klise wartawan. Terutama wartawan hiburan. Ok, buat masa ini ulas dalam senafas, ringkas, padat dan tepat.”

“Tuhan hadirkan orang-orang yang tepat dalam hidup, macam cikgu seni yang banyak membantu Ishaan (watak kanak-kanak disleksia dalam filem), itu jodoh, itulah rezeki nama,” kata P1.

“Hebat!” kataku.

“Dia sedang mencari tu, Encik. Cari orang yang tepat sebagai teman hidup… sampai tua, sampai menutup mata… haha,” usik seorang pelajar lain.

“Hargai dan bantu OKU, mereka juga manusia dan mahu teruskan hidup.” P2 tanpa membuang masa, meneruskan sesi refleksi.

P3: “Saya baru tahu apa itu disleksia.”

P4: “Ibu bapa tak usahlah pilih kasih dengan anak-anak.”

P5: “Wajar tonton filem disleksia lain seperti Mical (2020).”

P6: “Saya bagi 4.8 bintang.”

P7: “Filem Hindi yang tak menghampakan, tanpa kereta api, tanpa joget-joget nampak pusat.”

Berderai ketawa satu kelas.

P8: “Filem Melayu patut buat macam ni, tak usah terperangkap dengan plot klise, anak orang kampung, anak orang bandar, rebut lelaki atau perempuan…”

“Filem lokal OKU fizikal, Garang, Aku Luar Biasa ada apa. Bagi saya boleh tahan.” P5 mencelah. Beliau memang kaki filem, malah pengulas filem yang baik.

“Betul tu,” sampuk aku.

“Kurang sambutan, sayang. Penonton Malaysia pentingkan pelakon-pelakon kacak macam cikgu.”

“Pablo kacak apa. Mungkin mahukan pelakon wanita yang lawa. Apa pun, tak sepatutnya begitu.”
Aku merujuk salah seorang pelakon dalam filem Garang, Aku Luar Biasa.

“Setuju cikgu.”

Aku tidak mahu memanjangkan cerita dan ulasan tentang topik berkenaan. Kalau nak sembang, boleh berjam-jam. Kandungan kelas perlu diurus dengan baik.

“Baik P9, awak orang terakhir.”

“Mampu gambarkan imaginasi orang disleksia, dengan abjad-abjad yang terbang, berpusing dan terbalik, mantap.” P9 berikan ulasan ringkasnya.

Aku cuba mengingati fakta. Orang disleksia umumnya ada isu untuk memproses bahan bertulis. Ini mengakibatkan menjejaskan kemampuan membaca, mengeja, menulis dan bercakap, seterusnya gangguan pembelajaran. Lima hingga 15 peratus populasi dunia mengalami disleksia.

“Tahniah semua,” jeritku bangga, sambil bertepuk tangan. Sembilan anak muda di hadapan ku turut bertepuk tangan. Saling mengapresiasi.

“Tolong cari cerpen atau novel tentang warga OKU. Buat ulasan. Videokan dan muat naik dalam media sosial. Wajib dapatkan like paling kurang 50. Apa macam boleh?” Dalam fikiran, aku terbayangkan antologi cerpen bertemakan OKU, Pinjamkan Dia Sebentar.

“Boleh, insya-Allah.” P8 paling awal merespons.

“Jenis OKU ada banyak. Boleh pilih satu. Mana-mana boleh.” Aku pancarkan imej sebuah jadual yang aku ambil daripada laman web JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat). “Ha, ini contohnya. OKU pendengaran, penglihatan, fizikal, masalah pembelajaran. Masalah pembelajaran ni ada banyak lagi pecahannya, termasuk disleksia. Selain itu, ada lembam, sindrom Down, autisme, Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD), dan lewat perkembangan global. Menurut WHO (World Health Organisation), OKU merujuk kepada ‘mereka yang pada sesuatu masa, terhalang oleh keadaan fizikal atau mental daripada melakukan aktiviti-aktiviti normal rakan sebaya seperti sosial, rekreasi, pelajaran dan vokasional’.”

“Palsi serebrum?” tanya P7. “Boleh, kan cikgu?”

“Tentu boleh. Di tempat kita ada sekolah kanak-kanak spastik, khusus buat mereka.”

 “Video berapa panjang cikgu?” tanya P8 pula.

“Err… 2 hingga 3 minit.”

“50 tanda suka tu banyak cikgu. P2 lainlah dia pempengaruh.” P3 cuba membuat rundingan.

Tiba-tiba bergema. “Booo… .” Sorakan buat P2.

Aku pun tidak pasti apakah cerita di sebaliknya. Mungkin P2 pempengaruh sebenar.

“Beginilah. Kita di sini dah 10. Lepas tu sama-samalah kita bantu promo. Hantar kepada kawan-kawan, saudara-mara. Saya juga akan bantu. Boleh insya-Allah. Tak banyak 50 tu. Baik, ada sebarang kemusykilan? ”

“Cikgu, saya nak buat perkongsian sikit, boleh?” tanya P9. “Bukan kemusykilan. Bukan nak tanya apa. Macam sambungan daripada sesi ulasan ringkas tadi,” terangnya panjang lebar.

“Ya, boleh sangat.”

“Sebenarnya saya nak buat pengakuan…”

“Pengakuan berani mati… .” P2 cuba berjenaka.

“P2.” Aku meminta P2 khususnya agar tidak berjenaka. Berikan perhatian kepada P9.

P9 berdehem kemudian menyambung bicara. “Saya dah masuk tiga kali tonton filem tersebut, termasuk tadi. Ia sebenarnya begitu dekat dengan saya. Semua dapat saksikan yang Ishaan bermasalah dalam pembelajaran. Diejek. Diperlekeh. Akhirnya, dia benci kawan-kawan. Benci cikgu. Benci sekolah. Saya dulu ialah Ishaan. Budak disleksia yang tak tahu apa-apa itu disleksi. Mak ayah pun tak tahu.” P9 menarik nafas dalam-dalam.

 “Cuma saya bersyukur sebab ayah dan abang saya tak macam dalam filem. Secara kebetulan, saya macam Ishaan, hanya dua beradik. Abang saya cemerlang dalam akademik, selalu naik pentas setiap majlis anugerah. Juga cemerlang dalam sukan dan debat. Kira abang ni hampir sempurna. Kacak lagi. Namun abang tak pandang rendah saya. Juga dengan ayah,” sambungnya lagi.

“Wah!” ucap P5, spontan.

“P5, cerita aku tak sedih pun.”

“Jadi bila kau tahu, kau disleksia?” tanya P5.

“Minggu lepas.”

“Minggu lepas?” P1 merespons. “Biar betul.”

“Mak ayah tidak sekolah tinggi. Mungkin tiada pendedahan. Mereka kuat bekerja. Uruskan warung makan hujung simpang. Sibuk. Dua tiga pagi sudah bangun. Masak, buat persiapan. Mereka pun sudah lali apabila ada sesetengah orang kampung cakap aku budak bodoh. Juga kawan-kawan di sekolah. Malah, ada yang tuduh saya anak pungut. Ada pula cakap, silap ambil bayi waktu di hospital. Sebabnya, saya dan abang jauh sangat bezanya. Jauh sangat pencapaiannya.”

“Tapi aku nampak kau antara yang paling bijak dalam kelas ni.” P6 cuba membuat penilaian.

Aku akur. Setakat ini, semua tugasan P9 cemerlang. Cerpen-cerpen beliau pernah tersiar dalam Dewan Siswa dan Dewan Kosmik. Namun sering menolak apabila diminta berkongsi tentang proses karya cerpen-cerpen berkenaan. Waktu dalam kelas, P9 memang selalu dilihat macam keliru dan kabur dengan apa-apa yang disampaikan dalam kuliah. Memang itu antara ciri orang disleksia, kurang keyakinan diri dan kurang fokus.

P9 menyambung cerita. “Abang yang paling banyak membantu untuk membolehkan saya membaca. 10 tahun baru boleh membaca. Sejak tu, pencapaian akademik mendadak naik. Masa di sekolah menengah, Cikgu Farhah yang banyak membantu. Masa tu, abang dah masuk sekolah asrama. Cikgu Farhah, malah beberapa kali datang rumah. Juga rumah kawan-kawan yang kurang cemerlang. Ada hikmahnya saya tak dikesan waktu kanak-kanak. Kalau tak, mungkin saya tak ada peluang masuk kelas dengan kawan-kawan normal di sekolah. Belajar apa-apa yang mereka belajar. Ambil SPM macam mereka. Dan, akhirnya dapat masuk IPT macam sekarang ni. Setahu saya, tak sampai satu peratus pelajar OKU di IPT. Sebahagian budak disleksia tak minat SKM dan TVET, macam saya. Saya yakin yang saya boleh pergi lebih jauh. Masalahnya wujud persepsi OKU mental kepada disleksia. OKU mental pula sering dikaitkan dengan terencat akal. Saya tak terencat akal. Saya, malah dah buktikan dua kali dapat Anugerah Dekan. Alhamdulillah.”

P9 menerima tepukan paling gemuruh. Aku menghampiri P9 lalu memeluk bahunya.

“Benarkan saya sambung sikit lagi,” pinta P9. “Kita ada Dr. Aid Fawzal. Dia disleksia, dan pakar dalam sistem penyejukan mesin elektrik dalam supercar. PhD dalam kejuruteraan mekanikal dan kini jurutera di UK (United Kingdom). Seorang lagi, Dr. Aida, pensyarah di UTM. Beliau pakar bahasa, khususnya dalam kesedaran dan sokongan disleksia. Saya dengar, dia juga dianggap sebagai pejuang pendidikan inklusif kepada pelajar-pelajar OKU di Malaysia. Selain itu, George Washington dan Henry Ford juga tokoh hebat dengan disleksia. Maaf cikgu, panjang pula saya cakap. Saya sampai berhari-hari sukar tidur waktu malam memikirkan hal ini selepas tahu yang saya disleksia.”

 “Minggu depan aku temankan kau uruskan kad merah jambu. Nanti dapat banyak diskaun.” P5 menawarkan diri.

“Terima kasih.” P9 mengulum senyum.

# #disleksia# #OKU
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (31) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (35) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (16) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (29) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Cerpen

Disleksia

  • 30 Jun 2026

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP