Skip to content
Hilang
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Hilang
Hilang
Cerpen

Hilang

  • Stephanie Juanita Ahlee
  • 6 Oktober 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 9
  • 5

SUARA berteriak memanggil nama itu, hampir memenuhi ruangan hutan. Bertemankan cahaya lampu suluh dan sebilah duku di tangan, kaum lelaki bersama-sama gigih mencari kanak-kanak berusia enam tahun yang hilang sejak petang tadi. “Kenapa kau hanya duduk di sini tidak mencari cucu kau yang hilang itu, Lagok?”

 Lagok tidak menjawab, sebaliknya hanya termenung di ruai rumah panjang enam belas pintu itu.

Bunyau menggeleng, meninggalkan Lagok yang masih tunduk membisu, duduk di meja hadapan jendela pintu bilik bernombor lima itu. Dia masih tidak percaya dengan tingkah laku sahabat seperjuangan mengayau seketika dahulu menentang komunis, duduk membatu tidak menyertai penduduk kampung yang mencari darah dagingnya sendiri. Pengecut! Bicara Bunyau sebelum melangkah masuk bersama tongkat kayu.

Rita, menantunya, memasamkan muka apabila melintasi Lagok. Sudah hilang rasa hormat pada orang tua itu. Dia tidak menyangka yang ayah mentuanya itu tidak turut sama mencari anaknya yang hilang.  Air mata yang bercucuran, terus jatuh menitis ke lantai. 

Di mana Lansam? Laparkah dia? Adakah dia sedang kesejukan di luar sana? Oh.. dia benar-benar tidak dapat membayangkan keadaan anaknya pada ketika itu. Tiada satu pun perkara waras yang ada dalam benak fikirannya. Doa? Dia seorang ibu. Entah berapa banyak doa telah terbang ke langit. Doa ibu itu tidak pernah putus.

Dalam diam, ingatan lama menjelma kembali di benak Lagok. “Kau, Bikut, jangan sesekali menjejak kaki ke kawasan pokok engkabang di belakang hutan timur sana.”

Bikut berpura-pura tidak mendengar. Masih meneruskan pekerjaannya membaiki bubu yang rosak.

“Kau dengar tak apa apai cakap ni, Bikut?”

“Kenapa apai? Di sana bukannya ada apa-apa pun,” jawab Bikut spontan.

“Kau tak tahu apa-apa, Bikut. Aku beri amaran pada kau, jangan pernah cuba ke kawasan pokok engkabang itu!” Suara Lagok meninggi. Dia benar-benar tegas.

Bikut menggeleng. Orang tua itu menjengkelkan. Tanyalah padanya berapa banyak babi hutan yang telah tewas di tangannya. Hantu? Dia tidak percaya wujudnya benda halus. Bermalam di hutan, tidak menjadi masalah baginya. Tiada apa yang menakutkan pemuda itu. Bikut bingkas bangun lalu berjalan menuju ke pintu bilik mereka.

 “Kau dengar tak?” Lagok masih lagi becok berkata-kata tentang amarannya.

Bikut terpaksa mengangguk agar orang tua itu berhenti berbicara tentang pokok engkabang di hutan timur.

Bunyi derapan kaki mengejutkan lamunan Lagok. Ternyata ada yang telah pulang dari pencarian cucunya, Lansam, anak Bikut. Dia berjalan menuju ke hujung tanju lalu menjenguk-jenguk kepala untuk melihat siapa yang telah kembali tetapi tiada kelibat Bikut. Lagok menghela nafas yang panjang.

Wajah-wajah yang kepenatan memandangnya seolah-olah dia pesalah utama yang menyebabkan kehilangan Lansam. Tetapi, tiada siapa tahu apa yang sedang bermain di dalam fikiran. Perasaannya seperti bulan yang diselimuti awan, gelisah tidak bercahaya. Seseorang memegang bahu Lagok sambil menggeleng, jawapan yang mengecewakan.

 Suara tangisan Rita menambahkan lagi suasana kelam. Kelihatan ibu mentuanya duduk sambil memeluk ibu kepada kanak-kanak yang hilang.

“Betulkah Lansam ke sana seorang diri?” Kedengaran suara seseorang bertanya kepada seorang kanak-kanak lelaki.

Kanak-kanak lelaki itu lalu menjawab, “Ya. Aku sendiri nampak dia berjalan ke arah sana, hutan timur.”

 “Hutan timur?” kata Lagok.

Oh, tidak! Telah aku tegaskan amaran tentang hutan timur sejak dulu lagi. Namun, mengapa amaran aku sering kali dipandang ringan? Getus hatinya lagi.

“Kami sudah ke sana, tetapi tidak menemui sebarang petunjuk biarpun sekecil tapak kaki,” ujar lelaki yang bertanya tadi.

“Sungai?”soal Rita.

Lelaki itu menggeleng.

“Kenapa apai tidak ikut mencari Lansam? Apai seorang pahlawan bujang berani! Kenapa, apai?”kata Rita pada Lagok sewaktu lelaki itu berjalan tunduk menuju ke bilik.

Orang tua itu berhenti seketika. Namun tidak berani memandang wajah Rita.

“Kenapa apai? Begitu bencikah apai pada kami, pada cucu apai sendiri?”

 “Sebab itu apai tidak membenarkan Bikut tinggal di sini semasa kami mula-mula berkahwin sehingga sanggup membiarkan Bikut nguai sedangkan dia satu-satunya anak apai? Benar?”

Lagok masih membisu. Kisah lama mengetuk tingkap memori Rita. Terbayang olehnya susuk Lagok bercekak pinggang bersama wajah bengisnya ketika mereka mula-mula kembali ke rumah panjang itu kerana mahu menjaga indai yang sakit.

“Apai hanya memeluk tubuh di sini, membiarkan cucu apai sendiri di dalam hutan yang penuh dengan binatang buas, kesejukan di sana?” Rita benar-benar hilang waras. Perasaan geram membuak. Apa yang ada dalam benak, dikeluarkan habis-habisan. 

Kau tak tahu apa-apa, Rita. Kalian tidak tahu apa-apa. Bahkan Lansam juga tidak tahu apa sebenarnya yang ada  di sebalik hutan timur itu. Lagok bergumam dalam hati.

Mata Rita mencerlung ke arah Lagok sebelum meninggalkannya. Dalam hatinya sudah beratus kali dia menyumpah ayah mentuanya itu.

Lagok kembali ke dalam bilik mereka. Dia duduk di atas tikar bemban lalu bersandar pada dinding. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi dengkur. Semudah itu orang tua itu terlelap.

 “Lagok..Lagok. Janganlah berlari. Tunggu mak cik,” arah seorang wanita.

Wanita itu mengenakan selendang putih lutsinar, terkapai-kapai mengangkat tangan kanan dan menjerit memanggil nama Lagok agar memperlahankan langkah. Tetapi kanak-kanak lelaki yang usianya tujuh tahun itu melompat riang, sekejap-sekejap berlari anak. Niatnya hanya mahu mencari paku-pakis tetapi Lagok mengekori dalam diam.

Pada jarak seratus meter di depan pokok-pokok engkabang, dia berhenti. Matanya melilau ke segenap kawasan. Tetapi ada satu pohon yang seolah-olah melambai-lambai padanya. Angin yang bertiup lalu di cuping telinga, seakan-akan berbisik, Lagok.. mari sini. Lagok sempat menoleh ke kiri dan ke kanan, tercari-cari suara berbisik itu tetapi tiada sesiapa pun yang kelihatan melainkan dia dan Mak cik Sulau.

 Lagok.. Lagok. Mari sini, bisik suara itu lagi.

Lagok mula melangkah ke hadapan. Ke arah sebatang pohon engkabang yang melambai-lambai padanya.  Lagok menghentikan langkah. Dia teringat akan perbualan aki pada suatu malam, tiga bulan lepas.

 “Apa yang orang sedang lakukan di sana, aki?”soalnya.

“Itu manusia yang melakukan pembalakan haram.”

Lagok memandang ke arah aki. “Mengapa aki dan orang kampung tidak menghalang mereka?” tanya Lagok lagi.

“Kita serahkan sahaja pada alam. Jika kita berbuat baik pada alam, alam juga akan menjaga kita dengan baik,” jawab aki dengan tenang. Di hujung jawapan, senyuman terukir di wajah aki yang belum dimengerti Lagok yang masih kecil ketika itu.

 Tidak lama kemudian, heboh tentang kehilangan pekerja-pekerja pembalakan. Bukan satu, tetapi tiga orang dikatakan sesat dan hilang di dalam hutan. Usaha mencari giat dilakukan. Namun, akhirnya terpaksa dihentikan apabila gagal menemukan sebarang petunjuk.  Syarikat pembalakan itu turut menghentikan operasi penebangan hutan serta-merta.

Tiba-tiba, kakinya ditarik oleh sesuatu yang menjalar dan  Lagok diseret secara kasar di atas tanah. Dia menjerit sekuat hati.  Pada waktu jeritan mula tenggelam dalam desir angin dan akar itu semakin kuat melilit sehingga ke betis Lagok, suara yang dikenali kedengaran. “Lagok! Pegang tangan mak cik kuat-kuat!” 

Dia cuba menggapai tangan wanita itu. Degupan jantung bertambah kencang. Dia menoleh ke arah pohon engkabang itu. Ketika itu, barulah dia sedar yang pohon engkabang itu seakan mahu menelannya. Sekali lagi dia meraung dengan kuat sambil cuba mencapai tangan Mak cik Sulau. 

Tanah lembap melekat pada tubuh dan daun-daun kering turut melekat pada rambut setiap kali dia diseret semakin jauh. Jari-jemari itu akhirnya menyentuh tangan Mak cik Sulau setelah berkali-kali genggaman mereka terlepas oleh akar yang menjalar.

Lagok akhirnya berjaya ditarik keluar daripada cengkaman akar. Tubuhnya terhempas ke sisi Mak cik Sulau dengan nafas tercungap-cungap. Jantungnya masih berdegup kencang. Namun, sebelum dia sempat bangkit, jeritan Mak cik Sulau memecah kesunyian yang seketika. Kakinya dililit oleh akar pohon yang sama. Kali ini, lebih pantas dan rentapan lebih kuat, menariknya ke belakang. Lagok tergamam seketika.

 Dia cuba menarik tangan wanita itu tetapi apakan daya, tenaga mudanya dikalahkan oleh akar pokok engkabang yang lebih kuat. Dia hanya mampu melihat Mak cik Sulau diseret masuk ke arah pokok engkabang sebelum mendengar jeritan terakhir wanita itu. Tubuh wanita itu mula tenggelam separuh di celah akar dan tanah yang terbuka. Mulut Lagok ternganga tetapi tidak bersuara. Semuanya hilang sekelip mata setelah tanah tertutup rapat.

Lagok segera melarikan diri. Dia terus berlari dengan satu fikiran yang berulang-ulang mengingatkannya: jangan pernah kembali ke tempat itu lagi. Hutan itu pasti akan mengingatinya.

 Apabila dia kembali ke rumah panjang, dia membisu seribu bahasa. Rahsia itu kekal dalam genggaman sehingga kini. Kehilangan Mak cik Sulau tidak pernah diceritakan pada sesiapa. Tubuhnya tidak ditemui dan penduduk kampung melakukan upacara ngerapuh, adat yang dilakukan kaum Iban apabila jasad si mati tidak ditemui, tajau ditanam bersama barang peribadi si mati dijadikan pengganti semasa melakukan upacara kematian.

 “Lagok..Lagok…” Bisikan itu jelas di telinga orang tua itu. “Kau harus segera jika mahu cucumu selamat. Aku tidak dapat menjaganya dengan lama sebelum segalanya menjadi terlambat.”

Lagok terbangun daripada tidurnya. Dia kenal suara itu. Suara wanita yang kali terakhir didengarnya enam puluh tahun lalu. Jeritan itu masih hidup dalam mimpi-mimpi ngerinya sejak zaman kanak-kanak. Dadanya berombak kencang apabila kembali mengingat kisah silam. Bisikan itu terus berlegar-legar dalam benaknya. Itulah sebabnya dia tidak mahu anaknya tinggal di rumah panjang mereka biarpun dia terpaksa berpisah dengan satu-satunya anak tunggal mereka dengan membenarkan Bikut nguai semasa berkahwin. 

Dia memandang ke arah pelita. Api pelita itu kelihatan lebih malap daripada biasa. Bikut tidur tidak jauh daripadanya; kelihatan letih. Tersentak, dia sedar bahawa kehilangan Lansam bukan pengakhiran; dia harus menyelesaikan sesuatu yang sepatutnya dilakukan dulu, berkaitan dengan kehilangan Mak cik Sulau. Dalam diam, dia mengambil keputusan untuk kembali ke pokok engkabang itu semula.

Bertemankan pelita minyak tanah, dia pergi berseorangan. Bau tanah dan nyanyian cengkerik, masih sama, fikirnya. Kali ini, Lagok berdiri betul-betul di hadapan pokok engkabang itu. Aku menunggu kau, Lagok. Tanah mula bergetar seolah-olah bernafas. Cahaya pelita yang malap tiba-tiba menjadi terang, seperti ada jiwa sedang memberi kekuatan.

Melangkah dengan berani, Lagok berseru, “Aku datang sebagai pengganti. Kau pulangkanlah cucuku.”

Akar-akar pokok itu datang ke arah Lagok dan dia segera meletakkan pelita minyak tanah itu betul-betul sebelum akar-akar pokok engkabang sampai ke arahnya. Cahaya pelita itu terus memancar terang. Seolah-olah takut, akar-akar pokok itu berundur.

“Jangan Lagok..jangan bakar pokok ini.” Bisik suara itu lagi.

“Jadi, pulangkan cucuku. Keturunan aku tak pernah mengganggu hutan ini. Sebaliknya kalian terlebih dahulu menyentuh kami. Bukankah kita menjaga sesama kita?”jerkah Lagok.

Samar-samar, bunyi desir daun di kejauhan semakin dekat. Dalam sekelip mata, seorang budak lelaki muncul di hadapan pokok engkabang itu. Hutan akhirnya menyerah kembali cucunya, Lansam.

Lagok mendapatkan cucunya dan mengambil semula pelita tanah itu. Cahaya terang menyelubungi mereka berdua seperti kabus, dan seketika Lagok mendapati dia dan Lansam berada di hadapan rumah panjang. Penduduk kampung terkejut melihat dia pulang bersama cucunya. Akhirnya, Lagok boleh menarik nafas lega. Dari jauh, dia melihat sekumpulan burung terbang berlegar di atas pokok engkabang yang menyimpan seribu rahsia tentang kehilangan. 

 

# dbpcawangansarawak# penulis sarawak# stephaniejuanitaahlee
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (3) #cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (32) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (35) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (5) #puisijawi (7) #puisimoden (25) #sasteramelayu (11) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (5) adie abd gani (6) anak (3) bahasa (3) cerpen (17) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (31) dbpsarawak (4) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (7) palestin (3) penulis sarawak (16) puisi (35) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) rindu (3) sajak (12) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (4) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Yang Kaulihat dari Jendela
Cerpen

Yang Kaulihat dari Jendela

  • 5 Mei 2026
  • 319
  • 4.4
Seperti Enggang Yang Sudah Bangun Tidur
Cerpen

Seperti Enggang Yang Sudah Bangun Tidur

  • 8 November 2023
  • 231
  • 4.4
Estetika Malam Bulan Dipagar Bintang: Simfoni Romantisme Zaman Silam
Bicara Sastera

Estetika Malam Bulan Dipagar Bintang: Simfoni Romantisme Zaman Silam

  • 20 Disember 2025
  • 198
Memerihalkan Matang
Puisi

Memerihalkan Matang

  • 5 Jun 2026
  • 9
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP