i
“Anak hamba? Menjadi gundik Baginda Sultan?” Hampir buntang mata Datuk Laksamana dengan usulan Datuk Bendahara.
Segera Datuk Bendahara meletakkan jari telunjuk ke mulut. Matanya melingas memandang sekitar beranda samping rumahnya ini.
Tadi beliau mengutus orang menjemput Datuk Laksamana datang ke rumahnya, juga memerintahkan agar pengawal menghalang sesiapa pun datang mendekat, termasuk Encik Perempuan yang mahu menghantar minuman.
Mata Datuk Laksamana masih terbuka luas sambil beliau meletakkan dua tapak tangan ke dada. Beliau masih tergamam dengan cadangan Datuk Bendahara.
“Datuk, anak hamba itu… .”
“Datuk mesti memerhatikan akan nasib keluarga Datuk,” ujar Datuk Bendahara mengingatkan. Matanya tajam sekali.
“Masakan Baginda Sultan akan berbuat sesuatu kepada keluarga hamba? Ibundanya dengan hamba ini adalah saudara sedarah sedaging!”
Datuk Bendahara mengenggam penumbuk kanan dengan kejap.
“Datuk bukan tidak tahu yang anak saudara Datuk itu. Berkepala batu, keras, baginda itu seperti harimau, sentiasa siaga menerkam mangsanya. Silap haribulan, keluarga Datuk habis tak tersisa.”
Lemah longlai kepala lutut Datuk Laksamana. Sultan negeri Ujong Tanah ini sewaktu dilantik menjadi sultan, masih sangat rebung usianya. Jadi, segala akan hal ehwal negara, Laksamana Tua yang menguruskannya.
Apabila Laksamana Tua dipanggil menghadap Ilahi, urusan negara dipikul pula oleh Datuk Bendahara.
Laksamana Tua, Datuk Bendahara dan dua anak Laksamana Tua, iaitu Datuk Temenggung dan Datuk Laksamana, pernah sama-sama memetrai perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC).
Mereka memberi izin kepada pedagang VOC berkuasa penuh di semua pelabuhan jajahan takluk Ujong Tanah.
Dilanggarlah mereka ini akan undang-undang Almarhum Sultan terdahulu yang mana, pelabuhan adalah bebas untuk para pedagang dari mana-mana sahaja.
Sultan itu, waktu kecilnya baginda di Riau, semasa usianya cukup mentadbir negara, barulah berpindah ia ke ibu kota Ujong Tanah, iaitu ke Kota Tauhid. Sebagai anak berdarah muda, bekerja keraslah baginda untuk memakmurkan negeri Ujong Tanah ini.
Banyaklah waktunya dihabiskan buat meneliti segala surat perjanjian yang termetrai sebelum baginda bertakhta dengan rasminya.
Itulah yang menjadikan para pembesar bergusar hati. Mereka yakin, lama-kelamaan, pakatan sulit dengan VOC dan lain-lain kecurangan mereka dalam mentadbir negara akan diketahui juga oleh sultan.
Malah, beberapa hari yang lepas, Baginda Sultan melepaskan amarahnya kepada Datuk Bendahara kerana tidak memberi kebenaran kepada pedagang Denmark berlabuh di pelabuhan.
Maka itulah, demi meredakan sedikit darah muda sultan, Datuk Bendahara mencadangkan agar sultan memiliki teman hidup.
“Memandangkan baginda belum mahu memilih mana-mana anak raja bagi menjadi permaisuri, hendaklah kita mengajukan kepada baginda akan seorang gundik,” begitu saran Datuk Bendahara.
Datuk Laksamana masih memandang wajah Datuk Bendahara dengan wajah tidak puas hati.
“Baginda kita itu perlu ditemani isteri di kala tidurnya, supaya tidak menjadi bahan tohmahan orang.”
“Tohmahan yang bagaimana?” tanya Datuk Laksamana dengan wajah bingung.
“Yang … baginda itu memiliki isteri dari bangsa jin, maka itu baginda tidak dibenarkan ada permaisuri,” ujar Datuk Bendahara.
Terbeliak mata Datuk Laksamana mendengarnya. Siapa pula yang bermulut lancang mengata anak saudaranya begitu.
“Juga, ada yang bermulut lebih jahat mengatakan, baginda gemar akan anak muda bahari berwajah rupawan.”
Kali ini bagai mahu terlompat biji mata Datuk Laksamana.
“Kita fikir, anak Datuk adalah gadis yang tepat untuk Baginda Sultan. Apatah lagi, keluarga Datuk Laksamana memiliki jasa yang cukup besar dalam kerajaan Ujong Tanah ini. Allahyarham Laksamana Tua dahulu, mengetuai angkatan menumpaskan Jambi, juga berjaya menghalau Feringgi dari bumi Melaka.
ii
Hari ini, Datuk Laksamana mendatangani anak gadisnya, Tri. Si ibu, mencapai puan untuk menyediakan sirih untuk suaminya.
Anak ini duduk bersimpuh dengan taat. Dia mengusap tapak tangan yang sedikit mengelupas bekas gesekan ulu keris sundang yang dibuat melibas perut salah seorang perompak selat.
Ya, itulah Tri, cucu Almarhum Laksamana Tua Ujong Tanah. Darah pahlawan nendanya mengalir kental dalam setiap pembuluh darah anak ini.
Ketika ini, belum pun genap sehari dia pulang dari mengikuti angkatan abang sepupunya memburu perompak di sekitar teluk dan selat di barat daya Sungai Ujong Tanah.
Dia tahu benar apa yang sudah dilakukan oleh datuk, ayah dan bapa saudaranya, tentang perjanjian yang menderhakai titah sultan terdahulu.
“Ayah akan menghantar engkau kepada sultan sebagai gundik.” Perlahan suara Datuk Laksamana.
Tri mengangkat mata memandang ayahnya, ibu Tri yang sedang mengacip pinang, terhenti tangannya. Perlahan diam menoleh kepada si anak lalu memandang suaminya pula. “Abang!”
Isteri Laksamana berasa sedih dan bimbang, kerana ia tahu benar, apabila anaknya itu masuk ke kehidupan istana bukan sebagai permaisuri, hidupnya akan dipenuhi dengan kecemburuan, kesedihan dan bahaya. Itulah yang dilihat pada kehidupan istana pada masa yang dahulu.
Perlahan Datuk Laksamana datang dan duduk dekat isterinya, “Keselamatan keluarga ini bergantung kepada Tri.”
Isteri Laksamana menggeleng. “Cubalah abang usahakan cara lain.”
Tri di sebelah kembali menundukkan pandangan, terus dia mengusap tapak tangan.
“Berilah peluang Tri menikahi lelaki yang dia sukai,” pujuk si isteri.
Segera Datuk Laksamana melihat kepada anak gadisnya. “Sudahkah ada sesiapa di hatimu?”
Tri menjawab dengan menggeleng juga, masih tertunduk. Datuk Laksamana kelihatan melepaskan nafas lega. Datuk Laksamana yakin yang rancangan Datuk Bendahara ini akan berjaya meredakan sedikit kerasnya sultan dalam mengurus pentadbiran negara.
iii
Ketika dilamar oleh Datuk Laksamana untuk puterinya, sultan muda ini mengambil sedikit masa untuk menimbangkan, untuk ditolak bagaimana mungkin, itu adalah keluarga Laksamana yang besar pengaruh dan jasanya kepada kota ini.
Ketokohan Datuk Laksamana akan membantunya mengukuhkan kedudukan baginda sebagai sultan. Namun, dalam pada itu, tembelang Datuk Laksamana dan orang kaya lain sudahlah dapat dihidu oleh baginda.
Namun, tiadalah baginda dapat bertindak dengan melulu. Berkenaan perjanjian dengan VOC itu, baginda sendirilah yang mencari jalan bagaimana membatalkan urusan tersebut.
Atas kesibukan itulah, sejak hari Tri dinikahkan oleh Datuk Laksamana dengan Baginda Sultan, tiadalah Tri itu dikunjungi oleh baginda. Sehari-hari kerja baginda adalah menguruskan negara, meneliti segala surat perjanjian, mencari di mana celah untuk diambil perhatian dan kesempatan.
iv
Tri itu walau sudah ditegah dari ikut dalam angkatan mengejar perompak, tiadalah dia akur. Apatah lagi, dengan sunyinya dia di istana.
Hari itu dia dengan dua orang tentera, baru pulang membuat suluh di sebatang anak sungai dekat hutan bakau. Sebelum berdayung pulang, Tri memetik sejambak melur jawa buat mewangikan ruang tidurnya.
Ketika sekoci mereka merapat ke kapal, dayang pengasuh menjengulkan wajah dengan muka yang hampir pucat.
Masuk saja kaki Tri ke lantai kapal, terus dayang itu dengan dibantu dua orang pembantu wanita menarik Tri ke kamar.
Gadis yang masih kebingungan ini dimandikan, dipakaikan pakaian yang bagus yang mereka ada di sebuah kapal pengejar perompak selat, juga diberi wangian seapa adanya. Seorang dayang sempat menyambar jambak bunga melur tadi, terus disisip ke genggaman Tri.
Segalanya berlaku sangat cepat, tahu-tahu saja Tri sudah ditolak masuk ke kamar Laksamana Muda, pintunya ditutup rapat.
Gadis berusia 20 tahun ini, sedikit gugup melihat Baginda Sultan juga sepupu yang berselang empat tahun usia daripada dirinya ini, sedang berbaring di atas lamparan di lantai kapal.
Baginda baring dengan mata terpejam. Sebelah lengannya berada di atas dahi.
Tadi, semasa pulang dari menyusur selat dengan diiringi para laksamana baginda, baginda melihat kapal pengintip ini berlabuh di tepian sungai. Baginda pun mendekat bagi menyapa Laksamana Muda.
Selepas Laksamana Muda memberi penerangan akan kerja pengintipan angkatan ini, Laksamana Muda dengan sangat memohon agar Baginda Sultan melepaskan lelah di kapalnya.
Tri menarik nafas panjang, melepaskan kelubung kepala lalu dengan langkah berat, dia mendekati sultan lalu bersimpuh di sebelah dada kemudian baring mengiring. Jambangan melur diletakkan di atas kepala.
Baru kali ini Tri memandang abang sepupunya ini dengan jarak yang sangat dekat. Dengan perlahan dia meletakkan tapak kanan ke pipi baginda. Dengan mata masih terpejam baginda memegang jari-jemari Tri lalu membuka mata perlahan-lahan.
“Tidakkah tapak tangan ini terlalu kasar untuk seorang isteri sultan?”
Dada Tri berombak kencang. “Tiadalah tapak tangan ini sempat menjadi mulus dek seringnya menghambat musuh.”
Sebaris kata itu, menjadi angin asmara di telinga Baginda Sultan. Serta-merta mabuk kepayanglah baginda, berkasihlah mereka suami isteri sebelum baginda menyedari akan satu parut yang panjang dan lebar di rusuk kiri isterinya.
“Dapatkah bekas luka itu memaafkan ayahanda hamba?” duga Tri dalam nada cemas dan harap.
“Perlukah adinda meletakkan beta di jalur yang sempit dan menekan?” tukas baginda perlahan namun keras.
v
“Pedagang VOC sudah menekan aku dari segala arah. Mereka terus diasak oleh sultan bagi membatalkan perjanjian yang dahulu itu,” ucap Datuk Bendahara dengan resah dan geram. Datuk Temenggung, Datuk Laksamana dan beberapa orang kaya lain hanya diam, namun wajah mereka turut cemas.
“Baginda Sultan harus ditiadakan dari takhta!” Datuk Bendahara membuat usul sekali gus sebagai arahan.
Serta-merta berderau darah Datuk Laksamana, bagai kering dihisap pontianak. Namun, tiadalah dapat beliau menyanggah.
Bendahara memandang kepada Datuk Laksamana. “Adakah sesiapa yang Datuk rasa berupaya menjalankan kerja ini?”
Datuk Laksamana menelan liur. Dia tahu akan maksud ‘kerja’ itu, iaitu menghilangkan nyawa!
Fikiran Datuk Laksamana kacau-bilau, antara sayang akan anak menantu ataupun kesetiaan kepada Bendahara dan kedudukan pangkatnya. Akhirnya Datuk Laksamana menyebutkan satu nama.
“Ada seorang laksamana dari Negeri Segantang Lada. Sangat handal dalam mengejar lanun selat. Dia sangat berkebolehan dalam bermain senjata.”
Kumpulan orang kaya ini mengangguk setuju, serentak.
Bendahara menegakkan tubuh lalu membuat keputusan. “Semasa mengiringi sultan untuk solat Jumaat nanti, jarakkah kawalan baginda,” ucap Bendahara dengan tegas.
vi
Gundik Tri dijemput pulang dengan tergesa-gesa.
Datuk Laksamana berpesan kepada isterinya, “Kamu berdua duduk dahulu di Jambi dengan keluarga kita di sana. Sekiranya Tri hamil, tunggu sampai anaknya lahir. Kalau ia adalah lelaki, tetaplah Tri di sana. Jangan sampai Bendahara tahu yang Baginda Sultan itu ada pewarisnya.”
Tri dan ibunya sungguh bingung. Datuk Laksamana menambah, “Jangan kalian bertanya apa-apa. Ikuti sahaja arahan aku. Di kala keadaan sudah tenang, nanti aku akan datang menemui kalian.”
Tri yang biasanya garang menghadapi lanun selat, kali ini bagai menuruti sahaja apa-apa yang dimahukan oleh ayahnya. Tidak lama kemudian dia sudah berada di perut kapal, mengharung ombak ke tanah seberang.
Di hadapan masjid, Baginda Sultan sedang berkucur darah selepas ditikam oleh laksamana upahan. Murka baginda tidak terbendung, meluncurlah dari lidah baginda akan sebuah sumpahan, “Beta sumpah tujuh keturunan kamu akan muntah darah jika menjejak ke Kota Tauhid!”
Glosari
bahari: indah/molek
gundik: isteri sultan yang bukan berdarah bangsawan
suluh: mengintip/risikan
puan: bekas tepak sirih
Negeri Segantang Lada: Pulau Bintan