API yang mengganas semakin rakus menjilat setiap ruang yang ada. Bunyi letupan kecil dari bumbung rumah berselang-seli dengan jeritan kayu yang patah dimamah api. Bau asap menyesakkan dada, membuatkan mata pedih dan air mata tidak berhenti mengalir.
Di sudut dapur yang sempit, Faris semakin terperosok. Tubuh kecilnya bergetar, namun tangan kurus itu tetap erat memeluk Fatin dan Fayyad. Nafasnya tersekat-sekat, tetapi hatinya tetap teguh bertahan’, ‘biar tubuhku yang binasa, asalkan adik-adikku selamat.’
Peluh dan air mata menitis serentak di wajahnya yang semakin perit menahan kepanasan. Dalam kelam, suara ayah dan ibu yang sebelum ini memanggil-manggil semakin hilang ditelan gemuruh api. Faris menutup mata, pasrah. Namun, jauh di sudut hati, dia masih berdoa agar Allah melindungi adik-adiknya.
“Faris! Faris!” Tiba-tiba, sayup-sayup terdengar suara memanggil.
Bahang panas semakin menghimpit tubuhnya, pandangannya kian kabur. Dia cuba bersuara, namun bibirnya hanya bergetar tanpa bunyi.
‘Adakah ini pengakhiran hidupku?’
Saat itu, seberkas cahaya tiba-tiba menyeruak masuk, seperti mengoyakkan sinar kelam yang dari tadi menutup pandangan. Ada desiran angin lembut yang menyentuh pipinya. Satu suara yang sangat dikenalinya bergema di cuping telinga.
“Faris, bangun cepat! Adik-adik kamu dah lama tunggu nak ke sekolah!”
Faris tersentak. Matanya terbuka. Api yang marak hilang sekelip mata. Asap yang menyesak dada turut lenyap entah di mana. Di hadapan matanya hanya kelihatan sosok ibu yang sedang mengemas baju-baju yang berserakan di lantai. Tanpa berfikir panjang, Faris terus berlari memeluk ibu dengan erat.
“Eh, kenapa ni, Faris? Kamu mimpi apa semalam?” Ibu terpinga-pinga.
Namun, Faris tidak menjawab. Air matanya menitis. Ibunya dipeluk erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan.
Setelah itu dia berlari mencari ayah dan adik-adiknya. Sama seperti ibu. Semua di rumah kecil itu tertanya-tanya melihat sikap Faris yang berbeza daripada biasa. Namun, Faris hanya tersenyum dalam tangis kegembiraan. Dia sedar apa yang ditakutinya itu hanya satu mimpi ngeri.
Hari-hari berikutnya menyaksikan perubahan sikap Faris. Setiap waktu makan, dia akan pastikan Fatin dan Fayyad duduk bersama. Di sekolah, dia menjaga mereka umpama seorang pengawal keselamatan. Ya, dia bimbang!. Malah dalam hatinya, terselit rasa takut kehilangan.
Petang itu, pulang dari sekolah, mereka ke sungai. Gelak tawa Fatin dan Fayyad bergema, bermain air dengan gembira. Faris duduk di tebing, memerhati sambil memegang buku. Damai sekali. Hinggalah tiba-tiba kedamaian itu digegar dengan sebuah jeritan.
“Tolong! Tolong!” Suara itu memecah langit petang.
Fatin dan Fayyad terkapai di tengah arus deras. Tanpa berfikir panjang, Faris terus terjun. Dia segera berenang ke arah adik-adiknya.
Tubuh kecilnya berusaha sekuat tenaga. Tangannya cuba mencapai, namun dirinya semakin lemah. Fatin dan Fayyad semakin jauh dibawa arus deras, sehingga akhirnya lenyap daripada pandangan.
“Fatin! Fayyad!” jeritnya. Namun, suara itu terperangkap di dalam air. Sekali lagi, segalanya bertukar gelap dan kelam.
Ketika Faris membuka mata, di sekelilingnya hanya ada dinding berwarna putih dan beberapa orang wanita serta lelaki dewasa yang juga memakai baju berwarna putih. Wajah-wajah itu memandang sayu ke arahnya.
Dia cuba bergerak. Cuba mengangkat tangan dan kaki. Namun, tubuhnya hanya kaku. Rasa sakit berdenyut-denyut mencengkam setiap urat. Dia cuba bergerak lagi, tapi sia-sia. Hanya mata yang mampu meliar, mencari kelibat ibu, ayah, Fatin dan Fayyad.
“Syukurlah, Faris dah sedar.” Suara lembut seorang jururawat menyentuh telinga. Namun, Faris hanya mampu menangis dalam diam.
Dua bulan telah berlalu. Begitu lama Faris berperang antara hidup dan mati. Peristiwa Faris menyelamatkan adik-adiknya dalam kebakaran menjadi bualan hangat. Fikirnya itu hanya mimpi ngeri tapi itulah yang terjadi. Hampir keseluruhan tubuhnya hangus terbakar. Mujurlah adik-adiknya hanya mengalami luka ringan.
Setiap hari ibu, ayah dan adik-adiknya akan duduk di sisi, menggenggam tangannya yang semakin kurus. Mereka tidak pernah jemu berdoa biarpun harapan untuk sembuh amat tipis.
“Faris anak yang kuat. Dia sayang adik-adiknya. Saya percaya, dia masih berjuang,” kata si ibu dalam tangis yang tertahan ketika dimaklumkan tentang keadaan Faris yang semakin kritikal.
Namun, pada suatu petang, doa itu terhenti. Beberapa orang doktor dan jururawat menjadi cemas. Bunyi mesin berbunyi panjang seolah-olah tanda berakhirnya satu perjalanan seorang abang yang amat mengasihi adik-adiknya.
“Puan, maafkan kami. Tuhan lebih menyayanginya.”
Dunia seakan terhenti. Ibu tidak mampu menahan tangis. Ayah memeluk ibu yang masih memegang jasad Faris yang telah kaku. Tubuh Fatin dan Fayyad terasa longlai. Abang kesayangan yang sanggup berkorban untuk mereka, akhirnya pergi takkan kembali. Membawa segala keperitan dan kesakitan yang ditanggung selama ini.
Sesungguhnya Faris bukan sekadar nama. Faris pergi sebagai bukti kasih sayang yang tidak terbatas. Dia tidak sempat menjadi dewasa. Dia juga tidak sempat melakar mimpi di kanvas kehidupan. Dia simbol sebuah kisah cinta seorang abang yang sanggup melindungi adik-adiknya hingga ke hujung nyawa.
