WAJAH Shahrin kelihatan riang, seceria pagi yang mengirimkan jalur-jalur cahaya dari balik rimbunan daun-daun. Burung-burung berkicau menyambut tibanya waktu pagi. Lelaki bertubuh sederhana tinggi itu sendiri sudah terpacak di dusun berkenaan sebaik jarum jam menunjukkan pukul 7.00 pagi.
Shahrin tersenyum melihat aneka buah-buahan yang masak ranum di dusun itu. Gugus rambutan merah menyala di hujung dahan, begitu juga langsat dan ciku yang menyerlah dengan warna keranuman.
Manggis dan jambu bol juga berbuah lebat. Pisang pula bertandan-tandan. Semuanya menanti untuk dipetik dan dituai. Aroma buah-buahan yang masak menerjah hidungnya. Pendek kata, musim buah kali ini benar-benar lumayan cuma durian masih belum berbuah. Hanya beberapa putik bunga durian baru menunjukkan diri.
“Syukur,” bisik Shahrin sambil membetulkan kolar kemeja-T biru yang disarungnya.
“Menjadi sungguh musim buah di dusun Pak Masrom kali ini.”
Namun, ada sesuatu yang sebenarnya membuatkan Shahrin lebih gembira. Hanya berbaki 10 jam lagi sebelum pukul 5.00 petang. Sepuluh jam lagi sebelum tugasnya sebagai pekerja Pak Masrom berakhir. Ya, hari itu adalah hari terakhir dia bekerja di dusun Pak Masrom.
Sebelum dia “bebas” daripada tugas-tugas di dusun Pak Masrom, masih ada beberapa tugas yang perlu dilaksanakannya dan semuanya bermula dengan arahan di telefon pintarnya. Pak Masrom sudah memaklumkan perkara itu kepadanya petang semalam.
7.00 pagi
“Shahrin, kalau belum sarapan pergi bersarapan dulu. Aku ada belikan nasi lemak ayam untuk kau. Sekejap lagi Tajul, Hakeem dan Rustum akan datang. Bantu mereka untuk petik buah di kebun. Keluarkan sekali buah yang sudah diletakkan di dalam stor.”
Arahan pertama Pak Masrom itu yang terpapar di skrin telefon pintarnya, diterima tanpa banyak soal. Segera dia melangkah menuju ke sebuah rumah kecil yang menjadi “pejabat” dan stor menyimpan buah-buahan.
Dilihatnya, Hakeem dan Rustum sudah berada di ruang depan rumah kecil itu, masing-masing sedang menjamah nasi lemak ayam yang dibelikan oleh Pak Masrom. Pak Masrom memang seorang yang baik hati. Kadang-kadang dia membelikan sarapan, ada kalanya makan tengah hari atau paling tidak pun menghulurkan wang untuk membeli makanan sendiri. Itu belum termasuk wang gaji yang diterima setiap hujung bulan.
“Eh, marilah Shahrin. Kenapa masih tercegat di situ? Ini, Pak Masrom ada belikan nasi lemak ayam. Mari makan, sementara masih panas,” kata Rustum, pekerja Pak Masrom berketurunan Bangladesh.
Hakeem turut melambai ke arahnya.
“Baik, baik.” Shahrin tersenyum melihat telatah Rustum. Sudah lancar dia berbahasa Melayu. Jika setahun sebelumnya, iaitu tatkala Shahrin baru bekerja di kebun berkenaan, pertuturan bahasa Melayu Rustum masih berterabur terbawa-bawa dengan gaya pertuturan di negara asalnya tapi kini tidak lagi.
Shahrin sendiri banyak mengajar Rustum dan Hakeem bertutur bahasa Melayu dengan baik, malah mereka sentiasa menjadi rakan berbualnya.
“Marilah, jangan segan-segan,” kata Rustum lagi galak berbicara seperti biasanya.
“Mana Tajul?” Soal Shahrin, menyedari lelaki berkumis jarang itu tidak ada bersama-sama mereka.
Hakeem menyuakan bungkusan berisi nasi lemak ayam itu kepadanya.
“Dia lewat hari ini. Motosikalnya rosak. Kalau dia terlambat, mungkin dia tolong kamu di kebun saja,” kata Rustum, sambil mengunyah nasi lemak.
Shahrin angguk.
“Selepas makan, tolong kami angkat buah-buah di stor. Pukul 9.00, kami akan ke gerai,” kata Hakeem yang sudah pun bangkit.
Shahrin terus menyambung suapan.
9.00 pagi
“Aku rasa Tajul tak datang hari ini. Kamu gantikan dia untuk teman Hakeem dan Rustum di gerai. Nanti aku suruh anak buah aku datang kutip buah-buahan dan masukkan ke dalam stor.”
“Nampaknya Tajul tak datang hari ini. Aku ikut kamu ke gerai nanti,” kata Shahrin sebaik menerima mesej Pak Masrom. Hakeem dan Rustum sedang menaikkan bakul-bakul berisi rambutan, manggis, pisang dan langsat ke dalam lori.
“Bagus juga. Lama juga kamu tak ke gerai. Asyik di kebun pun bosan juga kan?” sahut Rustum, ceria.
“Biar aku habiskan kutip ciku dahulu. Selepas itu, kita pergi sama-sama,” balas Shahrin sebelum beredar.
11.00 pagi
Gerai buah Pak Masrom mula meriah dengan kunjungan pelanggan. Masing-masing ingin mendapatkan buah-buahan segar dari dusun Pak Masrom. Pisang, langsat, rambutan dan manggis menjadi buruan mereka. Ada yang membeli nanas serta ubi kayu dan keledek hasil tanaman orang kampung. Hakeem, Rustum dan Shahrin nampaknya tak menang tangan melayan pelanggan yang bersilih ganti.
“Boleh tahan juga pelanggan hari ini,” luah Shahril, tatkala pelanggan mula berkurang. Dia menyeka peluh yang berjejeran di dahinya.
“Mungkin tuah kau datang hari ini. Eh, dengar cerita hari ini hari terakhir kamu bekerja di sini? Tak seronoklah kalau kamu tak ada,” balas Rustum sambil menyusun buah-buahan di rak.
“Nanti bila senang, aku datanglah ke sini. Bukannya aku tak tahu jalan.”
Shahrin angguk.
2.00 petang
“Sekejap lagi Tajul datang ambil kau. Ada kerja di dusun yang perlu dibereskan sebelum pulang.”
Shahrin menatap telefon pintarnya. Dia membaca arahan Pak Masrom dengan tenang, biarpun hatinya berkocak, tidak sabar ingin pulang bertemu keluarga. Dia sudah tercium-cium aroma sambal udang petai dan ikan pari bakar masakan ibunya, serta momen-momen bersama keluarga. Sepanjang bekerja selama setahun ini, ada beberapa kali dia balik, selebihnya tinggal di rumah yang disediakan oleh Pak Masrom untuk pekerja-pekerja dusunnya, juga terletak di dusun berkenaan.
“Ah, tak sabarnya,” luah Shahrin tatkala menyusun buah-buahan yang dialihkan dari bakul.
“Tak sabar apanya? Timbangkan aku rambutan dua kilo, manggis sekilo.”
Tiba-tiba dia disergah seorang pelanggan wanita separuh umur. Wanita berkebaya merah dan berkain batik itu, menaungi tubuhnya dengan payung. Wajahnya kelihatan lebih muda, mungkin disebabkan kesan solekannya.
“Maafkan saya, kak. Eh, mak cik.” Begitu gelabah Shahrin, sehingga tersasul.
Wanita itu sekadar tersengih memandangnya. Segera Shahrin melayan permintaan wanita itu.
Tajul tiba setengah jam kemudian. Motosikalnya sudah dibaiki agaknya, fikir Shahrin. Tanpa banyak cerita, Shahrin terus membonceng motosikal Tajul hingga ke dusun Pak Masrom.
Sepanjang perjalanan, Tajul hanya mendiamkan diri. Langsung tiada sepatah perkataan keluar daripada mulutnya. Hanya selepas motosikal Tajul tiba di depan dusun Pak Masrom, barulah dia bersuara.
“Semoga berjaya di tempat baharu. Terima kasih banyak-banyak ya, Shahrin,” kata Tajul dengan nada perlahan, seolah-olah memendam kesedihan.
“Tak mengapa, Tajul. Aku tak akan lupakan kau. Ada masa nanti, aku akan datang ke sini,” balas Shahrin.
Tajul mengukir senyuman tipis, sebelum meninggalkan Shahrin.
Seketika kemudian, telefonnya bergetar dengan nada dering. Mesej daripada Pak Masrom, tepat pukul 3.00 petang.
“Sebelum balik, minta tolong kemaskan barang-barang di stor. Jangan lupa bungkuslah buah-buah untuk dibawa pulang nanti.” Demikian mesej Pak Masrom.
Tanpa berlengah, Shahrin menuju ke stor untuk menyusun bakul dan buah-buahan untuk dijual keesokan harinya. Beberapa pekerja lain sudah meletakkan bakul berisi buah-buahan di depan stor hasil tuaian pagi tadi dan pulang selepas kerja mereka selesai. Tinggal Shahrin sendirian mengemas stok yang sedia ada. Rustum dan Hakeem hanya akan pulang sekitar pukul 10.00 malam.
Cahaya matahari semakin terik, meskipun matahari tidak lagi berada di atas kepala. Beberapa kali juga dia meneguk air, tatkala mengemas stor berkenaan. Peluh menyirami wajah dan tubuhnya.
“Aku boleh buat semua ini. Sabarlah ya, Shahrin,” bisik Shahrin. Dia sudah mula terbayangkan keenakan sajian ibunya. Mengenangkan itu, dia tersenyum sendiri.
4.00 petang
“Shahrin. Masuk ke pejabat aku dan ambil sampul biru dan masukkan ke dalam peti surat biru di pintu pagar. Di bawah sampul biru ada sampul putih. Ambil. Itu duit gaji terakhir kau di sini. Terima kasih kerana banyak tolong aku di dusun. Jumpa lagi.”
“Mesej terakhir Pak Masron, barangkali,” detik hati Shahrin sebaik melihat skrin telefon pintarnya. Dia membalas mesej Pak Masrom sambil tersenyum.
Segera dia memasuki pejabat Pak Masrom dan mencari sampul surat biru yang dimaksudkan. Sampul sebesar kertas saiz A4 itu diambilnya. Sampul itu mengingatkan Shahrin akan hari sebelum dia bekerja di situ. Dia masih ingat tatkala dia memasuki kawasan dusun itu (tersesat, sebenarnya) dia terlihat sebuah peti surat biru di sebelah peti surat merah di pintu pagar dusun berkenaan. Tertera perkataan “Mencari Pekerja Baharu” yang ditulis dengan cat merah pada papan kayu yang hampir mereput di atas peti surat berkenaan dan daripada situlah Shahrin mula berkhidmat dengan Pak Masrom.
Shahrin mengambil kedua-dua surat berkenaan dan memasukkan sampul surat biru ke dalam peti surat biru. Sampul surat putih berisi gaji terakhir sudah disimpan di dalam beg sandang. Tugasnya di dusun Pak Masrom sudah berakhir. Dia melepaskan keluhan puas.
Cuaca yang panas terik itu beransur redup tatkala dia meninggalkan rumah pekerja itu menuju ke pagar utama. Shahrin berjalan dengan tenang menikmati saat-saat terakhirnya di dusun Pak Masrom.
Buah-buahan bergantungan di tangkai, ada yang masih muda dan ada yang sedia dipetik keesokan harinya. Dia melintasi deretan pokok manggis dan rambutan, langsat dan jambu dan dari kejauhan pokok jagung sedang menanti masa untuk berbunga.
Kala itu juga dirasakan matanya semakin berat. Hembusan angin dirasakan bagai mahu mendodoinya tetapi hari masih lagi siang. Dia memegang beg galasnya rapat ke tubuh sambil berjalan menuju ke arah pintu pagar.
“Aduh, mengapa aku rasa terlalu mengantuk. Aku ada makan apa-apa yang beratkah?” Shahrin menyoal diri, cuba memikirkan apa yang dinikmatinya sejak pagi tadi. Selain nasi lemak ayam yang dibelanjakan oleh Pak Masrom dan nasi campur dari gerai di sebelah gerai buah itu tiada apa lagi yang masuk ke dalam perutnya.
Sebatang pohon besar yang terletak benar-benar tidak jauh dari peti surat di pintu pagar, menarik perhatian. Daunnya yang rimbun dan tidak berbuah itu berbuai-buai dimainkan angin. Teduh dan mendamaikan.
“Mungkin aku boleh tidur sebentar di sana. Sekejap pun jadilah,” fikir Shahrin sebelum melabuhkan punggungnya di banir pokok itu dan melelapkan mata.
1.00 pagi
Shahrin terjaga dengan kesakitan yang amat sangat. Dia cuba menggerakkan diri tetapi tubuhnya terasa bagaikan diikat. Dia membuka mata tetapi tiada apa yang dapat dilihatnya kecuali kegelapan. Dia yakin, dia masih berada di dusun Pak Masrom. Bunyi angin yang bergeseran dengan daun-daun jelas di telinganya.
“Aneh. Kenapa tiada seorang pun mengejutkan aku. Kenapa aku diikat begini?” Shahrin meronta untuk melepaskan diri. Dia menjerit tetapi suaranya bagai tersekat di kerongkong. Rayuannya bagai tidak didengari sesiapa.
Dalam usahanya untuk melepaskan diri Shahrin menyedari belitan di tubuhnya itu semakin lama semakin kuat. Dia meraba dengan pergelangan tangannya yang masih bebas dan akhirnya menyedari ada sesuatu yang benar-benar tidak masuk akal. Tubuhnya kini dibelit akar yang begitu banyak, sedangkan sewaktu dia bersandar sebelum itu hanya sebuah pokok yang berakar besar.
Semakin lama, semakin kuat belitan akar itu dan Shahrin terus meronta dan menjerit. Tiada siapa yang ada di situ untuk membantunya. Baik Rustum, Hakeem mahupun Tajul, apatah lagi Pak Masrom. Bayangan kampung halaman dan ibunya berselirat dengan rasa sakit yang amat sangat. Saat akar-akar halus mula memasuki rongga mulut, telinga dan hidungnya, Shahrin menyedari dia tidak dapat berbuat apa-apa. Ajalnya sudah tiba.
Seminggu kemudian.
Seorang lelaki berhenti di depan pintu pagar dengan sebuah beg sandang di bahunya. Rambut panjang dan kemeja-T lusuh membuatkan penampilan lelaki itu kelihatan tidak terurus. Angin pagi berhembus lembut mengelus rambut lelaki itu. Tulisan “Mencari Pekerja Baharu” yang kelihatan pudar di atas peti surat biru menarik perhatiannya.
“Peluang menarik. Baik aku cuba,” kata lelaki itu sambil membuka peti surat itu apabila membaca tulisan “Ambil surat di peti ini” dari peti surat itu. Dia membaca isinya sambil tersenyum dan membuka pintu pagar ke dusun itu.
“Baja. Eh, pekerja baharu dah sampai,” bisik seorang lelaki separuh umur dari sebuah pejabat di dalam dusun itu. Senyumnya lebar.