“Sebagai tanda hormat dan terima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru, semua graduan diminta berdiri.”
“Hormat kepada ibu bapa, ke kanan, TUNDUK, ke kanan, TUNDUK, ke kanan, TUNDUK, dan hormat kepada para guru ke kanan, TUNDUK.”
“Para graduan dipersilakan duduk.”
INILAH adat konvokesyen universiti tempat aku menimba ilmu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Suatu adat untuk menghormati ibu bapa dan guru yang merupakan antara asbab kejayaan kami pada hari ini. Kenangan manis ini sangat bermakna buat diriku, dan aku yakin semua graduan di sini juga mempunyai rasa yang sama. Tubir mataku bergenang dengan air mata, namun kutahan agar tidak merembes keluar deras membasahi pipiku. Saat menghadap ke barisan tempat duduk ibuku bersama-sama along dan angah, aku sempat melirik ke arah mereka dan melemparkan senyuman paling manis sebelum kami diminta tunduk hormat.
Acara pun diteruskan dengan jayanya, sehinggalah tiba giliranku mengambil segulung ijazah berkat empat tahun berhempas-pulas menimba ilmu dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian. Dengan izin dan pertolongan-Nya juga, aku dianugerahkan sebagai graduan terbaik dan layak menerima Anugerah Naib Canselor, anugerah tertinggi yang diberikan kepada graduan terbaik di peringkat prasiswazah seluruh fakulti berdasarkan prestasi akademik, pengukuran sikap dan sumbangan besar terhadap universiti.
“Alhamdulillah!” Tidak putus-putus ucapan syukur ini kulafazkan.
Majlis pun selesai. Kini perkarangan Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh (DTAMS) sesak dengan ribuan manusia yang berpusu-pusu keluar dari dewan untuk bergambar dan bertemu saudara-mara, kawan-kawan dan pensyarah.
Mataku melilau ke kiri kanan mencari kelibat keluargaku di sebalik ribuan manusia. Aku toleh ke kanan apabila bahuku disentuh lembut oleh Haikal, sahabat baikku. Dia menunjukkan jauh ke penjuru dewan. Di situ aku melihat ada keluargaku, keluarga Haikal dan beberapa graduan lain yang bersama-sama keluarga mereka. Kebanyakan graduan di situ aku kenal kerana kami sangat aktif menyertai pelbagai program anjuran universiti.
“Assalamualaikum.”
Mereka pun menjawab salamku.
Aku berada dekat dengan ibuku. Aku lihat banyak mata memandangku sambil tersenyum. Dalam hatiku ada rasa gundah. Kemudian, salah seorang ibu kenalanku mengucapkan tahniah kepadaku atas anugerah yang aku terima.
“Tahniah, Adam. Kamu berjaya bergraduat dengan jayanya. Mak cik bangga dengan kamu.”
Ucapan tahniah bertalu-talu aku terima daripada mereka yang berada di situ. Namun, kata-kata Mak Cik Ani memberikan kesan yang hebat buat diriku. Mak cik Ani merupakan ibu kepada Haikal. Aku dan keluarga Haikal memang akrab, Haikal juga akrab dengan keluargaku.
“Untunglah awak Fatimah, anak awak sangat cemerlang. Bukan cemerlang akademik saja, tapi dapat Anugerah Canselor pulak tu. Akhlak pun baik, agama bagus, rupa pun elok. Serba-serbi lengkap la si Adam ni. Nasib baik Haikal tak ada adik perempuan, kalau tak dah lama saya pinangkan Adam ni untuk anak perempuan saya,” kata Mak Cik Ani.
Semua ketawa mendengar kata-kata Mak cik Ani. Aku lihat wajah ibuku, dia cuma tertawa kecil. Aku toleh pula ke arah Haikal, dia mencebik saja melihatku sambil menumbuk bahuku mesra.
“Eleh, jealous la tu”, kataku dalam hati.
“Mak cik, bukan ibu saya yang beruntung kerana mendapat anak seperti saya, sebaliknya saya yang beruntung sebab dianugerahi ibu sepertinya. Dia adalah antara anugerah terbesar yang Allah pinjamkan untuk saya. Kejayaan saya hari juga atas asbab doa dan pengorbanannya. Saya yang beruntung mak cik.” tambahku lagi sambil tertunduk menahan sendu.
Pelbagai rasa wujud dalam hati dan fikiranku ketika itu. Tanpa kusedari, peristiwa lima tahun lepas kembali menerjah fikiranku dan menggamit kenangan lalu.
~Lima tahun sebelum~
Hari ini aku ponteng sekolah lagi, tapi kali ini aku melepak di rumah. Pagi ini seperti biasa aku keluar untuk menghantar nasi lemak di beberapa buah gerai di pinggir kampung. Bezanya pagi ini aku menghantar nasi lemak dengan berpakaian seragam sekolah untuk mengaburi mata ibu. Awal-awal pagi lagi ibu sudah memasak nasi lemak untuk dihantar ke gerai sebelum aku ke sekolah. Selesai menyediakan nasi lemak, biasanya ibu akan teruskan pula dengan tugas utamanya sebagai tukang jahit. Ibu menjahit di rumah sahaja kerana lebih mudah dan jimat. Namun, hari ini ibu perlu keluar rumah awal kerana ada gotong-royong menyediakan juadah untuk kenduri tahlil di kampung sebelah. Hatiku girang, waktu inilah aku boleh bersuka-ria di rumah. Kalau aku ponteng sekolah ketika ibu ada di rumah, sakit telingaku mendengar leteran ibu. Aku hanya tinggal berdua sahaja bersama-sama ibu di rumah ini. Ayah sudah lama meninggal dunia ketika aku berumur enam tahun. Along dan angah pula menginap di kolej kediaman kerana mereka sedang menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda.
Setelah memastikan ibu tiada di rumah, aku pun masuk ke dalam bilik. Kasut sekolah turut kubawa ke dalam bilik supaya tidak meninggalkan jejak. Aku sangat mengantuk ketika itu berikutan tidak tidur semalaman lantaran leka bermain permainan video. Sebelum tidur, aku menghisap sebatang rokok. Asap kuhembus berterbangan bebas ke ruangan bilik kecilku. Ibu pun tahu aku merokok. Mula-mulanya ibu sangat marah, malah pernah merotanku. Namun, apakan daya semua itu tidak boleh menghilangkan tabiatku. Ibu pasrah.
Puntung rokok terus kubaling ke bawah katil kerana mataku sudah tidak mampu menahan rasa mengantuk. Aku lena diulit mimpi sehingga tidak sedar langsung bahawa puntung rokok terkena pada kain langsir dan menjadi punca kebakaran. Aku tersedar selepas api kian marak dan bahang panas mula terasa. Api marak dengan cepat. Rak buku kayu yang berdekatan langsir hangus dijilat api dan api semakin cepat merebak ke seluruh ruangan dalam bilik kecilku.
Aku cuba untuk keluar dari bilik namun terlalu sukar kerana lantai dipenuhi dengan serpihan-serpihan kayu yang menyala. Aku menjerit meminta tolong kerana terdengar suara riuh-rendah di luar. Sayup-sayup aku dengar ibu menjerit meminta tolong. Aku dengar ibu berkeras untuk masuk ke dalam rumah meskipun dihalang oleh orang ramai.
“Tolong! Tolong Adam!” jerit ibu.
“Adam ada di sekolah la Fatimah, tadi aku nampak dia lengkap berbaju sekolah dekat gerai Pak Mat. Tengok tu, mana ada motor dia, kasut sekolah pun tak ada,” ujar Pak cik Karim yang tinggal tidak jauh dari rumah kami.
Penipuanku kali ini memakan diri sendiri. Aku sengaja meletakkan motosikalku agak terselindung di rumah kawanku yang tidak jauh dari rumahku supaya helahku tidak dapat dihidu oleh ibu mahupun jiran-jiran. Itulah padahnya menipu, tidak habis-habis aku memaki diriku dalam hati. Sekarang, siapa akan tolong aku kerana semua orang ingat aku tidak ada di rumah.
Aku masih berusaha untuk keluar, sehinggalah aku lihat sosok tubuh ibuku merempuh pintu bilikku dengan sekuat tenaga.
Terkedu aku seketika. Melihat betapa bersungguhnya ibu merempuh pintu bilikku dan mengabaikan orang ramai yang melarangnya masuk, hatiku diterpa rasa penyesalan yang menggunung. Ya, naluri ibu! Dia tahu aku berada di situ meskipun tidak ada kesan yang aku tinggalkan.
“Adam, anak ibu”, ucap ibu sambil melangkah masuk dan tanpa teragak-agak memijak serpihan kayu yang menyala di ruang lantai bilikku. Aku sendiri takut untuk memijak kayu-kayu itu. Pasukan bomba tiba sejurus ibu merempuh pintu bilikku, lantas membantu aku dan ibu untuk keluar dari sebalik timbunan kayu-kayu yang menyala itu.
Pasukan bomba dengan cekapnya berjaya memadam kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain. Mujur hanya bilik tidurku sahaja yang hangus terbakar, manakala kawasan lain dalam rumah semua selamat. Kami dikerumuni jiran-jiran ketika itu. Aku sempat melirik muka mereka yang cemas dan kebingungan. Mungkin mereka bingung melihat aku keluar dari rumah kerana mereka beranggapan aku tiada di rumah ketika itu.
Mujurlah naluri ibu itu kuat dan dengan izin-Nya aku masih lagi diberikan nafas untuk terus hidup. Staf hospital segera mendekati kami. Ibu menunjuk luka di kakiku kepada mereka, seraya berkata, “tolong rawat luka anak mak cik”.
Air mata ini merembes keluar deras membasahi pipiku. Ya, kaki aku luka tapi kaki ibu juga luka malah lebih teruk. Ibu tanpa teragak-agak memijak serpihan kayu yang menyala untuk menyelamatkanku. Kaki ibu luka lebih teruk tapi luka di kakiku yang dia khuatirkan.
“Ya Allah, apa aku dah buat,” berbakul-bakul penyesalan muncul dalam hatiku.
Selepas sebulan, bilik tidurku sudah siap dibina hasil sumbangan orang ramai. Ya, Adam sekarang sudah berubah. Kalau dahulu, pinggan mangkuk pun aku tidak pernah cuci selepas makan. Aku hanya menunggu ibu panggil untuk makan sahaja. Tidak ada satu pun yang aku lakukan untuk membantu ibu di rumah ini. Semua ibu buat sendiri. Aku seolah-olah raja, ibu pula seperti orang gaji aku kerjakan.
“Astaghfirullahal’azim,” bisikku dalam hati apabila terkenangkan masa lalu.
Sungguh tragedi kebakaran itu telah mengubah sikap dan perwatakanku. Aku tidak lagi merokok, apatah lagi ponteng sekolah. Aku juga sudah mula solat lima waktu tanpa paksaan daripada ibu, bahkan saat berada di luar rumah pun aku solat kerana aku sedar Allah SWT telah memberikan aku peluang kedua untuk berubah.
Jam di dinding dapur sudah menunjukkan jam 8.05 malam. Selalunya waktu begini ibu sudah keluar dari bilik usai solat Maghrib dan mengaji. Timbul rasa tidak sedap hati, lantas aku berjalan menuju ke bilik ibu. Aku ketuk pintu bilik ibu tiga kali, namun tidak berjawab.
Aku pun terus menolak daun pintu, khuatir kalau terjadi sesuatu yang buruk kepada ibu. Termangu aku seketika di muka pintu. Aku lihat ibu sedang dalam tahiyat akhir sambil kulihat wajahnya basah dengan air mata. Mungkin sahaja ibu baru habis berdoa di dalam sujudnya. Namun, hati kecilku memberontak ingin tahu apa yang menyebabkan ibu menangis sedemikian rupa. Aku tutup semula pintu bilik untuk memberi ruang ibu bermunajat kepada sang Pencipta. Setelah 10 minit berlalu, aku kembali mengetuk pintu bilik ibu. Kali ini ibu menyahut dari dalam.
“Masuklah, Adam” ujar ibu.
Aku terus menolak daun pintu dan menghampiri ibu. Rasa ingin tahuku sudah membuak-buak.
“Kenapa ibu menangis? Adam ada buat salah ke?” soalku kepada ibu. Selalunya akulah yang selalu memberikan masalah kepada ibu, along dan angah pula anak yang sangat taat. Ibu menggeleng kepala sambil tersenyum.
“Tak la Adam, kamu tak ada buat apa-apa salah pun dengan ibu, malah ibu sangat gembira tengok perubahan Adam sekarang. Ibu menangis kerana bersyukur pada Allah SWT kerana telah memakbulkan doa-doa ibu. Kamu lapar ke tunggu ibu lama sangat?” ujar ibu pula.
“Adam tak la lapar sangat, tapi Adam pelik ibu tak keluar dari bilik lagi, sepatutnya masa macam ni ibu dah selesai semuanya. Adam risau berlaku sesuatu, jadi Adam jenguk ibu kat bilik ibu. Ibu tak nak kongsi ke doa ibu?” soalku sambil tersengih seperti kerang busuk. Ibu hanya tersenyum kecil melihat telatahku.
Ibu menghela nafas perlahan. “Ibu selalu mintak pada Allah supaya Adam berubah jadi lebih baik, tak tinggal solat walau di mana-mana pun Adam berada, jadi seorang yang bertanggungjawab, jadi anak yang soleh dan taat, berjaya dunia akhirat dan tidak hanyut dengan dunia remaja Adam.”
Ibu kemudian menyambung cerita. “Adam nak tau tak, ibu teringat ceramah agama yang pernah ibu dengar dulu. Ibu selalu khuatir sebab Adam liat nak solat. Adam hanya akan solat bila ibu ingatkan Adam terus-terusan. Ibu khuatir kalau ibu dah tak ada nanti, adakah Adam akan tinggalkan solat kerana dah tak ada orang nak ingatkan Adam, marah-marah Adam sebab lambat solat. Ada orang tanya ustaz tu macam mana nak tegur anak yang susah nak solat. Jawab ustaz tu pula dengan memberikan analogi, ‘kalau ada kebakaran di rumah tuan-puan, apa tuan-puan akan buat jika anak-anak tuan-puan ada di dalam rumah tersebut?’ Kemudian, ada yang menjawab, ‘Saya pasti akan heret keluar anak saya dan bangunkan dia jika dia masih lena.’ Tambah ustaz pula, ‘Begitulah juga dengan situasi anak-anak yang tidak solat. Sanggupkah kalian melihat anak-anak kalian dibakar di dalam api neraka yang panasnya membahang. Api dunia sahaja sudah terlalu panas dan mematikan, apatah lagi api neraka yang berkali ganda panasnya.’”
Tersentak aku mendengar cerita ibu, seolah-olah ia dituju khas buat diriku. Ya, aku telah diselamatkan daripada api kebakaran, malah Allah SWT menyelamatkanku daripada terjerumus daripada api neraka kerana sikap sambil lewanya aku dalam mendirikan solat.
“Allah dah bagi peluang kedua untuk Adam berubah, ibu. Adam bersyukur sangat. Adam bersyukur dikurniakan seorang ibu yang selalu menasihati Adam untuk melakukan kebaikan. Terima kasih ibu kerana dengan asbab doa ibu, Adam kini dah boleh digelar manusia,” selorohku pula selepas itu.
Ibu ketawa kecil. Malam pun terus berlalu dengan pelbagai perkongian cerita antara kami.
Aku kembali sedar ke alam nyata. Mataku dihalakan ke wajah ibu. Rona wajah ibu berubah sedikit kemerahan, mungkin ibu juga turut menyimpan sendu. Kukirkan senyuman paling manis dan ikhlas buat ibu. Asbab doa ibu, aku di sini hari ini mengecap kejayaan yang besar. Berkat doa ibu, aku berjaya mendapatkan segulung ijazah.
Asbab doa ibu, aku kenal Sang Pencipta dan asbab doa ibu, kini aku bergelar manusia secara hakikatnya.