HUSSEIN melihat Dokeh yang sedang meragut. Sekali-sekala kepala Dokeh memanggung. Hussein naik geram melihat paha Dokeh yang bunting padi. Sudah cukup umur binatang itu. Hussein pasti.
Hussein membulat tekad, Dokeh harus ditamatkan riwayat dengan dipersembahkan kepada Penciptanya. Anggota badan Dokeh akan berbau harum di syurga kelak. Malah, batang kaki Dokeh sendiri yang akan berderap kencang melintasi titian sirat jika dia berniat ikhlas. Sepantas kilat menyabung. Hussein pasti. Dia tersengih menyeringai. Daging-daging Dokeh yang tebal itu akan dimasaknya manis mengikut landas syarak. Dibuat kenduri menjamu jiran sebelah-menyebelah. Baru beroleh berkat pada pemahamannya. Kulit Dokeh akan diberi kepada Imam Dolah untuk dibuat biduk. Ganti biduk lama yang bunyinya sudah kurang dengung. Jika orang kampung terdengar biduk berkulit Dokeh dan mereka terbuka hati untuk ke masjid, Hussein pasti dia akan mendapat ganjaran di akhirat kelak. Kalau kulit Dokeh yang mulus itu tidak cukup untuk dibuat biduk, dia akan beri kepada Ustaz Hanafi untuk dibuat kompang. Ustaz Hanafi boleh tabuh kompang berkulit Dokeh ketika berqasidah nanti. Beroleh pahala juga Hussein. Dia semakin jauh berangan.
“Aku nak pergi tanya Man Misai kalau-kalau dia hendak jual Dokeh,” cadang Hussein kepada Sharimah, isterinya.
“Tak usahlah. Dia sayangkan kambing tu.”
“Sayang setinggi gunung pun, kalau tak dijual jadi bangkai. Apa faedah yang dia dapat? Kalau jual dapat wang. Silap hari bulan, beroleh pahala sebab tolong kita hendak kerjakan ibadah korban.”
“Tak usahlah. Bukannya tiada kambing lain di dalam kampung ni. Awak beria-ria hendakkan si hitam tu.”
“Bukan sebab hitam. Bukan sebab putih. Bukan sebab warna pun. Aku geram tengok pahanya. Bunting padi. Semacam paha kau muda-muda dulu. Kau bayangkan kalau dibuat binatang itu korban. Pasti besar ganjaran pahala yang kita dapat. Buat pula masak kurma manis. Dapat pahala. Beroleh berkat!” Sharimah mengulum senyum apabila Hussein memuji pahanya ketika sunti dahulu.
“Ah, pandai memuji! Tetapi, janganlah Pak Hussein. Jika itu tujuan awak, pergi tanya lembu Samad hujung kampung tu. Ambil seekor dua kita buat korban. Sembelih di surau pada pagi raya pertama. Kita buat kenduri. Masak kurma seperti yang awak hajat. Jamu satu kampung.”
Hussein terdiam. Dia mati akal hendak menjawab. Bininya Sharimah panjang akal walaupun bersekolah setakat darjah tiga. Hujah-hujah Sharimah bernas ditimbang akal. Tetapi hal itu tidak mengalihkan pandangan Hussein daripada membayangkan paha Dokeh yang pejal dan montok.
Hussein bangun. Dia mengambil pisau sembelihan yang panjangnya dua belas inci. Sarung dan hulunya daripada Kayu Malam. Hussein melihat pisau itu dengan pandangan megah. Bukan calang-calang pisau sembelihan. Kurang-kurang dua puluh ekor lembu sudah tumbang ditarah pisaunya. Dibukanya sarung pisau itu. Berkilau sedikit hujung matanya. Hussein melurut-lurut mata pisau dengan jari telunjuk. Dia pasti, dengan sekali lalu sahaja pisau sembelihan itu boleh merebahkan Dokeh yang gemuk dan berisi. Apabila terputusnya dua urat tengkuk binatang itu, Hussein yakin dia pasti akan beroleh ganjaran pahala. Hussein seronok sendiri. Dia tersenyum sumbing. Hussein kembali memasukkan semula mata pisau sembelihan itu ke dalam sarungnya. Harapannya menggunung.
“Mah, malam ni kau ikut aku. Kita pergi rumah Man Misai. Nak merisik Si Dokeh,” ujar Hussein.
Sharimah yang sedang melipat baju membuntang mata. Dia sudah mengagak hajat suaminya itu.
“Buah silat awak masih hidup? Kalau kena tumbuk, awak boleh tepis? Kalau kena maki, awak boleh tahan daulat? Tak usahlah Pak Hussein,” duga Sharimah. Dia dalam hati mengakui darah panglima yang mengalir dalam urat saraf Hussein. Silat apa yang lakinya tak pernah tuntut? Putih? Hitam? Semuanya sudah dikhatamkan. Sampai Tok Gurunya sendiri pernah makan penerajang. Tetapi itu dulu. Dua tiga puluh tahun yang dahulu. Sekarang Hussein sudah tidak beramal.
“Adat merisik mesti sopan dan tertib. Kita orang Melayu tidak pernah lupa beradab. Kalau perlu pantun, aku boleh pantun. Kalau kena bawa hantaran, aku boleh gubah sendiri dua tiga bekas. Nak menjamu sekampung aku masih berduit. Pakatan kampung boleh diajak buat kira. Anak Tok Penghulu aku boleh pinang, inikan pula seekor kambing. Ah, kau jangan pandang aku sebelah mata!”
Sharimah berhenti melawan. Dia tahu suaminya kini nekad. Impiannya sudah menggunung. Kalau membantah membawa padah. Tak cukup tangan, kaki pun pernah dirasainya. Sharimah terus melipat baju yang berlonggok di depan. Baju-baju yang lusuh dan berdekad lamanya. Ada yang bertampung compang. Jarang sekali lakinya membeli yang baharu. Katanya membazir. Tambah Hussein, membazir amalan syaitan. Sharimah kenal Hussein luar dalam. Berpuluh tahun dia tidur di bawah gebar yang sama. Hangat Hussein. Sejuk Hussein. Sharimah sudah khatam.
Sharimah masih ingat sewaktu anak teruna mereka menyatakan hasrat untuk menikahi anak dara sunti Tok Penghulu dua tahun lepas. Hussein tidak menyanggah. Dia berani merisik walaupun mereka tidak setara. Kata peribahasa Melayu bagai langit dengan bumi. Hussein sanggup bergolok gadai pusaka semata-mata hendak menikahkan anak terunanya dengan anak dara penghulu. Perasaan bangga menyusup ke hati Hussein yang hanya bekerja sendiri. Mengerjakan sawah dan menangkap ikan sungai. Sekali-sekala khidmatnya ditagih untuk menyembelih lembu dan kambing. Dia pakar dalam bidang kerja kampung.
Lain pula dengan Tok Penghulu. Pesara sebuah hospital swasta terkenal di dalam negeri ini. Duitnya berkepuk-kepuk. Cara kerjanya teratur. Hendak berjumpa dengannya perlu dibuat janji temu. Nak mohon sesuatu perlu sediakan kertas kerja. Bukan mudah jika hendak dibandingkan dengan penghulu-penghulu yang sebelum ini. Tapi Hussein tetap berjaya menyatukan anak dara Tok Penghulu dengan anak jantannya. Apatah lagi jika sesuatu itu merupakan kemahuannya sendiri. Sharimah tahu, Hussein pantang.
Malam pun menjelma, angin berpuput. Kedengaran daun-daun pokok bertepuk kecil sesama sendiri bagai memberi semangat kepada Hussein. Bulan pula menguning terang sehingga menampakkan jalur-jalur halus dan gebu saki baki awan yang tinggal. Maka, pergilah Hussein dan Sharimah ke rumah Man Misai menaiki sebuah kapcai. Motosikal berkarat itu terhuyung-hayang meranduk batas ban yang tidak berturap. Sawah padi yang baru seminggu diserakkan benih menakung air. Hussein membonceng perlahan sambil menggenggam kuat bar pemegang motosikal yang melengkung seperti tanduk kerbau muda. Meredah malam yang cemerlang. Jika terkeleceh, berkubanglah mereka berdua di dalam petak bendang yang tercangah luas di kiri dan kanan.
Di tengah lapangan bendang, ada sepulau kampung yang luasnya separuh padang bola. Kelilingnya, berceranggah batang-batang nyiur yang menjulang setinggi tujuh hingga lapan depa. Laluan masuknya tidak sampai dua depa tangan melebar. Hussein dan Sharimah melalui lorong sepanjang kira-kira lima ratus meter menuju ke rumah Man Misai yang dipusakai keturunannya. Sharimah memegang erat pinggang Hussein sambil mengepit kain batiknya yang diseka angin dengan sepasang kaki.
Sesampainya kedua-dua laki bini itu, Hussein memulakan langkahnya yang pertama dengan memberikan salam. Dia tak perlu tunggu lama. Man Misai awal-awal lagi sudah menyedari deraman kapcai yang masuk meniti batas menuju ke rumahnya. Man Misai seperti dapat menghidu perihal mustahak yang dihajati Hussein. Jika tidak, manakan sampai dua laki bini dari hujung kampungnya malam-malam begitu. Man Misai membuka daun pintu. Dia diam dan masih belum menjawab salam Hussein. Dari beranda rumah, Man Misai nampak samar sosok tubuh Hussein yang kurus tegap. Dia juga perasan bahawa orang perempuan Hussein yang gemuk gedempol tengah bersusah-payah menuruni motosikal. Fikirannya mula menyumpah tentang sial yang bakal dibawa oleh kedua-dua orang laki bini itu. Dia bukan benci kepada gedempol bini Hussein yang melata di tepi perigi rumahnya.
Dia tahu yang Hussein memang terkenal dengan sikapnya yang gila sewel. Sanggup bergadai harta meredak semata-mata hanya ingin menjadikan anak penghulu sebagai menantunya. Man Misai tahu, Hussein bawa sial.
“Tak berangin, tak beribut. Kau datang malam-malam begini ada apa?”
“Aku inginkan Dokeh. Aku mahu buat korban menjamu satu kampung. Aku dapat pahala, bini aku dapat pahala, engkau dapat pahala, bini engkau pun dapat pahala,” balas Hussein tanpa banyak pantun.
“Lebih baik engkau berambus. Sebelum engkau korbankan Dokeh, aku korbankan engkau berdua laki bini dahulu malam ini. Ah, berambus!”
Hussein malu. Maruahnya bagai dikoyak-rabak Man Misai. Dia cepat-cepat mengajak isterinya nyah dari situ. Tetapi dia dan Dokeh seperti berjodoh. Sewaktu meniti batas pulang ke rumah, Hussein terjerembab dengan binatang itu.
Esoknya Hussein pergi ke pasar basah dengan gembira. Dia akan berhabisan untuk majlis menjamu. Hussein jalan bergembung dada. Dia yakin dia menang lagi kali ini. Tetapi dia tiba-tiba diganggu dengan panggilan daripada jirannya. Dari corong telefon bimbit, khabarnya Man Misai amok sekampung. Genggaman telefonnya lumpuh. Hussein kini bukan sahaja hilang buah silat, tetapi dia juga kehilangan buah hati.