MALAM makin larut. Dia masih mengitari dada kota mencari pelanggan. Bukan dia saja, ada ramai lagi pemandu Grab sepertinya masih berada di jalan mencari rezeki kehidupan.
Ekonomi makin memberat sekarang. Harga barang-barang naik melambung tidak terkawal. Orang-orang bergaji rendah harus kuat melawan desakan hidup yang serba menekan. Peluang mencari pekerjaan kian sukar. Dia yang ada ijazah dalam jurusan Sains Perpustakaan, gagal mendapat sebarang jawatan sejak tamat pengajian. Dicengkam kecewa, dia memilih menjadi pemandu Grab sudahnya. Meski dirasakan masa depannya masih kabur, dengan adanya perkhidmatan e-panggilan dapatlah dia menyara diri.
Dia mahu pulang apabila tiada lagi notifikasi tempahan daripada pelanggan masuk ke telefon bimbit. Ketika itulah dia melihat seorang gadis menahan keretanya di sebuah perhentian bas. Sepatutnya dia tidak berhenti, tapi dia berhenti. Entah sebab apa dia berhenti, dia sendiri kurang pasti. Mungkin kerana perempuan itu cantik.
Dia menurunkan cermin tingkap kereta separuh dan bertanya, “Mahu pergi mana?”
“Grab?” Gadis yang mendekati cermin tingkap kereta itu bertanya tanpa menjawab pertanyaannya.
“Ya. Grab.” Jawabnya. Dia menekan punat membuka pintu kereta.
Gadis itu membuka pintu dan masuk.
Dia teringat tentang beberapa kes rompakan dan pembunuhan yang dilakukan terhadap pemandu Grab. Bahaya memang ada di mana-mana waima di dalam rumah sendiri. Jadi, dia bersangka baik sahaja pada setiap pelanggan yang diambilnya. Dia memang ada menyimpan kayu softball di tepi tempat memandu sebagai langkah berjaga-jaga untuk mempertahankan diri. Apa-apa saja boleh terjadi. Setiap hari dia berdoa supaya pelanggan-pelanggan yang dibawanya terdiri daripada orang-orang baik sahaja.
“Pergi mana?” Dia bertanya lagi dan memandang gadis itu di tempat duduk belakang melalui cermin padang belakang.
“Encik bawalah saya pusing-pusing, berapa pun saya bayar.” Gadis itu menjawab.
Dia bingung sedetik.
“Mahu pusing-pusing pergi mana?” Dia bertanya balik.
“Pergi mana-mana pun tak apa,” balas si gadis.
Mungkin gadis itu dalam masalah, dia meneka. Mungkin si gadis mahu tenangkan diri. Mungkin juga gadis itu baru bergaduh dengan kekasih atau suami atau menghadapi masalah keluarga. Boleh jadi juga gadis itu sedang mengalami depresi lantas dia ingin berjalan-jalan bagi mengimbangi perasaan sendiri. Kebelakangan ini memang ramai orang mengalami kemurungan hingga ada yang bertindak membunuh diri.
Dia akan rasa bersalah jika keengganannya menunaikan permintaan gadis itu akan menyebabkan perkara-perkara yang tidak diingini terjadi. Siapa tahu. Segalanya boleh berlaku. Jika dia membawa gadis itu pusing-pusing keliling kota menikmati suasana malam, mungkin dia dapat menyelamatkan gadis itu daripada membunuh diri. Begitu dia merumuskan secara mudah.
“Encik jalan saja, kalau saya nak turun nanti saya bagi tahu. Jangan takut, saya bayar.” Gadis dengan rambut separas bahu itu memberikan jaminan.
Tanpa fikir panjang, tangannya menolak gear dan keretanya meluncur. Di jalan, sudah kurang kenderaan tapi belum benar-benar lengang. Kota pelancongan itu masih meriah dengan cahaya lampu yang terpendar mewarnai malam. Gedung-gedung perniagaan dan pusat membeli-belah sudah ditutup tapi kota itu ada kehidupan malamnya sendiri. Kota yang tak pernah tidur atau mati.
Beberapa minit berlalu mereka membisu. Dia memandu di sekitar pusat kota. Sesekali dia kerling melihat raut wajah si gadis yang terlindung dalam temaram cahaya dari luar. Hanya ulas bibir gadis itu sahaja yang terlihat. Di bahagian atas wajah bujur sirih itu ditutup gelap. Bibir si gadis terlihat seperti kumtum mawar dalam babak filem noir yang menggetarkan.
Dia tidak memasang radio. Hanya deru enjin kereta terdengar lembut.
“Awak nak dengar lagu?” Dia bertanya memecah sunyi dan bersedia untuk menghidupkan radio.
“Tak usah. Saya tak suka dengar radio. ”
Mereka diam semula.
“Boleh tak encik bawak saya ke tepi laut? Saya nak tengok laut.” Tiba-tiba gadis itu bersuara.
“Dah malam, macam mana nak tengok laut? Laut pun tak nampak.” Dia menimpali. Tapi kemudian dia mengubah fikiran.
“Okey. Saya bawak awak pergi tepi laut.” Dia melaju mencari pusingan U.
“Boleh kita sembang-sembang?” Dia memulakan bicara, cuba memutuskan benang hening.
“Encik nak sembang apa?”
“Kenapa malam-malam awak nak pergi tepi laut?”
Terdengar gadis itu tertawa sedikit dan berkata, “Saya cuma nak buat benda mengarut saja.”
“Ya… semua manusia suka buat benda-benda mengarut.” Dia menyahut, mengeyakan apa yang dikatakan oleh si gadis.
“Saya bukan manusia…” Gadis itu tiba-tiba membuat kenyataan.
Pemandu Grab tergelak. “Kalau awak bukan manusia, awak apa? Alien yang baru jatuh dari kapal angkasa? Atau kapal angkasa awak rosak?”
“Saya hantu…” Selamba saja gadis itu memberitahu.
“Kalau tujuan awak nak buat saja takut, awak tak berjaya. Saya tak takut hantu.”
Sememangnya dia tidak takut langsung mendengar pengakuan gadis itu sebagai hantu. Sedikit pun bulu romanya tidak meremang.
“Memang betul saya hantu. Terpulanglah encik mahu percaya atau tidak.”
Pemandu Grab terfikir, mungkin gadis itu ada masalah jiwa lalu menganggap dirinya adalah hantu. Mungkin dia sudah bosan menjadi manusia. Atau dia sudah bosan dengan semua kerenah manusia.
Pemandu Grap membuat keputusan untuk melayan saja gadis itu. Seronok juga melayan benda-benda yang tidak masuk akal sebagai satu hiburan, cetusnya dalam hati.
“Awak hantu dari mana?” Pemandu Grab memulakan wawancara.
“Saya hantu dari dunia hantu.”
“Dunia hantu yang macam mana?”
“Dunia hantu yang ada bermacam-macam hantu, sama seperti dunia manusia jugak. Manusia ada macam-macam, bukan?”
Pemandu Grab diam dan sedang memasuki kawasan pinggir laut. Dia berhenti tidak jauh daripada laut. Gadis itu keluar dari kereta dan berjalan ke tepi pantai yang gelap. Pemandu Grab mengikutinya. Ada bulan sabit sedang mengendap di langit malam.
Mereka berdiri memandang laut hitam. Suara ombak terdengar sayu menghempas pantai.
“Saya sebenarnya telah dibuang dari dunia hantu,” kata gadis yang mengaku hantu.
“Kenapa awak dibuang dari dunia hantu?”
“Sebab saya tak bersifat seperti hantu. Saya tiada ciri-ciri yang sepatutnya ada pada hantu. Saya tak pandai mengilai. Saya sudah belajar mengilai sekian lama tapi saya masih gagal mengilai seperti hantu-hantu lain. Saya hantu yang tak normal. Dalam dunia hantu, semuanya kena bersifat sama. Kalau ada yang berbeza, mereka tak dapat diterima oleh komuniti hantu. Mereka yang tiada sifat hantu akan dicerca, dihina dan dipulaukan.”
Pemandu Grab bergeming mendengar curahan si gadis hantu. Sukar dia mahu percaya apa yang dia dengar. Namun dia terus mendengar.
“Di mana-mana dunia pun jika kita tiada sifat yang sama mengikut penilaian kaum majoriti dan berbeza dari batas-batas kelaziman yang sudah ditetapkan, kita akan dianggap janggal, pelik dan terkeluar daripada batas-batas yang sedia ada.” Gadis itu menambah.
“Kalau awak betul-betul hantu, kenapa awak tak berambut panjang, tak berbau harum dan tak pakai baju putih? Kenapa hantu semua perempuan? Kenapa hantu lelaki jarang-jarang ada?” Pemandu Grab bertanya soalan bodoh.
“Semua hantu dicipta dan digambarkan oleh khayalan dan bayangan manusia. Hantu mesti perempuan rambut panjang, baju putih, mata merah dengan suara pelik. Sedangkan hantu yang sebenar tidak sebegitu.”
“Apa sifat yang sepatutnya ada pada se…” Pemandu grab menggantung ayat pertanyaannya.
“Saya nak sebut awak apa? Seekor hantu… sekeping hantu … sejambak hantu? Saya tak tahu penjodoh bilangan yang tepat untuk awak.”
“Penjodoh bilangan hanya ada dalam dunia manusia. Bukan dalam dunia saya.”
Dalam cahaya bulan, pemandu Grab melihat senyuman tipis di bibir gadis yang berdiri di sebelahnya.
“Apa nama awak supaya saya senang nak panggil awak?” Pemandu Grab bertanya kemudian.
“Panggil saja saya Han.”
“Han tu singkatan nama awak atau Hansika?” Pemandu Grab cuba bergurau. Dia teringatkan Hansika, pelakon Tamil jelita yang diminatinya.
“Han ialah singkatan daripada perkataan hantu.”
“Oo … begitu. Baiklah, saya akan panggil awak Han.”
“Saya nak panggil awak apa pula?” Han bertanya.
“Awak panggil saja saya Manu.”
“Manu tu singkatan nama awak?”
“Tak. Manu tu singkatan daripada nama manusia.”
Han tergelak.
“Jadi, malam ini adalah pertemuan antara Han dan Manu. Hantu dan manusia. Digabungkan jadi Hanmanu.” Han membuat istilah.
Mereka gelak bersama-sama.
“Ceritalah lagi kenapa awak dibuang daripada dunia hantu.” Manu mahu mendengar lanjutan kisah Han.
“Antara sifat-sifat yang perlu ada pada hantu ialah menakut-nakutkan orang, membuat muka seram, terbang malam-malam dan boleh bertukar macam-macam rupa hodoh. Tapi, saya tak ada semua sifat-sifat itu. Saya hantu yang tak cukup sifat. Saya tak suka rupa saya hodoh. Saya hantu yang suka melawa. Itu yang membuatkan saya dibenci hantu-hantu lain.” Suara Han terdengar kecewa.
“Awak jadi hantu selepas awak mati?” Manu semakin ingin tahu kisah hidup Han sebagai hantu.
“Saya pun tak tahu macam macam mana saya boleh jadi hantu. Sedar-sedar saya dah jadi hantu. Saya tak ada memori atau sejarah kenapa saya jadi hantu.”
Manu bungkam. Fikirannya menjalar.
“Apa yang boleh saya bantu untuk melengkapkan awak sebagai hantu yang cukup sifat?” Manu berkata kemudian. Sedih juga dia jika Han tidak boleh kembali ke dunia hantu kerana dia berbeza daripada hantu-hantu lain.
“Tidak ada apa yang boleh awak bantu, Manu. Saya tetap hantu. Dan awak tetap manusia. Ada batas antara kita yang tak mungkin kita fahami selama-lama.”
“Manu … awak pulanglah. Dah jauh malam ni. Tinggalkan saya di pantai ni. Nanti saya pergi sendiri.”
Han meminta Manu meninggalkannya. Dia tidak boleh berlama-lama bersama-sama Manu. Apabila cahaya fajar terbit di langit, dia harus menghilangkan diri.
“Setakat ini saja pertemuan kita.” Nada suara Han bertukar sedih.
“Macam mana awak nak pergi dari sini? Awak tak pandai terbang.” Manu bimbang memikirkan bagaimana Han mahu terbang sedangkan dia tak pandai terbang seperti hantu-hantu lain.
“Saya akan cuba terbang…” Han berkata dengan suara yang tidak begitu yakin.
Han lalu menghulurkan sesuatu pada Manu.
“Ini bayaran tambang Grab awak.”
“Tak payah bayar. Saya ikhlas bawa awak jalan-jalan malam ni. Bukan senang nak berjumpa dengan hantu yang sebaik awak. Terima kasih kerana memilih Grab saya.” Manu menolak bayaran yang diberikan oleh Han.
“Ambillah duit ni. Saya tahu awak masih ragu-ragu sama ada saya ini betul-betul hantu atau orang gila yang mengaku hantu. Menjelang pagi nanti, bila duit seratus ringgit ini bertukar menjadi kertas, itu tandanya saya betul-betul hantu. Jika duit ini masih dalam bentuk duit seratus ringgit, itu tandanya saya manusia dan hanya berbohong pada awak yang saya ini hantu. Ambillah…” Han masih menghulurkan wang seratus ringgit. Dengan teragak-agak, Manu menerimanya.
“Jawapan sama ada saya hantu atau manusia ada pada duit seratus ringgit itu. Awak pulanglah. Tinggalkan saya di sini. Duit itu akan bertukar menjelang pagi.”
Manu memandu pulang dengan perasaan yang tidak menentu. Sebagai manusia, dia sedih mengenangkan Han yang dibuang dari kelompok hantu.
Sebaik saja cahaya pagi menyentuh jendela kamar tidurnya, Manu segera mengambil dompet. Dada Manu berdebar-debar dan tangannya sedikit menggeletar ketika mahu menarik keluar wang seratus ringgit pemberian Han.
Manu benar-benar mengharapkan agar duit kertas itu kekal sebagai duit seratus ringgit. Dia juga berharap sangat-sangat yang Han adalah manusia biasa dan bukannya hantu.
Sebaik-baik saja duit ditarik keluar, Manu lihat duit seratus ringgit sudah bertukar menjadi kertas putih.
Dompet terlepas dari tangan Manu.