PAGI itu seperti biasa ibu mengejutkan aku untuk ke sekolah. Ibu membuka tingkap kayu di bilikku dan angin pagi menggelongsor masuk ke dalam bilikku. Hawa sejuk terasa hingga mencucuk tulang. Aku membuka mata dan kulihat ibu berdiri di tepi tingkap, sambil memandang keluar dan menghirup udara segar. Dia kemudian berkalih dan memandangku.
“Bangunlah, nak. Nanti lambat lagi ke sekolah hari ini,” kata ibu lembut dan tenang.
Di bawah simbahan cahaya pagi, aku melihat garis-garis halus melintang di dahi ibu. Dalam usia yang masih muda, dalam lingkungan usia 30-an, ibu bagiku ialah wanita yang tabah membesarkan aku dan adikku dengan penuh kasih sayang seorang diri. Tetapi ibu juga seorang yang tegas. Selepas ayah pergi ke negeri abadi, ibu mengerjakan bendang peninggalan ayah tanpa mengira panas terik mentari pagi. Manakala sebelah malam pula ibu menjahit tempahan baju orang-orang kampung tanpa mengenal penat lelah. Semuanya dilakukan demi memastikan ada juadah untuk kami nikmati setiap hari.
Besar sungguh pengorbanan ibu. Dengan paras wajah ibu yang manis dipandang mata, dan diminati ramai pemuda kampung, yang mahu menyunting ibu untuk dijadikan permaisuri, namun tiada seorang pun yang dapat menandingi cinta ayah.
“Ibu, sejuklah,” suaraku perlahan, “Bagilah Tiah lelapkan mata dua minit lagi,” sambungku sambil menarik selimut.
“Hiss! Bangunlah, nak. Nanti lapar ayam-ayam kamu di bawah tu,” kata ibu sambil berjalan keluar dari bilikku.
Aku segera bangun apabila ibu menyebut tentang ayam-ayam kesayanganku. Si Ketot dan Si Tinggi pemberian Cikgu Naim, guru kelasku sebelum berpindah ke sekolah baharunya sentiasa mengusik hatiku.
‘Ah…ibu ni, Tiah nak nikmati keempukan tilam lebih sikit pun tak boleh,’ getus hatiku sambil menjeling manja ke arah ibu, dan terus melangkah longlai turun ke bawah rumah untuk memberi makan Si Ketot dan Si Tinggi dengan jagung kisar halus yang dibeli dari kedai Pak Mail. Mengingatkan Pak Mail, aku senyum sendiri. Dia salah seorang peminat tegar ibu.
“Kirim salam ibu kamu,” pesan Pak Mail setiap kali aku pergi membeli barang di kedainya dan aku hanya senyum kepada Pak Mail.
“Tiah…Tiah…” panggil ibu dari arah dapur, “Cepatlah, nak…bersiap…sekejap lagi loceng sekolah berbunyi tu,” laung ibu lagi. Sekolahku hanya 200 meter dari rumah, deringan loceng sekolah boleh didengar sehingga ke dapur rumah kami.
“Baik, ibu,” sahutku pendek.
Aku ambil tuala yang dijemur di beranda lalu berjalan menuju ke kamar mandi. Aku menjirus air dari tajau besar yang ibu gunakan untuk menadah air. Ah! Sejuk betul air apabila dijirus ke seluruh badanku.
Selesai mandi, aku mengenakan baju sekolah warna biru tua dan putih yang telah disediakan oleh ibu. Baju itu kemas bersangkut di tepi katil. Setelah mengikat rambutku dengan kemas, aku berjalan perlahan menuju ke dapur.
“Dah siap anak ibu ni, jom sarapan,” kata ibu, lembut. Ibu menyediakan kuih tompeh kegemaranku dan air coklat suam.
“Sejuknya air mandi tadi tu, ibu,” kataku ingin menagih simpati ketika sudah duduk di meja makan.
“Em, kamu ni … air di dalam tajau tu katamu sejuk tapi kalau mandi sungai awal pagi tidak pula kamu rasa sejuk,” balas ibu sambil menuangkan air coklat ke dalam gelas kosongku.
Mandi sungai memang hobiku dan kadangkala aku boleh bermain seharian di sungai sehingga terlupa masa hampir senja. Sering kali aku dimarahi oleh ibu dan dihadiahkan sebatan rotan halus di kakiku.
“Kakak kan hantu sungai,” adikku pula tiba-tiba menyampuk, dengan mulutnya dipenuhi kuih tompeh.
Adikku Ebit sudah lengkap berbaju sekolah.
“Adikkk…dah berapa kali ibu pesan, jangan bercakap kalau mulut penuh, nanti tersedak,” kata ibu sambil memandang adik.
Aku mencebikkan bibir. Geram.
Adikku menjegilkan mata, turut mencebikkan bibir.
Aku dan ibu langsung ketawa melihat wajahnya yang kelucuan itu. Begitulah perangai adikku yang kadang-kadang menjengkelkan tetapi amat kelakar itu. Namun dialah penghibur hati di rumah kami, dengan telatahnya yang menggelikan hati itu.
“Kami pergi dulu, ibu,” kataku seusai mengikat tali kasutku yang putih. Aku melihat adikku juga tidak sabar untuk bergerak ke sekolah.
“Cepatlah, kak…,” rengek adikku, “Nanti kita kena denda,” katanya lagi.
“Iya…iya,” kataku. Aku salam dan kucup tangan ibu yang menjadi rutinku setiap pagi sebelum pergi ke sekolah.
“Jaga diri dan jaga adik kamu tu,” pesan ibu.
“Adik… salam ibu,” panggilku yang sudah separuh jalan menuju ke pintu pagar rumah.
“Iya…” sahutnya sambil berlari dan memeluk ibu. Aku lihat adik bersalam dan mengucup tangan ibu dan kemudian berlari menarik tanganku.
“Cepatlah, kak…nanti cikgu marah adik.”
Aku hanya tersenyum sambil mengikut adikku dari arah belakang. Aku melihat sekolahku, Sekolah Rendah Kampung Sodomon yang merupakan satu-satunya sekolah di kampung kami. Terdapat dua blok bangunan kayu yang menempatkan enam buah bilik darjah dan menampung murid dari tiga buah kampung. Di hujung padang terdapat bilik untuk guru-guru sekolah. Ebit berada di tahun dua, dan aku berada di tahun lima.
“Jumpa nanti, kak,” kata Ebit sebaik sampai di pintu pagar sekolah. Sepantas kilat dia berlari menuju ke arah bilik darjahnya.
“Jumpa kakak dekat sini masa pulang nanti,” teriakku. Entah adikku dengar ataupun tidak, namun itulah pesananku setiap hari sebelum adikku masuk ke dalam kelasnya.
Sampai di bilik darjah, aku menuju ke arah mejaku dan melihat kawan baikku, Rose sudah ada di tempatnya. Sejak tahun satu lagi kami sentiasa duduk bersama dan sentiasa tolong-menolong dalam pelajaran. Kami sentiasa mendapat tempat yang terbaik dalam kelas. Kalau bukan Rose, tentu aku yang mendapat tempat pertama setiap kali peperiksaan hujung tahun. Nama kami sering menjadi sebutan cikgu sekolah kami. Kadang-kadang ia mengundang rasa iri hati pelajar lelaki dan Maliklah yang selalu membuat hatiku berbulu. Malik anak Pak Abu berbadan sedikit gempal dan sedikit tinggi itu menyebalkanku. Dia sentiasa menyakitkan hatiku dan juga Rose. Pernah juga dia cuba melaga-lagakan kami berdua hingga Rose tidak mahu menegurku selama satu minggu. Rupa-rupanya Malik menabur fitnah terhadapku. Namun setelah aku berjumpa dengan Rose dan memberitahu perkara yang sebenar, kami pun rapat semula.
“Tiah, kamu pandai berenang?” soal Malik pagi itu.
“Mestilah pandai… ini Tiahlah,” jawabku sombong, sengaja aku berkata begitu untuk menyakitkan hati Malik. Kenyataannya biarpun aku amat gemar mandi sungai, sebenarnya aku belum tahu berenang. Aku hanya tahu mengapungkan diri dengan pelampung tayar yang diberikan olah Pak Pian, bapa Rose.
“Baiklah, lepas sekolah nanti kita tengok siapa yang hebat,” cabar Malik.
“Baiklah,” jawabku pendek, masih dalam nada sombong.
Memang aku seorang yang pantang dicabar. Apa lagi jika pencabar itu seorang yang amat aku tidak suka. Tapi aku lihat, wajah Rose berubah dan seperti kurang senang melihat telatahku, kerana Rose juga tahu aku memang tidak mahir berenang.
“Kamu sudah nampakkah air sungai pagi ni?” soal Rose.
Aku geleng kepala.
“Air sungai sudah naik setinggi tebing. Semalam kan hujan lebat,” bisiknya lagi.
Aku menelan air liur dan terbayang air sungai yang dalam dan deras warna kecoklatan dan membuatkan aku berasa sedikit seram.
“Harap-harap tengah hari nanti surutlah air sungai tu,” bisikku.
Namun harapanku meleset sama sekali. Selepas sekolah petang itu, kami berlari menuju ke arah sungai yang tidak jauh dari sekolah. Sesampai sahaja di sana, aku melihat dari tebing, air sungai kecoklatan mengalir deras. Aku menelan air liur. Terasa kecut perutku. Rose melihat aku dan wajahnya diburu bimbang.
“Tak payahlah sahut cabaran Malik tu,” kata Rose dengan suara yang gusar.
“Kak…kan ibu dah pesan, kalau air sungai naik, kakak tak boleh mandi,” Ebit menarik tanganku, “Kak, marilah kita pulang,” sambungnya.
Aku baru saja nak bersetuju dengan cadangan adikku, tetapi tiba-tiba aku terdengar suara Malik dari arah belakang.
“Ah, sini rupanya kamu! Ingatkan dah tarik diri,” kata Malik sambil memandang ke arahku dengan angkuh.
Malik datang dengan kawan-kawannya yang samseng dan tidak aku kenali. Mungkin budak-budak dari kampung seberang. Bentuk fizikal mereka sedikit besar daripada Malik.
Hatiku yang kecut tiba-tiba menggelegak panas apabila melihat Malik dan kawan-kawannya mentertawakanku.
“Apa ketawa?” soalku kasar, “Ingat Tiah tak berani?” jerkahku, garang.
“Hei…jangan ganggu kakakku.” Ebit bersuara lantang sambil berlari ke arah Malik dan cuba menumbuk Malik.
Namun Ebit ditangkap oleh salah seorang kawan samseng Malik dan seperti ingin membuang Ebit ke dalam sungai. Menyirap darahku apabila melihat Ebit diperlakukan begitu.
“Lepaskan adikku,” aku berteriak sekuat hatiku dan aku meluru ke arah kawan Malik dan cuba merebut Ebit daripada genggaman tangannya. Ketika berlaku pergelutan itu, aku dengar suara Rose menjerit.
“Berhenti! Berhenti!” jerit Rose. Entah bagaimana, terasa diriku ditolak dan tiba-tiba diriku menjadi seperti burung terbang menjunam jatuh.
Aku terjatuh ke dalam sungai. Terasa air sungai itu menampar kuat wajahku, dan arus sungai makin menggila. Sayup-sayup aku terdengar suara Rose berteriak memanggil namaku. Aku dengar juga suara Ebit menjerit-jerit memanggil aku sambil menangis. Aku cuba melawan arus yang kuat. Aku berenang ke kiri dan ke kanan sekuat tenaga yang aku ada.
Tiba-tiba aku terasa seperti seorang perenang mahir, aku berenang melawan arus yang kuat sambil cuba menggapai akar-akar kayu di tebing sungai. Namun aku gagal kerana arus sungai terlalu deras dan rakus mengheret tubuhku. Bermacam-macam benda terbayang di benakku. Wajah adik dan ibuku saling bertukar ganti.
Suara Rose dan adikku semakin sayup kudengar. Aku terasa badanku semakin lemah dan kakiku ditarik masuk ke dalam sungai.
Entah sudah berapa kali aku tertelan air yang keruh itu. Aku mula ketakutan dan semakin longlai. Aku takut jika tidak dapat berjumpa ibu dan adikku lagi. Badanku sudah tidak mampu melawan arus yang kuat.
Tetapi ketika itu juga aku terasa ada sesuatu yang menarik tangan dan badanku. Aku dibawa berenang ke tebing sungai. Sesampai di daratan, aku terbatuk-batuk. Belakangku dipukul dengan kuat sehingga terkeluar semua air melalui mulut dan hidungku. Aku membuka mata, dan aku melihat Pak Pian basah kuyup di sampingku. Aku menangis teresak-esak dengan perasaan yang bercampur baur. Aku terasa badanku sungguh sejuk. Aku melihat Ebit dan Rose datang memelukku sambil menangis. Badanku terasa sungguh lemah dan mataku terasa sungguh berat.
“Bapa, macam mana keadaan Tiah?” Terdengar suara Rose bertanya dalam tangisnya.
“Badannya lemah, nak, tapi dia selamat. Mari kita hantar dia pulang ke rumah dahulu. Badannya perlu dipanaskan,” kata bapa Rose.
Sesampai di rumah, aku mendengar suara ibu seakan-akan baru habis menangis. “Bagaimana anak saya, Abang Pian?”
Aku cuba membuka mataku yang berat. Kepalaku terasa sakit seperti dihempap batu besar.
“Dia selamat, Bidah. Cuma dia masih dalam keadaan terkejut lagi. Kamu perlu tukar bajunya dan selimutkan dia untuk panaskan badannya,” kata bapa Rose.
Ibu melakukan seperti yang diarahkan oleh bapa Rose. Ibu membuka bajuku yang basah, membersihkan badanku dengan tuala suam dan menyarungkan pakaian baharu ke tubuhku. Badanku dibalut kemas dengan selimut. Aku membuka mataku perlahan-lahan dan dengan cepat ibu mengesat air matanya. Dia cuba tersenyum. Tetapi aku berasa sebak.
“Ibu, maafkan Tiah kerana membuat ibu risau,” kataku sambil menangis. “Tiah bersalah kerana tidak mendengar cakap ibu,” kataku lagi.
“Dah, dah, jangan nangis, nak. Tiah berehat dulu. Yang penting Tiah dah selamat,” kata ibu sambil mengucup lembut dahiku.
“Tiah makan ubat ni, lepas tu berehat. Apabila Tiah dah sihat, baru Tiah bagitahu ibu apa yang terjadi,” kata ibu.
Tekakku terasa sedikit perit semasa menelan ubat dengan air suam yang diberikan oleh ibu. Aku kemudiannya terlelap.
Aku demam selama tiga hari. Seluruh badanku terasa sakit seperti dihempap kayu besar. Selepas ibu menyuapkan bubur nasi, ibu menyapu minyak kayu putih ke seluruh tubuhku dan memberikan aku dua biji ubat. Selepas menelannya, aku kembali terlelap. Demamku mulai surut pada hari keempat. Aku sudah boleh duduk dan berjalan walaupun badanku masih terasa lemah. Aku keluar dari bilik dan melihat sekeliling ruang tamu. Tidak kelihatan kelibat ibu dan Ebit. Perlahan-lahan aku berjalan menuju ke arah dapur. Kulihat ibu sedang membasuh pinggan membelakangiku. Gembira yang tidak terhingga apabila aku melihat ibu. Aku berjalan menuju ke arahnya dan memeluk ibu dari belakang. Ibu sedikit terkejut, lalu memusingkan badan melihatku.
“Ah, anak ibu dah sihat!” kata ibu dengan matanya yang berkaca-kaca.
“Ibu, maafkan Tiah kerana menyusahkan ibu dan tidak mendengar cakap ibu,” kataku lagi dengan nada sebak.
“Sudahlah, nak…jangan sedih. Ebit dan Rose dah ceritakan kepada ibu perkara yang sebenar. Ibu bangga mempunyai anak seperti Tiah, sanggup menggadai nyawa demi melindungi adik,” kata ibu sambil mengucup lembut dahiku dengan penuh kasih sayang. Aku memeluk ibu sepuas hatiku dan dengan penuh rasa syukur.