Andai dulu telingaku mendengar
andai dulu mataku melihat
andai dulu hatiku terbuka
jasadmu akan terpacak di sisi
seperti memori dulu.
Alangkah malangnya diri ini
ada nasi tak dimakan
ada air tak diminum
ada nasihat tak digenggam
dibiar menjadi debu
hingga tak terlihat.
Ayah
jika diputar kembali
banyak cebisan kata inginku ungkap
air mata tak mampu menahan
terus terjatuh dalam harapan yang malap
terus ditendang gelombang hitam
terus mengalir dalam sungai yang keruh.
Ayah
jika diputar kembali
benih nasihatmu inginku tanam dalam hati
biar menjadi pokok menyentuh cakerawala
biar dipetik tetap berbuah
biar taufan badai tetapku megah.
Namun
luahan ini sia-sia
tak bererti untuk dimuntah
hanya bermuhasabah
kerana aku sedar
semuanya hilang tak kembali.
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.