SUDAH cukup lama Yam memendam rasa. Kesabaran Yam ada hadnya. Sekian lama dia dan rakan-rakannya terpaksa tinggal berasak-asak dan terkurung pula. Kali ini apa hendak jadi, jadilah. Yam tak peduli. Malamnya, dia kumpulkan rakan-rakan sebayanya. Mereka bermesyuarat tergempar.
“Sampai bila kita terkurung begini?” ujarnya sambil mendengus. Kakinya dihentakkan ke lantai. Hampir terpelanting bekas minuman.
“Sekurang-kurangnya di sini, makanan cukup.”
“Betul ‘tu. Kita tak perlu risau nak cari makan.”
“Berapa lama boleh bertahan?”
“Selagi kita tak dipindahkan.”
“Bagaimana jika kita dikorbankan?”
“Reda sajalah.”
Bermacam-macam pandangan dilontarkan. Ada yang berasa selesa dengan apa yang dilalui. Terdapat juga suara-suara yang menyatakan kerisauan. Malah yang berserah sahaja kepada takdir pun ada. Yam merenung satu per satu wajah rakan-rakannya. Perasaannya bercampur baur. Kesal, geram, kasihan, sedih, bercampur aduk.
‘Aku mesti lakukan sesuatu,’ bisik hatinya.
“Sudahlah Yam, apa yang kau menungkan lagi ‘tu?” soal Bintik sedikit gelisah.
“Kami ‘dah mengantuk ‘ni,” keluh Galak.
“Disebabkan perangai tak sabar macam kamulah, kita terus terperuk di sini!” bentak Yam.
Bintik dan Galak berasa terpukul, langsung terdiam.
Menurut Yam lagi, “Lima usul telah diterima sebulat suara. Kita akan hantar memorandum kepada persatuan penternak.”
Mesyuarat malam itu berlangsung agak panas. Namun Yam berjaya mententeramkan rakan-rakannya. Mereka telah memuktamadkan beberapa perkara, antaranya isu variasi warna. Ketidakadilan dalam memiliki aneka warna bulu pelepah mesti diperjuangkan. Melihat pekerja ladang ralit bermain cap teh bulu ayam pelbagai warna tatkala rehat cukup menjengkelkan.
“Spesies mana pula yang memiliki bulu pelepah sebegitu cantik sekali,” rungut Yam.
“Manusia berpakaian serba putih hanya ketika memakai ihram. Beberapa hari saja, sedangkan kita berbulu putih sepanjang hayat.” Yam menahan geram.
“Lima hingga tujuh minggu saja,” celah Bintik.
“Walaupun hidup kita singkat, namun hendak juga merasa bulu berwarna-warni,” sampuk Galak.
Yam dan Bintik tersengih seraya mengangguk.
Usul kedua berkait langsung usaha memanjangkan jangka masa hayat mereka. Tempoh lima hingga tujuh minggu sangat singkat. Kejam.
Demi menjimatkan kos makanan dan memenuhi permintaan tinggi manusia di luar sana yang ketagihan memakan ayam, justeru mereka mengamalkan hasrat menghalalkan cara. Yam dan rakan-rakannya sedar akan taktik kotor pengusaha yang tamak.
“Mereka bukan main lagi, pergi gimnasium untuk mengekalkan kecergasan.”
“Berlumba-lumba memiliki bentuk badan sado.”
“Sebaliknya kita dikurung 24 jam, dipaksa melantak makanan yang telah dicampurkan dengan segala macam bahan perangsang tumbesaran.”
“Kena cucuk lagi.”
Keluhan mereka didengari oleh pemilik ladang. Dia mengarahkan seorang pekerjanya pergi ke kedai hardware. Beberapa ekor rakan Yam telah pun ditangkap. Masing-masing keliru apabila sehelai demi sehelai bulu pelepah mereka disembur pelbagai warna. Yam gelak terkekeh-kekeh.
Cadangan untuk memiliki aneka warna bulu pelepah terbantut sebaik saja melihat warna tubuh rakan-rakan mereka luntur beberapa hari kemudian. Galak yang paling meradang. Habis disepak terajang dinding kandang.
“Bos, dia mengamuk lagi!” pekik Sohrab.
“Siapa?”
“Galak.”
“Lu marah guna bahasa Bengali, itu fasal dia mengamuk sakan!”
“Apa fasal?”
“Dia ingat lu maki dia. Lain kali pakai bahasa Melayu.”
Malam itu, Yam dan Bintik puas menenangkan Galak. Pelbagai cara dilakukan untuk memujuknya. Setelah penat mendendangkan pantun, gurindam, dan syair, akhirnya lagu Ayam dendangan Jalil Hamid juga yang berjaya menceriakan Galak. Siap bertandak lagi.
Setelah kepenatan berjoget, Galak terjelepok tidur. Siulan dengkurnya membelah kebeningan kegelapan malam. Bintang-gemintang berkerdipan mengikut rentaknya berkeruh. Cengkerik memainkan orkestra alam bagi mengharmonikan laras bunyi dengkuran Galak yang ada kalanya sumbang.
Tatkala semua penghuni ladang ternakan ayam pedaging lena dibuai mimpi, Yam masih terkulat-kulat. Bermacam-macam hal bermain di fikirannya. Satu per satu wajah polos rakan-rakannya direnung. Tanpa disedari kelopak matanya yang bergenang sejak tadi akhirnya menitiskan bulir-bulir mutiara.
Bintik yang bangun paling awal pagi itu mengejutkan rakan-rakannya. Kokokannya disahut oleh beberapa ekor ayam hutan di pinggir ladang. Sudah pasti suaranya kalah dek kemerduan lontaran vokal ayam hutan. Bukannya Bintik tidak berusaha memperbaiki pitching suaranya.
“Ayam hutan makanannya lebih asli, penuh berkhasiat,” ujar Yam memujuk.
“Kita desak tauke buat kelas latihan vokal,” pinta Bintik.
“Mana mahunya. Usul kedua kita dibakulsampahkan begitu saja.”
“Setidak-tidaknya usul pertama kita dilayaninya juga.”
“Fasal warna bulu pelepah ‘tu? Lihatlah apa yang telah terjadi kepada Galak. Malah kawan baiknya turut dikacukkan dengan spesis ayam kampung.”
“Apa hasilnya?”
“Kusam, tak sama cantik seperti warna bulu pelepah ayam kampung.”
Sewaktu merangka draf usul ketiga, soal kebajikan lebih diutamakan. Selaku kakak kawasan, Yam sentiasa mendengar dan mengambil kira pandangan rakan-rakan dan anak buah. Pelbagai aktiviti telah dirancang dengan teliti dan rapi. Antaranya gelanggang permainan untuk remaja.
“Cukup-cukuplah apa yang telah kita lalui selama ini, asyik makan sampai gedebab,” keluh Bintik.
“Gedebab ‘tu apa?” soal Galak sambil terkebil-kebil.
“Kesan daripada tak keluar peluhlah ‘ni, otak kamu ‘dah jadi lembab,” balas Bintik dengan nada kesal.
“Gedebab ‘tu kira gemuk gedempol… obes,” lanjutnya lagi bak pakar fisioterapi dan pemakanan.
Yam dan rakan-rakannya juga mendesak diwujudkan sebuah kutub khanah sebagai taman bacaan.
Mereka tidak mahu mengikut tabiat hodoh manusia yang cukup malas membaca. Asyik menghabiskan masa di restoran mamak berjam-jam lamanya sambil muncung dan serombong berasap bak naga. Penuh semeja pinggan dan gelas teh tarik. Telefon pintar hanya dimanfaatkan untuk membelek-belek video klise dan berbalas-balas mesej WhatsApp.
Yam berseloroh, “Kesannya ramai yang obes macam kita.” Berdekah-dekah gelak tawa rakan-rakannya.
“Dengar khabar e-book berlambak di internet,” celah Bintik penuh teruja.
“Tutorial mengenai penjagaan ayam pun ada, ‘tapi kalau ‘dah jenis spesies malas membaca… sia-sia saja.” Kata-kata sarkastik Galak disambut dengan deraian ketawa.
“Jangan lupa masukkan sekali perlunya disediakan kaunselor dan pakar psikiatri,” tegas seekor ayam bulu balik.
“Jangan risau, saya usahakan yang terbaik demi kebajikan kita semua,” tegas Yam bersemangat.
Yam arif benar akan kemurungan yang dialami oleh sebahagian besar penghuni di situ. Pemilihan kaedah artifisial untuk pertumbuhan awal cepat telah memudaratkan sistem imun semula jadi mereka. Suntikan hormon, vaksin dan antibiotik untuk mempercepatkan tumbesaran secara paksa bukan sahaja memudaratkan ayam, malah manusia yang memakannya.
“Sikap tamak telah menggelapkan hati nubari mereka.”
“Mereka ada perlindungan insurans kesihatan, bolehlah makan apa sahaja ikut selera.”
“Apa mereka ingat kita ‘ni sama macam spesies yang suka menyondol ‘tu agaknya. Makan apa sahaja sepanjang masa.”
Keluhan dan rintihan mereka ada benarnya. Lihat sahaja ayam di kampung yang bebas berlari ke sana sini. Mengepak-ngepak sambil riuh berkokok di atas tunggul dan tiang pagar. Mereka sanggup bertarung demi merebut pasangan idaman. Kadangkala Yam dan rakan-rakan berasa cukup cemburu mengenangkan gaya hidup sihat dan tangkas saudara-mara mereka di kampung dan hutan.
“Cukuplah, banyak sangat rasanya usul ketiga ‘tu,” pesan Galak.
“Kakak kawasan, saya cadangkan tauke menempah name tag untuk kita semua,” desak ayam baru nak naik. Dalam istilah orang muda sekarang “Ayam Baru Nak Up” (ABNU).
“Kenapa pula? Bukankah kita saling mengetahui, kenal-mengenal,” pintas Yam dengan penuh tanda tanya.
ABNU bersungut, “Saya menyampah dengan Sohrab ‘tu, selalu panggil kita ikut sedap mulut dia.”
Yam meneliti sehalus-halusnya keluhan ABNU. Dia berasa hairan dengan perangai manusia yang suka melabel ikut sosok tubuh. Cukup-cukuplah merendahkan martabat sesama mereka. Suka sangat menggelar orang lain dengan panggilan Mat Panjang, Leman Buncit, Noh Sarung, Mat Sin Beras, Timah Bopeng, Seman Taik, Tan Pucong, Bujang Tenyeh, Mat Beroza (Bulldozer), Mat Kidil (Kerdil) dan macam-macam lagi.
“Baiklah, kakak masukkan dalam usul keempat.”
ABNU terloncat-loncat kegirangan.
Bintik yang berdiam sejak tadi mencelah, “Saya rasa kita perlu mempunyai tanah perkuburan sendiri.”
“Amboi! Cantik punya idea,” usik Galak.
‘Patutlah dia berdiam diri sejak tadi, rupa-rupanya memikirkan sesuatu yang gempak,’ detak hati kecil Yam.
Cadangan Bintik dipersetujui sebulat suara. Yam mencatat dengan tekun. Dia teringatkan percakapan ketua semut yang meminta koloninya bersembunyi bagi menghindari bala tentera Nabi Sulaiman a.s. Tuhan sendiri mengiktiraf kehadiran sehalus-halus makhluk seperti semut sehinggakan diturunkan khas surah An-Naml. Begitu juga surah An-Nahl yang khusus berkaitan lebah.
‘Sebagaimana semut dan lebah, ayam juga merupakan sosok yang berfungsi dalam kitaran hidup manusia dan sistem ekologi,’ Yam menerawang.
‘Ya, kami juga mempunyai emosi, keinginan, dan harga diri,’ bisiknya sendiri.
“Apa yang dimenungkan ‘tu?” sergah Galak.
Dek tersentak, lamunan Yam terhenti.
Apabila direnungkan cadangan Bintik, memang sangat rasional. Lihat sahaja tanah jirat manusia, sesetengahnya besar gedabak. Mengalahkan gelanggang futsal. Malah mereka buat duit dengan memperdagangkan setiap inci tanah perkuburan. Siap dengan penjenamaan ala-ala taman syurgawi kononnya. Selama ini Yam terfikir juga sikap berat sebelah yang diamalkan. Pengkebumian jenazah manusia penuh ritual. Sedangkan tulang ayam dibuang sesuka hati selepas dihunggis.
Sebelum menghantar memorandum kepada persatuan penternak, Yam dan rakan-rakannya melakukan autopsi terhadap bangkai rakan mereka yang mati kemurungan sebelum dihantar ke pusat penyembelihan. Penelitian daripada hasil bedah telah mencetuskan idea usul kelima, iaitu perlunya menghantar ustaz dan ustazah bagi mententeramkan emosi mereka yang terlibat.
“Jika banduan akhir dibekalkan para agamawan masing-masing, kenapa kita tidak?” bentak Galak.
“Kami setuju!” Kesemua ayam di kandang menjawab serentak dengan penuh bersemangat.
Galak terkesima dengan maklum balas padu rakan-rakannya. Dia percaya hak asasi yang diperjuangkan tidak akan sia-sia. Insya-Allah. Demi kelangsungan ayam pedaging dan manusia juga. Yam, Bintik, Galak, ABNU, ayam bulu balik, dan rakan-rakan mereka berasa optimis akan kejayaan setiap usulan dalam memorandum.
“Ayam pedaging BOLEH!”
Bergema laungan ayam-ayam di ladang. Pantulannya menggaung membelah gunung-gemunung, merentas segara. Kawanan burung camar putih berterbangan di angkasa dek getarannya. Ribuan kelelawar bertebaran keluar dari gua.
Suatu senja nan suram tatkala hujan rintik, Yam bersama-sama Bintik, Galak dan rakan-rakan baiknya merenung jauh ke langit berma nan berbaur warna jingga dan kesumba. Suasana sunyi sepi. Masing-masing melayan perasaan yang tidak terungkapkan dengan bait puisi. Malah penyair Rumi pun belum tentu bisa melarik kata-kata nian puitis lagi kesufian bagi melukiskan getar rasa mereka.
Barangkali hanya penyair sufi di alam Melayu, Hamzah Fansuri yang bisa menelusuri perjalanan rasa yang penuh mistik ini sebagaimana diungkapkan dalam mahakaryanya, Syair Burung Pingai (Tair al-‘Uryan). Sebuah tamsilan bagi menggambarkan perjalanan rohani seorang hamba untuk menemukan dirinya sebagai insan kamil.
Stanza kesembilan daripada bahagian pertama Syair Burung Pingai berbunyi begini:
Jika engkau kasih akan nyawamu
Terlalu batil sekalian kerjamu
Akulah ‘Uryan jangankan katamu
Orang yang ‘Uryan bukan rupamu
Kehadiran asatizah sebaik-baik usai solat maghrib untuk memberikan tazkirah terakhir membangkitkan mereka daripada lamunan. Kesemuanya saling menangis dan berdakapan.
“Segala yang ada di alam ini bersifat fana belaka. Justeru, usahlah kalian berdukacita.”
“Yang kekal hanya Allah SWT.”
“Pada hakikatnya, kalian tergolong dalam kalangan makhluk Allah SWT yang sangat bertuah. Kalian tidak akan dihisab. Terus menghuni syurga tanpa perlu meniti titian sirat.”
Masing-masing tertunduk. Khusyuk mendengar penuh syahdu sambil menitiskan air mata. Yam dan rakan-rakannya berasa insaf dan bersyukur ke hadrat Ilahi. Sekiranya leluhur mereka menyatakan persetujuan menjadi khalifah di muka bumi, sudah pasti segala amalan dihisab.
“Alhamdulillah, saya faham apa yang ustaz dan ustazah sampaikan. Cuma kemusykilannya ialah kenapa kami harus lalui saat kematian yang sangat menyakitkan?” Yam meluahkan keraguan yang menghantuinya sejak sekian lama.
“Sebelum saya jawab, ada pertanyaan lain?”
Galak mengangkat kepak lalu bertanya,
“Kenapakah manusia begitu hipokrit dengan menyarankan jangan makan ayam jika harga naik di pasar?”
“Kesakitan, kesedihan yang kita alami terlalu sedikit jika dibandingkan dengan nikmat Allah SWT nan melata. Soalan terakhir agak sensitif.”
Masing-masing hilang kata-kata, sambil saling berpelukan.