LIA menghirup kopi yang masih berbaki. Sejuk. Mata yang kuyu sedikit terbuka. Cuma dia yang masih tinggal di pejabat. Biarlah, hatinya masih belum ingin pulang. Dia tidak takut, dia sudah lali. Otaknya masih ligat berputar. Sesekali dia menyelak fail di kiri dan kanan. Prestasi jualan produk-produk syarikat dimasukkan satu demi satu ke dalam lejar. Perbelanjaan operasi syarikat dihitung cermat. Berkali-kali dia memeriksa. Jemarinya ligat menekan kalkulator. Debit lagi di sini dan tolak sedikit dibahagian kredit sana. Imbang! Hampir dia melonjak gembira. Puas!
Lia melangkah longlai ke tempat letak kereta. Meski hari sudah gelap, suasana sekeliling pusat bandar Kuala Lumpur masih lagi terang-benderang. Pusat beli-belah dan taman berpancuran air masih hingar-bingar. Meriah. Lia mengeluh. Beginilah rutinnya, selalu pulang lewat. Sewaktu mula-mula bekerja dulu, emak dan abahnya bising juga.
“Lia, burung pun balik ke sarang, tahu?” Emaknya menyindir.
Bukan dia tak mahu pulang awal bahkan dia ingin selalu begitu. Tetapi dia tidak boleh. Sebagai eksekutif kanan, ketepatan akaun untuk tujuh ladang kelapa sawit terletak di bahunya. Kesemuanya jauh di negara jiran. Mahu tak mahu, selalunya dia perlu mengambil masa demi memastikan laporan hariannya lengkap.
Mungkin, itu hanya alasan. Lia memikirkan yang lompong hatinya perlu diisi setelah dikecewakan. Bunyinya terlalu cliche, bukan? Dia menyibukkan diri ditinggalkan setelah lelaki yang kononnya ingin menyuntingnya membatalkan hasrat. Bukan salah Lia! Lelaki itu yang tidak sanggup menunggu. Lia terlalu sibuk katanya dan dia tidak mahu ditinggalkan, menunggu kemudian nanti. Anehnya, dia tidak menangis!
“Selamat datang ke Yayasan Jiwa Murni, Lia!”
Di hadapannya kini ialah Puan Wan, penyelaras Rumah Adnin, rumah anak-anak gelandangan yang dikendalikan oleh Yayasan Ikhlas. Bertudung labuh dan berkaca mata, Puan Wan berwajah lembut lagi mesra. Lia senang, mudah-mudahan tugasnya di sini mudah dan lancar. Dia tidak mahu misinya terganggu.
“Kenapa awak ke sini?”
Tiba-tiba, satu suara memecah ruang pejabat Rumah Adnin. Seorang pemuda menjeling sambil tangannya laju membuat salinan fotokopi di ruang depan pejabat.
“Awak yakin awak cukup ikhlas?” Lia diduga lagi.
Lia diam. Tersentak kerana gerak hatinya seolah-olah dapat dibaca.
“Lelaki itu hanya mahu dikenali sebagai Iki,” kata Puan Wan.
Seperti Lia, Iki juga menjadi sukarelawan di Rumah Adnin. Menurut cerita adik-adik penghuni Rumah Adnin, Iki bagaikan seorang adiwira yang selalu ada apabila mereka memerlukan. Kalau atap genting Rumah Adnin pecah, Abang Iki akan datang membetulkannya. Kalau hujan lebat dan siling bocor, Abang Iki akan bergegas datang dan menampalnya. Bahkan, kalau ada lampu kalimantang yang terbakar dan padam, Abang Iki yang menggantikannya dengan yang baru. Meski abang Iki cuma berkereta sedan berjenama lokal, Abang Iki tidak lokek untuk membawa mereka berjalan-jalan, terutamanya ke perpustakaan.
Bagaikan dongeng, cerita-cerita manusia bertemu di satu titik, saling berkait dan bergerak atas nama takdir.
Satu hari, sewaktu Lia melayan anak-anak Rumah Adnin di dewan makan, tiba-tiba dewan menjadi gempar dengan kehadiran tetamu tidak diundang. Ular tedung berwarna keemasan betul-betul di belakang Lia!
Lia diam menikus. Peluh memercik di dahi. Dia meminta adik-adik semua bertenang walaupun jantungnya sendiri berdebar. Lia tahu, ular sensitif dengan pergerakan dan bunyi. Perlahan-lahan dia mengeluarkan telefon bimbit dan menaip pesanan ringkas kepada Puan Wan.
“Ada ular!”
Itulah kali pertama dia melihat Iki yang kelihatan segak dengan seragamnya. Tidak sampai sepuluh minit, ular tedung itu dapat ditangkap. Anak-anak Rumah Adnin semuanya bersorak girang. Lia dengan wajah sedikit tunduk, mengucapkan terima kasih. Iki cuma diam dan berpaling untuk pergi.
“Awak yakin awak ikhlas?”
Lia tidak tahu kenapa tiba-tiba pertanyaan itu terluncur dari mulutnya. Memulangkan buah keras mungkin.
“Nama saya memang Ikhlas!”
Iki membalas tetapi tidak memandang.
Kata orang, ikhlas itu misteri sifatnya, umpama semut hitam di malam gelap pekat. Lia memandang Iki sebegitu, misteri tetapi dihormati. Hari ini, tidak semena-mena, Iki memberinya sebuah kejutan!
“Iki mencari seseorang yang ikhlas, baik agama dan budi pekertinya. Dia merasakan awaklah orangnya. Iki ingin menyunting awak Lia”.
Puan Wan perlahan-lahan membisikkan berita.
“Tapi Puan, dia tidak cukup mengenali saya, bagaimana dia tahu saya benar-benar ikhlas?” Lia menduga.
Puan Wan cuma tersenyum.
Puan Wan meminta izin untuk mengatur pertemuan antara Iki dan orang tua Lia di Rumah Adnin. Menurutnya, biarlah Rumah Adnin menjadi tempat bersejarah untuk Lia dan Iki. Hujung minggu nanti, orang tua Lia akan datang dari Seremban ke Rumah Adnin.
Lia berdebar, orang tua Lia sudah hampir sejam menunggu. Batang hidung Iki masih belum kelihatan. Kopi yang panas sudah menjadi sejuk. Karipap yang tadi garing sudah lembik. Ketakutan silam perlahan-lahan menjentik hati kecil Lia. Dia pernah berasa ditinggalkan dan itu maha berat bagi dirinya. Iki, jangan begini, datanglah!
Kebimbangan Lia akhirnya menjadi nyata. Sehingga orang tua Lia pulang, Iki tidak datang. Mata Lia merah berkaca-kata apabila ayahnya mempersoalkan calon pilihan Lia. Cukuplah, mereka tak mahu pisang berbuah dua kali!
“Kau pasti dia ikhlas Lia?” Ayahnya menyoal Lia.
Dia hanya menjawab dengan deraian air mata dan ketika air matanya kering senja itu, barulah Iki muncul dengan seragam kalis api jingganya. Dia hanya mampu berkata,
“Lia, maafkan saya, ada nyawa yang perlu diselamatkan!”
Tetapi bagi Lia, jiwanya lebih perlu diselamatkan! Cukuplah dirinya dihantui peristiwa silam. Kegagalan Iki tempoh hari membuatkan hatinya kembali pedih. Dia sendiri tidak pasti adakah dia benar-benar ikhlas ingin menerima Iki atau sekadar merawat luka lamanya. Sekarang, bukan sahaja lukanya tidak berbalut bahkan kembali berdarah tidak berhenti-henti.
“Lia masih ingin teruskan idea ini?” Puan Wan bertanya sambil bola matanya membaca e-mel panjang kiriman Iki. Iki masih mengharapkan Lia sudi menerima pelawaannya tempoh hari.
“Entahlah Puan, Lia tidak tahu, sebetulnya Lia tidak kenal Iki siapa. Iki juga tidak kenal siapa Lia. Kami belum benar-benar saling mengenali apa lagi untuk menjalin hubungan cinta!” Lia melepaskan keraguannya.
“Iki tidak begitu Lia, dia ingin bercinta secara terhormat, dia insya-Allah soleh orangnya, saya kenal benar dia,” Puan Wan mempertahankan. Beriya-iya.
Puan Wan akhirnya membuka cerita, di Rumah Adnin inilah Iki membesar dan berasa memiliki keluarga. Yayasan Ikhlas ini sempena namanya. Orang tuanya bekas konglomerat berjaya seawal tahun 90-an. Sayangnya, api marak meragut nyawa orang tua Iki sekaligus merenggut bahagia daripada dirinya.
Letupan kilang mercun di Sungai Buloh pada tahun 1994 menjadi penyebabnya. Kilang ibu bapa Iki yang berada di deretan yang sama menjadi korban tidak berdosa. Semenjak itu, api menjadi musuh Iki yang utama dan ketakutan bukan lagi batu penghalang. Hanya dengan menyelamatkan nyawa manusia Iki merasakan dia dapat menyelamatkan ibu bapanya.
“Dan saya bukanlah bidadari sempurna…” Lia memotong cerita.
Jauh di sudut hatinya, Lia takut dia tidak mampu. Tidak mampu untuk selalu bersabar dan menerima hakikat dirinya akan sentiasa di tempat pertama.
Pertama untuk dikorbankan dan jatuh di tangga kedua selepas tuntutan kerja Iki. Dia tahu, melawan api kerjaya yang mulia tetapi hatinya tidak cukup kuat untuk dikorbankan setiap masa.
“Lia, perkahwinan itu melengkapkan. Lia dengan segala kelemahan dan kekuatan tersendirikan melengkapkan Iki yang juga manusia biasa. Bercintalah dengan ikhlas kerana Allah, Lia!” Puan Wan berpesan sambil menggenggam tangan Lia.
Allah!
“Puan, bantulah saya, tunjukkanlah saya jalan,” pinta Lia lemah.
“Nanti sekejap, siapa awak sebenarnya, Lia? Ada apa-apa yang saya tidak tahu?” Puan Wan cuba mencungkil sesuatu.
Akhirnya, rahsia yang disimpan bukan lagi menjadi rahsia, Paling tidak buat Puan Wan.
Semenjak itu, Lia berazam untuk membaiki dirinya. Syukur Puan Wan sudi menjadi mentornya. Panggilannya pun bertukar kepada Ibu, Sering kali Lia mengikuti Puan Wan ke kelas pengajian dan usrah. Dia memperbanyak bacaan al-Quran dan zikirnya. Memperelok akhlaknya. Semoga kali ini, dia benar-benar bercinta dengan Tuhan.
“Lia, sebenarnya Iki masih bertanya, kali ini bagaimana? Puan Wan memancing kepastian di satu petang. Waktu mereka baru selesai kuliah Asar di Rumah Adnin. Lia menguntum senyum dan mengangguk-angguk.
Alhamdulillah.
Tetapi kegembiraan itu tidak berpanjangan. Satu pesanan masuk dalam telefon Lia tiga hari selepas dia memberi kata setuju.
“Maaf, saya tak mampu untuk teruskan rancangan ini.”
Mudahnya! Sekali lagi mata Lia berkaca-kaca. Nafasnya terasa sesak. Dia mula berkira-kira. Dia mesti pergi. Ikhlas belum cukup ikhlas. Dia terlalu rendah diri!
“Lia, tunggu! Nak pergi mana, Lia?”
Puan Wan mendekatinya sewaktu Lia sedang menguruskan daftar masuk bagasi di KLIA.
Lia cepat-cepat menyembunyikan paspot dan tiket penerbangannya. Tubuhnya longlai, mukanya basah dengan air mata.
“Ibu, kenapa Lia dimainkan sebegini, sewaktu hati Lia sudah mantap untuk menerima Iki seadanya? Sebagaimana Iki menjadikan tugas memadam api itu ladangnya di akhirat, begitu juga saya ibu, menulis cerita itu ladang akhirat saya, ibu! Ibukan tahu kenapa saya masih berahsia? Saya hanya mahu dia menerima saya sebagai Lia, bukan Dahlia penulis popular. Iki masih belum bersedia, dia tidak ikhlas, Ibu!” Lia menjawab terketar-ketar, menyembamkan muka ke dakapan Puan Wan.
“Lia, Iki minta maaf, dia tarik kata-katanya. Dia ikhlas! Hadapi dia kali ini Lia, jangan lari lagi!” Puan Wan memujuk dalam hiruk-pikuk lapangan terbang.
“Jika benar dia ikhlas, kenapa dia tak datang memujuk?” Lia bertanya dalam esak yang tidak sedikit.
Puan Wan berpaling memandang pintu kaca.
Di sebalik pintu kaca, seorang lelaki memandang adegan itu dengan wajah kesal. Terasa-rasa kakinya ingin melangkah masuk untuk memujuk, tetapi hatinya sedar dan waras bahawa Lia masih belum miliknya!